Agenda 21

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Agenda 21 merupakan perjanjian atau panduan yang dibentuk oleh Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED) sewaktu sesi persidangannya di Rio de Janeiro (Sidang Kemuncak Bumi) pada 1992. Agenda ini menggariskan beberapa perkara yang harus dilaksanakan oleh negara-negara anggota PBB (yang menerima pakai Agenda ini) seterusnya mengadakan laporan khusus (tahunan) tentang perjalanannya di peringkat negara, dan kemudian diserahkan kepada Majlis Pembangunan Mapan (CSD). Laporan tersebut antaranya mengandungi kegiatan yang dilakukan yang memenuhi hasrat Agenda 21, halangan dan cabaran yang dihadapi, serta isu-isu alam sekitar dan pembangunan yang berkaitan.

Profil Negara[sunting | sunting sumber]

Hasilnya, pada tahun 1993, beberapa buah negara mula menghantar laporan Agenda 21 kepada CSD. Selepas dua tahun pelaksanaannya, pihak CSD sangat berpuas hati dengan sambutan dan mutu laporan yang dipersembahkan, lalu telah menerbitkan Profil Negara pada 1997 sebagai rujukan paling lengkap selepas 5 tahun pelaksanaan Agenda 21. Profil tersebut menghimpunkan laporan negara-negara antara tahun 1994 hingga 1996.

Profil Negara ini bertujuan:

  • Membantu negara-negara memantau pelaksanaan inti pati Agenda 21.
  • Berkongsi pengalaman dan maklumat dengan negara-negara lain; dan
  • Merekodkan usaha-usaha dan pencapaian negara-negara untuk merealisasikan idea Agenda 21

Siri kedua Profil Negara telah dibentangkan semasa Sidang Kemuncak Bumi tentang Pembangunan Mapan yang diadakan di Johannesburg pada 26 Ogos hingga 4 September 2002. Setiap profail mengandungi 40 hasrat Agenda 21, termasuklah isu-isu yang menjadi keutamaan CSD sejak 1997, termasuklah perdagangan, tenaga, pengangkutan, perindustrian mapan, dan pelancongan mapan.

Profil Negara 2002 ini menjadi rujukan paling berguna sekarang tentang pelaksanaan Agenda 21 pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menyediakan laporan Agenda 21 bukanlah satu tugas yang mudah kerana menuntut kerjasama yang menyeluruh dan berterusan.Tetapi menerusi pemahaman, hubungan dan koordinasi yang baik antara agensi kerajaan, institusi, dan pertubuhan berkenaan, usaha-usaha untuk mencapai hasrat pembangunan mapan tentunya akan lebih mudah dan berkesan, pada peringkat negara dan seterusnya di peringkat antarabangsa.

Struktur dan Kandungan[sunting | sunting sumber]

Terdapat 40 bab dalam Agenda 21, yang dibahagikan kepada empat bahagian. Semuanya tercatat dalam dokumen melebih 900 muka surat:

Bahagian I: Dimensi Sosial dan Ekonomi

termasuklah memerangi kemiskinan, mengubah corak penggunaan, perubahan demografi dan penduduk, memperbaiki kesihatan, memperbaiki corak penempatan mapan dan mengintergrasikan alam sekitar dan pembangunan di dalam membuat keputusan.

Bahagian II: Pemeliharaan dan Pengurusan Sumber untuk Pembangunan

termasuklah melindungi atmosfera, memerangi ketandusan hutan, melindungi alam sekitar yang rapuh, pemeliharaan kepelbagaian hidupan, dan mengawal pencemaran.

Bahagian III: Memperkasakan Peranan Kumpulan Besar

termasuklah peranan kanak-kanak dan remaja, wanita, badan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pekerja.

Bahagian IV: Menekankan Perlaksanaan

termasuklah sains, perpindahan teknologi, pendidikan, institusi dan mekanisme antarabangsa dan mekanisme kewangan.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]