Anjing Leonberg

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing Leonberg
Nama lainLeonberger
Nama ringkasLeo
Negara asalJerman
Trait
Tinggi Jantan 72–80 sentimeter (28–31 in)
Betina 65–75 sentimeter (26–30 in)
Bulu Panjang dan kasar dengan surai di leher dan di dada dan jumbai-jumbai di hujung-hujung
Warna Kuning, merah, perang kemerah-merahan, atau warna pasir termasuk semua gabungan antara warna-warna tersebut, dengan topeng hitam
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing Leonberg atau leonberger[a] ialah satu baka anjing gergasi, yang dinamai sempena bandar raya Leonberg di Baden-Württemberg, Jerman.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Baka ini terdapat dengan lapis bulu ganda lebat; anjing Leonberg ialah anjing besar, berotot, dan anggun dengan jenis tubuh seimbang, perangai sederhana, dan kehadiran dramatik.[1] Kepalanya dihiasi dengan topeng hitam yang mencolok dan menonjolkan ekspresi kecerdasan, kebanggaan, dan kebaikan tersendiri bagi baka ini. Anjing Leonberg yang sangat tangkas, yang kekal berpegang teguh pada akar awanyal sebagai anjing keluarga berkemampuan dan anjing pekerja serta anjing pencarian dan penyelamatan (khususnya air), adalah kukuh dan selaras, dengan kedua-dua kekuatan dari segi perawakan dan keanggunan sari segi pergerakan. Sebagai baka dimorfik secara seks, anjing Leonberg memiliki sama ada bentuk sangat maskulin atau bentuk feminin anggun, menjadikan jantina segera terlihat.[2]:5 Baka ini mempunyai kaki renang.

Saiz, perkadaran, dan tubuh[sunting | sunting sumber]

Anjing Leonberg betina

Ketinggian pada paras kelasa:

  • Jantan: 71–80 cm (28–31 in), purata 75 cm (30 in)[2]:18[3]
  • Betina: 65–75 cm (26–30 in), purata 70 cm (28 in)[2]:18[3]

Berat:

  • Jantan: 120–170 lb (54–77 kg), purata 145 lb (66 kg)
  • Betina: 100–135 lb (45–61 kg), purata 115 lb (52 kg)

Dengan kemampuan untuk kerja mendesak, anjing Leonberg ialah anjing dengan tubuh berisi. Rangkanya disokong dengan tulang cukup berotot yang sederhana hingga berat berperkadaran langsung dengan saiznya. Dada lapang adalah cukup luas dan dalam untuk tujuan kerja. Terlihat dari sisi, dadanya melengkung ke arah dalam dari prosternum, bercantum secara tangen pada siku ke garis bawahnya pada 50% daripada ketinggian kelasa, dan kemudian berterusan sedikit ke atas ke arah stifel.[1][3]

Kepala[sunting | sunting sumber]

Kepalanya cukup seimbang dalam perkadaran dengan saiz anjing dan lebih dalam berbanding dengan kelebarannya dengan panjang muncung dan panjang tengkorak yang lebih kurang sama. Dengan kelopak mata rapat, matanya terletak ke dalam tengkorak di atas sedikit serong; matanya bersaiz sederhana, berbentuk badam, dan berwarna perang gelap. Telinganya berisi, bersaiz sederhana, dan berbentuk loket, dengan cukup ising untuk tergantung dekat-dekat dengan tengkorak dan melabuhkan hujung telinga separas dengan sudut dalaman bagi mulut. Telinga anjing Leonberg naik dari separuh jarak di antara mata dengan bahagian atas tengkorak ke paras bahagian atas tengkorak. Walaupun gigitan separas dan sedikit anomali yang tidak menjejaskan keteguhan rahang bawah adalah umum, anjing Leonberg unggul mempunyai gigitan gunting kuat dengan kegigian penuh.[3]

Bulu[sunting | sunting sumber]

Sebagai kedua-dua keperluan untuk kerja dan atribut penentu bagi baka ini, anjing Leonberg memilik lapis bulu ganda kalis air pada tubuh yang dilengkapi oleh bulu lebih pendek dan halus pada muncung dan anggota tubuh. Lapis bulu luar panjang dan lebat adalah tahan lama, agak lurus, terbentang merata, dan muat rapat. Anjing Leonberg matang dan maskulin mempamerkan surai jelas. Begitu juga, ekornya terhias dengan sangat baik dari hujung ke pangkal. Di pangkal itu, ekornya berpadu secara harmoni dengan bulu lebih panjang di punggung. Asalkan iklim mengizinkan, lapis bulu bawahnya lembut dan padat. Selain daripada pengemasan kaki, anjing Leonberg dipersembahkan tanpa pemendekan bulu.

