Anjing pemburu Poitou

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Anjing Poitou)
Anjing pemburu Poitou
Nama lainAnjing Poitou
Poitevin
Anjing Haut-Poitou
Negara asalPerancis
Trait
Berat 20.5–30.5 kg (45–67 lb)
Tinggi 60–72 cm (24–28 in)
Bulu Pendek
Warna Triwarna dengan pelana hitam
Jangka hayat ~12 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pemburu Poitou, anjing Poitou, atau poitevin (Sebutan bahasa Melayu: [pu(w)atəvɛn]),[a] juga dikenali sebagai anjing Haut-Poitou,[b] ialah satu baka anjing pemburu bau Perancis dari provinsi Poitou. Anjing pemburu kawanan ini dihasilkan pada abad ke-17 untuk memburu serigala.

Ciri[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu Poitou ialah anjing pemburu halus dan atletik dengan ciri-ciri anjing pemburu penglihatan. Dari segi penampilan, ia serupa dengan campuran anjing pemburu rubah dan grehaun Inggeris.[1] Anjing pemburu Poitou biasanya berdiri setinggi 60–72 sentimeter (24–28 in) pada paras kelasa dan berukuran seberat 20.5–30.5 kilogram (45–67 lb). Ia mempunyai tengkorak rata yang mencerun dengan halus; muncung menirus panjang dan sempit; leher langsing dan cukup berotot; tungkai bertulang berat yang panjang dan lurus; dan ekor panjang.[2][3] Bulu pendek anjing pemburu Poitou biasanya triwarna; semua baka anjing pemburu triwarna lain kadang-kadang diperihalkan sebagai baka yang mempunyai warisan anjing pemburu Poitou.[1][3][4]

Anjing pemburu Poitou terkenal kerana kepantasannya, staminanya, kebolehan penghiduannya, dan suara merdunya semasa memburu. Kawanan baka ini pernah dikenal mencapai kelajuan 56 kilometer per jam (35 mph) dan memburu selama sehingga tujuh jam.[1][2][3][5] Dalam buku terbitannya La Vénerie, Pierre de Cossé Brissac, Duke Ke-12 Brissac menyebut tentang anjing pemburu Poitou "Ia mampu mengejar buruan selama lebih daripada 7 jam. Oleh sebab kelajuannya, nama panggilan anjing pemburu Poitou ialah 'Grehaun dalam kalangan anjing pemburu Perancis'."[3][6]

Walaupun tidak segan, anjing pemburu Poitou dikenali lebih suka menyendiri berbanding dengan baka anjing pemburu lain dan tidak menyesuaikan diri dengan baik apabila tidak dipelihara dalam persekitaran kawanan.[3][5]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu Poitou diturunkan daripada 12 ekor anjing pemburu rusa Inggeris yang dihadiahkan kepada Dauphin Perancis pada tahun 1692. Sesetengah anak kepada anjing-anjing pemburu ini diberikan kepada François de Larrye, Marquis Haut-Poitou, yang menyilangkan mereka dengan anjing-anjing pemburu tempatan. Anak-anak hasil pembiakbakaan silang ini menghasilkan anjing-anjing pemburu triwarna yang kuat dan atletik yang digunakan oleh sang marquis untuk memburu serigala, contoh pertama bagi baka ini.[1][2][3][5] Sebagai tambahan kepada kawanan Larrye, dua lagi kawanan anjing pemburu Poitou dibiakbakakan, kedua-duanya dinamai sempena tuan-tuan mereka, Montembœuf dan Céris. Kedua-dua kawanan ini dibezakan daripada anjing-anjing pemburu Larrye melalui ciri dwiwarna pada anjing-anjingnya (jingga dan putih), dan kedua-duanya dianggap lebih rendah berbanding dengan anjing-anjing pemburu Larrye.[1][3][5]

Semasa Revolusi Perancis, nasib anjing pemburu Poitou merosot dengan mendadak. Marquis de Larrye pada masa itu dipenggal pada tahun 1793 semasa Pemerintahan Ganas, dan kawanan Larrye disuraikan dan baka ini hampir lenyap.[1][2][3][5] Selepas Revolusi, dua bersaudara, Emile dan Arthur de la Besage dari Montmorillon yang tinggal di Poitou, berusaha untuk menghidupkan baka ini semula. Mereka mengumpulkan sebarang sisa anjing pemburu Poitou yang semampunya, termasuk dua ekor daripada kawanan Larrye, dan mengasaskan sebuah kawanan semula.[1][2][3][5] Pada tahun 1842, bencana melanda anjing-anjing pemburu de la Besage, dengan kerebakan rabies di dalam kenel-kenel yang hampir memusnahkan kawanan itu. Baka ini dihidupkan semula melalui pengimportan anjing pemburu rubah Inggeris, suatu program pembiakbakaan silang yang dipertimbangkan secara berhati-hati dilaksanakan, dan dalam tiga generasi, pengaruh anjing pemburu rubah sudah jarang dikenal pasti dalam kawanan.[1][2]

Baka ini merosot dengan teruk semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, dan di penghujung Perang Dunia Kedua, penyilangan luar lanjut dengan anjing pemburu rubah Inggeris diperlukan untuk membina semula baka ini.[1][3][5]

Kegunaan moden[sunting | sunting sumber]

Sementara anjing pemburu Poitou pada asalnya dihasilkan untuk memburu serigala, beberapa kawanan masih dikekalkan di Perancis tetapi kini digunakan untuk memburu babi hutan dan rusa dalam tradisi-tradisi 'Grande Vénérie'.[1][3][4][5] Anjing pemburu Poitou merupakan unsur pusat untuk perkembangan dua baka anjing pemburu kawanan paling popular dari Perancis, anjing pemburu triwarna besar Inggeris-Perancis dan anjing pemburu triwarna Perancis, serta anjing pemburu buruan kecil Inggeris-Perancis.[1][2][5]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو ڤواتو; انجيڠ ڤواتو; ڤواتۏين; Perancis: poitevin; bahasa Inggeris: Poitevin hound
  2. ^ Perancis: chien de Haut-Poitou

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 84–85. ISBN 1-57076-219-8.
  2. ^ a b c d e f g Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 160–161 & 187. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  3. ^ a b c d e f g h i j k Hörter, Rea (Mei 2010). "Poitevin - "Chien du Haut-Poitou": A worker in the 'Grande Vénerie"" (PDF). Canine Chronicle (dalam bahasa Inggeris). Ocala, Florida, Amerika Syarikat: Endeavor Publications. m/s. 226–230. Dicapai pada 12 Disember 2014.
  4. ^ a b Hancock, David (2014). Hounds: Hunting by scent (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Marlborough, United Kingdom: The Crowood Press. m/s. 128 & 148. ISBN 978-1-84797-601-7.
  5. ^ a b c d e f g h i Alderton, David (2000). Hounds of the World (dalam bahasa Inggeris). Shrewsbury: Swan Hill Press. m/s. 93–94. ISBN 1-85310-912-6.
  6. ^ de Cossé Brissac, Pierre (1966). La Vénerie (dalam bahasa Perancis). Paris: Del Duca.