Anjing gembala Belgium

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gembala Belgium
Keragaman anjing gembala Belgium: Groenendael (1), Tervueren (Tervuren) (2), Malines (malinois) (3), dan Laeken (Laken, lakenois) (4)
Negara asalBelgium
Trait
Berat Jantan ≈ 25–30 kilogram (55–65 lb)
Betina ≈ 20–25 kilogram (45–55 lb)
Tinggi Jantan 60–66 sentimeter (24–26 in)
Betina 56–62 sentimeter (22–24 in)
Bulu Berbeza-beza mengikut keragaman
Warna Berbeza-beza mengikut keragaman
Jangka hayat 12–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Groenendael
Trait
Bulu Berbulu panjang
Warna Hitam legam
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Laeken
Trait
Bulu Berbulu kasar
Warna Perang kekuning-kuningan dengan sentuhan tindanan hitam pada lapis bulu dan topeng
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Malines
Trait
Bulu Berbulu pendek
Warna Perang kekuning-kuningan dengan tindanan hitam pada lapis bulu dan topeng
Anjing (Canis lupus familiaris)
Anjing gembala Belgium Tervueren
Trait
Bulu Berbulu panjang
Warna Perang kekuning-kuningan atau kelabu dengan tindanan hitam dan topeng
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Belgium[a] ialah satu baka anjing gembala bersaiz sederhana Belgium. Ia dibiakbakakan dalam empat keragaman berbeza berdasarkan jenis dan warna lapis bulu: anjing gembala Belgium Groenendael yang hitam berbulu panjang; anjing gembala Belgium Laeken yang perang kekuning-kuningan berbulu kasar; anjing gembala Belgium Malines yang perang kekuning-kuningan berbulu pendek; dan anjing gembala Belgium Tervueren yang perang kekuning-kuningan berbulu panjang. American Kennel Club menganggap keempat-empat keragaman ini sebagai baka berasingan.

Baka ini diturunkan daripada sejenis anjing gembala umum yang terdapat di seluruh Eropah Barat yang merangkumi baka-baka moden seperti anjing lembu Ardenne, anjing gembala Belanda, dan anjing gembala Jerman dan ia lazim terlihat dalam perkhidmatan kepada para gembala Belgium selama berabad-abad. Pada penghujung abad kesembilan belas, sebuah kelab baka dibentuk dan percubaan dilakukan untuk memiawaikan baka ini.

Peranannya dalam sejarah adalah sebagai anjing gembala. Ia juga lazim dibela sebagai anjing teman, atau digunakan sebagai anjing pembantu, anjing penghidu, anjing pengawal, anjing pandu, anjing polis, atau anjing pencarian dan penyelamatan. Ia mempunyai sejarah panjang dalam penggunaan oleh pihak polis Belgium serta pasukan tentera, berkhidmat untuk angkatan tentera Belgium dalam kedua-dua perang dunia, serta Tentera Darat Amerika Syarikat sejak itu. Pada abad kedua puluh satu, ia sedang digunakan oleh sebilangan angkatan bersenjata di seluruh dunia dalam pelbagai peranan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Belgium diturunkan daripada jenis umum sama bagi anjing gembala seperti baka-baka serupa Eropah Barat seperti anjing lembu Ardenne, anjing gembala Belanda, dan anjing gembala Jerman, dan selama berabad-abad, ia digunakan oleh gembala Belgium untuk tugas ini.[1][2][3] Tidak seperti di negara-negara Eropah lain yang, sepanjang abad kesembilan belas, mempunyai baka gembala yang dipiawaikan dan pembiak baka yang berusaha untuk mengekalkan baka mereka, menjelang akhir abad itu, anjing gembala Belgium semakin usang dan berada dalam bahaya kepupusan.[4][1][2] Pada tahun 1891, Club de Chien Berger Belge ("Kelab Anjing Gembala Belgium") dibentuk dengan tujuan untuk menyelamatkan jenis ini dan sebuah pasukan yang dipimpin oleh Profesor Adolphe Reul daripada Sekolah Veterinar Cureghem menjalankan tinjauan lapangan bagi jenis tersebut.[4][1][3] Oleh sebab anjing gembala Belgium telah dibiakbakakan selama berabad-abad untuk kebolehan kerja dengan sedikit pertimbangan yang diberikan kepada bentuk, Profesor Reul mendapati bahawa jenis ini amat berbeza-beza dari segi penampilan.[1][5] Sebagai sebahagian daripada kerja mereka, pasukan Profesor Reul mengumpulkan 117 spesimen dan memulakan proses pemiawaian kepada keragaman berlainan.[4][1] Dalam pengelasan anjing-anjing sebagai baka tunggal, pada mulanya pasukan Profesor Reul membahagikan baka ini kepada enam keragaman berlainan berdasarkan jenis dan warna lapis bulu; pada antara tahun 1892 semasa piawaian baka pertama dirangka dengan tahun 1956, sekurang-kurangnya dua keragaman dan sebanyak-banyaknya lapan keragaman diiktiraf sama ada oleh Club de Chien Berger Belge atau Société Royale Saint-Hubert.[5][2]

