Abu Bakar Hamzah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ustaz Haji

Abu Bakar Hamzah

P.P.M. (P)
Ahli Dewan Negara
Lantikan Dewan Undangan Negeri Kelantan
Dalam jawatan
20 Disember 1971 – 19 Disember 1977
Didahului oleh Wan Mustapha Ali
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Dalam jawatan
1956–1958
Didahului olehHassan Adli Mohd Arshad
Digantikan olehAmaluddin Darus
Dalam jawatan
1966–1968
Didahului olehAmaluddin Darus
Digantikan olehJaiz Anwar
Butiran peribadi
Meninggal dunia18 Mei 1993
Parti politik Parti Islam Se-Malaysia (1956-1974)
PekerjaanAhli politik

Ustaz Haji Abu Bakar bin Hamzah (1925-1993) ialah seorang ahli politik di Malaysia. Beliau merupakan Ahli Parlimen Bachok mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selepas memenangi Pilihan raya kecil Bachok 1964. Semasa menjadi ahli parlimen, Abu Bakar menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Dato' Abdul Rahman Yaakob dalam pertemuan mengenai cadangan penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Abu Bakar Hamzah dilahirkan pada tahun 1925 di Kampung Bangsal Lebah (Langgar Kayang), Jalan Kuala Perlis, Perlis. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Behor Lateh (1934-1936). Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang (1937-1939) yang berasaskan Mazhab Maliki[2]. Salah seorang gurunya ialah seorang ulama Kaum Muda, Syeikh Abdullah Maghribi. Seterusnya beliau menyambung belajar di Madrasah Alawiyah al-Diniyah, Arau, Perlis (1939-1942). Sebelum Perang Dunia Kedua dan semasa pendudukan Jepun, Abu Bakar menuntut di Sekolah Cina Hwa Aik, Jalan Pauh, Arau, Perlis[3].

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Abu Bakar mula bertugas sebagai anggota polis (1946). Beliau pernah menjadi anggota polis dan berperang menentang gerila komunis di hutan Perak dalam awal tahun 1950an[4] Beliau meletakkan jawatannya untuk menjadi guru di Madrasah Akhlak Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai, Perak (1950-1952). Di sini beliau telah memperkenalkan Sukatan Pelajaran Alawiyah dan latihan perbarisan untuk pelajarnya.

Selepas itu, Abu Bakar bertugas sebagai Penolong Setiausaha di Pejabat Zakat Perlis (1952-1954). Selanjutnya beliau kembali mengajar di Madrasah Akhlaq Islamiyah dan di Maahad el- Ehya al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak, di Madrasah Yasiniah, Kati, Kuala Kangsar, Perak (1954-1956) dan mengajar di Madrasah Muhammadiah, Air Hitam, Pulau Pinang (1956-1958). Pada tahun 1959 beliau dipecat oleh Kolej Islam kerana gagal di dalam peperiksaan dan juga kerana mewakili Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) iaitu sebagai Ketua Pemuda di Persidangan Pemuda Afro-Asia di Mesir.[3]

Menyertai politik[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1951, Abu Bakar memasuki Parti UMNO dan terus terpilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis. Dalam Pilihanraya 1955, beliau masih lagi aktif UMNO (PERIKATAN).[5] Pada tahun 1952 beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO merangkap Naib Yang Di-Pertua UMNO Perlis. Dalam bulan Oktober 1955, beliau menyertai Parti PAS dan dipilih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda PAS Tanah Melayu. Selepas itu terpilih menjadi Setiausaha Penerangan, Pemangku Setiausaha Agung dan memegang Portfolio Pendidikan dan Penerangan. Seterusnya beliau dipilih menjadi Naib Presiden PAS mulai tahun 1971-1974.[5]

Beliau pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Bachok, Kelantan (1964-1969) selepas memenangi Pilihan raya kecil Bachok 1964. Kemudian beliau dilantik menjadi Senator (1971-Mei 1977). Abu Bakar Hamzah adalah antara pengasas kerajaan campuran Perikatan-PAS bersama-sama Dato’ Asri Muda dan Tun Abdul Razak. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan kemudian bertukar ke Kementerian Pertanian dan Perikanan. Abu Bakar terpaksa meletakkan jawatannya bila Parti PAS bertindak memecat beliau dalam tahun 1974[4]. Pada 26 April 1974, Abu Bakar meninggalkan PAS apabila PAS mengambil keputusan menyertai Barisan Nasional pada 1974. Beliau dipecat oleh PAS kerana membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan parti. [6][7]

Melanjutkan pengajian[sunting | sunting sumber]

Berikutan pemecatannya dari PAS, Abu Bakar meninggalkan Malaysia pada tahun 1976 untuk lawatan sambil belajar ke Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah. Akhirnya beliau memilih untuk belajar di Universiti of Kent, England dan lulus dengan ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang Hal Ehwal Asia Tenggara. Beliau terus belajar untuk ijazah Ph.D. dalam bidang Perundangan di Universiti yang sama[8].

