Aladdin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Aladdin (Bahasa Arab: علاء الدين‎, ʻAlāʼ ad-Dīn) ialah salah satu kisah paling terkenal yang terdapat dalam himpunan prosa Hikayat Seribu Satu Malam, sungguhpun ia sebenarnya dimasukkan dalam himpunan tersebut oleh seorang Eropah bernama Antoine Galland (rujuk bahagian sumber dan latar).[1]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Cerita Aladdin yang asal merupakan cerita rakyat Timur Tengah yang mengisahkan seorang pemuda tak berguna yang bernama Aladdin, di sebuah kota di China, yang diupah oleh seorang ahli sihir dari rantau Maghrib, yang mengaku dirinya sebagai saudara kepada arwah bapa Aladdin, lalu menjamin nama baiknya kepada Aladdin dan ibunya dengan kononnya membuat persiapan untuk menjadikan pemuda itu sebagai saudagar yang kaya-raya.

Motif sebenar ahli sihir itu adalah memujuk Aladdin si pemuda itu agar mendapatkan kembali sebiji pelita dari sebuah gua sakti yang dipenuhi jerangkap samar. Aladdin terperangkap dalam gua selepas ahli sihir itu cuba mengkhianatinya. Mujurlah, Aladdin masih memakai cincin ajaib yang dipinjamnya dari ahli sihir itu. Dalam rasa putus asa, dia menggosok cincin itu tanpa sengaja, lalu terbangun seekor jin yang membawanya kembali ke pangkuan ibunya. Aladdin masih memegang pelita itu, dan apabila ibunya cuba membersihkannya, keluarnya seekor lagi jin yang jauh lebih berkuasa dan terikat untuk menurut perintah sesiapa yang memegang pelitanya. Dengan bantuan jin pelita, Aladdin menjadi kaya-raya dan berpengaruh, lalu bernikah dengan Badrulbadur, puteri Maharaja. Jin itu juga membinakan sebuah istana yang agam buat Aladdin, jauh lebih menawan berbanding istana Maharaja sendiri.

Fail:Aladdin 01.jpg
"Aladdin Saluted Her with Joy", Arabian Nights, ilustrasi oleh Virginia Frances Sterret (1928) menunjukkan latar "Cina" cerita asalnya.

Ahli sihir itu pun pulang dan dapat merampas pelita itu dengan menipu isteri Aladdin yang tidak sedar akan kepentingan pelita itu, dengan tawaran menukarkan lampu lama demi yang baru. Dia menyuruh jin pelita supaya membawa istana itu ke kampung halamannya di Maghrib. Mujurlah, Aladdin masih memakai cincin ajaib dan dapat menyeru jin kecil. Walaupun jin cincin tidak boleh membuat asal secara langsung perbuatan jin pelita, namun ia dapat membawa Aladdin ke Maghrib, lantas menolongnya mendapatkan kembali isterinya dan pelita itu lalu menumpaskan ahli sihir itu.

Ahli sihir itu ada seorang saudara yang durjana dan jauh lebih berkuasa, dan dia cuba membalas dendam terhadap Aladdin kerana membunuh saudaranya dengan menyamar sebagai wanita tua yang kononnya mempunyai kuasa penyembuh. Badrulbadur terpedaya oleh samarannya, lalu menitah “wanita” itu supaya bersinggah dalam istananya sekiranya berlakunya kegeringan. Aladdin diingatkan akan bahaya tamu itu oleh jin pelita lalu menghapuskan penyamar itu. Semua orang hidup bahagia selamanya, dan Aladdin pun mewarisi takhta ayahanda mentuanya.

"Aladdin in the Magic Garden", ilustrasi oleh Max Liebert dari Aladin und die Wunderlampe oleh Ludwig Fulda[2]

Sumber dan latar[sunting | sunting sumber]

New Crowns for Old, kartun British abad ke-19 yang berdasarkan cerita Aladdin (Disraeli sebagai Abanazer dari versi pantomim Aladdin, menawarkan mahkota Maharaja India sebagai pertukaran untuk mahkota Diraja England kepada Ratu Victoria.

Tidak satu sumber berbahasa Arab yang disusur sebagai punca cerita ini yang diterapkan dalam buku Hikayat Seribu Satu Malam oleh penterjemah bahasa Perancis, Antoine Galland, yang mendengarnya dari seorang pencerita Arab Syria dari Aleppo. Diari Galland (25 Mac 1709) tercatat bahawa beliau berjumpa dengan cendekiawan Maronit bernama Youhenna Diab ("Hanna"), yang dibawakan dari Aleppo ke Paris oleh Paul Lucas, seorang pengembara Perancis yang terkenal. Diari Galland' juga menerangkan bahawa terjemahannya untuk "Aladdin" dilakukan pada musim sejuk tahun 1709–10, dan disertakan dalam jilid ix dan x Hikayat Seribu Satu Malam yang diterbitkan pada tahun 1710.