Pada tahun 1905, keputusan dibuat supaya pembiakbakaan menyaling antara keragaman berlainan patut dilarang, tetapi gangguan yang disebabkan oleh Perang Dunia Pertama menyebabkan penurunan angka baka, maka, pada tahun 1920, keputusan dibuat supaya pengawanan antara keragaman patut diizinkan untuk memulihara baka ini dan mengelakkan isu yang berpunca daripada pembiakan dalam.[2] Perang Dunia Kedua sekali lagi mengancam kebolehhidupan baka ini dan pada lewat tahun 1945, ada keputusan sekali lagi supaya pengawanan antara anjing daripada keragaman berlainan perlu digalakkan, dan melalui pembiakbakaan cermat, anjing gembala Belgium pulih dari segi bilangan.[6][2] Pada tahun 1956, piawaian baka semasa diterima pakai dan menyatakan empat keragaman yang dikenali kini; Groenendael, Laeken (laekenois), Malines (malinois), dan Tervueren.[6][1]

Keragaman Groenendael dipercayai telah dihasilkan pada tahun 1885 oleh Nicholas Rose, pemilik Château de Groenendael.[1][2] Rose memiliki seekor anjing gembala Belgium betina hitam berbulu panjang bernama "Petite", dan sangat menyukai penampilannya sehingga beliau meluangkan lebih daripada setahun untuk mencari pasangan sesuai, akhirnya menemukan seekor anjing jantan bernama "Piccard D'Uccle" yang dimiliki oleh seorang gembala bernama Mr Beernaert, kedua-dua anjing ini dianggap sebagai ternakan asasi bagi keragaman ini.[1][2] Keturunan terbaik pasangan ini dipanggil "Duc de Groenendael" dan "Barroness" yang dikawankan secara meluas dengan anjing gembala Belgium dengan penampilan berlainan dengan keturunan hitam yang dikekalkan.[5][2] Pada mulanya, Rose pernah ingin menamai keragaman ini "Rose", tetapi ini dianggap dapat menyebabkan kekeliruan oleh sebab warna hitamnya, jadi anjing-anjing ini sebaliknya dinamai sempena château beliau, Groenendael.[7] Semasa Perang Dunia Pertama, anjing Groenendael digunakan oleh Tentera Belgium untuk mengesan kedudukan askar tercedera dan membawa pesanan, keberanian anjing-anjing ini diiktiraf oleh askar Amerika Syarikat semasa peperangan dan contoh-contoh diimport ke Amerika Syarikat pada tahun-tahun berikutnya; sehingga kini di Amerika Syarikat, nama Belgian Shepherd atau Belgian Sheepdog ("anjing gembala Belgium") padau mumnya digunakan untuk merujuk anjing Groenendael.[5]

Keragaman Malines (malinois) dikatakan sebagai keragaman pertama yang membiak setia kepada jenis dan pada mulanya ia menjadi begitu terkenal di Belgium sehingga pada satu masa keragaman lain secara kolektif dipanggil "selain malinois", keragaman Malines menjadi tanda aras bagi keragaman lain.[6][5] Keragaman ini mendapat nama sempena rantau Mechelen (yang dipanggil Malines dalam bahasa Perancis) yang mempunyai paling banyak anjing dengan jenis lapis bulu ini yang digunakan gembala tempatan.[6][1][5]

Keragaman Laeken (Laken, laekenois) sentiasa menjadi yang paling jarang; ia mendapat nama sempena Château de Laeken, kediaman keluarga diraja Belgium.[6][2] Anjing Laeken ialah kegemaran Permaisuri Marie Henriette, yang kerap menjaga anjing-anjing ini sebagai jasa kepada para gembala yang mengusahakan padang ragut domain diraja di sekeliling château; naungan ini menyumbang kepada kepopularannya pada masa itu.[6][5] Sebagai tambahan kepada penggunaan sebagai anjing gembala, anjing gembala berbulu kasar Belgium secara tradisional digunakan sebagai anjing pengawal di kawasan di sekeliling Boom, dengan menjaga linen berharga yang dijemur untuk luntur di bawah sinar matahari.[5]

