Abdul Halim Ali

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dr. Abdul Halim Ali atau nama penanya A. Halim Ali berkelulusan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Kesusasteraan Melayu Moden berasal dari Merchang, Terengganu. Beliau bertugas sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Sebelum menjadi pensyarah beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah menengah di Sarawak, Terengganu dan Pahang. Beliau banyak menghasilkan karya ilmiah dan kreatif serta terlibat dalam penyuntingan buku-buku umum. Selain itu aktif dalam pembentangan kertas kerja dalam pelbagai seminar di pelbagai peringkat. Beliau juga terlibat dalam aktiviti pembacaan puisi, mengendalikan bengkel penulisan puisi, Fasilitator motivasi, Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya DBP untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN. Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Sekretariat Kursi Za’ba, UPSI (2001-2002, Penyelaras Program Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (Sept 2001- Okt 2002), Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu (Nov 2002-Okt 2003) dan Timbalan Dekan Pengurusan dan Penyelidikan, Fakulti Bahasa (Sept 2003-Sept 2005), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Felo Institut Peradaban Melayu (2007-2009), Pangarah Pusat Perhubungan Alumni, UPSI (2011-2017 dan Pengarah Pusat Ulu Albab UPSI (2019- 2022. Selain tugas rasmi sebagai pensyarah, Abdul Halim juga merupakan Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Presiden Rangkaian Ahli Akademik & Profesional Anak Terengganu (PERAPAT) Malaysia, Ahli Jawatankuasa Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sasterawan NUMERA Malaysia.

Sumbangan[sunting | sunting sumber]

Antologi dan kumpulan puisi:

  • Antologi puisi `Awah I` (1996)
  • Antologi puisi `Bunga-bunga di Taman Desa` (1997)
  • Antologi puisi `Keinsafan` (2000)
  • Antologi puisi `Meraut air Limpah` (2007)
  • Antologi puisi `Wahai Api jadilah dingin jadilah embun` (2009)
  • Antologi puisi `Dalam redup wajah ibu` (2010)
  • Antologi puisi `Unggun kebahagiaan` (2012)
  • Antologi puisi `Simpanlah dalam ingatanmu` (2013)
  • Antologi Puisi Keamanan (2014) Bersama Mohd Azam Sulong.
  • Antologi Puisi `Api dan Air Mata Rohingya` (2012) Bersama Ghazali Din.
  • Antologi Puisi `Sumpah Sumandak Dusun Tamparuli` (2018)
  • Antologi Puisi `Meraut Lumpur Lumpur Duka di Dada Palu` (2019). Tanjong Malim: Penerbit Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
  • Kumpulan puisi persendirian `Permintaan Alam` (2000)
  • Kumpulan puisi persendirian`Citra Kehidupan` (2005)
  • Kumpulan Puisi persendirian `Melihat ke dalam diri (2015)


