Anggun C. Sasmi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Anggun C. Sasmi
Anggun - Trianon Paris - juin 2012 (7386536046).jpg
Anggun C. Sasmi semasa konsert di teater Le Trianon, Paris, Perancis, pada 13 Jun 2012.
Kelahiran Anggun Cipta Sasmi
29 April 1974 (40 tahun)
Jakarta
Tempat tinggal Jakarta
Warganegara  Indonesia
Nama lain Anggun C. Sasmi
Pekerjaan Penyanyi
Majikan Artis Blackboard Records
Pemilik P.T Bali Cipta Records
Sony-BMG Music France
Tempat asal Jakarta
Agama Kristian
Pasangan Michel de Gea

Anggun Cipta Sasmi merupakan seorang penyanyi yang berasal dari Indonesia.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Anggun Cipta Sasmi dilahirkan pada 29 April 1974 di Jakarta. Puteri kepada Darto Singo, seorang seniman terkenal Indonesia dan Dian Herdina, surirumah berdarah kerabat Kraton Jawa Yogyakarta ini telah mendapat pendidikan awalnya di sebuah Sekolah Katholik di Jakarta. Pada umur seawal 7 tahun, Anggun mula merakamkan album kanak-kanak sulungnya dan apabila beliau mencecah usia 9 tahun, beliau mula mencipta lagu-lagunya sendiri menggunakan alunan piano.

Apabila beliau mencecah usia 12 tahun, Anggun mula merakamkan album rock pertama beliau yang berjudul Dunia Aku Yang Punya. Album tersebut diterbitkan oleh produser terkenal Indonesia, Ian Antono dan menggunakan elemen rock dan diedarkan oleh Blackboard Records. Setelah album pertama beliau mendapat sambutan, Anggun mula merakamkan album keduanya, Putih Anak Abu-Abu, Noc Torno, Anggun Cipta Sasmi ...lah, dan yang terakhir Yang Hilang pada tahun 1994. Selain merakam album, Anggun turut menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, P.T Bali Cipta Records, yang bertanggungjawab untuk menerbit, memasarkan album-albumnya serta memastikan kelancaran kerjaya seninya. Di Indonesia sahaja, Anggun telah berjaya menjual 5 juta unit album.

Ke tahap antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1994, ketika mengadakan lawatan ke Borneo, beliau bertemu jodoh dengan Michel de Gea, seorang jurutera berbangsa Perancis. Mereka berkahwin beberapa bulan kemudian dan Michel telah dilantik sebagai pengurus Anggun. Pada tahun yang sama, Anggun mula bertekad untuk merealisasikan impiannnya menjadi seorang artis bertaraf antarabangsa. Pasangan suami isteri tersebut mula berpindah ke London. Semasa berada di London, Anggun agak sukar untuk menyesuaikan dirinya dan kebanyakkan syarikat rakaman di sana tidak berminat untuk mengambilnya sebagai artis rakaman. Oleh kerana tidak dapat mencapai apa yang dihajatinya, Anggun sempat merakam beberapa buah lagu bersama seorang penerbit di Sussex sebelum mengikut suaminya pulang ke Paris, di mana segala-galanya bermula.

Luminescence, terbaru dari Anggun

Di Perancis, Anggun menghadapi satu lagi masalah apabila kebanyakkan pita demo yang di hantar ke syarikat rakaman Perancis dibuang. Mereka memberi alasan bahawa album bahasa Inggeris tidak laku di pasaran Perancis. Tanpa membuang masa, beliau mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa tersebut di Alliance Français Paris selama beberapa tahun. Setelah itu, beliau dilamar oleh Sony Music (sekarang Sony-BMG Music France) sebagai atis rakaman mereka. Dengan bantuan seorang rakan, Anggun bertemu dengan Erik Benzi, seorang penerbit dan penggubah terkenal. Antara artis-artis yang telah bekerja dengan Benzi ialah Celine Dion, Cheb Khaled dan Jacques Goldman. Apabila beliau (Anggun) menerangkan tentang hasratnya untuk merakam album solonya di Perancis, Benzi menjalankan ujibakat untuk melihat sejauh mana kemampuan Anggun sebagai seorang penyanyi. Apabila selesai ujibakat, beliau terus bersetuju untuk bekerja dengannya dengan syarat Anggun tidak boleh merakamkan album berteraskan irama rock.