Keragaman Tervueren (Tervuren) dipercayai telah dihasilkan apabila seorang pembuat bir, M. Corbeel, membiakbakakan pasangan anjing gembala berbulu panjang Belgium perang kekuning-kuningan beliau "Tom" dan "Poes", salah seekor daripada keturunan pasangan ini ialah anjing betina perang kekuning-kuningan berbulu panjang bernama "Miss" yang dibeli oleh M. Deanhieux.[1][2][5] Miss dibiakbakakan dengan Duc de Groenendael, bapa pengasas kepada keragaman Groenendael, dan keturunan berwarna perang kekuning-kuningan menjadi keragaman Tervuren yang mendapat nama sempena rantau Tervuren.[1][2] Keragaman Tervueren dianggap amat tegap dan sihat dan di Eropah sebilangan pembiak baka menggunakannya untuk memperkukuh susur galur keragaman lain, terutamanya keragaman Groenendael.[7]

Keragaman Groenendael kekal sebagai keragaman paling banyak, diikuti oleh Tervueren. Bilangan keragaman Malines semakin meningkat, sementara keragaman Laeken kekal agak jarang.[4][6][1]

Pengelasan kelab kenel[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan kelab kenel kebangsaan di dunia termasuk Société Royale Saint-Hubert, serta Persekutuan Kinologi Antarabangsa, mengiktiraf anjing gembala Belgium sebagai satu baka tunggal dengan empat keragaman berlainan.[8][9][5] American Kennel Club mengiktiraf keempat-empat keragaman sebagai baka berasingan, lalu membawa kepada sedikit kesukaran untuk pembiak baka Amerika yang membiakbakakan anjing daripada ternakan Eropah yang diimport. Anjing Groenendael Eropah khususnya dapat melahirkan anak-anak anjing berwarna Tervueren; di kebanyakan bahagian dunia, anak-anak anjing ini boleh didaftarkan sebagai anjing Tervueren, manakala di Amerika Syarikat, anjing ini disingkirkan daripada pendaftaran.[5]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Belgium ialah baka atletik bersaiz sederhana dengan tubuh yang terbina untuk daya ketahanan. Jantan biasanya berdiri setinggi 56–66 sentimeter (22–26 in) dengan betina yang pada purata 4 sentimeter (1.6 in) lebih rendah daripada jantan. Ia biasanya berukuran seberat 20–30 kilogram (45–65 lb); piawaian baka menyatakan bahawa ketinggian unggul ialah 62 sentimeter (24 in) untuk jantan dan 58 sentimeter (23 in) untuk betina.[4][6][8][9] Baka ini mempunyai kepala panjang dan langsing dengan telinga tegak segi tiga yang membulat di pangkal dan muncung yang panjang dan tipis namun seimbang.[6][1][10] Menurut piawaian baka, anjing yang berdiri setinggi 62 sentimeter (24 in) pada paras kelasa patut mempunyai kepala yang sepanjang 25 sentimeter (9.8 in) dan muncung yang kira-kira separuh panjang itu.[8][9] Tubuhnya berotot tetapi tidak terlalu berat; panjang tubuh dari bahu ke punggung adalah hampir-hampir sama dengan ketinggian pada paras kelasa, secara berperkadaran lebih panjang sedikit pada betina; garis atasnya lurus dan perutnya tidak tergantung rendah-rendah mahupun dengan terlalu tinggi seperti yang pada anjing pemburu penglihatan.[10] Dadanya dalam tetapi tidak terlalu lebar; lehernya berotot, melebar di bahu dengan sedikit lengkungan di tengkuk; ekornya kuat dan sederhana panjang dan melengkung ke atas sedikit pada paras lututnya. Tungkai hadapannya lurus dan cukup bertulang, tungkai belakangnya berotot dan berkuasa; tungkainya tidak terlalu berat.[10]

Keragaman[sunting | sunting sumber]

Keempat-empat keragaman berbeza-beza terutamanya dari segi jenis dan warna lapis bulunya. Piawaian baka memerihalkan tiga keragaman lapis bulu; berbulu panjang, berbulu pendek, dan berbulu kasar.[8][9][10] Anjing berbulu panjang mempunyai lapis bulu panjang dan licin dengan bulu pendek di muka, di telinga, dan di tungkai walaupun terdapat rumbai panjang di belakang tungkai, ia mempunyai surai lebat di leher dan di dada mereka, bulu amat panjang di belakang paha dan ekor lebat yang membentuk jumbai.[8][9][10] Anjing berbulu pendek mempunyai bulu amat pendek terutamanya pada muka, telinga, dan bahagian bawah tungkai, pendek di seluruh tubuh dan lebih panjang sedikit di leher dan di ekor.[8][9][10] Anjing berbulu kasar pula mempunyai lapis bulu yang kasar, kering, dan hampir-hampir sepanjang 6 sentimeter (2.4 in) di atas tubuh, ia mempunyai bulu lebih pendek di bahagian atas muncung dan di tungkai dan, tidak seperti jenis lapis bulu lain, ia mempunyai bulu panjang di muka dan di muncung.[8][9][10]

