Amir Hamzah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Amir Hamzah
Info kelahiran Tengku Amir Hamzah
28 Februari 1911(1911-02-28)
Tanjung Pura, Langkat, Hindia Timur Belanda
Kematian 20 Mac 1946 (umur 35)
Kubur Masjid Azizi, Tanjung Pura, Langkat, Indonesia
Pekerjaan Penyair
Bahasa Indonesia/Melayu
Warganegara Indonesia
Etnik Melayu
Genre Puisi
Subjek Cinta, agama
Pencapaian ketara
Pasangan Tengku Puteri Kamiliah
Anak Tengku Tahura

Tengku Amir Hamzah Pangeran Indera Putera (28 Februari 1911 – 20 Mac 1946)[nota 1] ialah seorang penyair dan juga seorang Pahlawan Kebangsaan Indonesia. Beliau dilahirkan di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Timur. Anak kelahiran sebuah keluarga bangsawan Kesultanan Langkat di Sumatera Utara, beliau mendapat pendidikan di Sumatera dan Pulau Jawa. Semasa beliau belajar di sekolah menengah atas di Surakarta sekitar tahun 1930-an, Amir terlibat dengan pergerakan nasionalis Indonesia dan jatuh cinta dengan rakan sekolah berbangsa Jawa, Ilik Sundari. Kedua-dua rakan ini kekal rapat mahupun selepas Amir menamatkan pendidikannya di sekolah perundangan di Betawi (sekarang Jakarta), dan hanya berpisah pada tahun 1937 apabila Amir dipanggil pulang ke Sumatera untuk mengahwini puteri Sultan dan menggalas tugas dan tanggungjawab di istana – Amir tetap menjalankan tugasnya mahupun tidak berasa gembira dengan perkahwinannya. Beliau bertugas sebagai wakil kerajaan di Langkat selepas pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1945. Beliau terbunuh dalam tahun berikutnya semasa sebuah revolusi sosial yang diketuai Parti Komunis Indonesia dan disemadikan di dalam kubur ramai.

Amir mula menulis puisi pada usia belasan tahun: mahupun karya-karyanya tidak bertarikh, dipercayai karya yang paling awal ditulis semasa beliau mula-mula berkunjung ke pulau Jawa. Dengan berbekalkan pengaruh kebudayaan Melayu dan Islamnya, dan juga pengaruh Kristian dan kesusteraan Timur, Amir menulis 50 buah puisi, 18 buah prosa lirik, dan pelbagai karya lain, termasuk beberapa buah terjemahan. Dalam tahun 1932, beliau menjadi pengasas bersama majalah sastera Poedjangga Baroe. Beliau berhenti berkarya selepas kepulangannya ke Sumatera. Kebanyakan puisinya diterbitkan dalam dua himpunanan, Nyanyi Sunyi (1937) dan Buah Rindu (1941), mula-mula dalam majalah Poedjangga Baroe dan kemudiannya sebagai buku berasingan.

Puisi-puisi yang dikaryakan Amir berkaitan dengan tema-tema kasih dan agama, dan puisinya sering membayangkan konflik dalaman yang amat sangat. Diksinya, dengan penggunaan kedua-dua perkataan bahasa-bahasa Melayu dan Jawa dan sambil mengembangkan struktur-struktur tradisional, dipengaruhi keperluan untuk memuatkan irama dan matra, dan juga simbolisme yang terkait dengan perkataan-perkataan tertentu. Karya-karya awalnya berkaitan dengan perasaan rindu dan juga cinta unggul dan erotik, sementara karya terkemudian memiliki maksud agama yang lebih mendalam. Antara dua himpunan karyanya, Nyanyi Sunyi dianggap sebagai lebih terbina. Amir diberi gelaran "Raja Pemuisi era Poedjangga Baroe" dan beliau satu-satunya pemuisi Indonesia bertaraf antarabangsa sebelum Revolusi Kemerdekaan Indonesia.[1]

Biografi[sunting | sunting sumber]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Amir dilahirkan sebagai Tengku Amir di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara, anak bongsu Naib Sultan Tengku Muhammad Adil dan isteri ketiganya, Tengku Mahjiwa. Amir bersaudara dengan Sultan Mahmud, Langkat, melalui bapanya. Sumber-sumber tidak sepakat tentang tarikh lahirnya dan tarikh yang diiktiraf rasmi oleh kerajaan Indonesia ialah 28 Februari 1911, tarikh yang digunakan Amir sepanjang hayatnya. Amir kemudian mengambil nama datuknya, Teungku Hamzah, sebgai nama kedua; justeru beliau dikenali sebagai Amir Hamzah. Dan mahupun kelahiran kelas bangsawan, Amir sering bergaul dengan orang biasa.[2]

Diketahui bahawa Amir menerima pendidikan dalam bidang agama Islam seperti mengaji al-Quran, fikah, dan tawhid, dan belajar di Masjid Azizi Tanjung Pura semenjak usia kecil lagi.[3] Amir seorang yang warak sepanjang hayatnya. Sumber-sumber juga tidak sepakat tentang waktu beliau menamatkan pendidikan formal. Beberapa sumber, termasuk Pusat Bahasa kerajaan Indonesia, menyatakan bahawa beliau memulakan persekolahan pada tahun 1916,[4] sementara penulis biografi, M. Lah Husny, pula berkata pemuisi ini memulakan persekolahannya pada tahun 1918.[5] Amir mula menulis di sekolah pertamanya, sekolah rendah berbahasa Belanda[6] dan menerima markah tinggi;[7] dan dalam biografi Nh. Dini ("Dini"), beliau menulis bahawa Amir digelar "abang" oleh rakan yang sedarjah dengannya kerana beliau lebih tinggi daripada mereka.[3]

Amir lulus daripada sekolah di Langkat pada tahun 1924[8] atau 1925,[9] dan berpindah ke Medan untuk menghadiri sekolah Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO; sekolah menengah) di sana.[10] Selepas menamatkan pendidikannya dua tahun kemudian, beliau bertunang dengan sepupu sebelah ibunya, Aja (juga Aje) Bun.[11] Husny menulis bahawa perkahwinan diatur oleh ibu bapa masing-masing,[12] sementara Dini pula mengatakan perhubungan itu lebih mirip perjanjian yang masing-masing akan saling setia.[13] Oleh sebab beliau telah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di Jawa, Amir berpindah ke ibu negeri kolonial di Betawi (sekarang Jakarta) untuk tujuan tersebut.[12]

Pulau Jawa[sunting | sunting sumber]