Warna[sunting | sunting sumber]

Seekor anjing Leonberg betina berwarna pasir

Beberapa warna lapis bulu boleh diterima, termasuk semua kombinasi kuning singa, merah, merah-perang, dan pasir.[3][4] Kulit hidung, tapak kaki, dan bibir patut sentiasa hitam. Warna cacat termasuk perang dengan kulit hidung perang, hitam dan sawo matang, hitam, putih, atau perak, dan mata tanpa sebarang perang. Tompok putih kecil pada dada atau jari kaki diizinkan.[5]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Pertama sekali sebagai anjing keluarga, perangai anjing Leonberg ialah salah satu ciri pembeza paling penting. Jika tersosialisasi dan terlatih dengan baik, anjing Leonberg berkeyakinan diri, tidak sensitif terhadap hingar-bingar, berserah kepada ahli keluarga, ramah terhadap kanak-kanak, cukup tenang dengan orang lalu-lalang, dan berdisiplin diri apabila melaksanakan kewajipan kepada keluarga atau harta bendanya dengan perlindungan. Sebagai anjing yang tegap, setia, cerdas, suka bermain, dan mesra, ia, dengan itu, dapat dibawa ke mana-mana tanpa kesukaran dan mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan, termasuk pengenalan anjing lain.[2] Kawalan betul dan sosialisasi dan pelatihan awal adalah penting kerana ini merupakan baka gergasi.

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing Leonberger ialah anjing kuat dan pada umumnya sihat.[6] Displasia pinggul, yang menyeksa banyak baka besar,[7] sebahagian besarnya terkawal kerana usaha ramai pembiak baka yang secara aktif menyaring anjing Leonberg mereka dengan menggunakan sinar-X yang dinilai oleh Orthopedic Foundation for Animals dan meninggalkan spesimen displastik di luar takungan gen, lalu mengurangkan risiko masalah tulang/sendi.[8] Selama lebih daripada 20 tahun, para pembiak baka yang menganggotai Leonberger Club of America, yang mengeluarkan pedigri untuk baka anjing Leonberg di Amerika, mematuhi banyak aspek program pembiabakakan Jerman, yang dalamnya kenel anggota hanya boleh memilih untuk membiakbakakan anjing yang diperakui memiliki tiga generasi yang bebas daripada displasia pinggul. Hasilnya, kejadian displasia pinggul pada baka ini dikurangkan kepada hampir 10% dan angka bagi pinggul "Cemerlang" menurut penilaian OFA meningkat sebanyak lebih daripada 60% dalam tempoh masa hanya 20 tahun.[8] Kadar kejadian semasa bagi displasia pinggul pada anjing Leonberg berkemungkinan berada pada sekitar 13%.[9] Selepas tahun 2010, apabila Leonberger Club of America menyertai American Kennel Club, peraturan pembiakbakaan yang ketat sebelum ini tidak lagi wajib untuk semua anjing Leonberg.

Walaupun tidak umum, anjing Leonberg mewarisi dan/atau menghidap sebilangan penyakit yang mempunyai impak yang berbeza-beza antara ringan dengan parah. Sebagai tambahan kepada displasia pinggul, anjing Leonberg dapat mewarisi dan/atau mengalami masalah jantung, dengan mewarisi kelumpuhan/polineuropati anjing Leonberg, osteosarkoma, hemangiosarkoma, osteokondrosis disekan, alahan, kecelaruan pencernaan, katarak, kelopak mata entropion/ektropion, atrofi retina progresif, fistula perianal, dan kecelaruan tiroid.[10] Walaupun khabar angin berterusan mengenai kesensitifan lebih tinggi anjing Leonberg terhadap anestesia berbanding dengan baka anjing lain, sebahagian besar khabar angin itu tidak benar.[8] Anjing Leonberg, seperti anjing baka besar lain, memerlukan kurang dos per paun sedatif berbanding dengan baka-baka lebih kecil untuk menghasilkan kesan sama.[11] Leonberger Health Foundation, sebuah yayasan bukan untung swasta yang misi tunggalnya adalah untuk menyokong penyelidik utama yang ingin mengenal pasti penanda-penanda genetik untuk penyakit-penyakit serius yang menjejaskan baka ini, kini bertumpu pada osteosarkoma, hemangiosarkoma, dan polineuropati anjing Leonberg.[12]