24 Jun 1997 merupakan tarikh keramat bagi Anggun Cipta Sasmi apabila album pertamanya Au Nom de La Lune (Atas Nama Bulan) buat pertama kalinya berada di pasaran negara Perancis. Single pertama beliau Neige au Sahara mendapat tempat di hati peminat muzik Perancis bahkan Belgium, Switzerland dan Kanada. Album yang memuatkan elemen pop dan bunyi-bunyian instrumen tradisional Indonesia (tambur, seruling, kemiri) berjaya dijual sebanyak 1 000 000 unit di negara Perancis, menjadikan beliau seorang artis berbangsa Indonesia pertama yang berjaya meletakkan nama sebaris dengan artis-artis Perancis yang sedia ada. Tahun berikutnya, Anggun melancarkan album Inggeris pertamanya Snow on Sahara bagi pasaran antarabangsa. Mengulangi kejayaan Au Nom de la Lune, Anggun berjaya menjual 1 000 000 unit album di seluruh dunia. Muzik beliau yang dianggap unik itu juga mendapat perhatian penyanyi Kanada serta pengasas Lilith Fair, sebuah festival muzik wanita di Amerika Syarikat iaitu Sarah McLachlan untuk menjemputnya menyertai festival tersebut yang bertempat di Oregon, Amerika Syarikat.

Pada tahun 2000, Anggun kembali dengan dua album keduanya, Chrysalis dan Dèsirs Contraires. Album berirama RnB Pop itu dirakam dalam dua bahasa iaitu Inggeris (Chrysalis) dan Perancis (Dèsirs Contraires). Bagi kedua-dua buah album tersebut, Anggun mempertaruhkan single Still Reminds Me untuk pasaran antrabangsa dan Un Geste D'Amour bagi Perancis. Dua tahun kemudian, beliau dan Michel de Gea secara rasmi bercerai dan beliau berpindah ke Montreal, Kanada untuk memulakan hidup baru. Anggun sekali lagi bertemu jodoh dengan Olivier Maury, seorang sarjana politik dari Kanada dan mereka berkahwin pada tahun 2004.

Album Perancis pertama Anggun, Au Nom de La Lune

Sebagai seorang penyanyi merangkap ikon fesyen antarabangsa, Anggun amat menitikberatkan penampilan beliau. Imej seksi yang ditonjolkan oleh beliau sudah menjadi sebahagian daripada diri Anggun dan bagi memantapkan penampilannya, Anggun banyak bekerjasama dengan para pereka fesyen dari Eropah seperti Azzedine Alaïa dari Perancis yang mereka kesemua pakaian yang diperagakan beliau dalam sampul album Au Nom de la Lune/Snow on Sahara, Dolce and Gabbana dari Itali bagi album Chrysalis/Désirs Contraires dan terbaru, Roberto Cavalli untuk Luminescence.

Anggun sekali lagi mengubat rindu para peminatnya apabila beliau tampil dengan album ketiganya, juga dirakam dalam dua bahasa yang bertajuk Luminescence. Single pertama album tersebut Être Une Femme telah dinobat sebagai Lagu Paling Popular Tahun 2004 oleh Radio France International, sebuah station radio bertaraf antarabangsa di Perancis. Beliau turut menyumbag sebuah lagu bagi filem The Transporter 2, iaitu Cesse la Pluie atau Saviour bagi versi antarabangsa. Seperti kebanyakkan album sebelumnya yang diterbitkan oleh Erik benzi, Luminescence tidak lagi menggunakan khidmat penerbit tersebut.

Bagi album ini, Anggun telah bergabung dengan nama-nama tersohor dalam dunia muzik Perancis seperti Jean-Pierre Taieb, Lionel Florence, Evelyn Kraal dan Jean Faque. Di dalam album ini, Anggun menunjukkan kematangan suara serta susunan lagu yang baik. Bagi versi Inggeris, beliau menulis kesemua lirik untuk setiap lagu yang dimuatkan dalam album tersebut. Sebuah lagu berbahasa Indonesia, Mantra, turut dimuatkan di dalam album tersebut bagi pasaran Malaysia, Indonesia dan negara Asia yang lain. Baru-baru ini album Luminescence telah dipakej dan dilancarkan semula ke pasaran Indonesia berikutan sambutan yang membanggakan daripada peminat beliau di republik itu. Album tersebut telah dianugerahkan status platinum kerana berjaya terjual sehingga 50000 unit. Tambahan pula, konsert besar-besaran Anggun yang pertama diadakan di Jakarta pada Mei yang lepas turut menjadi faktor penyumbang kepada jualan album tersebut.