Amir membuat perjalanan kapal selama tiga hari ke Jawa dengan kapal Plancus seorang diri.[14][15]. Sebaik sahaja tiba di Betawi, beliau memasuki MULO Kristian di sana dan menghabiskan tahun terakhir sekolah menengah rendah.[12] Anthony H. Johns dari Universiti Nasional Australia (Australian National University) menulis bahawa Amir mempelajari beberap konsep dan nilai Kristian.[16] Juga, semasa di Betawi, Amir melibatkan diri dengan organisasi sosial bergelar Jong Sumatera.[17] Orang muda ini mula menulis puis-puisi pertamnya semasa waktu ini. Husny mempercayai bahawa beberapa buah puisi diilhamkan perasaan dukacita yang dirasai Amir selepas beliau mendapat berita yang Aja Bun telah berkahwin dengan orang lain tanpa pengetahuannya (kedua-duanya tidak saling menegur selepas ini), [18] sementara Dini pulah mencanangkan bahawa puisi "Tinggallah" ditulis tidak lama selepas Amir menaiki kapal Plancus, sambil Amir masih merindui ibu bapanya.[19]

{{{box_caption}}}
{{{box_caption}}}
Amir mengasaskan Poedjangga Baroe bersama-sama Armijn Pane (atas) dan Sutan Takdir Alisjahbana.

Selepas pulang ke Sumatera buat seketika, Amir meneruskan pendidikan yang dikendalikan Boedi Oetomo, iaitu sekolah Algemene Middelbare School (AMS; sekolah menengah tinggi) di Surakarta, Jawa Tengah, di mana belaiu mengkaji kesusasteraan Timur dan bahasa, termasuk bahasa-bahasa Jawa, Sanskrit dan Arab.[20] Amir lebih suka berseorangan daripada kesibukan asrama dan beliau memilih untuk tinggal di rumah persendirian seorang warga Surakarta.[21] Kemudian beliau berkesempatan untuk bertemu beberapa bakal penulis, termasuk Armijn Pane dan Achdiat Karta Mihardja;[22] mereka mendapatinya sebagai seorang penuntut peramah dan rajin yang memiliki nota lengkap dan kain cadar yang putih melepak (kain cadar yang dilipat sungguh rapi, yang Mihardja kemudiannya memerhatikan bahawa, "... lalat jang kesasar akan dapat tergelintjir atasnja". Namun demikian, Amir juga seorang romantis yang mudah berfikiran sayu diterangi lampu dan menjauhkan dirinya daripada rakan-rakan sedarjahnya.[23]

Amir menyertai pergerakan nasionalis di Surakarta. Beliau bertemu dengan rakan-rakan senegerinya dan membincangkan keadaan pahit getir penduduk-penduduk kepulauan Melayu di bawah pemerintahan kolonial Belanda. Mahupun kebanyakan pemuda yang berpendidikan lebih senang menggunakan bahasa Belanda, beliau tetap menggunakan bahasa Melayu.[24] Pada tahun 1930 Amir menjadi ketua pergerakan Indonesia Muda cabang Surakarta, dan menyampaikan ucapan pada Kongres Pemuda tahun 1930 sambil berkhidmat sebagai penyunting Garuda Merapi, majalah pertubuhan itu.[25] Beliau bertemu dan jatuh cinta dengan Ilik Sundari, seorang wanita keturunan Jawa yang sebaya dengannya di sekolah.[26] Ilik Sundari, anak gadis Raden Mas Kusumodihardjo, merupakan satu-satunya segelintir penuntut wanita yang bersekolah di sekolah Amir, dan rumahnya berdekatan dengan rumah tumpangan Amir. Mengikut Dini, mereka menjadi rapat dengan Amir mengajar Ilik bahasa Arab sementara gadis itu mengajarnya bahasa Jawa.[27] Tidak lama kemudian mereka bertemu setiap hari dan berbual tentang pelbagai perkara.[28]

Ibu Amir meninggal dunia pada tahun 1931, dan bapanya pula meninggal dunia setahun kemudian; ini bermaksud bahawa dari segi kewangan, pendidikannya tidak dapat ditampung lagi. Beliau berhajat untuk menyambung pendidikan di sekolah perundangan di Betawi selepas menamatkan pendidikan di AMS. Justeru, beliau menulis surat kepada abangnya, Jakfar, yang menguruskan pembayaran pendidikan Amir oleh Sultan. Pada tahun 1932 Amir dapat pulang ke Betawi dan memulakan pendidikan undang-undangnya,[29] sambil bekerja sebagai guru sambilan.[30] Mula-mulanya perhubungan beliau denga Ilik diteruskan melalui surat walaupun tidak lama kemudian Ilik meneruskan pelajarannya di Lembang, sebuah bandar yang lebih dekat dengan Surakarta. Ini membolehkan kedua-dua mereka bertemu secara rahsia[31] – akan tetapi apabila perhubungan ini diketahui ibu bapa Ilik, kedua-duanya ditegah daripada bertemu lagi.[32]

Pada tahun ini (1932) dua puisi pertama Amir, Sunyi dan Mabuk..., diterbitkan dalam majalah Timboel edisi bulan Mac. Lapan buah karya lain yang diterbitkan tahun ini termasuk sebuah syair berlandaskan Hikayat Hang Tuah,[33] tiga buah puisi, dua buah prosa berlirik, dan dua cerpen. Sekali lagi puisi diterbitkan dalam Timboel, sementara karya-karya prosa pula diterbitkan dalam majalah Pandji Poestaka.[34] Sekitar bulan September 1932, setelah digalakkan Sutan Takdir Alisjahbana, penyunting "Memadjoekan Sastera" (bahagian kesusasteraan Pandji Poestaka), Armijn Pane menjemput Amir untuk sama-sama menubuhkan majalah kesusasteraan bebas.[35] Amir menerima pelawaan dan ditugaskan untuk menulis surat permintaan sumbangan karya;[35] sebanyak lima puluh surat dikirim kepada penulis-penulis ternama, termasuk empat puluh yang dikirim kepada para penyumbang "Memadjoekan Sastera".[36] Selepas beberapa bulan membuat persiapan, edisi sulung diterbitkan pada bulan Julai 1933,[37] di bawah judul Poedjangga Baroe. Majalah baharu dibiarkan di bawah kawalan editorial Amir, Armijn dan Sutan Takdir,[38] dan Amir memerbitkan hampir semua penulisannya dalam majalah tersebut.[34]