Buku akademik

  • Bingkisan Sastera (2003)
  • Di Sekitar Puisi Melayu Moden (2004, 2007)
  • Mendekati Puisi Melayu Moden (2006)
  • Pengantar Teori dan Kritikan Sastera:Barat dan Malaysia (2011)
  • Wacana teori dan kritikan sastera (2015)
  • Teori Historisisme Baru: Sorotan Idea dan Aplikasi Kritikan (2014)
  • A.Halim Ali  (2018) Inti Sati Teori Sastera Barat dan Malaysia. Shah Alam: NHA Excell Resources.
  • A.Halim Ali  (2018) Kritikan Sastera: Teori dan Praktis. Shah Alam: NHA Excell Resources.
  • A.Halim Ali (2019) Pengetahuan Asas Penyelidikan Dalam Kesusasteraan Melayu. MZU Edu Publications: Klang
  • A.Halim Ali (2020) Pendidikan Kesusasteraan Melayu: Sejarah Perkembangan & Kebolehpasaran, Shah Alam: NHA Excell Resources.
  • A. Halim Ali (Ed) (2020) Program Profesional Ulul Albab Modul Lanjutan. Tanjong Malim: Pusat Ulul Albab UPSI
  • A. Halim Ali (Ed) (2021) Cemerlang Akademik Cemerlang Akhlak. Tanjong Malim: Pusat Ulul Albab UPSI
  • Azhar Wahid, Abdul Halim Ali, Abdul Ghani Abu, Ramli Saadon & Mohd Naim Jaafar (2021) Naratif Peristiwa Kuala Krau 1948-1949, Tanjong Malim: Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
  • Abdul Halim Ali (2021) Memahami fungsi sastera berasaskan konsep keadaman dalam teori Estetika Bersepadu, Sastera, bahasa dan budaya pemersatu bangsa. Kuala Lumpur. Penerbit PENA.
  • A. Halim Ali (Ed) (2022) Modul & Akhlak Excellence (Designing Firdaus) Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tanjong Malim: Pusat Ulul Albab UPSI
  • A. Halim Ali (2022) Proses Kreatif: Model dan Pengalaman Penyair. Shah Alam: NHA Eccell Resources
  • A. Halim Ali & Mardiah Mawar Kembaren (2022) Bingkisan Sastera Melayu Nusantara. Tanjong Malim: Penerbit Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
  • A. Halim Ali (2024) Menilai makna keindahan berasaskan Konsep Estetika Bersepadu. Tanjong Malim: Pejabat Karang Mengarang.
  • Buku akademik (Selenggaraan)
  • Kumpulan Esei Bahasa dan Kesusasteraan (2002) bersama Harun Jaafar
  • Penghayatan Sastera Melayu Moden (2005) bersama Azhar Hj Wahid
  • Teaching English as a Second Language (2006) et al.
  • Antologi puisi `Balada Suluh Budiman` (2002) bersama Zuber Zain.
  • Wanita dalam Wacana Sastera (2014) Bersama Norazimah Zakaria & Hasrina Baharum.
  • Antologi Puisi Keamanan (2014) Bersama Mohd Azam Sulong.
  • Antologi Puisi `Api dan Air Mata Rohingya` (2012) Bersama Ghazali Din.
  • Antologi Puisi `Sipanlah Dalam Ingatanmu` (2013) Bersama Ghazali Din
  • Pendidikan Kesusasteraan Melayu Dalam Pelbagai Isu dan Perspektif (2015) bersama Norazimah Zakaria & Azhar Wahid
  • A.Halim Ali & Norazimah Zakaria (2016), Pendidikan Kesusasteraan Melayu Dalam Pelbagai Isu dan Perspektif. Shah Alam: NHA Excell Resources.
  • A.Halim Ali, Ahmad Janatul Firdaus & Raja Ahamd Shalaby (2017) Tari Sri Yahya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara. Tanjong Malim: Pejabat Karang Mengarang
  • A.Halim Ali, Napisal Kepol & M.Tarmizi A.Rahman (2017) Zakaria Kasa: Menzahirkan Perubahan Dalam Pendidikan. Tanjong Malim: Pejabat Karang Mengarang
  • Abdul Halim Ali (2018), Kesusasteraan Melayu dan Sistem Pendidikan dan Kritikan.Tanjong Malim: Penerbitan Persatuan Penulis Budiman Malaysia
  • Fatin Nor Ain Ramly, Azhar Wahid & A. Halim Ali (2023) Metode Pengurusan Dalam Sastera. Tanjong Malim: Penerbit Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
  • A. Halim Ali, (2023) Seni, Sastera, Budaya dan Warisan dalam Lingkaran Nusantara. Tanjung Malim: Penerbit Pejabat Karang Mengarang UPSI.


Karya am yang disunting:

  • Pak Lah dan Pendidikan (2005) bersama Zuber Zain & Raja Ahmad Shalaby.
  • Pengajaran Bahasan Melayu (2011) prosiding seminar diselanggara bersama Mahzan Arshad dan Mana Sikana
  • Sastera Membina peradaban bangsa prosiding seminar diselenggara bersama Mana Sikana dan Mohd Rosli Saludin
  • Poetry of Live (2011) antologi puisi,Editor penasihat.
  • A. Halim Ali, Ghazali Din & Ahmad Janatul Firdaus (2022) Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara. Tanjong Malim: Penerbit Pejabat Karang Mengarang UPSI.
  • A.Halim Ali, et al (2023) Parit: Kenangan dan Kegemilangan.Ipoh: IDR
  • A.Halim Ali et al (2023) 100 Tahun SITC-UPSI. Tanjong Malim, Penerbit UPSI.


