Aikido

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Seni Aikido.
frames

Aikido adalah salah satu seni mempertahan diri yang berasal dari Jepun yang dicipta oleh Morihei Ueshiba. Aikido diciptakan pada era modernisasi Jepun yang berlangsung sekitar tahun 1800an. Beladiri ini merupakan kombinasi dari ilmu pedang Kenjutsu dan Jujutsu yang juga merupakan bentuk seni bela diri tradisional Jepun. Pengaruh Kenjutsu boleh dilihat dalam pengaturan gerakan-gerakan atau langkah kaki. Sedangkan pengaruh jujutsu pula kelihatan dalam penggunaan teknik kuncian dan lemparan.

Seni mempertahankan diri ini dicipta dengan menekankan harmonisasi dan keselarasan antara ki (tenaga dalam) individu dengan ki alam semesta. Aikido juga menekankan pada prinsip kelembutan dan bagaimana untuk mengasihi serta membimbing lawan. Prinsip ini diterapkan pada gerakan-gerakannya yang tidak menangkis serangan lawan atau melawan kekuatan dengan kekuatan tetapi "mengarahkan" serangan lawan untuk kemudiannya menundukkan lawan tanpa ada niat untuk mencederai lawan. Berbeza dengan seni mempertahankan diri lain yang pada umumnya lebih mengutamakan pada latihan kekuatan fizikal dan stamina, Aikido mendasarkan latihannya lebih pada penguasaan diri dan kesempurnaan teknik. Teknik-teknik yang digunakan dalam Aikido kebanyakan berupa teknik elakan, kuncian, lemparan dan bantingan. Sementara teknik-teknik pukulan ataupun tendangan biasanya jarang digunakan. Falsafah-falsafah yang mendasari Aikido, iaitu kasih dan konsep mengenai ki inilah yang membuat Aikido menjadi suatu seni mempertahankan diri yang unik.

Sistem tingkatan yang harus dilalui oleh seorang pelajar aikido (digelar aikidoka) hampir sama dengan yang digunakan oleh seni bela diri asal Jepun lainnya, iaitu sistem Kyu untuk tingkat asas dan Dan untuk tingkat mahir. Secara ringkas, aikidoka baru (tingkat Kyu 6) hingga Kyu 4 menggunakan tanda berupa sabuk yang berwarna putih. Sementara aikidoka yang mencapai tingkatan Kyu 3 hingga 1 menggunakan sabuk berwarna coklat. Tingkatan selanjutnya adalah Dan, dan aikidoka yang berjaya mencapai tingkatan ini ditandai dengan sabuk yang berwarna hitam serta peralatan tambahan berupa celana panjang bernama Hakama. Celana seperti ini biasa dipakai oleh samurai-samurai pada zaman dahulu.


Pautan luar[sunting | sunting sumber]