Pada pertengahan tahun 1933, Amir diarah pulang ke Langkat, di mana Sultan memaklumkannya tentang dua syarat yang perlu ditepati sekiranya beliau mahu melanjutkan pelajaran: menjadi seorang penuntut yang tekun belajar dan meninggalkan pergerakan kemerdekaan.[39] Namun demikian, beliau melibatkan diri lebih lagi dengan pergerakan kemerdekaan dan menarik perhatian pihak berkuasa Belanda.[40] Beliau masih menerbitkan karya dalam Poedjangga Baroe, termasuk sebuah siri lima rencana berkaitan dengan kesusteraan Timur antara Jun dan Disember 1934, dan terjemahan Bhagavad Gita antara tahun 1933 dan 1935.[34] Walau bagaimanapun, pengajian undang-undangnya tergendala dan menjelang tahun 1937, beliau masih belum menamatkan kajian.[41]

Pulang ke Langkat[sunting | sunting sumber]

Amir dan Tengku Puteri Kamiliah semasa majlis perkahwinan mereka, tahun 1937

Pemerintah kolonial Belanda, yang sudah menjadi resah dengan Amir yang berkecimpung dengan pergerakan nasionalis dan kemerdekaan, berjaya meyakinkan Sultan agar memanggil Amir pulang ke Langkat, suatu titah yang tidak dapat ditolak pemuisi muda itu. Pada tahun 1937, Amir, bersama-sama dua orang pegawai Sultan yang ditugaskan untuk mengiringinya pulang, menaiki kapal Opten Noort dari Tanjung Priok, dan pulang ke Sumatera. Sebaik tiba di Langkat, Amir dimaklumkan bahawa beliau akan dinikahkan dengan puteri sulung Sultan, Tengku Puteri Kamiliah, seorang wanita yang tidak dikenalinya.[41] Sebelum majlis perkahwinan, Amir pulang ke Betawi untuk menduduki peperiksaan terakhir – dan bertemu buat kali terakhir dengan Ilik.[42] Beberapa minggu kemudian, beliau pulang ke Langkat dan berkahwin dengan Kamiliah dalam majlis mewah.[41] Sepupunya, Tengku Burhan, kemudiannya berkata bahawa Amir tidak mengambil endah akan majlis tujuh hari itu kerana asyik memikirkan Ilik Sundari.[43]

Amir sekarang berpangkat "pangeran",[41] dan diberi gelaran Tengku Pangeran Indra Putera.[44] Beliau tinggal bersama Kamiliah di dalam rumah mereka sendiri. Mengikut laporan beliau seorang isteri yang solehah dan menyayangi, dan pada tahun 1939 pasangan itu dikurniakan seorang puteri bernama Tengku Tahura.[nota 2][45] Mengikut Dini, Amir mengaku kepada Kamiliah bahawa beliau tidak dapat mencintainya seperti mana beliau mencintai Ilik dan hanya mengahwininya kerana berasa terhutang budi dan terpaksa, sesuatu yang nampaknya diterima baik oleh Kamiliah. Pemuisi ini menyimpan album gambar-gambar buah hatinya, Ilik, di rumah[46] dan kerap mengasingkan dirinya daripada keluarga sambil melamun, berfikiran seorangan.[47] Sebagai seorang pangeran Langkat, Amir menjadi pagawai istana dan mengendalikan hal-hal pentadbiran dan perundangan, dan kadang kala menghakimi kes-kes jenayah.[48] Beliau juga menwaikili Sultan pada majlis pengebumian Pakubuwono X di Jawa – kunjungannya yang terakhir ke pulau itu.[49]

Walaupun Amir tidak banyak berhubung dengan rakan-rakannya di Jawa,[50] puisi-puisi beliauh – yang kebanyakannya ditulis di Jawa – masih diterbitkan dalam Poedjangga Baroe. Himpuna puisi pertamanya, Nyanyi Sunyi, diterbitkan dalam edisi November 1937 majalah tersebut. Hampir dua tahun kemudian, pada bulan Jun 1939, majalah itu menerbitkan sebuah himpunan puisi yang diterjemahkan Amir, berjudul Setanggi Timur. Pada bulan Jun 1941, himpunan terakhirnya, Buah Rindu diterbitkan. [34] Kesemuanya kemudian diterbitkan semula sebagai buku.[51] Satu buku terakhir, Sastera Melayu Lama dan Raja-Rajanya, diterbitkan di Medan pada tahun 1942; buku ini berlandaskan sebuah ucapan radio yang dibuat Amir.[34]

Selepas serangan Jerman terhadap Belanda pada tahun 1940, kerajaan Hindia Timur membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan serangan oleh Jepun. Di Langkat, sebuah pasukan Askar Wataniah atau Stadswacht, ditubuhkan bagi mempertahankan Tanjung Pura. Amir dan sepupunya Tengku Harun menjadi ketua; orang bangsawan, yang dipercayai masayarakat am, dipilih bagi memudahkan perekrutan orang awam. Apabila serangan Jepun menjadi kenyataan pada awal tahun 1942, Amir antara tentera yang dihantar ke Medan untuk mempertahankan kota tersebut. Beliau dan tentera sekutu Belanda ditawan Jepun dengan cepat. Amir ditawan sebagai tawanan perang sehingga tahun 1943, apabila pengaruh Sultan berjaya membebaskan beliau dari tahanan Jepun. Sepanjang tempoh penaklukan oleh Jepun yang berlarutan sehingga tahun 1945, Amir bekerja sebagai seorang pengulas radio dan penapis di Medan.[52] Sebagai seorang pengeran, beliau ditugaskan bagi mengumpul beras untuk kegunaan tentera penakluk Jepun.[50]

Pascakemerdekaan dan kematian[sunting | sunting sumber]

Selepas kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, keseluruhan Sumatera diisytihar sebagai sebahagian republik baharu itu secara de facto. Kerajaan pusat menetapkan Teuku Muhammad Hasan sebagai gabenor pulau Sumatera, dan pada 29 Oktober 1945 Teuku Muhammad Hasan memilih Amir sebagai wakil kerajaan di Langkat (kemudian disamakan dengan jawatan bupati, di Tanah Melayu, "temenggong"), dengan pejabat di Binjai;[53] Amir tidak ada masalah untuk menyetujui pelantkan itu,[54] dan seterusnya menangani pelbagai tugasan yang diberikan kerajaan pusat, termasuk merasmikan bahagian tempatan pertama Tentara Keamanan Rakjat; pelopor tentera darat Indonesia)[53] merasmikan mesyuarat cabang-cabang tempatan parti-parti politik kebangsaan,[55] dan menggalakkan pendidikan —khususnya celik huruf abjad Rumi.[54]