Gagasan Teori Estetika Bersepadu

Abdul Halim (2010) mengemukakan gagasan teori Estetika Bersepadu sebagai satu asas untuk memahami erti dan konsep keindahan dalam karya seni khususnya kesusasteraan. Secara teori, Estetika Bersepadu meletakkan Islam sebagai dasar untuk memahami estetika. Beilau menyandarkan idea teorinya pada proses penciptaan manusia pertama (iaitu nabi Adam a.s. sebagai makhluk paling sempurna/indah/lengkap) bagi menjelaskan teks kesusasteraan dengan segala aspek luaran dan dalamanya sebagai teks yang terisi dengan unsur-unsur keindahan serta menzahirkan fungsinya sebagai wadah menyampaikan perutusan kepada pembaca. Konsep-konsep penting yang menjadi prinsip teori dalam teori ini ialah:

  • Keadaman
  • Keperibadian estetika pengarang
  • Kesepaduan
  • Perkaitan


Konsep Keadaman

Nabi Adam a.s. dalam konteks pemahaman ini bukan sekadar makhluk manusia berilmu dan berfikiran  yang paling sempurna ciptaan Allah SWT, tetapi nabi Adam a.s. juga dapat diambil daripadanya suatu rujukan bagi memahami erti keindahan dari sudut unsur dan proses penciptaan serta perkaitan penciptaannya dengan fungsi yang ditetapkan Allah menjadi khalifah di muka bumi. Memahami dan mengamati proses  ciptaan Adam a.s., ini maka tergambar suatu kesepaduan proses yang dapat memahamkan makna keindahan.

Dengan kata lain, untuk memahami makna keindahan maka kita boleh sahaja merujuk indikasinya pada proses kejadian Adam a.s.  (manusia). Keindahan dalam keadaan ini menampakkan dua asas kezahirannya iaitu (1) kesepaduan dan (2) perkaitan.

Teks kesusasteraan yang dihasilkan pengarang juga memiliki ciri-ciri dan fungsinya sejajar dengan ciri-ciri dan fungsi nabi Adam itu. Oleh itu dapat dikatakan, teks kesusasteraan adalah sebuah manifestasi keindahan Adam serta mengandungi ciri-ciri keadaman yang menjelma di hadapan khalayak dengan tugas menyampaikan perutusan-perutusan agama kepada manusia dengan sifat dirinya yang indah pula. Teks kesusasteraan juga teradun proses kejadiannya berasaskan kesepaduan pelbagai unsur seperti pemikiran bahasa, idea, teknik dan sebagainya. Pengarang tidak menghadirkan karya dengan kosong makna, melainkan berkait dengan tujuan untuk menyampaikan pemikiran dan mesejnya agar sampai kepada khalayak. Di sinilah terzahirnya konsep kesepaduan dan perkaitan dalam penciptaan sesebuah karya kesusasteraan, sebagaimana proses penciptaan Adam a.a. dan perkaitannya dengan tugas kerasulan di atas muka bumi.


Kesepaduan

Kesepaduan adalah  proses yang dapat menunjukkan pertalian hubungan unsur-unsur tekstual yang membina makna teks. Aspek yang bersepadu meliputi unsur dalaman (idea/ pemikiran dan perutusan/mesej) dan unsur-unsur lahiriah teks (bahasa, bentuk, teknik, struktur).  Memahami makna teks daripada sudut kesepaduan ini sejajar dengan pandangan al-Faruqi yang menjelaskan, sifat kesusasteraan Islam tergambar dalam gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur (Mohd Affandi Hassan,1992:13). Bererti, keindahan tidak berupaya menampilkan sifatnya secara `solo` tanpa mengambilkira persoalan perutusan yang terkandung di dalam teks. Keindahan dalam konteks ini tidak bersifat autonomus, sebaliknya bersepadu dengan aspek lain seperti bentuk, bahasa dan perutusan untuk menampilkan sifat indahnya yang menyeluruh itu. Al-Ghazali menyebutkan, keindahan alam semula jadi merumuskan bahawa Tuhan yang menciptakannya adalah Tuhan yang indah (Hamidah Abdul Hamid,1995:25). Keindahan alam tidak wujud sendiri dan tidak bersifat autonomus melainkan berkait langsung dengan sifat indah Tuhan.

