1080i

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

1080i ialah istilah trengkas bagi satu kategori mod video. Nombor 1080 adalah singkatan bagi 1080 garis leraian menegak, sementara huruf i bererti imbasan selang seli (interlace) atau bukan progresif. 1080i ialah satu mod video televisyen definisi tinggi (HDTV). Istilah ini biasanya memaksudkan nisbah aspek skrin lebar 16:9, menandakan leraian mengufuk 1920 piksel dan leraian gambar 1920 × 1080 atau lebih kurang 2.07 juta piksel. Kadar bidang dalam ukuran hertz boleh ditunjukkan oleh konteks atau dinyatakan selepas huruf i. Dua kadar bidang dalam kegunaan am adalah 25 bidang sesaat (di negara-negara yang menggunakan arus ulang-alik 50 Hz) dan 30 bidang sesaat (di negara-negara 60 Hz), iaitu 1080i25 digunakan secara am di negara-negara PAL dan SECAM (Eropah, Australia, kebanyakan Asia, Afrika), sementara 1080i30 pula digunakan di negara-negara NTSC (Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun). Kedua-dua bentuk ini boleh dipancarkan melalui format-format televisyen digital utama, iaitu ATSC dan DVB. Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) lebih gemar menyatakan leraian dan kadar medan dipisahkan oleh garis miring, iaitu 1080i/30 dan 1080i/25, seperti untuk 480i/30 dan 576i/25.

1080i serasi secara langsung dengan set-set HDTV berasaskan CRT. 1080i juga serasi dengan set-set 720p dan 1080p yang lebih baru tetapi perlu dinyahselangseli terlebih dahulu agar boleh terpapar dalam set-set sedemikian. Begitu juga, saiz panel yang laris untuk HDTV berharga sederhana adalah 1366 x 768 dan selalu diiklankan sebagai "serasi" 1080i - namun, meskipun dapat menerima isyarat 1080i pun terpaksa mengecilkannya agar muat dengan saiz 1366x768 kerana tidak mampu memaparkan leraian 1920x1080 atas sebab fizikal. [1]

Akibat penyemakan format NTSC ketika tibanya televisyen berwarna, kadar bidang penyiaran 1080i sebenarnya 0.1% lebih perlahan daripada yang dinyatakan. Contohnya, pemancaran 1080i30 atau "30 Hz" sebenarnya kira-kira 29.97 bidang sesaat. Kedua-dua frekuensi "24/30/60" penuh dan "23.976/29.97/59.94" disokong oleh piawaian-piawaian terkini. Di negara-negara Eropah yang memakai PAL pula, sering kali dikodkan 1080i pada 25 bidang sesaat yang bersamaan 50 medan sesaat.

Format imej selang seli 1080i/25 memerlukan 20% lebih kadar bit berbanding format imej progresif 720p/50 agar dapat memperoleh mutu imej subjektif yang sama[2].

Format progresif 1080p (pada 50 Hz atau 60 Hz) semakin laris digunakan dalam penerbitan serta juga diramal menjadi piawaian penyiaran masa akan datang[3]. Kini EBU mengesyorkan agar 720p pada 50Hz digunakan untuk tujuan penyiaran[4].

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]