Animasi watak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Animasi watak merupakan satu bidang khusus dalam proses animasi yang berkenaan animasi watak-watak yang ditampilkan dalam sesebuah karya animasi. Lazimnya, animasi watak merupakan satu aspek dalam sesebuah penerbitan yang lebih besar dan selalunya dilakukan untuk mengiringi lakonan suara. Peranan utama seorang juruanimasi watak adalah menjadi "pelakon" di sebalik persembahan, terutamanya ketika mengambil gambar tanpa dialog. Animasi watak ini unik secara kesenian daripada animasi lain kerana melibatkan pewujudan pemikiran dan emosi yang ketara selain tindakan fizikl.

Gertie the Dinosaur, 1914

Dalam sejarah, filem Gertie the Dinosaur (1914) oleh Winsor McCay sering dianggap sebagai contoh terawal karya animasi watak yang sebenar. Otto Messmer memenuhi watak Felix the Cat dengan keperibadian yang mudah dikenali pada 1920-an. Sedekad berikutnya, Walt Disney menjadikan animasi watak sebagai tumpuan utama studio animasi; ini paling menonjol dalam filem-filem Three Little Pigs, Snow White and the Seven Dwarfs, Pinocchio, dan Dumbo. Para pelukis animasi Disney seperti Bill Tytla, Ub Iwerks, Grim Natwick, Fred Moore, Ward Kimball, Les Clark, John Sibley, Marc Davis, Wolfgang Reitherman, Hal King, Hamilton Luske, Norm Ferguson, Eric Larson, John Lounsbery, Milt Kahl, Joe Ranft, Frank Thomas dan Ollie Johnston semuanya menguasai teknik ini.

Frank Thomas dan Ollie Johnston mengajarkan bahawa pemikiran dan emosi di sebalik watak merupakan ciri-ciri utama kepada penghasilan setiap babak. [1] Daripada kesemua Nine Old Men, Frank dan Ollie paling dikenali kerana menjalin hubungan antara mentor dan perantis, serta berkongsi pengetahuan mereka tentang penciptaan watak, seperti yang diriwayatkan dalam buku Disney Animation: The Illusion of Life yang menyampaikan 12 prinsip asas animasi, dan dianggap sebagai 'kitab suci animasi' bagi sesiapa yang mempelajar animasi.

Antara tokoh-tokoh lain dalam animasi watak ini termasuk para pengarah filem Schlesinger/Warner Bros. (Tex Avery, Chuck Jones, Bob Clampett, Bill Melendez, Frank Tashlin, Robert McKimson, dan Friz Freleng), tokoh animasi Max Fleischer dan Walter Lantz, pelopor animasi Hanna-Barbera, bekas juruanimasi Disney Don Bluth, juruanimasi bebas Richard Williams, John Lasseter di Pixar, Nick Park di Aardman Animations, dan Yuri Norstein dari Rusia.

Walaupun hasil animasi watak biasanya terdapat dalam filem kartun, namun animasi watak semakin penting dalam industri permainan video. Para pemaju permainan menggunakan watak-watak yang lebih rumit demi memberikan kepuasan yang penuh kepada pemain yang ingin mendalami permainan secukup-cukupnya. Contoh-contoh animasi watak dalam permainan ialah Prince of Persia, God of War, Team Fortress II dan Resident Evil.

Animasi watak diiringi dengan animasi kesan khas yang mencipta apa-apa sahaja yang bukan watak, misalnya kenderaan, mesin, dan fenomena alam seperti hujan, salji, kilat dan air, dan juga efek-efek "tidak semulajadi" yang selalu ditampilkan dalam filem-filem cereka sains. Adakalanya, animasi kesan khas juga menggunakan prinsip-prinsip animasi watak, misalnya pseudopod dalam filem The Abyss.

Rujukan[sunting | sunting sumber]