Salah satu manifestasi keindahan Allah S.W.T. ialah keindahan pada bahasa al-Quran yang mengandungi pokok pengajaran Islam dalam aspek kehidupan manusia  yang meliputi bidang akidah, syariat dan akhlak. Al-Quran yang memiliki keindahan pada bahasa dan isi itu diturunkan kepada manusia untuk dijadikan petunjuk kehidupan di dunia dan di akhirat menerusi pelbagai gaya kiasan yang indah sesuai dengan fitrah kejadiannya. Firman Allah S.W.T. bermaksud;

`Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan (iaitu) kitab yang serupa (keindahan ayat-ayatnya) lagi didua-duakan (diulang-ulang membacanya) oleh kerananya menggeletar kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi lembut kulit dan hati mereka untuk mengingati Allah. (Kitab) itulah petunjuk Allah, dia tunjukki dengan siapa yang kehendaki-Nya. Dan dengan siapa yang disesatkan Allah, maka tidak adalah baginya orang yang menunjukki` (Surah Az-Zumar, Ayat 23)

           Daripada sudut aqidah, estetika bahasa al-Quran adalah suatu bentuk estetika yang bersekali dengan keindahan Islam menyampaikan peringatan-peringatan dengan gaya yang indah berhikmah. Terdapat kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran, tetapi bukannya  kisah-kisah yang bersifat nostalgik. Ianya merupakan kisah-kisah yang mendukung makna untuk kehidupan manusia sepanjang zaman. Mahmud Yunus (1983), menyebutkan  kisah-kisah di dalam al-Quran bukan seperti cerita-cerita biasa melainkan untuk mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah umat terdahulu.

Jelasnya,  bahasa yang indah (elok) tidak hanya menampakkan keindahan harfiah struktur bahasa itu, tetapi juga memperlihatkan keindahan dalam perutusan agama yang bersumber daripada salah satu manifestasi keindahan Allah S.W.T. Abu Hassan Abdul (2007) dalam kajian di peringkat ijazah doktor falsafah menggunakan sandaran agama dalam kerangka strategik retorik Melayu. Beliau memanfaatkan unsur-unsur bahasa dalam bidang retorik Barat dengan strategik retorik al-Quran untuk menjelaskan strategik retorik Melayu menerusi model Retorik Peluasan yang dibina bagi menganalisis strategik retorik dalam karya Hamka dan dan Shahnon Ahmad. Kerangka Strategik Retorik Peluasan yang menggabungkan Strategik al-Quran, Barat dan Melayu menunjukkan konsep keindahan yang terbina dalam karya kesusasteraan tidak bergantung hanya kepada satu elemen retorik. Malah Abu Hassan membuktikan strategi retorik dalam karya sastera Melayu perlu disepadukan dengan strategi retorik yang berpandukan al-Quran (Islam).

           Berbeza dengan konsep estetik Barat yang dibicarakan dalam disiplin estetika moden hanya mementingkan konsep estetika berasaskan kualiti estetik semata-mata. Kualiti estetik yang dimaksudkan ialah kualiti yang dialami oleh pembaca/penonton ataupun disebut kualiti subjektif (Sohaimi Abdul Aziz,1998:27). Kefahaman terhadap konsep keindahan dalam era estetik moden berbeza dengan kefahaman terhadap konsep tersebut pada peringkat awal. Perkembangan baharu dalam abad ke-18 juga menyaksikan perubahan pada tanggapan ahli teori estetik dan bidang tumpuannya. Menurut McCormick (dalam Sohaimi Abdul Aziz,1998) tumpuan penilaian estetik beralih daripada objek kepada subjek dengan penjurusan yang lebih spesifik aspek sikap estetik, kesedaran estetik, ketidakpentingan, persepsi estetik dan kesedaran estetik. Daripada perspektif ini, teori keindahan dan teori estetik tidak lagi sama, sebaliknya mendukung kefahaman dan ruang tumpuan penilaian yang berbeza, meskipun kedua-duanya masih terikat dengan bidang falsafah.