Revolusi Nasional Indonesia yang masih berterusan dengan beberapa pertempuran di Jawa bermakna yang republik yang baru ditubuh itu tidak stabil.[56] Dalam awal tahun 1946, berita angin yang Amir dilihat menjamu selera denga wakil-wakil kerajaan Belanda yang baru pulang merebak;[57] para bangsawan kawasan menyedari akan pergolakan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk awam.[58] Pada 7 Mac 1946, semasa revolusi sosial yang diketuai puak-puak Parti Komunis Indonesia, sebuah kumpulan yang keras menentang feudalisme dan bangsawan, kuasa Amir dilucutkan daripadanya dan beliau ditahan;[59] Kamiliah dan Tahura terlepas.[60] Bersama-sama dengan para bangsawan Langkat yang lain, Amir dihantar ke sebuah ladang yang dipeganag Komunis di Kuala Begumit, lebih kurang 10 kilometer (6 bt) di luar bandar Binjai.[59] Pengakuan yang nyatakan terkemudian menggambarkan yang mereka dibicara oleh penawan mereka, dipaksa menggali lubang, dan diseksa.[61]

Penulisan terakhir Amir, sebuah cebisan daripada puisi tahun 1941, Buah Rindu, dijumpai di dalam bilik kurungannya kemudian:[62]

Wahai maut, datanglah engkau
Lepaskan aku dari nestapa
Padamu lagi tempatku berpaut
Disaat ini gelap gulita.

Pada pagi 20 Mac 1946, Amir dibunuh bersama-sama 26 orang lain dan dikebumikan di dalam kubur sama yang digali oleh orang-orang tahanan itu sendiri;[nota 3][63] sebilangan adik-beradiknya juga terbunuh semasa revolusi berjalan.[64] Selepas revolusi dipatahkan angkatan nasionalis, ketua-ketua revolusi disoal sebuah pasukan yang diketuai Adnan Kapau Gani: beliau dilaporkan bertanya berkali-kali, "Mana Amir Hamzah?" semasa sesi soal-siasat.[65] Pada tahun 1948 kubur di Kuala Begumit digali semula dan mayat dikenal pasti oleh ahli keluarga; tulang-tulang Amir dikenal pasti dengan ketiadaan gigi palsu.[66] Pada bulan November 1949 jenazah beliau disemadikan semula di Masjid Azizi di Tanjung Pura, Langkat.[67]

Pengaruh[sunting | sunting sumber]

Amir dibesarkan dalam istana dan bertutur bahasa Melayu sehingga "... mendjadi darah daging baginja."[68] Dari usia kecil lagi beliau terdedah pada sastera lisan serta pantun dan syair bertulis; beliau mendengar dan membuat sajaknya sendiri.[69] Seperti bapanya, Amir suka kan teks tradisional seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, dan Hikayat Panca Tanderan. Beliau akan mendengar pembacaan teks-teks ini semasa upacara-upacara awam,[68] dan pada zaman dewasanya, beliau memiliki himpunan besar teks-teks tersebut mahupun himpunan ini musnah semasa revolusi komunis.[69]

Sepanjang pendidikan formalnya, Amir membaca karya-karya sastera Arab, Parsi dan Hindu.[70] Beliau juga dipengaruhi karya negara-negara Timur lain:[71] puisi-puisi yang diterjemahkan dalam Setanggi Timur, misalnya, menmuatkan karya-karya oleh Omar Khayyám (Parsi), Du Fu (China), Fukuda Chiyo-ni (Jepun), dan Rabindranath Tagore (India).[34] Karya-karya ini tidak dibaca dalam bahasa asal, akan tetapi dalam terjemahan bahasa Belanda.[72] Pengkritik sastera, Muhammad Balfas, menulis bahawa berlainan dengan orang sezamannya, Amir tidak banyak dipengaruhi soneta mahupun pemuisi neoromantik Belanda, Tachtigers (Pergerakan (Lapan Belas) Lapan Puluh);[73] Johns juga sependapat dengan Muhammad Balfas dalam hali ini.[74] Walau bagaimanapun, sarjana kesusteraan Australia, Keith Foulcher, berpendapat sebaliknya dan memerhatikan bahawa Amir memetik Lenteavond, tulisan Willem Kloos dalam rencananya berkaitan dengan pantun; pada hemat Foulcher ini menunjukkan yang Amir kemungkinan besar dipengaruhi Tachtigers.[75]

Ilik Sundari, gambar diambil oleh Amir Hamzah; Ilik dikatakan ilham Amir.

Ramai penulis mengulas tentang pengaruh doktrin Islam terhadap Amir. Penulis dokumen sastera Indonesia, HB Jassin[76] dan pemuisi Arief Bagus Prasetyo,[77] antara lain berpendapat bahawa Amir seorang Muslim jati dan hakikat ini dapat dilihat dalam karya-karya beliau. Arief Prasetyo menghujah bahawa ini ketara dalam cara Amir menggambarkan Tuhan; beliau tidak menyamakan dirinya sabagai setara dengan Tuhan, sebuah tema yang terjumpa dalam karya-karya pemuisi Sufi seperti Hamzah Fansuri, tetapi sebagai Raja kepada Amir, hambaNya.[77] Johns pula menulis bahawa, mahupun Amir bukan seorang ahli sufi, Amir juga bukan hanya penulis yang amat patuh dan mengetengahkan sejenis "Humanisme Islam".[78] Pengkaji lain, seperti sarjaa sastera Indonesia berbangsa Belanda A Teeuw dan sarjana sastera berbangsa Indonesia Abdul Hadi WM, mendapat bahawa Amir dipengaruhi Sufisme.[77] Aprinus Salam dari Universitas Gadjah Mada, yang juga sehaluan, mengetengahkan saat Amir menggambarkan Tuhan seperti kekasih, dan ini menandakan pengaruh sufi.[79] Akhir sekali, pemuisi Chairil Anwar menulis bahawa Nyanyi Sunyi Amir dapt disebut sebagai "puisi tersorok" memandangkan yang para pembaca tidak dapat memahami karya-karya Amir tanpa dibekalkan pengetahuan tentang sejarah Melayu dan Islam.[80]