Kelanjutan usia[sunting | sunting sumber]

Anjing Leonberg dalam tinjauan United Kingdom dan Amerika Syarikat/Kanada mempunyai jangka hayat median sekitar 7 tahun, iaitu kira-kira 4 tahun kurang daripada purata anjing baka tulen.[perlu rujukan] Kira-kira 20% daripada anjing Leonberg dalam tinjauan itu hidup sehingga usia 10 tahun atau lebih. Anjing tertua dalam kedua-dua tinjauan mati pada usia kira-kira 13 tahun.[13][14] Di Perancis, baka ini mempunyai jangka hayat median sebanyak 8.75 tahun.[15]

Penyakit serius dapat menjejaskan anjing Leonberg—jenis-jenis kanser tertentu adalah sangat umum pada baka ini. Volvulus pendilatan gastrik, yang pada umumnya dipanggil kembung, ialah satu lagi keadaan serius yang menjejaskan banuak anjing baka besar dan gergasi, khusunya yang mempunyai dada dalam. Penyakit ini menyebabkan perut memulas dan dapat membawa maut dengan cepat.[16] Anjing Leonberg dewasa patut sentiasa diberi makanan sebanyak dua kali sehari dan bukan pula satu hidangan besar untuk mengurangkan kemungkinan kembung. Anjing Leonberg tidak bersendirian dalam mewarisi penyakit-penyakit serius dan menurut pasukan petugas LIDA Universiti Sydney, anjing Leonberg mempunyai isu kesihatan agak sedikit berbanding dengan baka anjing lain.[17]

Dalam tinjauan The Kennel Club United Kingdom tahun 2004, punca kematian paling umum merupakan kanser (45%), penyakit jantung (11%), dan masalah yang "tidak diketahui" (8.5%).[13] Dalam tinjauan Leonberger Club of America Amerika Syarikat/Kanada tahun 2000, punca kematian paling umum merupakan kanser (37%), usia lanjut (12%), penyakit jantung (9%), dan "kematian mengejut" (8%).[14]

Kajian telah menunjukkan masalah dengan polineuropati terwaris pada populasi tertentu bagi anjing Leonberg[18] dan katarak pada anjing di United Kingdom.[19] Sebuah kajian tentang "polineuropati anjing Leonberg" diterbitkan pada tahun 2014.[20] Pengujian genetik perlu dilakukan melalui protokol yang ditadbirkan di Amerika Utara oleh Makmal Diagnostik Veterinar Universiti Minnesota[21] atau Institut Genetik, Fakulti Vetsuisse, Universiti Bern, Bern, Switzerland.[22]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1830-an, Heinrich Essig, seorang pembiak baka dan penjual anjing dan datuk bandar bagi bandar Leonberg berhampiran dengan Stuttgart di Baden-Württemberg, Jerman, mendakwa telah menghasilkan anjing Leonberg dengan menyilangkan anjing Newfoundland Landseer betina dengan seekor "barry" jantan dari Hospis Santo Bernard Raya dan Biara Santo Bernard Raya (yang kemudiannya menghasilkan anjing Santo Bernard). Kemudian, menurut Essig, seekor anjing gunung Pyrénées ditambahkan, lalu menghasilkan anjing sangat besar dengan lapis bulu putih panjang, yang merupakan fesyen untuk masa itu, dan perangai menyenangkan. Anjing pertama yang didaftarkan sebagai leonberger lahir pada tahun 1846 dan mempunyai banyak kualiti berharga daripada baka-baka sumbernya.[1][2] Menurut legenda, anjing-anjing ini dibiakbakakan untuk memberikan penghormatan kepada singa pada gencana bandar[1] dan haiwan jata bagi Leonberg, iaitu singa.[23] Anjing Leonberg menjadi popular dalam kalangan beberapa buah keluarga diraja Eropah, termasuk Napoleon II, Maharani Elisabeth dari Austria, Putera Wales, Otto Von Bismarck,[24] Maharaja Napoleon III, dan Umberto I dari Itali. Dakwaan Essig tentang pembiakbakaan anjing seperti yang diterangkan dipertikaikan. Catatan seawal tahun 1585 mungkin menunjukkan kewujudan anjing jenis leonberger; dokumen-dokumen yang bertarikh dari tahun 1601 yang dipegang oleh keluarga Metternich memerihalkan anjing serupa yang digunakan untuk mencegah pencurian haiwan ternakan.[25] Bagaimana sekalipun, tiada keraguan bahawa Essig menamai dan mendaftarkan baka ini terlebih dahulu. Ukiran hitam putih tentang anjing Leonberg disertakan dalam The Illustrated Book of the Dog oleh Vero Shaw (di halaman 488) pada tahun 1881.[26] Pada masa itu, anjing Leonberg Essig dikecam sebagai tiruan acuh tak acuh bagi anjing Santo Bernard—bukan baka stabil dan beriktiraf—dan sebagai produk trend atau fesyen popular untuk anjing besar dan kuat, sebahagiannya ditimbulkan oleh kemahiran pemasaran Essig yang luar biasa (beliau memberikan anjing kepada orang kaya dan masyhur).[1][26]