Pada tahun 1978, Abu Bakar bertugas sebagai Pengarah Pusat Bahasa Arab dan Tamadun Islam di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri. Selepas enam bulan berkhidmat beliau terpaksa berhenti kerana kerajaan negeri tidak dapat melanjutkan Program Tamadun Islam. Selanjutnya beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kontrak di Akademi Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1984-1986) dan sebagai Pensyarah Kontrak di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia hingga tahun 1990[3].

Beliau diterima semula ke dalam PAS pada Februari 1983 dan dilantik sebagai Jawatankuasa Agung PAS pada 1983 di bawah pimpinan Haji Yusuf Rawa. Pada Muktamar PAS 1985, beliau bertanding bagi jawatan Presiden PAS menentang Haji Yusuf Rawa dan Naib Presiden, tetapi kedua-duanya kalah.

Muzakarah As-Sunnah[sunting | sunting sumber]

Semasa Muzakarah As-Sunnah yang pertama kali diadakan pada tahun 1949 di Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Hitam, Pulau Pinang, Abu Bakar Hamzah turut hadir bersama-sama tokoh-tokoh ahli sunnah Perlis yang lain seperti Haji Mokhtar Ismail, Syeikh Abu Bakar, Ustaz Salleh Osman dan Dato’ Wan Ahmad Wan Daud[9].

Anugerah dan pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

  •  Malaysia
    • Pingat Peringatan Malaysia (Perak) (P.P.M.) - 1965
    • Jaksa Pendamai (J.P.) - 1972

Hasil karya[sunting | sunting sumber]

Beliau banyak menghasilkan buku atau artikel tulisannya dikompilasi :

  • 'Konsep Kepimpinan Ulamak Dalam Politik' - diterbitkan oleh Pustaka Zakry Abadi (1983) membicarakan konsep kepimpinan ulama dan ciri-ciri seseorang ulama.
  • Al-Imam: Its Role In Malay Society 1906-1908 - diterbitkan oleh Pustaka Antara (1991) mendedahkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh majalah al-Imam untuk membangkitkan kesedaran kebangsaan di kalangan pembacanya terutamanya orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu.
  • 'Biografi politik Tuan Haji Abu Bakar bin Hamzah' oleh Mohd. Zali bin Shaari, Media Cendiakawan, 1992, 133 hlm
  • 'Quo vadis PAS?: polemik spontan di antara Abu Bakar Hamzah dan Ibnu Muslim' Abu Bakar Hamzah, Ibnu Muslim, Pustaka Antara, 1989
  • Hak asasi manusia menurut pendangan Islam / Abu Bakar Hamzah : Pustaka Antara, c2001.
  • Ke arah perlembagaan Islam. : Pustaaka Nasional Pte. Ltd. , 1983.
  • Events that led to gulf war / [compiled by] Abu Bakar Hamzah J.P., M. Phil (Kent) : S. Abdul Majeed, [199-5. * * * Konsep kepimpinan ulama dalam politik ;Abu Bakar Hamzah
  • Events that led to gulf war/ Abu Bakar Hamzah. ; Syarikat Wadah Pendita, 19.?
  • Gambaran Perjuangan Pemuda Pas (1958)
  • Taqlid Buta di dalam Alam Politik (1959)
  • Fatwa Kafir Mengkafir Dalam Islam (1962)
  • Terjemahan Buku Risalah Usrah Hasan Al Bana (1963)
  • Memilih Ideologi Islam (1967)
  • Panduan Dewan-dewan dan PAS (1969)
  • Konsep kepimpinan Ulama dalam Politik (1983)
  • Ke Arah Perlembagaan Islam (1983),
  • Terjemahan Piagam Madinah (1985)
  • Imam Al-Ghazali sebagai Sarjana Sains Politik (1988).
  • Siri Polimik Ideologi Senator Abu Bakar Hamzah lawan Kassim Ahmad PSRM
  • Pengantar Kursus Politik Islam
  • Konsep Pandang ke Timur
  • Gambaran Perjuangan Pemuda PAS dan Hak Asasi Manusia Dalam Islam.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rujuk gambar-gambar deligasi Malaysia di dalam buku Biografi Ustaz Abu Bakar Hamzah -Mohd Zali Saari Muka surat 99 dan 100.
  2. ^ Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran', b Abdul Rahman Haji Abdullah, hlm 214
  3. ^ a b c Sidang Pengarang, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, hlm. 74
  4. ^ a b N. Shahrir Nasution Universiti London “Wawancara Dengan Abu Bakar Hamzah di London”, Dewan Masyarakat, 15 Ogos 1978, hlm 3
  5. ^ a b N. Shahrir Nasution Universiti London “Wawancara Dengan Abu Bakar Hamzah di London”, Dewan Masyarakat, 15 Ogos 1978, hlm 4
  6. ^ Biografi politik Tuan Haji Abu Bakar bin Hamzah, Mohd. Zali bin Shaari
  7. ^ 'Biografi politik Tuan Haji Abu Bakar bin Hamzah' oleh Mohd. Zali bin Shaari, Media Cendiakawan, 1992
  8. ^ Abu Bakar Hamzah, Konsep Kepimpinan Ulama Dalam Politik (Catatan di bahagian luar kulit buku), Pustaka Zakry Abadi, Kuala Lumpur, 1983.
  9. ^ Shukor Mat, As-Sunnah di Perlis, hlm. 43.