Beberapa percubaan juga dibuat untuk mengaitkan karya-karya Amir pada perpektif Kristian. Dalam analisisnya terhadap Padamu Jua, pengkritik Indonesia, Bakri Siregar, mencadangkan bahawa nampak sedikit pengaruh daripada Bible Kristian dan menyatakan bahawa beberapa aspek puisi itu dapat dilihat sebagai menyokong pendapat ini, seperti gambaran Tuhan anthropomorfik dan idea berkaitan dengan Tuhan yang cemburu. Beliau menulis bahawa konsep Tuhan yang cemburu tidak dibenarkan Islam, akan terdapat dalam Bible dan memetik Exodus 20:5 dan Exodus 34:14.[81] Dalam sebuah lagi puisi, Permainanmu, Amir Hamzah menggunakan ayat "Kau keraskan kalbunya"; HB Jassin mendapati kesamaan dengan Tuhan mengeraskan hati Firaun dalam Kitab Keluaran.[nota 4].[82]

HB Jassin menulis bahawa puisi-puisi Amir juga dipengaruhi cintanya terhadap satu atau lebih wanita, yang dalam Buah Rindu disebut "Tedja" dan "Sendari-Dewi"; beliau menawarkan pendapat bahawa wanita atau wanita-wanita tersebut tidak diberikan nama kerana yang pentingnya ialah kasih Amir terhadap mereka.[83] Husny menulis bahawa sekurang-kurangnya sembilan karya dalam Buah Rindu[nota 5] berilhamkan kerinduan Amir terhadap Aja Bun, menggambarkan perasaan dukacita selepas pertunangan mereka dibatalkan.[84] Berkaitan dengan dedikasi buku yang dibahagikan kepada tiga, "Kebawah peduka Indonesia-Raya / Kebawah debu Ibu-Ratu / Kebawah kaki Sendari-Dewi"; dalam Ramayana bahasa Indonesia, Sendari (juga Sundari) ialah isteri pertama Abhimanyu.[85] Mihardja menulis bahawa Sundari dapat dikenali serta-merta oleh rakan sedarjah Amir; beliau menganggapnya sebagai inspirasi Amir sama dengan peranan Laura dengan Petrarch, Mathilde dengan Jacques Perk".[86] Pengkritik, Zuber Usman juga menjumpai pengaruh Sundari terhadap Nyanyi Sunyi, dan menyarankan bahawa pemisahan mereka membawa Amir lebih dekat dengan Tuhan,[87] satu pendapat yang diulangi Dini.[88] Burton Raffel mengaitkan sebuah kuplet yang terdapat pada penghujung buku, "Sunting sanggul melayah rendah / sekaki sajak seni sedih"[89] sebagai satu sapaan terhadap cinta terlarang.[90] Dini menyatakan bahawa cinta Amir terhadap Sundari menjadi penyebab Amir sering menggunakan perkataan bahasa Jawa dalam penulisannya.[43]

Karya[sunting | sunting sumber]

Kulit Poedjangga Baroe tahun 1937; majalah ini menerbitkan kebanyakan karya Amir.

Amir menulis lima puluh buah puisi kesemuanya, lapan belas prosa lirik, dua belas rencana, emapat cerita pendek, tiga himpunan puisi, dan satu buku asli. Beliau juga menterjemahkan sepat puluh empat puisi, sebuah puisi lirik, dan sebuah buku;[34] penterjemahan-penterjemahan ini, mengikut Johns, mencerminkan tema-tema penting dalam karya-karya aslinya.[91]

Sebahagian besar penulisan Amir diterbitkan dalam Poedjangga Baroe, walaupun sebilangan kecil karya-karya awalnya diterbitkan dalam Timboel dan Pandji Poestaka.[34] Tidak ada satupun puisinya diberikan tarikh, dan tidak ada kata sepakat tentang bila puisi-puisi individu ditulis.[92] Walaupun demikian, ada sepakatan am yang karya-karya yang dimuatkan dalam Nyanyi Sunyi ditulis selepas puisi-puisi yang terkandung dalam Buah Rindu, mahupun himpunan yang kedua itu diterbitkan kemudian.[93] Johns menulis bahawa puisi-puisi yang terkandung dalam buku-buku himpunan itu secara amnya diatur mengikut masa; beliau mengetengahkan peningkatan darjah kematangan penulisan Amir yang ditunjukkan Amir seiring dengan pengebangan penulisannya.[94]

HB Jassin menulis bahawa Amir mengekalkan identiti Melayu dalam penulisannya walaupun beliau menghadiri sekolah-sekolah kendalian orang Eropah. Berlaianan dengan rakan penulis sezaman dengannya seperti Sutan Takdir Alisjahbana atau Sanusi Pane, puisi-puisinya tidak mengandungi lambang-lambang moden terbitan budaya orang Eropah seperti kuasa elektrik, kereta api, telefon, dan jentera, dan dengan itu menunjukkan yang "Alam dunia Melaju masih utuh...". Pada puncaknya, mengikut HB Jassin, apabila "Membatja sadjaknja diruang fantasi kita tidak terbajang lukisan seorang jang berpantalon, berdjas dan berdasi, melainkan seorang muda jang berpakaian setjara Melaju."[95] AK Mihardja memerhatikan yang Amir menghasilkan karyanya pada waktu rakan sedarjahnya, malah para pemuisi di mana-manapun "... mentjurahkan isi hati dan buah pikiran" dalam bahasa Belanda, ataupun, jika mampu "... melepaskan dirinja dari belenggu Bahasa Belanda", dalam dalam bahasa tempatan.[96]

Karya-karya Amir sering berkaitan dengan cinta (kedua-dua cinta erotik dan sempurna), dan pengaruh agama dapat dilihat dalam karya-karyanya.[73] Mistisisme (tasawuf) merupakan bahan penting dalam banyak karyanya, dan pusi-puisi Amir sering mencerminkan konflik dalaman yang tebal.[97] Dalam sekurang-kurangnya satu cerpen, Amir mengkritik pandan tradisional tentang bangsawan dan "menggugat pandangan tradisional tentang watak-watak wanita".[98] Terdapat juga beberapa pebezaan tema antara dua himpunan puisi beliau,[99] yang dibincangkan dengan lebih mendalam di bawah.

