Amalan Pertanian Baik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Amalan Pertanian Baik (APB) atau Good Agricultural Practices (GAP) merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. APB mengambil kira pengurusan ladang yang mesra alam sekitar. APB adalah amalan-amalan yang dilaksanakan semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil bagi mempastikan hasil ladang adalah berkualiti, selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan pekerja ladang. Dasar agro makanan negara memberikan penekanan terhadap sektor agro-makanan yang mahukan perlaksanaan APB oleh semua pengusaha ladang pertanian makanan.

Kepentingan[sunting | sunting sumber]

APB dijadikan nadi utama dan penting dalam perlaksanaan Program Pengembangan Jabatan Pertanian dan perlu diprogramkan dalam sistem penyampaian pengembangan kepada semua petani melalui Latihan dan Lawatan. Pegawai Pengembangan akan memberikan penerangan dan bimbingan sehingga petani faham bagaimana untuk melaksanakan APB dari pemilihan lokasi kebun, pemilihan bahan tanaman, amalan penanaman, amalan pembajaan, kawalan musuh dan penyakit, penuaian hasil, pengendalian hasil, pengurusan buruh dan pekerja asing serta beberapa aktiviti lain. Mereka akan diberikan akreditasi Persijilan seperti persijilan SALM (Skim Amalan Ladang Baik Malaysia) atau SOM (Sijil Organik Malaysia).

Perlaksanaan APB oleh semua petani dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan didaftarkan. Kajian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mendapati banyak faedah yang akan diperolehi oleh petani yang telah dianugerahkan SALM atau SOM seperti dapat memenuhi piawaian keselamatan makanan dan kualiti produk serta mampu membuka ruang pasaran hasil pertanian mereka kepada pasaran ekspot.

Permohonan[sunting | sunting sumber]

Sehingga kini seramai 112 petani dan ladang telah pun dianugerahkan sijil SALM semenjak tahun 2002 dimana banyak permohonan persijilan masih dalam proses pemeriksaan ladang.[1] Mengikut rekod yang ada, terdapat sebanyak 38 petani dan peladang telah dianugerahkan sijil SOM di Semenanjung Malaysia.[2] Bagaimanapun, daripada senarai tersebut, terdapat sebahagian daripada SOM yang dikeluarkan telah tamat tempoh. Proses permohonan persijilan boleh dijalankan dengan pemohon boleh berhubung dengan pejabat pertanian terdekat atau berhubung dengan pembantu pertanian kawasan di setiap mukim.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]