Angkasapuri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bangunan Angkasapuri ketara berada di atas Bukit Putra, berdekatan dengan Kerinchi di Lebuhraya Persekutuan (Jalan Persekutuan 2).

Angkasapuri ialah sebuah kompleks penyiaran Jabatan Penyiaran Malaysia / Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pembinaan bermula pada tahun 1966 dan siap pada tahun 1968. Pada 17hb Februari 1968, Pusat Penyiaran Malaysia yang diberi nama "Angkasapuri" dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Sebelum Angkasapuri dibuka, Pusat Penyiaran negara ini sentiasa berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Sejarah perkembangannya bermula apabila Persatuan Wayarles Tanah Melayu di Kuala Lumpur memulakan siarannya di Bukit Petaling pada tahun 1930. Dari sini ia mula berpindah ke Bangunan Guthric dan kemudian ke Bangunan Oriental di Jalan Tun Perak. Selepas itu ia berpindah lagi ke Hospital Tang Lin dan akhirnya ke Rumah Persekutuan, Jalan Raja, Kuala Lumpur selama kira-kira 15 tahun sebelum berpindah ke Angkasapuri. Sementara studio sementara Televisyen Malaysia yang ditempatkan di sebuah bangunan di Jalan Ampang berhampiran dengan Dewan Tunku Abdul Rahman (kini Pusat Pelancongan Malaysia) telah memulakan siarannya pada 28hb Disember 1963.

Bagaimanapun, Jabatan Televisyen yang ditempatkan sementara di Jalan Ampang (sejak tahun 1963) hanya dipindahkan ke Angkasapuri lebih kurang 2 tahun kemudian, iaitu pada 6hb November 1969. Peringkat kedua bagi projek Pusat Penyiaran ini hanya selesai dilaksanakan dalam tahun 1972, apabila Bangunan Radio (Wisma Radio) siap pembinaannya dan memulakan siarannya pada 9hb Mei, 1972 tepat pada jam 12.00 tengah malam.

Pada 29hb Ogos 1988, Bangunan Angkasapuri dan bendera Malaysia (kini Jalur Gemilang) telah mencipta sejarah apabila sebuah bendera gergasi berukuran 85.3 meter panjang dan 24.3 meter (60 gulung kain) telah dinaikkan oleh 500 orang kakitangan Kementerian Penerangan. Bendera gergasi tersebut dinaikkan selama 10 minit bermula jam 9.00 pagi dan ia disaksikan oleh 5000 orang kakitangan Kementerian Penerangan. Proses membuat bendera gergasi ini memakan masa dua minggu

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Kompleks Angkasapuri terletak di Bukit Putra di bawah jajahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bangunan ini yang tingginya 10 tingkat didirikan di atas kawasan yang luasnya kira-kira 33 ekar dan menghadap ke Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Petaling Jaya. Tujuh tingkat daripadanya dikhaskan bagi kegunaan pejabat. Setiap tingkat mempunyai keluasan 11,000 kaki persegi.

Di bangunan utama Angkasapuri, kerja-kerja pentadbiran dan perancangan untuk penerbitan dan penyiaran dilakukan. Di sebelah selatan bangunan ini terdapat sebuah bangunan dua tingkat yang digunakan untuk kerja-kerja penerbitan dan penyiaran. Di bangunan ini terdapat beberapa buah studio rakaman dan bilik penyiaran; di sinilah rancangan-rancangan televisyen diterbitkan dan disiarkan. Kedua-dua blok bangunan tujuh tingkat (Bangunan Pentadbiran) dan dua tingkat (Bahagian Penerbitan dan Penyiaran) ini dihubungkan oleh sebuah anjung dan sebuah balai sambutan untuk menjadi sebuah kompleks penyiaran yang terbesar di Asia Tenggara.

Kompleks Angkasapuri ini menempatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia adalah merupakan peringkat pertama Projek Pusat Penyiaran Malaysia.

Ia mempunyai bahagian-bahagian seperti berikut:

  • Bangunan Angkasapuri - Pentadbiran (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia)
  • Wisma TV - siaran TV1 dan TV2 , Bilik Berita TV, studio berita dan program televisyen RTM diterbitkan dari sini.
  • Wisma Radio - Stesen radio nasional RTM dan Suara Malaysia (kecuali Perkhidmatan Bahasa Tagalog) disiarkan di sinI di samping Radio Suara Islam (Bahasa Malaysia) dan Voice of Islam (English.
  • Auditorium Perdana - tempat untuk siaran langsung utama yang disiarkan di sini. Juga dikenali sebagai Audiotorium Besar dan Audiotorium RTM
  • Auditorium P. Ramlee - Mengambil nama sempena seniman negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
  • Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) - dibuka pada tahun 1998 untuk siaran antarabangsa Sukan Komanwel 1998 dan kemudian menjadi tempat tambahan jabatan penyiaran seperti KL FM. Kini, siaran TVi (astro 180) berpusat di sini.

Kompleks Angkasapuri merupakan kawasan larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Untuk masuk ke Kompleks Angkasapuri, pelawat dikehendaki melaporkan di balai polis bantuan di pintu masuk dengan menyerahkan kad pengenalan untuk mendapatkan kad akses ke dalam mana-mana bangunan di dalam kawasan kompleks angkasapuri. Pelawat dikehendaki 'scan' kad akses di setiap pintu utama untuk masuk.

Rujukan[sunting | sunting sumber]