Nyanyi Sunyi[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Nyanyi Sunyi

Nyanyi Sunyi, himpunan puisi Amir pertama, diterbitkan dalam edisi November 1937 Poedjangga Baroe,[100], dan kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku oleh Poestaka Rakjat pada tahun 1938.[51] Himpunan ini terdiri daripada dua puluh empat buah pantun berjudul dan sebuah kuatrin (sajak berangkap empat) yang tidak diberi judul,[101] termasuk puisi termasyhur Amir, Padamu Jua. HB Jassin mengklasifikan apan daripada karya-karya ini sebagai puisi berlirik dan bakinya sebagai puisi biasa.[100] Walaupun himpunan ini merupakan koleksi yang pertama diterbitkan, berpandukan sifat pembentukan puisi-puisi yang terkandung dalamnya,[102] kesepakatan am ialah karya-karya yang terkandung dalam Buah Rindu ditulis lebih awal.[103] Pemuisi Laurens Koster Bohang menganggarkan puisi-puisi yang dimuatkan dalam Nyanyi Sunyi ditulis antara tahun 1933 dan 1937,[104] sementara Teeuw pula menganggarkan penulisan antara tahun 1936 dan 1937.[105]

Pembacaan-pembacaan Nyanyi Sunyi cenderung tertumpu pada perasaan keagamaan yang terpendam. Mengikut Muhammad Balfas, agama dan Tuhan sentiasa hadir dalam keseluruhan koleksi, bermula dengan puisi pertama, "Padamu Jua".[106] HB Jassin menulis bahawa dalam puisi ini, Amir mempamerkan perasaan kurang puas hati dengan keadaannya yang tidak berkuasa dan memprotes Kemutlakan Tuhan,[107] akan tetapi sedar akan kekerdilannya di hadapan Tuhan dan yang beliau hanya bertindak sebagai pelaksana kehendak Tuhan.[108] Teeuw merumuskan yang Amir menyedari bahawa beliau tidak akan wujud jika Tuhan tidak wujud.[109] HB Jassin mendapati bahawa tema agama sebenarnya satu jalan keluar daripada kesedihan duniawi yang dialami Amir.[110] Walau bagaimanapun, Johns mencadangkan yang pada akhirnya Amir mendapati bahawa Tuhan tidak dapat menenangkan jiwanya oleh sebab Amir "tidak memiliki keimananan unggul untuk membuat pengorbananan besar dan menerima padahnya"; dan kelihatan yang beliau semacam berasa kesal yang beliau memilih untuk pulang ke Sumatera, dan kemudian membantah Tuhan.[111]

Buah Rindu[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Buah Rindu

Himpunan puisi Amir kedua, Buah Rindu, diterbitkan dalam Poedjangga Baroe edisi bulan Jun 1941,[112] dan kemudiannya diterbitkan sebagai buku oleh Poestaka Rakjat pada lewat tahun yang sama.[51] Koleksi ini mengandungi dua puluh lima buah puisi berjudul dan sebuah kuatrin yang tidak berjudul; satu daripadanya, "Buah Rindu", terdiri daripa empat bahagian, sementara satu lagi, "Bonda", mengandungi dua bahagian. Sekurang-kurangnya sebelas daripada karya yang terkandung dalam himpunan ini sudah diterbitkan dahulu, sama ada dalam Timboel atau Pandji Poestaka.[112] Kendatipun himpunan ini diterbitkan selepas penerbitan Nyanyi Sunyi, anggapan umum ialah himpunan ini ditulis lebih awal.[103] Puisi-puisi dalam Buah Rindu bertarikh antara tahun 1928 dan 1935, iaitu pada waktu awal Amir di Jawa;[104] himpunan ini menyatakan kedua-dua tahun tersebut dan juga lokasi penulisannya di Jakarta–Solo (Surakarta)–Jakarta.[17]

Teeuw menulis bahawa koleksi ini disatukan dengan perasaan kerinduan,[113] yang dikembangkan HB Jassin: kerinduan untuk ibunya, kerinduan kekasih-kekasihnya, (di Sumatera dan Jawa), dan kerinduan kampung halamannya. Semua dirujuk sebagai "kekasih".[114] Teeuw juga menulis bahawa kerinduan ini tidak seperti perasaan keagamaan terpendam yang terdapat dalam Nyanyi Sunyi : perasaan kerinduan ini lebih bersifat duniawi, dan bertapak dalam kenyataan;[99] HB Jassin memerhatikan satu lagi perbezaan tema antar kedua-dua himpunan: tidak macam Nyanyi Sunyi dengan gamabran jelasnya tentang satu tuhan, Buah Rindu secara tersurat menampilkan beberapa dewata, termasuk dewa Hindu Shiva dan Parvati, dan dewata mujarad seperti dewa dan dewi cinta.[114]

Gaya[sunting | sunting sumber]

Diksi Amir dipengaruhi keperluan ritma dan matra serta simbolisme yang terkait dengan kata-kata tertentu.[115] Diksi rapi ini menekankan kata-kata biasa sebagai unit asas dan penggunaan aliterasi dan asonansi.[116] Akhir sekali, Amir lebih bebas dalam penggunaan bahasanya daripada pemuisi-pemuisi tradisional:[106] Jennifer Lindsay dan Ying Ying Tan menonjolkan "daya reka lisan" Amir, yang menyuntik "kekayaan ungkapan, kemerduan bunyi dan makna" ke dalam puisi beliau.[117] Bakri Siregar menulis hasilannya "... permainan kata jang indah."[118] Teeuw mengatakan yang Amir memiliki pengfahaman penuh tentang kekuatan dan kelemahan Bahasa Melayu, mencampur pengaruh Timur dan Barat,[116] dan Johns pula menulis bahawa "kegeligaan Amir sebagai seorang pemuisi terletak pada kebolehan luar biasanya untuk meniup nafas baru ke dalam abu puisi Melayu, dan menyerapkan kesegaran jelas dan daya hidup yang tidak disangka ke dalam bentuk dan kekayaan kosa kata bahasa Melayu tradisional."[119]

Pilihan kata amat bergantung pada kata-kata bahasa Melayu lama yang jarang digunakan pada zaman itu. Amir juga meminjam kata-kata daripada bahasa-bahasa suku Indonesia lain, khusunya bahasa-bahasa Jawa dan Sunda;[120] pengaruh bahasa-bahasa ini lebih ketara dalam Nyanyi Sunyi.[121] Oleh sebab itu, pencetakan-pencetakan awal Nyanyi Sunyi dan Buah Rindu diiringi nota kaki yang menjelaskan maksud perkataan-perkataan tersebut.[73] Teeuw menulis bahawa puisi-puisi memuatkan banyak klise yang sering terjumpa dalam pantun yang tidak dapat difahami pembaca asing.[122] Mengikut penterjemah John M. Echols, Amir seorang penulis yang amat prihatin, "seorang yang tidak banyak menulis, akan tetapi prosa dan puisinya berada pada aras yang amat tinggi, sukar dibaca mahupun buat pembaca Indonesia."[97] Echols menyandardakan kehidupan semula Bahasa Melayu kepada Amir kerana meniup nyawa baru ke dalam kesusteraan Melayu pada tahun 1930-an.[123]