Penampilan moden anjing Leonberg, dengan lapis bulu lebih gelap dan topeng hitam, dikembangkan semasa bahagian akhir abad ke-20 dengan memperkenalkan baka-baka lain semula, seperti anjing Newfoundland.[23] Ini adalah perlu kerana ternakan pembiakbakaan anjing Leonberg terjejas teruk akibat dua perang dunia. Hanya lima ekor anjing Leonberg terselamat daripada Perang Dunia Pertama[27] dan dibiakbakakan sehingga Perang Dunia Kedua apabila, sekali lagi, hampir semua anjing Leonberg lenyap. Semasa dua perang dunia, anjing Leonberg digunakan untuk menarik kereta peluru, iaitu perkhidmatan kepada negara baka ini yang menyebabkan anjing Leonberg hampir lenyap.[28] Karl Stadelmann dan Otto Josenhans disebut sebagai penyelamat bagi baka ini, dengan membawa anjing ini kembali dari ambang kepupusan.[24] Anjing Leonberg kini mempunyai keleluhurnya yang dijejak kembali kepada lapan ekor anjing yang terselamat daripada Perang Dunia Kedua.[27]

Secara tradisional, anjing Leonberg dibela sebagai anjing ladang dan banyak dipuji kerana kebolehannya dalam kerja anjing penjaga[29][30][31][32][33] dan kerja tarikan. Ia kerap terlihat menarik kereta barang di sekitar kampung-kampung di Bavaria dan di daerah sekitarnya.[2]:4 Pada sekitar permulaan abad ke-20, anjing Leonberg diimport oleh pemerintah Kanada untuk kegunaan sebagai anjing penyelamatan air/anjing penyelamatan nyawa.[34] Baka ini meneruskan peranan itu kini, bersama-sama dengan anjing Newfoundland, anjing pengutip Labrador, dan anjing pengutip keemasan; anjing ini digunakan di Sekolah Anjing Penyelamat Itali.[35][36]<reg>"Leonberger Water Rescue training" (Video). YouTube. 11 Mei 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Disember 2021. Dicapai pada 12 Januari 2024.</ref>[37] Ia telah berjaya digunakan sebagai anjing penjaga kawanan ternakan.[38]

Anjing Leonberg menerima pengiktirafan American Kennel Club sebagai anggota Kumpulan Pekerja[1][39] pada 1 Januari 2010, bersama dengan anjing gembala Iceland dan cane corso. Ia merupakan baka ke-167 yang diiktiraf oleh AKC.[40]

Dalam kebudayaan popular[sunting | sunting sumber]

Filem Lifetime TV Grumpy Cat's Worst Christmas Ever menampilkan seekor anjing Leonberg yang menjadi mangsa penculikan anjing, yang menjadi bintang bersama dengan Grumpy Cat yang masyhur.[41]

Dalam cerita Murphy and the Great Surf Rescue dalam siri buku kanak-kanak Puppy Academy oleh Gill Lewis, Murphy ialah seekor anak anjing Leonberg yang mempunyai kemahiran istimewa berenang.[42]

Video muzik grafik "Deutschland" oleh kugiran rok Jerman Rammstein menggambarkan sosok simbolik Germania yang melahirkan anak-anak anjing Leonberg.[43]

Anjing-anjing Leonberg diwakili dalam banyak setem dari seluruh dunia.[44]

Dalam siri Inspector Sejer oleh pengarang Norway Karin Fossum, watak judulan mempunyai seekor anjing Leonberg bernama Kollberg.[45]

