Al-Masih
Al-Masih (Bahasa Arab: المسيح) ialah perkataan Arab bagi Christ. Dalam bahasa Arab moden, ia digunakan sebagai salah satu gelaran Nabi Isa yang dikenali di kalangan penganut Kristian berbahasa Inggeris sebagai Jesus Christ. Perkataan al-Masih sellau digunakan oleh orang Arab Kristian dan juga orang Islam, dan ditulis sebagai Yasu' al-Masih (يسوع المسيح Yasū`a al-Masīħ) atau Isa al-Masih.
Perkataan al-Masih secara harfiah bermaksud "Orang yang disapu (dengan minyak di kepala)" dan dalam Islam, Isa al-Masih dipercayai telah disapu sejak dilahirkan oleh Allah dengan tugas tertentu sebagai seorang nabi dan raja. Bani Israil yang menjadi sasaran Nabi Isa, mempunyai amalan tradisi menyapu raja-raja mereka dengan minyak. Sebuah hadith al-Bukhari yang menarik tetapi samar menerangkan bahawa Nabi Isa memiliki rambut basah yang kelihatan seakan-akan air menitis darinya, berkemungkinan bermaksud beliau disapu secara semulajadi. Orang Islam percaya bahawa ini hanyalah salah satu petanda yang membuktikan Nabi Isa adalah Messiah.
Di kalangan orang Islam, Nabi Isa dipercayai membawa tugas membunuh messiah palsu, Dajjal (setara dengan Antichrist dalam agama Kristian) yang akan muncul tidak lama sebelum baginda di akhir zaman. Setelah baginda menghapuskan Dajjal, tugas terakhir baginda ialah menjadi pemimpin orang Islam. Nabi Isa akan menyatukan umat Islam di bawah tujuan yang sama iaitu menyembah Allah mengikut ajaran Islam yang sebenar, dengan itu menamatkan perpecahan dan penyelewengan. Sesetengah orang Islam percaya bahawa pada saat itu, Nabi Isa akan melenyapkan dakwaan-dakwaan orang Yahudi dan Kristian mengenai baginda yang tidak bersetuju dengan beberapa cabang Islam tertentu.