John Payne, Aladdin and the Enchanted Lamp and Other Stories, (London 1901) memberikan butiran tentang pertemuan Galland dengan lelaki bernama "Hanna" serta penemuan dua manuskrip berbahasa Arab yang menyebut fasal Aladdin (dan dua lagi cerita “sisipan”) dalam Bibliothèque Nationale di Paris. Satu cerita itu merupakan versi Syria abad ke-18 yang bercampur aduk, manakala yang satu lagi lebih menarik, dalam manuskrip milik cendekiawan M. Caussin de Perceval, iaitu salinan manuskrip yang dicipta di Baghdad pada tahun 1703, lalu dibeli oleh Bibliothèque Nationale pada akhir abad ke-19.

Biarpun cerita Aladdin berasal dari Timur Tengah, namun kisahnya berlatarkan negara China, dan watak Aladdin ini terang-terangan berketurunan Cina.[3] Bagaimanapun, negara "China" dalam kisah ini merupakan negara Islam yang kebanyakan penduduknya beragama Islam; terdapat seorang saudagar Yahudi yang membeli barang dagangan Aladdin (dan secara kebetulan menipunya), tetapi penganut agama Buddha atau Konfusian langsung tidak disebut pun. Setiap warga negara ini bernama Arab dan rajanya lebih seakan-akan pemerintah Islam daripada maharaja China. Sesetengah pihak percaya bahawa ini menunjukkan bahawa kisahnya mungkin berlatarkan Turkestan (melingkungi Asia Tengah dan wilayah Xinjiang di China moden).[4] Juga harus dikatakan bahawa spekulasi ini bergantung pada secebis pengetahuan tentang China yang tidak diketahui oleh pencerita asal (berbanding pakar geografi),[5] serta penerapan latar yang luar biasa secara sengaja sebagai alat penceritaan yang biasa digunakan.

Adaptasi[sunting | sunting sumber]

Di United Kingdom, kisah Aladdin mula-mula diterbitkan di England sekitar tahun 1704–14; kemudian didramakan oleh John O'Keefe untuk Theatre Royal, Covent Garden pada tahun 1788.[6] It has been a popular subject for pantomime for over 200 years.[7] Dalam versi pantomim cerita ini, perubahan latar dan plot sering dilakukan supaya tersesuai dengan "China" (yang terletak di East End of London dan bukannya kota Baghdad Zaman Pertengahan).

Adaptasi yang paling terkenal sekarang ialah filem cetera animasi Disney, Aladdin, yang diterbitkan oleh Walt Disney Feature Animation pada tahun 1992. Dalam versi ini, beberapa watak diberi nama baru ataupun digabungkan (misalnya, Ahli Sihir dan bendahara Sultan menjadi orang yang sama, manakala Puteri Badrulbadur dinamakan semual sebagai "Jasmine"), diberi motif baru untuk peranan mereka (Jin Pelita ingin bebas daripada ikatan) ataupun digantikan begitu sahaja (Jin Cincin digugurkan, tetapi diganti oleh sebidang permaidani ajaib). Latarnya berpindah dari China ke kota cereka Agrabah, manakala struktur plotnya diringkaskan lagi.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. John Payne, Alaeddin and the Enchanted Lamp and Other Stories, (London 1901) memberikan butiran pertemuan Galland dengan 'Hanna' pada tahun 1709, serta penemuan dua manuskrip berbahasa Arab dalam Bibliothèque Nationale, Paris yang mengandungi Aladdin dan dua lagi cerita ‘sisipan’. Text of "Alaeddin and the enchanted lamp"
  2. http://www.gutenberg.org/etext/14221
  3. Plotz, Judith Ann (2001). Romanticism and the vocation of childhood. Palgrave Macmillan. ms. 148–149. ISBN 0312227353. 
  4. Moon, Krystyn (2005). Yellowface. Rutgers University Press. ms. 23. ISBN 0813535077. 
  5. Hugh Honour, Chinoiserie: The Vision of Cathay (1961). Section I "The Imaginary Continent".
  6. Pantomime Guided Tour: Aladdin (PeoplePlay – Theatre Museum) dicapai pada 10 Julai 2008
  7. "Aladdin". Diperoleh pada 2008-01-22.