           Pemencilan aspek keindahan daripada aspek keagamaan amat ketara dalam falsafah estetik Barat. Ini dapat dilihat pada idea-idea ahli falsafah Scott David Hume (1711-1776) dan ahli falsafah Jerman Immanuel Kant (1724-1804) yang lebih memberi perhatian pada persoalan taste (rasa) dalam memahami estetik seni.  Al-Ghazali menyifatkan keindahan yang tidak ada hubungannya dengan Tuhan adalah fenomena imaginasi yang tidak benar. Pernyataan al-Ghazali ini bertepatan dengan maksud hadis Rasulullah;

`sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras, sebaliknya melihat kepada hati dan budi pekertimu`

           Dengan peralihan kasus penilaian estetik daripada objek kepada subjek, menjelaskan lagi penolakan ahli teori estetik moden Barat terhadap peranan objek sebagai sumber estetika. Tanggapan ini berbeza dengan pandangan al-Ghazali yang percaya bahawa setiap objek atau fenomena mempunyai ciri-ciri keindahannya yang tersendiri (Hamidah Abdul Hamid,1995:29). Malah, al-Ghazali menghubungkan keindahan objek ini dengan kualiti dalaman manusia yang mencipta objek-objek tersebut. Alam semulajadi juga merupakan objek yang memiliki nilai keindahan.

           Dalam konteks agama Islam, keindahan alam semulajadi adalah suatu refleksi dan manifestasi keindahan Allah S.W.T. yang menciptanya (keindahan). Keindahan yang hadir pada objek atau dipersepsi oleh subjek tidak dapat dipisahkan hubungannya dengan Tuhan. Hubungan inilah menjadi asas kepada konsep Estetika bersepadu yang mengkonsepsi keindahan bermakna di sisi agama. Dengan perkataan lain, nilai estetika tidak lagi bermakna apabila terpisah atau terputusnya hubungan nilai estetika dengan nilai-nilai keagamaan.

           Keindahan dalaman yang dimaksudkan oleh al-Ghazali ialah keindahan yang tersirat, yang wujud dalam bentuk abstrak. Keindahan ini memerlukan kaedah pengapresiasian yang dapat menembusi ruang transendental dengan menghubungkan maklumat dalam bentuk nyata dengan maklumat dalam bentuk abstrak. Islam memberi keutamaan yang lebih kepada aspek keindahan yang tersirat berbanding keindahan yang tersurat. Rupa paras, warna kulit dan kekayaan bukannya indeks yang menentukan tahap keindahan pada diri seseorang, sebaliknya,  nilai-nilai peribadi dan akhlak menjadi indeks yang lebih diutamakan.

           Dari sudut ini, konsep keindahan dari perspektif Islam juga membawa maksud kebaikan dan keelokan. Keindahan, kebaikan dan keelokan seumpama ini dijelaskan oleh al-Ghazali sebagai bersumberkan kepada sifat Tuhan dan keindahan atau kebaikan dalaman itu tadi memimpin para seniman kepada kasih dan sayangnya kepada Tuhan (Hamidah Abdul Hamid,1995:30). Keindahan atau kebaikan dalaman ini dianggap oleh al-Ghazali sebagai keindahan yang sebenar. Demikian sabda Rasulullah S.A.W. dalam sebuah hadisnya yang bermaksud;

`Kebaikan itu ialah elok budi pekerti. Dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau benci bahawa dilihat oleh manusia kepadanya` (Riwayat Al-Nawawi. Dlm. Hadis 40,1992:304)

           Imam al-Nawawi dalam syarahnya berkaitan hadis di atas menghubungkan kebaikan dengan kebajikan. Kebajikan ini tergambar dan terlaksana dalam dua hubungan iaitu hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah S.W.T. Dalam konteks hubungan manusia dengan Allah S.W.T., kebajikan secara khususnya berkait dengan makna melaksanakan segala amal taat sama ada dari sudut zahir mahupun batin sesuai dengan ajaran Islam. Kedua-dua jenis kebajikan ini menurut al-Nawawi merupakan kebaikan dan kebaikan menurut Rasulullah S.A.W. pula ialah keelokan budi pekerti.