Dari segi binaan, karya-karya awal Amir amat berlainan daripada karya-karya terkemudian. Karya-karya yang dihimpun dalam Buah Rindu secara amnya mengikut gaya kuatrin pantun dan syair tradisional yang berima pada hujung ayat, termasuk banyak yang memuatkan kuplet berima;[116] beberapa karya menggabungkan kedua-dua kuatrin dan kuplet atau memuatkan barisan atau perkataan tambahan, lebih daripada yang lazim dilakukan dalam puisi tradisional, yang menghasilkan rentak berbeza.[124] Meskipun karya-karya awal ini tidak terperinci macam karya-karya terkemudian, Teeuw menulis bahawa karya-karya tersebut mencerminkan penguasaan Amir terhadap bahasa dan kesungguhannya menulis puisi.[125] Karya-karya dalam antologi ini mengulangi perkataan-perkataan yang menggambarkan kesedihan seperti "menangis", "duka", "rindu" dan "air mata", dan juga perkataan-perkataan seperti "cinta", "asmara" dan "merantau".[126]

Apabila tiba masanya bagi Amir menulis karya-karya terkemudian beliau, gayanya sudah bertukar. Beliau tidak lagi mengehadkan penulisan pada bentuk-bentuk tradisional, akan tetapi meneroka cara-cara penulisan lain: bentuk lapan daripada karya beliau hampir-hampir sama dengan prosa lirik.[127] Chairil Anwar mememerikan penggunaan bahasa Amir dalam koleksi ini sebagai bersih dan murni, dengan ayat-ayat yang "amat bernas, tajam, akan tetapi pendek", yang menyimpang daripada "kuasa kerosakan" bahasa berbunga-bunga yang terdapat pada puisi Melayu tradisional.[128]

Anugerah dan pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

Amir sudahpun menerima pengiktirafan meluas daripada kerajaan Indonesia, mula-mula dengan pengiktirafan kerajaan Sumatera Utara tidak lama selepas kematian beliau.[129] Pada tahun 1969 beliau dianugerahkan "Satya Lencana Kebudayaan" dan "Piagam Anugerah Seni".[130] Pada tahun 1975 beliau dinobatkan sebagai Pahlawan Kebangsaan Indonesia.[8] Sebuah taman di Jakarta, Taman Amir Hamzah, terletak berdekatan dengan Monumen Nasional Indonesia.[70] Sebuah masjid di Taman Ismail Marzuki, yang dibuka pada tahun 1977, juga dinamakan sempena nama beliau.[131] Beberapa batang jalan juga dinamakan sempena Amir, termasuk jalan-jalan di Medan,[132] Mataram,[133] dan Surabaya.[134]

Teeuw menganggap Amir sebagai pemuis Indonesia kelas antarabangsa tunggal sebelum Revolusi Nasional Indonesia.[1] Chairil Anwar menulis yang Amir adalah "kemuncak pergerakan Pujangga Baru", dan menganggap Nyanyi Sunyi sebagai "lampu terang yang disulukan Amir terhadap bahasa baru";[128] bagaimanapun Chairil tidak menyukai Buah Rindu, dan menganggapnya terlalu klasikal.[135] Muhammad Balfas mengatakan bahawa karya-karya Amir adalah "hasilan penulisan yang terbaik yang mrentasi zaman".[136] Karya-karya Amir, khusunya, "Padamu Jua", diajar di sekolah-sekolah Indonesia. Karya Amir juga satu daripa ilham buat lakonan pentas pascamoden Biografi Yanti setelah 12 Menit penulisan Afrizal Malna pada tahun 1992.[137]

Jassin menggelar Amir "Raja Penyair Pujangga Baru", judul yang beliau gunakan buat judul bukunya tentang Amir.[1] Dalam penutup bukunya, Jassin menulis:

... Amir bukanlah seorang pemimpin bersuara lantang mengerahkan rakjat, baik dalam puisi maupun prosanja. Ia adalah seorang perasa dan seorang pengagum, djiwanja mudah tergetar oleh keindahan alam, sendu gembira silih berganti, seluruh sadjaknja bernafaskan kasih : kepada alam, kampung halaman, kepada kembang, kepada kekasih. Dia merindu tak habis2nja, pada zaman jang silam, pada bahagia, pada 'hidup bertentu tudju'. Tak satupun sadjak perdjuangan, sadjak adjakan membangkit tenaga, seperti begitu gemuruh kita dengar dari penjair2 Pudjangga Baru jang lain. Tapi laguan alamnja adalah peresapan jang mesra dari orang jang tak diragukan tjintanja pada tanah airnja.
—H.B. Jassin, Jassin (1962, p. 41)

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Sumber-sumber mempertikaikan tarikh lahir Amir Hamzah. Tarikh yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Indonesia ialah 28 Februari 1911, tarikh yang digunakan Amir sepanjang hayatnya. Walau bagaimanapun, abang beliau, Abdullah Hod menyatakan bahawa pemuisi ini dilahirkan pada 11 Februari 1911. Rencana ini menggunakan tarikh rasmi.
  2. Satu kehamilan berakhir dengan keguguran.(Dini 1981, p. 113). Dua kandungan meninggal semasa kelahiran,(Dini 1981, p. 122), sementara kehamilan Kamiliah terakhir berakhir dengan keguguran selepas kematian Amir.
  3. laporan-laporan mengatakan bahawa Amir dibunuh oleh bekas pengawas bernama Yang Wijaya, yang kemudiannya dibicarakan kerana peranannya dalam revolusi dan dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun. Yang Wijaya yang kemudian diberi pengampunan, keluar daripada penjara dengan kesiahtan minda terganggu;(Dini 1981, pp. 160–61).
  4. Dalam Islam, Firaun mengeraskan hatinya sendiri
  5. "Harum Rambutmu", "Dalam Matamu", "Mabuk...", "Sunyi", "Kusangka", "Buah Rindu", "Tuhan Apatah Kekal?", "Cempaka", dan "Berdiri Aku"