Bagi Luminescence Repackaged, Anggun telah memuatkan tiga buah lagu baru serta gambar-gambar terbaru. Single terbaru dari album tersebut, I'll be Alright telah pun berkumandang di udara di sekitar Indonesia manakala klip videonya dirakam secara rahsia di Jakarta dan Pulau Bali semasa Anggun berada di Republik itu untuk menjayakan konsertnya itu. Di Perancis, Switzerland, Belgium dan negara-negara berbahasa Perancis, album Luminescence Repackaged versi Perancis akan dipasarkan pada 21 Ogos ini. Sebuah buku foto Anggun disertakan dengan setiap pembelian album.

Pada masa yang sama, Anggun telah dipilih sebagai jurucakap bagi Skim Mikrokredit UNICEF dan Audemars Piguet, sebuah syarikat pengeluar jam tangan mewah dari Switzerland.

Baru-baru ini Anggun telah dianugerahkan anugerah Artis Antarabangsa Terbaik di Anugerah Muzik Indonesia (AMI) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia tahun ini. Anugerah khas itu diberikan kepada Anggun atas kejayaan beliau menempa nama di luar negara serta menaikkan nama industri seni muzik Indonesia dan Asia di mata dunia.

Selepas tiga tahun sepi tanpa album baru, Anggun muncul semula dengan album studio terbaru berjudul "Elevation". Album yang berteraskan irama hip-hop dan R&B ini merupakan album beliau yang kelima bagi kedua-dua bahasa. Mempertaruhkan single sulungnya yang bertajuk Si Tu L'Avoues atau Crazy dalam Bahasa Inggeris, lagu tersebut berjaya memenangi anugerah "Song of the Year" tahun 2008 dari RMF France. Selain sibuk dengan promosi album, Anggun juga telah dinobat sebagai wajah baru bagi jenama barangan penjagaan rambut Pantene di Indonesia dan Malaysia, serta susu Anlene di Indonesia.

Album[sunting | sunting sumber]

  • Dunia Aku Yang Punya (1986)
  • Putih Anak Abu-Abu (1991)
  • Noc Turno (1992)
  • Anggun Cipta Sasmi ...lah (1993)
  • Yang Hilang (1994)
  • Au nom de la lune (1997)
  • Snow on the Sahara (1998)
  • Anggun (Malaysia & Indonesia) (1999)
  • Désirs contraires (2000)
  • Chrysalis (2000)
  • Open Hearts (2002)
  • Luminescence (2005)
  • Luminescence - Special Edition (2006)
  • Best-Of (Indonesia) (2006)
  • Best-Of (Malaysia) (2007)
  • Elevation (Perancis) (2008)
  • Elevation (Inggeris) (2008)
  • Echoes (Inggeris) (2011)
  • Echos (Perancis) (2011)

Lagu[sunting | sunting sumber]

Perancis

  • Neige au Sahara
  • La Rose des Vents
  • Au Nom de la Lune
  • La Ligne des Sens
  • Un Geste D'Amour
  • Derierre la Porte
  • Être Une Femme
  • Cesse la Pluie
  • Juste Avant Toi
  • Ton Amour Ocean
  • Ête en Paris (bersama DJ Cam)
  • Garde-Moi
  • Si Tu L'Avoues
  • Si Je T'Emmene

Antarabangsa

  • Snow on Sahara
  • A Rose in the Wind
  • Dream of Me
  • Life on Mars
  • Still Reminds Me
  • Chrysalis
  • Summer in Paris (bersama DJ Cam)
  • Your Ocean Love
  • Open Hearts
  • Deep Blue Sea (bersama Deep Forest)
  • Kirana (bersama Jose Barinaga)
  • Sang Penari (bersama Jose Barinaga)
  • In Your Mind
  • Undress Me (Itali sahaja)
  • Saviour
  • Kembali (Malaysia dan Indonesia)
  • Yang Aku Tunggu (Malaysia dan Indonesia)
  • Mantra (Malaysia dan Indonesia)
  • I'll be Alright
  • Takut (Rakaman semula bagi Indonesia)
  • Mimpi (Rakaman semula bagi Indonesia dan Malaysia)
  • Crazy
  • Jadi Milikmu (Indonesia dan Malaysia)
  • Shine (Lagu tema bagi rancangan realiti TV "Anggun Mencari Bintang Pantene")

Pautan luar[sunting | sunting sumber]