Tiga ekor anjing Leonberg[46][47] (seekor betina, dan dua ekor jantan)[perlu rujukan] memainkan watak utama Buck dalam The Call of the Wild: Dog of the Yukon (1997), sebuah versi Kanada bagi The Call of the Wild oleh Jack London yang membintangkan Rutger Hauer sebagai John Thornton dan dikisahkan oleh Richard Dreyfuss.[47][48] Baka yang dipilih dalam filem ini bukan baka yang dikenal pasti sebagai Buck dalam novel itu.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ليونبيرݢ; ليونبرݢر; Jerman: Leonberger

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f Flaim, Denise (10 Jun 2020). "Leonberger History: The "Secret Mascot" of Leonberg" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e f Junehall, Petra Breed Standard: Leonberger (Inggeris), 08-tryck, 2005.
  3. ^ a b c d e "AKC meet the Breeds: Leonberger" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2010. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  4. ^ Gagne, Tammy (25 Januari 2018). Huskies, mastiffs and other working dogs (dalam bahasa Inggeris). Oxford: Raintree. m/s. 19. ISBN 978-1-4747-2100-4. OCLC 1063636111.
  5. ^ UK Kennel Club. "Leonberger Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris).
  6. ^ Zieher, Waltraut (2002). "Summary of the 2000 Health Survey Findings". Leo Watch (dalam bahasa Inggeris). Slaton, Texas, Amerika Syarikat. 2 (1): 3.
  7. ^ "Breed Average Hip Scores" (dalam bahasa Inggeris). British Veterinary Association. 1 Januari 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Disember 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  8. ^ a b c Townsend, Matthew di Sforzando (2006). "Hurray for OFA!". The LeoLetter (dalam bahasa Inggeris). Seattle, Washington, Amerika Syarikat: Allegra Print and Imaging. 22 (3): 85.
  9. ^ Zieher, Waltraut (2002). "Summary of the 2000 Health Survey Findings". Leo Watch (dalam bahasa Inggeris). Slaton, Texas, Amerika Syarikat. 2 (1): 5.
  10. ^ Zieher, Waltraut (2003). "Summary of the 2000 Health Survey Findings". Leo Watch (dalam bahasa Inggeris). Slaton, Texas, Amerika Syarikat. 3 (1): 2–11.
  11. ^ Zieher, Waltraut (2003). "2000 Health Survey Findings". Leo Watch (dalam bahasa Inggeris). Slaton, Texas, Amerika Syarikat. 3 (1): 2.
  12. ^ Isberg, Caroline (2009). "The Leonberger Health Foundation: Who Are These People? Why Should I Care?". The LeoLetter (dalam bahasa Inggeris). Seattle, Washington, Amerika Syarikat: Allegra Print and Imaging. 25 (4): 69.
  13. ^ a b "Purebred Dog Health Survey Results" (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee. 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2013. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  14. ^ a b Summary of the 2000 Health Mortality and Morbidity Survey Findings (Inggeris). Leonberger Club of America. LEO Watch Jilid 2, Musim Bunga 2002. Diarkibkan daripada yang asal
  15. ^ Leroy, G. G.; Phocas, F.; Hedan, B.; Verrier, E.; Rognon, X. (2015). "Inbreeding impact on litter size and survival in selected canine breeds" (PDF). The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 203 (1): 74–8. doi:10.1016/j.tvjl.2014.11.008. PMID 25475165. S2CID 27631883. mean=8.18 ± 3.1 median=8.75
  16. ^ Health (Inggeris) Diarkibkan 29 September 2009 di Wayback Machine di LeonbergerClubofAmerica.com
  17. ^ McGreevy, Dr. Paul. "LIDA" (dalam bahasa Inggeris). Universiti Sydney. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  18. ^ Williams, John. "Polyneuropathy in Leonberger Dogs". Facebook (dalam bahasa Inggeris).
  19. ^ Barnett, Keith C.; Featherstone, Heidi J.; Heinrich, Christine L.; Lakhani, Ken H. (2006). "Cataract in the UK Leonberger population". Veterinary Ophthalmology (dalam bahasa Inggeris). 9 (5): 350–356. doi:10.1111/j.1463-5224.2006.00460.x. PMID 16939464. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  20. ^ Ekenstedt, Kari J.; Becker, Doreen; Minor, Katie M.; Shelton, G. Diane; Patterson, Edward E.; Bley, Tim; Oevermann, Anna; Bilzer, Thomas; Leeb, Tosso; Drögemüller, Cord; Mickelson, James R. (2 Oktober 2014). "An ARHGEF10 Deletion Is Highly Associated with a Juvenile-Onset Inherited Polyneuropathy in Leonberger and Saint Bernard Dogs". PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). 10 (10): e1004635. doi:10.1371/journal.pgen.1004635. PMC 4183422. PMID 25275565.