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 Teeuw 1980, p. 123.
  2. Husny 1978, pp. 14–16.
  3. 3.0 3.1 Dini 1981, p. 20.
  4. Language Center, Amir Hamzah; Musa 1955, halaman 9
  5. Husny 1978, p. 17.
  6. Husny 1978, p. 18.
  7. Musa 1955, p. 13.
  8. 8.0 8.1 Language Center, Amir Hamzah.
  9. Husny 1978, p. 20.
  10. Language Center, Amir Hamzah; Husny 1978, halaman 21
  11. Husny 1978, halaman 24; Dini 1981, halaman 17
  12. 12.0 12.1 12.2 Husny 1978, p. 24.
  13. Dini 1981, p. 22.
  14. Dini 1981, p. 24.
  15. Dini 1981, p. 21.
  16. Johns 1979a, p. 125.
  17. 17.0 17.1 Husny 1978, p. 29.
  18. Husny 1978, pp. 32–33.
  19. Dini 1981, pp. 29–30.
  20. Dini 1981, pp. 33–34.
  21. Dini 1981, p. 38.
  22. Husny 1978, p. 38.
  23. Mihardja 1955, pp. 115–17.
  24. Dini 1981, pp. 36–37.
  25. Dini 1981, p. 74.
  26. Jassin 1962, halaman 40; Mihardja 1955, halaman 122
  27. Dini 1981, pp. 44–46.
  28. Dini 1981, p. 49.
  29. Husny 1978, pp. 42–43.
  30. Dini 1981, p. 83.
  31. Dini 1981, p. 82.
  32. Dini 1981, p. 85.
  33. Teeuw 1980, halaman 126–27; Balfas 1976, halaman 61
  34. 34.0 34.1 34.2 34.3 34.4 34.5 34.6 34.7 Jassin 1962, pp. 211–19.
  35. 35.0 35.1 Foulcher 1991, pp. 14–17.
  36. Siregar 1964, halaman 77; Foulcher 1991, halaman 20
  37. Teeuw 1980, p. 50.
  38. Siregar 1964, p. 75.
  39. Husny 1978, pp. 47–49.
  40. Husny 1978, p. 63.
  41. 41.0 41.1 41.2 41.3 Husny 1978, pp. 74–75.
  42. Dini 1981, p. 105.
  43. 43.0 43.1 Dini 1981, p. 109.
  44. Dini 1981, p. 112.
  45. Husny 1978, pp. 78–79.
  46. Dini 1981, p. 114.
  47. Dini 1981, p. 124.
  48. Husny 1978, pp. 81–82.
  49. Dini 1981, p. 121.
  50. 50.0 50.1 Dini 1981, p. 129.
  51. 51.0 51.1 51.2 Husny 1978, p. 83.
  52. Husny 1978, pp. 84–89.
  53. 53.0 53.1 Husny 1978, pp. 90–91.
  54. 54.0 54.1 Dini 1981, p. 132.
  55. Musa 1955, p. 12.
  56. Dini 1981, p. 133.
  57. Dini 1981, p. 139.
  58. Dini 1981, p. 142.
  59. 59.0 59.1 Husny 1978, pp. 96–97.
  60. Dini 1981, p. 147.
  61. Dini 1981, pp. 149–50.
  62. Jassin 1962, p. 214.
  63. Husny 1978, halaman 97; Dini 1981, halaman 151–53
  64. Husny 1978, pp. 16–17.
  65. Hadi 1955, p. 37.
  66. Dini 1981, p. 159.
  67. Musa 1955, halaman 9; Husny 1978, halaman 102–03
  68. 68.0 68.1 Musa 1955, p. 10.
  69. 69.0 69.1 Musa 1955, p. 11.
  70. 70.0 70.1 Jakarta City Government, Amir Hamzah.
  71. Teeuw 1980, p. 124.
  72. Johns 1979a, p. 30.
  73. 73.0 73.1 73.2 Balfas 1976, p. 61.
  74. Johns 1979a, p. 136.
  75. Foulcher 1991, p. 102.
  76. Jassin 1962, p. 33.
  77. 77.0 77.1 77.2 Kurniawan 2010, Puisi Amir Hamzah.
  78. Johns 1979b, pp. 154, 156.
  79. Salam 2004, p. 50.
  80. Raffel 1970, p. 175.
  81. Jassin 1962, pp. 33–34.
  82. Jassin 1962, p. 36.
  83. Jassin 1962, pp. 39–40.
  84. Husny 1978, p. 133.
  85. Mihardja 1955, p. 120.
  86. Mihardja 1955, p. 122.
  87. Usman 1959, pp. 231–50.
  88. Dini 1981, p. 110.
  89. Hamzah 1949, p. 31.
  90. Raffel 1968, p. 15.
  91. Johns 1979b, p. 158.
  92. Jassin 1962, p. 9.
  93. Teeuw 1980, pp. 125–26.
  94. Johns 1979a, p. 126.
  95. Jassin 1962, pp. 15–16.
  96. Mihardja 1955, pp. 117–18.
  97. 97.0 97.1 Echols 1956, p. 14.
  98. Siapno 2002, p. 72.
  99. 99.0 99.1 Teeuw 1980, p. 132.
  100. 100.0 100.1 Jassin 1962, p. 212.
  101. Hamzah 1949, pp. 5–30.
  102. Jassin 1962, p. 14.
  103. 103.0 103.1 Balfas 1976, pp. 62–64.
  104. 104.0 104.1 Jassin 1962, p. 8.
  105. Teeuw 1980, p. 126.
  106. 106.0 106.1 Balfas 1976, p. 64.
  107. Jassin 1962, p. 29.
  108. Jassin 1962, p. 26.
  109. Teeuw 1955, p. 116.
  110. Jassin 1962, p. 31.
  111. Johns 1979a, pp. 131–32.
  112. 112.0 112.1 Jassin 1962, p. 213.
  113. Teeuw 1955, p. 110.
  114. 114.0 114.1 Jassin 1962, p. 28.
  115. Rosidi 1976, p. 46.
  116. 116.0 116.1 116.2 Teeuw 1980, p. 130.
  117. Lindsay & Tan 2003, p. 49.
  118. Siregar 1964, p. 116.
  119. Johns 1979a, p. 124.
  120. Rosidi 1976, p. 45.
  121. Johns 1979a, p. 133.
  122. Teeuw 1980, p. 133.
  123. Echols 1956, p. 200.
  124. Jassin 1962, pp. 14, 22.
  125. Teeuw 1980, pp. 126–27.
  126. Jassin 1962, p. 11.
  127. Jassin 1962, p. 12.
  128. 128.0 128.1 Raffel 1970, pp. 174–75.
  129. Dini 1981, p. 179.
  130. Husny 1978, p. 8.
  131. Dini 1981, p. 180.
  132. Google Maps, Medan.
  133. Google Maps, Mataram.
  134. Google Maps, Surabaya.
  135. Teeuw 1980, p. 136.
  136. Balfas 1976, p. 60.
  137. Bodden 2002, p. 306.

Buku/sumber yang dipetik[sunting | sunting sumber]