           Keelokan budi pekerti bermaksud mengerjakan sesuatu yang ditentukan atau disukai atau yang sesuai dengan ibadat dan fikiran, tetapi tidak bertentangan dengan petunjuk agama (Mustafa `Abdul Rahman, 1992:306). Penjelasan ini menunjukkan, Islam lebih mementingkan keindahan yang tersirat, tetapi tidak menolak keindahan yang tersurat selagi ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama. Menurut Abdul Hadi W.M. (2000:338), Islam adalah agama yang penuh keterbukaan. Sudah lama unsur-unsur kebudayaan luar itu mendapat ruang dan bergerak bebas dalam tradisi Islam yang berteraskan tauhid. Tegas Abdul Hadi lagi;

Terhadap unsur-unsur yang membawa kepada syirik, nihilisme, pemujaan suatu kelas sosial, suku ayau ras tertentu, fetisyisme palsu, hedonisme material, pemutarbelit sejarah wahyu dan kenabian, pengingkaran terhadap hal-hal yang bersifat metafisis dan eksatologis, jelas tidak akan diterima .

(Abdul Hadi W.M., 2000:338-339)

                   Pernyataan Abdul Hadi menunjukkan elemen-elemen daripada luar Islam masih boleh diterima pakai dengan syarat disepadukan dengan ajaran-ajaran pokok Islam yang berteraskan tauhid.     

           Berbeza dengan pandangan Aquinas yang membezakan kebaikan dengan keindahan. Menurut Aquinas, kebaikan berhubung dengan kehendak (desire) dan deria (sense) untuk menjejaki nilai ini ialah cita rasa seni (taste) dan bau (smell), manakala keindahan dikaitkan dengan sesuatu yang menggembirakan (Sohaimi Abdul Aziz, 1998:29). Pandangan Aquinas ini menjadi asas estetik moden yang memisahkan bukan sahaja nilai keindahan dengan kebaikan, tetapi juga dengan nilai yang lain.

Keindahan pada gaya bahasa tergambar dalam bentuk luaran pada unsur-unsur bahasa yang digunakan. Keindahan tersurat boleh dikatakan sebagai kualiti estetik yang terkesan pada penggunan gaya bahasa. Gaya bahasa, khususnya gaya bahasa ketaklangsungan makna mencerminkan secara mekanis salah satu jenis kualiti dan kuantiti estetik dalaman sesuatu teks kesusasteraan. Kualiti estetik dapat ditanggapi dan dipersepsi pada kesan yang dihasilkan oleh kesepaduan sejumlah kuantiti gaya bahasa. Kuantiti gaya bahasa dapat dirujuk pada unsur-unsur tertentu yang mewakili jenis bahasa yang digayakan, seperti gaya perbandingan, gaya kiasan, gaya pengorangan, metafora, alusi dan lain-lain lagi.

           Islam meletakkan daya kreativiti manusia berlandaskan agama sebagai sumber yang mendatangkan makna. Penyair terkait dalam soal kewujudan makna keindahan daripada sudut penglahiran pemikiran yang mengunjurkan perutusan dan perutusan ini pula mengesankan pengajaran agama. Penyair adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam perkaitan ini. Oleh kerana itu, keperibadian penyair semestinya menjadi latar pewarian sumber keindahan dalam aspek pemikiran dan perutusan.

