Alam Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
  Negara yang paling kerap dianggap sebagai sebahagian daripada alam Melayu (Brunei, Indonesia,Semenanjung Emas,Semenanjung Malaysia, dan Singapura)
  Negara-negara yang pernah dipengaruhi oleh budaya Melayu (Filipina, Sri Lanka, Thailand, dan Timor Leste)

Alam Melayu ialah istilah yang lazim dipakai di Malaysia untuk merujuk kepada Asia Tenggara Maritim. Penggunaan yang paling menonjol bagi konsep ini adalah pada awal abad ke-20, yang dianuti secara irredentist, oleh nasionalis Melayu dalam bentuk "Malaya Raya" (Melayu Raya), sebagai aspirasi untuk sempadan "semula jadi" atau diingini bangsa Melayu moden. Istilah "Alam Melayu" tidak wujud sebelum abad ke-20. Kesusasteraan Melayu klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah tidak menyebut istilah seperti ini. Istilah ini hanya berkembang selepas tahun 1930, dengan contoh direkodkan pertama datang dari Majalah Guru, majalah bulanan negeri Malaya, dan surat khabar Saudara, yang diterbitkan di Pulau Pinang dan diedarkan di seluruh Negeri-Negeri Selat. Istilah "Alam Melayu" berkembang dan popular selepas kemunculan gerakan nasionalisme Melayu pada suku kedua abad ke-20.[1]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Tidak ada rekod sejarah pasti asal-usul dan penerangan kawasan yang termasuk "Alam Melayu". Tetapi mengikut beberapa rujukan abad ke-21 asal Malaysia, istilah ini lazim dipakai untuk merujuk kawasan yang berkait Nusantara.[2]

Bahasa[sunting | sunting sumber]

“Bahasa serumpun di Alam Melayu mempunyai perkaitan dengan bahasa etnik peribumi. Persamaan ini boleh dikenal pasti melalui kata-kata tertentu. Apabila membuat perbandingan bahasa-bahasa serumpun ini, terdapat pertalian kekeluargaan bahasa-bahasa ini dengan Bahasa Melayu”, Profeser Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar, tokoh bahasa.[3]

“Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas di Alam Melayu sejak awal masihi lagi. Sifat orang Melayu yang gemar belayar telah mengembangkan lagi bahasa Melayu ke Alam Melayu. Tambahan pula sifat bajasa Melayu yang sederhana dan mudah dipelajari membolehkan bahasa ini diterima di alam Melayu”, Sutan Takdir Alisjahbana, tokoh bahasa.[4]

Budaya[sunting | sunting sumber]

“Sejak awal lagi, budaya di Alam Melayu ini telah berkembang maju dengan munculnya beberapa kepandaian tertentu dalam bidang kesenian. Antaranya termasuklah pembuatan gangsa dan seni mempertahankan diri. Kedua-kedua kepandaian ini merupakan ciptaan asli di Alam Melayu. Selain itu, nilai-nilai serumpun wujud dalam masyarakat Alam Melayu terutamanya gotong-royong. Dalam aspek seni persembahan pula, muncul wayang kulit di Kelantan dan Pulau Jawa”, Dato' A. Aziz Deraman, budayawan.[5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Roff, William R. (1974), The Origins of Malay Nationalism (edisi ke-2), Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. m/s. 153, 212–221
  2. ^ Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (et.al), Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2016, m/s. 15
  3. ^ Asmah Haji Omar, Ensiklopedia Bahasa Melayu , Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008, m/s. 4
  4. ^ Sutan Takdir Alisjahbana, Indonesia : Social and Cultural Revolution, Jakarta: Dian Rakyat, 2008, m/s. 25
  5. ^ A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, m/s. 14