Al-Hakam II
Al-Hakam II (al-Ḥakam II ibn ʿAbd al-Raḥmān III; Bahasa Arab: الحكم الثاني; 13 Januari 915 - 16 Oktober 976) adalah khalifah kerajaan Umaiyah di al-Andalus dan merupakan putera kepada Abd-ar-Rahman III. Baginda memerintah dari tahun 961 M. hingga 976 M.
Penilaian [sunting]
Al-Hakam II memerintah Cordoba selepas kemangkatan ayahandanya Abd-ar-Rahman III pada 961 M. Beliau berdamai dengan kerajaan Kristian di utara Iberia dan telah membina sistem pengairan untuk memajukan pertanian. Pembangunan ekonomi juga ditingkatkan melalui kerja-kerja pelebaran jalan dan pembinaan pasar.
Beliau merupakan seorang penaung ilmu pengetahuan dan membina sebuah perpustakaan besar yang mempunyai 400 000 buah buku. Beliau juga menghantar ejennya untuk membeli buku edisi pertama 'Kitab al-Aghani' yang dihasilkan oleh Abu Faraj al-Isfahani.
Semasa pemerintahannya, kegiatan penterjemahan telah dilakukan secara besar-besaran. Banyak buku-buku yang berbahasa Latin dan Greek telah diterjemahkan kepada bahasa Arab. Al-Hakam II telah membentuk jawatankuasa bersama yang dianggotai oleh Arab Muslim dan Kristian Mozarab Iberia untuk melakukan tugas ini.
Al-Hakam II juga telah melakukan kerja-kerja pembinaan. Beliau telah membesarkan masjid utama di Cordoba iaitu Mezquita. Kerja pembinaan Istana Diraja Medina Azahara yang dimulakan oleh Abd-ar-Rahman III telah siap sepenuhnya pada tahun 976 M..
Apabila kuasa pentadbiran negara yang berada di tangan wazir al-Mushafi semakin bertambah, Jeneral Ghalib telah mengambil alih tugas sebagai panglima tentera. Beliau telah ditugaskan untuk mematahkan serangan orang-orang Norman (966 M., 971 M.) serta berperang dengan kerajaan Zirid dan Fatimiyah di utara Afrika. Tentera kerajaan Fatimiyah telah ditewaskan pada 974 M. dan Al-Hakam II berjaya mengukuhkan pengaruh Khilafah ke atas wilayah-wilayah Kristian iaitu Navarre, Castile serta Leon.
Al-Hakam II mangkat pada 976 M. selepas memerintah selama 15 tahun. Baginda telah digantikan oleh puteranya Hisham II al-Mua'yyad.
|
Al-Hakam II
|
||
| Didahului oleh Abd ar-Rahman III |
Khalifah Cordoba 961 – 976 |
Diikuti oleh: Hisham II |