ASWARA

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ialah sebuah institusi pengajian tinggi dalam bidang seni, budaya dan warisan di Malaysia. Ia ditubuhkan sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada tahun 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Namanya ditukar kepada nama kini bermula pada 1 Ogos 2006 melalui Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653).

ASWARA merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan yang didokongi sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (dahulu dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia). Ia bertujuan menghasilkan seniman yang mahir dan karyawan yang berwibawa dalam bidangnya di samping memantapkan kesinambungan warisan seni negara. Pada prinsipnya ASWARA menumpukan kepada pendidikan seni bagi melahirkan penghibur yang berilmu dan profesional bagi mengisi industri seni negara. ASWARA berusaha mengeluarkan graduan-graduan yang berupaya menjadi cendekiawan, penggalak, pemupuk, pelaku dan pengamal seni budaya dan warisan di peringkat sijil, diploma, ijazah dan ijazah tinggi dalam bidang-bidang penyelidikan yang menjurus kepada pemupukan nilai-nilai kebudayaan, pemuliharaan dan pentadbiran warisan yang pelbagai.

Fakulti[sunting | sunting sumber]

Terdapat tujuh (7) fakulti yang beroperasi sebagai medan kesatuan bidang-bidang akademik yang disediakan oleh pihak ASWARA iaitu:

  • Fakulti Muzik
  • Fakulti Teater
  • Fakulti Penulisan
  • Fakulti Filem & Video
  • Fakulti Seni Halus
  • Fakulti Tari
  • Fakulti Animasi & Multimedia


Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Laman portal rasmi ASWARA