           Namun begitu, daya kreativiti itu tidak bersifat autonomus, sebaliknya berkait secara tuntas dengan ketentuan Tuhan. Bermakna, setiap perlakuan manusia, termasuk penyair (dalam kerja-kerja penulisan) tidak terelak daripada bersandar kepada agama, kerana penentuan akhir atas apa yang ditulis dan difikirkan oleh penulis terangkum dalam qada dan takdir Tuhan juga. Manusia melakukan sesuatu dengan pilihannya, potensi kreatifnya dan ketentuan (takdir) Allah S.W.T.

           Keindahan tersurat menampilkan unsur-unsur atau nilai keindahan yang umum, yakni yang boleh dipandang, dibaca dan diukur secara mekanis. Keindahan ini merupakan keindahan yang paling asas dan universal sifatnya. Ia merupakan peringkat keindahan paling rendah. Dalam karya puisi, keindahan tersurat dapat dipersepsi dan dihuraikan berdasarkan makna  tidak langsung menerusi gaya bahasa yang digunakan.  Gaya bahasa  merupakan unsur asas penting yang menampilkan raut wajah luaran bahasa puisi yang indah dan dapat mendorong fikiran dan minat pembaca menerokai ruang abstraksi dan menikmati keindahan karya. Menurut Goethe (dlm. Rahman Shaari,1992) gaya bahasa merupakan prinsip karya yang tertinggi dan aktif, dan dengannya penulis dapat menembusi dan membuka bentuk dalaman subjeknya. Pandangan Goethe menggambarkan, aspek gaya bahasa menunjangi kekuatan sesebuah karya.

           Meskipun Goethe berpendapat bahawa gaya bahasa merupakan prinsip terpenting dan tertinggi dan aktif, namun dalam kajian ini, ketinggian gaya bahasa tidak semata-semata berdiri atas sifatnya, tetapi berpadu erat dengan pemikiran dan perutusan. Keindahan gaya bahasa bentuk tersurat ditandai dengan kehadiran unsur-unsur gaya kiasan dalam terkelompok dalam gaya ketaklangsungan makna. Daripada gaya kiasan inilah, pemikiran penyair dan perutusan dapat dipersepsi dan ditafsirkan.  Keindahan yang terkesan pada penggunaan gaya bahasa kiasan menggambarkan idea atau gagasan pemikiran penyair itu sendiri kerana pemilihan gaya yang menimbulkan kesan keindahan itu dibuat atas kesedaran estetiknya. Kerana itulah, keindahan yang tergambar bukan setakat pada gaya tetapi jauh menjejak dasar pemikiran penyair.


Perkaitan

Manusia (menerusi penciptaan nabi Adam a.s. yang diciptaan Allah SWT atas maksud untuk dijadikan khalifah di muka bumi. Dengan maksud ini bermakna manusia melaksanakan tugas kerasulannya menyampaikan perutusan Allah kepada seluruh alam dunia. Penciptaan Adam tidak tamat dengan zahirnya manusia yang dimasukkan ke dalam ruang fizikal tubuhnya roh, tetapi berkait secara langsung dengan tugas kerasulan dan kekhalifahan. Hal ini berkait dengan Firman Allah dalam ayat 30, Surah al Baqarah yang bermaksud;


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malikat, ”Aku hendak menjadikan khalifah di  bumi. Mereka berkata, ”apakah engkau hendak menjadikan orang orang `yang merusakkan dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji dan mensucikan nama-Mu”. Dia berfirman, ”sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamju tidak ketahui”

Tugas sebagai khalifah adalah suatu kebenaran di sisi agama dan berkait dengan realiti dunia tempat nabi Adam a.s. dipertanggungjawabkan amanah.

