Anatomi perbandingan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Anatomi perbandingan merupakan kajian persamaan dan perbezaan dalam anatomi pelbagai organisma. Ilmu ini amat berkait rapat dengan biologi evolusi and filogeni (evolusi spesies).

Anatomi Perbandingan menkaji persamaan dan perbezaan di antara organisma. Imej ini menggambarkan sifat homologus tulang di bahagian lengan pelbagai vertebrata.
Jantung manusia (kiri) dan jantung ayam (kanan) berkongsi banyak ciri-ciri serupa. Jantung avian mengepam dengan lebih laju daripada jantung mamalia. Akibat daripada kadar degupan yang lebih laju, otot sekeliling ventrikel pada jantung ayam lebih tebal. Bahagian kedua-dua jantung dilabel seperti berikut: 1. Aorta Menaik 2. Atrium Kiri 3. Ventrikel kiri 4. Ventrikel kanan 5. Atrium kanan.
Perbandingan tengkorak manusia dan burung Belon's L'Histoire de la nature des oyseaux (Natural History of Birds), 1555.
Ilustrasi dari kurun ke-20 membandingkan struktur tulang seorang manusia dengan seekor anjing.

Anatomi perbandingan telah sekian lama berperanan sebagai bukti evolusi dan menunjukkan bahawa pelbagai organisma berkongsi satu leluhur yang sama. Begitu juga, anatomi perbandingan membantu saintis dalam mengelaskan organisma berasaskan keserupaan ciri-ciri struktur anatomi. Anatomi perbandingan menyokong teori 'keturunan dengan pengubahsuaian' (descent with modification) yang diusulkan oleh Darwin.

Satu contoh am anatomi perbandingan ialah struktur-struktur tulang yang serupa pada tungkai hadapan kucing, ikan paus, kelawar dan manusia. Kesemua anggota ini terdiri daripada anggota-anggota asas yang sama, tetapi jauh berbeza fungsinya. Bahagian rangka yang membentuk struktur yang digunakan untuk berenang seperti sirip mungkin sekali tidak sesuai untuk membentuk sayap yang lebih sesuai untuk terbang. Salah satu penjelasan untuk keserupaan pembentukan tungkai depan ialah keturunan dengan pengubahsuaian. Menerusi mutasi yang rambang dan pemilihan semula jadi, struktur anatomi lama-kelamaan menjadi lebih tersuai dengan habitat masing-masing setiap organisma.[1] Dua konsep utama anatomi perbandingan ialah:

  1. Struktur homolog - struktur (anggota badan/anatomi) yang serupa dalam pelbagai spesies kerana spesies-spesies itu sama leluhurnya, tetapi tidak semestinya sama fungsinya. Cth. struktur tungkai depan yang dikongsi oleh kucing dan ikan paus.
  2. Struktur analog - struktur yang serupa dalam pelbagai spesies kerana berevolusi dalam persekitaran yang serupa, dan tidak semestinya diwarisi dari leluhur sepunya, dan oleh itu lazimnya sama atau serupa fungsinya. Cth. bentuk badan torpedo bergaris arus pada ikan lumba-lumba dan ikan yu. Sungguhpun berbeza leluhurnya, namun kedua-dua haiwan tersebut mengembangkan struktur-struktur yang analog hasil daripada evolusi dalam persekitaran yang berair.
  3. Struktur Homoplastik - struktur yang kelihatan sama, namun berasal daripada evolusi menumpu (konvergen), dimana dua organisma yang memaparkan homoplasi tetapi tidak berkongsi keturunan yang sama. Tetapi kedua-duanya telah berevolusi untuk kekal hidup di persekitaran yang hampir sama menyebabkan ciri-ciri serta sifat sama timbul akibat pemilihan semula jadi.[2] Ini dapat dilihat jelas dalam spesis dengan kemampuan untuk penyamaran seperti serangga yang mirip dedaun, tetapi tiada kemampuan berfotosintesis.


Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Petikan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Campbell, Neil A.; Reece, Jane B. (2002). Biology. San Francisco, CA: Benjamin Cummings. m/s. 438–439. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  2. ^ Kardong, Kenneth V. (2015). Vertebrates: Comparative Anatomy, Function, Evolution. New York: McGraw-Hill Education. m/s. 15–16. ISBN 978-0-07-802302-6.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Anatomi