Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad atau ANGKASA adalah koperasi puncak yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara Malaysia. ANGKASA diiktiraf oleh Kerajaan sebagai badan yang mewakili Pergerakan Koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ibu Pejabat ANGKASA terletak di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor dan mempunyai cawangan di 16 lokasi di setiap negeri yang lebih dikenali sebagai

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 di bawah Ordinan Koperatif 33/1948. ANGKASA ditubuhkan hasil resolusi Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

ANGKASA merupakan satu-satunya koperasi atasan yang diiktiraf yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia.

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) 502 Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Peranan, Visi dan Misi[sunting | sunting sumber]

Melalui Deklarasi Putrajaya yang telah dipersetujui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan ANGKASA pada 13 Julai 2012, ANGKASA bertanggungjawab untuk:

1) Menyatukan dan mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.

2) Merangsang dan membangunkan perniagaan koperasi.

3) Meningkatkan kefahaman dan pengalaman nilai dan prinsip koperasi tulen selaras dengan Kenyataan Jati Diri Koperasi.

Visi ANGKASA adalah menjadi badan APEKS pemangkin pembangunan koperasi terunggul di ASEAN menjelang 2020. Misi ANGKASA adalah menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi serta melindungi kepentingan dan memperjuangkan hak gerakan koperasi melalui pengurusan yang profesional.

Pelan Strategik dan Pelan Tindakan ANGKASA[sunting | sunting sumber]

Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA (2017-2050) merangkumi Empat (4) Tunggak Strategik iaitu TUNGGAK EKONOMI, TUNGGAK EKOSISTEM, TUNGGAK TADBIR URUS dan TUNGGAK INOVASI. Teras-teras bagi setiap tunggak diberi Fokus Dalaman (untuk memperkukuh infrastruktur organisasi ANGKASA) dan Fokus Luaran (untuk melestarikan gerakan koperasi yang diterajui ANGKASA).

Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA (2017-2050) ini adalah sejajar dengan aspirasi-aspirasi kerajaan seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru, Dasar Koperasi Negara 2011-2020 dan Deklarasi Putrajaya. Dalam membangunkan teras-teras setiap tunggak, kelima-lima fokus strategi utama yang digariskan dalam Dasar Koperasi Negara (2011-2020) juga digunakan sebagai rujukan dan dihubungkaitkan dengan Teras Strategi ANGKASA (2017-2050).

Untuk mencapai hasil-hasil strategi yang telah ditetapkan bagi setiap Tunggak, ANGKASA akan melestarikan kedudukan ANGKASA sebagai badan APEKS sehingga ke peringkat global dengan menyusun Pelan Tindakan mengikut tiga (3) jangkamasa iaitu Pelan Jangka Pendek (2017-2020), Pelan Jangka Pertengahan (2021-2030) dan Pelan Jangka Panjang (2031-2050).

Sehubungan itu, pembangunan teras berdasarkan kedua-dua fokus ini akan memastikan kesinambungan dari aspek 'weightage' hala tuju strategi ANGKASA untuk mencapai Misi dan Visi ANGKASA yang telah ditetapkan.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]