  21. ^ Bulanda, Susan (18 Ogos 2010). "Important research for Leonberger dogs, inherited polyneuropathy (IPN)" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club Canine Health Foundation. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  22. ^ Drögemüller, Cord (7 Januari 2014). "Genetic Testing for Inherited Polyneuropathies in Leonbergers 2.0" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Bern, Switzerland: Universiti Bern. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  23. ^ a b Isberg, Caroline Bliss. "Leonberger Breed". Leonberger-Hunde.org (dalam bahasa Inggeris).
  24. ^ a b Maurer, David (6 Mac 2011). "Best-of-breed winner represents lovable Leonbergers". NewsAdvance.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  25. ^ Lusby, M (2005). The Leonberger (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club Books. m/s. 14. ISBN 978-1-59378-314-3.
  26. ^ a b Shaw, Vero (1881). The Illustrated Book of the Dog (dalam bahasa Inggeris). London; Paris; New York: Cassel, Petter, Galpin & Company. m/s. 479–480, 488–494. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  27. ^ a b "Leonberger Dogs". PetInsurance.com (dalam bahasa Inggeris). Veterinary Pet Insurance Company. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  28. ^ Lusby, Madeline (2005). Leonberger (dalam bahasa Inggeris). Allenhurst, New Jersey, Amerika Syarikat: Kennel Club Books. m/s. 14. ISBN 978-1-59378-314-3.
  29. ^ "Leonbergers At Work – Herding Training" (dalam bahasa Inggeris). Leonberger Club of Ontario. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  30. ^ "Leonberger" (dalam bahasa Inggeris). Canada's Guide to Dogs. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  31. ^ "Leonberger" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  32. ^ Landry, Jean-Marc (Ogos 1999). "The use of guard dogs in the Swiss Alps: A first analysis" (PDF). KORA Bericht (dalam bahasa Inggeris) (2): 19. ISSN 1422-5123. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  33. ^ "AKC proposed group realignment" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Disember 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  34. ^ Pfaumer, Sharon (Julai 1996). "The Leonberger, the golden-hearted lion dog". Dog World (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: 14–22.
  35. ^ Manetti, Francesco (23 Ogos 2010). "Italian school teaches dogs to become lifeguards". Los Angeles Times (dalam bahasa Inggeris). Associated Press. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  36. ^ "Leos to the Rescue!" (Video) (dalam bahasa Inggeris). National Purebred Dog Day. 25 Februari 2020. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  37. ^ "Rescue Dogs Jump From Helicopter" (Video). 26 Oktober 2012. Dicapai pada 12 Januari 2024. Some of the dogs are Newfoundland dogs and some are Leonbergers
  38. ^ Dohner, Janet Vorwald (4 Oktober 2016). Farm Dogs: A Comprehensive Breed Guide to 93 Guardians, Herders, Terriers and other canine working partners (dalam bahasa Inggeris). North Adams, Massachussetts, Amerika Syarikat: Storey Books. m/s. 300. ISBN 978-1-61212-592-3. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  39. ^ "AKC Working Group" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  40. ^ "AKC Welcomes the Cane Corso, Icelandic Sheepdog and Leonberger" (dalam bahasa Inggeris). 10 Jun 2011. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  41. ^ Suhas, Maitri (29 November 2014). "Grumpy Cat and A Million Dollar Dog?". Bustle (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Januari 2024.
  42. ^ Lewis, Gill; Horne, Sarah (7 Julai 2016). Puppy Academy: Murphy and the Great Surf Rescue (kulit lembut). Puppy Academy: Puppies to the rescue! (dalam bahasa Inggeris). Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0-19-273926-1. Suitable for: 5-7 boys and girls. Fans of Holly Webb and Andrew Cope's Spy Pups series
  43. ^ "Rammstein delve into their German identity with controversial new single". Brig Newspaper (dalam bahasa Inggeris). 1 April 2019. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  44. ^ Leonberger Animal stamps (Inggeris)
  45. ^ "Don't Look Back by Karin Fossum #bookreview #Norway" (dalam bahasa Inggeris). 21 April 2018.
  46. ^ "Leonberger Dogs". PetInsurance.com (dalam bahasa Inggeris). Veterinary Pet Insurance Company. Dicapai pada 12 Januari 2024.
  47. ^ a b Call of the Wild - Dog of the Yukon di Internet Movie Database
  48. ^ "Leonberger Facts". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Januari 2009.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]