           Referensi perkaitan ini secara perbandingannya dapat dikiaskan dengan fungsi teks kesusasteraan yang tidak semata-mata dihasilkan pengarang untuk menampilkan nilai-nilai kesasteraan semata-mata, sebaliknya terkait dengan perasanannya membawa idea/pemikiran pengarang kepada pembaca. Justeru, teks kesusasteraan membawa bersamanya suatu perutusan daripada `pencipta` (pengarang) dengan tujuan agar perutusan itu memberi manfaat kepada kesejahteraan manusia. Ciri dan fungsi teks kesusasteraan menepati ciri-ciri dan fungsi nabi Adam diciptakan Allah. Ciri dan fungsi nabi Adam tergambar secara jelas dalam fungsi dan ciri sesebuah teks kesusasteraan. Kehadiran ciri dan fungsi ini juga dapat diistilahkan sebagai keadaman. Keadaman teks kesusasteraan bermaksud teks kesusasteraan memiliki sifat dan fungsi yang menyamai sifat dan fungsi nabi Adam a.s. sebagaimana yang ditunjukkan dalam Jadual 3;


Jadual 1:Ciri Keadaman Teks Kesusasteraan

Asas Ciri Deskripsi
Hasil/

ciptaan

Diciptakan Pengarang/Penulis/Penyair
Unsur Agama

keduniaan

Kemanusiaan

ketuhanan

hal-hal kemasyarakatan

pemikiran,nilai-nilai

Proses kejadian Kesepaduan Unsur  fizikal dan dalaman:

1)      gaya bahasa/bentuk/teknik

2)      idea/permikiran

Fungsi Perkaitan Berkait dengan tujuan penciptaannya:

1)   Fungsi kreatif seniman

2)   Fungsi kesasteraan

1)   menyampaikan perutusan/ mesej


Adam a.s. dalam konteks pemahaman ini bukan sekadar makhluk manusia berilmu dan berfikiran  yang paling sempurna ciptaan Allah SWT, tetapi Adam juga dapat diambil daripadanya suatu rujukan bagi memahami erti keindahan daripada sudut unsur dan proses penciptaan serta perkaitan penciptaannya dengan fungsi yang ditetapkan Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi. Memahami dan mengamati proses ciptaan Adam a.s., ini maka tergambar suatu kesepaduan proses yang dapat memahamkan makna keindahan. Dengan kata lain, untuk memahami makna keindahan maka kita indikasinya paling sesuai dirujuk pada proses kejadian Adam a.s.  


RUJUKAN

Al-Quran dan terjemahannya.(1428 H). Cetakan Kerajaan Arab Saudi.

A.Halim Ali (2010) `Konsep Estetika Bresepadu: Terapan dan Analisis ke atas Puisi Ahmad Kamal Abdullah. Tesis Ijazah Doktor Falsafah. Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abdul Hadi W.M. (2000). Cakrawala estetik dan budaya. Jakarta: Pustaka Firdaus.

Abul Fidaa’ Ismail bin Katsir al-Quraisy (2004) Kisah para nabi: Teladan bagi orang berakal.(terjemahan). Kuala Lumpur: Darul Fajr Sdn. Bhd.

Braginsky. V.I.(1994) Erti keindahan dan keindahan erti dalam kesusasteraan Melayu klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Braginsky. V.I.(2000). `Perpaduan etika dan estetik sastera di dalam Hikayat Melayu zaman Islam`. Kertas kerja. Seminar Teori Sastera Islam: Kaedah dan Penerapan. Hotel Renaissance, Palm Garden, Puchong. 26-28 September 2000.

Hamidah Abdul Hamid. (1995). Pengantar estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Haron Din, et al. (1997). Manusia dan Islam. (Jld Dua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Faruqi. (1980). Islam and culture. Kuala Lumpur: Terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Muhammad Haji Salleh, (2000)Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Mohd Affandi Hassan. (1992). Pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Kamal Hassan. (1981). `Konsep keindahan dalam islam dan hubungannya dengan seni dan sastera`. Jurnal islamiyyat, Jilid 3/81, Bangi: Terbitan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Mustafa `Abd Rahman.(1992). Hadith 40: Terjemahan dan Syarahan. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.

Rahman Shaari. (1993). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

S.H.Nasr. (1989). Falsafah kesusasteraan dan seni halus. (terj). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shafie Abu Bakar. (1997). `Teori Sastera Islam`, dlm Mana Sikana,Teori Sastera dan Budaya Dalam Kajian Akademik. Bangi. Terbitan Jabatan Persuratan Melayu, UKM.

Sohaimi Abdul Aziz. (1998). Rasa-fenomenologi:Penerapannya terhadap karya A.Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.