Groenendael[sunting | sunting sumber]

Keragaman Groenendael berbulu panjang, ia mempunyai lapis bulu ganda hitam legam, lapis bulu luarnya lurus dan amat panjang di sekeliling bahu, leher, dan dada; ia mempunyai bulu pendek di muka, dan tungkai dan ekor cukup berjumbai.[6][10]

Laeken[sunting | sunting sumber]

Keragaman Laeken (Laken, laekenois) berbulu kasar, lapis bulunya berwarna perang kekuning-kuningan dengan tindihan hitam halus dan kasar, kering, dan biasanya berpenampilan sedikit kusut; ia mempunyai muncung berbulu dan berjumbai dan jumbai terbatas pada tungkai dan ekor.[6][1] Menurut piawaian baka, tindihan hitam bermaksud bahawa hujung helaian bulu berwarna hitam tetapi bukan dalam tompok atau jalur seperti brindle.[8][9]

Malines[sunting | sunting sumber]

Keragaman Malines (malinois) berbulu pendek, ia berwarna perang kekuning-kuningan dengan tindihan hitam, dengan muka dan hujung-hujung berwarna arang.[6][1]

Tervueren[sunting | sunting sumber]

Keragaman Tervueren (Tervuren) berbulu panjang seperti keragaman Groenendael; lapis bulu gandanya biasanya berwarna perang kekuning-kuningan dengan tindihan hitam dan dengan hujung-hujung hitam, walaupun kelabu dengan hitam diketahui; ia mempunyai lingkaran bulu panjang di sekeliling leher dan jumbai pada tungkai.[6][10]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Belgium terkenal sebagai anjing amat cerdas, berwaspada, dan sensitif; ia biasanya amat mudah dilatih, berjaga-jaga, dan rajin dengan naluri penjagaan kuat yang menjadikannya bersikap pelindung terhadap harta benda dan keluarga, dan sangat sesuai untuk berkhidmat dengan perkhidmatan keselamatan.[1][10][5] Keragaman Groenendael dan Tervueren mempunyai reputasi sebagai anjing yang kadang-kadang tersentap, yang menjadikannya kurang sesuai sebagai anjing pendamping untuk kanak-kanak; keragaman Laeken, walaupun dianggap sangat baik dengan kanak-kanak, kadang-kadang dapat menyusahkan anjing lain.[4][6] Anjing gembala Belgium bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan dan bergerak balas dengan sangat baik terhadap pelatihan tegas dan penuh kefahaman; ia memerlukan pelatihan sejak usia muda, khususnya keragaman Laeken yang dapat mempunyai kecenderungan untuk mencuba untuk mendominasi tuan lemah semangat.[4][5] Baka ini sangat aktif, khususnya keragaman Malines yang mungkin mencerminkan pembiakbakaan berterusan untuk peranan keselamatan, dan kesemuanya memerlukan senaman; baka ini menyesuaikan diri dengan baik untuk tinggal di ruangan dalaman, walaupun keragaman Malines paling tidak sesuai untuk persekitaran ini.[4][5][11]

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Belgium, khususnya keragaman Groenendael, Laeken, dan Tervueren, kebanyakannya dibela sebagai anjing peliharaan atau anjing teman; kesemua keragaman boleh bertanding dalam pertandingan kepatuhan dan schutzhund.[6][5] Anjing ini serba guna dan kerap digunakan sebagai anjing pembantu, anjing penghidu, anjing pengawal, anjing pandu, anjing polis, dan anjing pencarian dan penyelamatans.[6][1]

Sejak kebelakangan ini, anjing Laeken telah digunakan oleh Tentera Belgium dalam pelbagai peranan (sebagai tambahan kepada penggunaan berpanjangan bagi anjing Malines) dan keragaman Tervuren kerap digunakan oleh pertubuhan pemerintah sebagai anjing pengesan dadah.[6][1][5] Anjing Malines khususnya telah menjadi semakin popular dengan pihak kastam, angkatan tentera, pasukan pengawal sempadan, dan angkatan polis;[6][1][5] pertubuhan yang menggunakan malinois termasuk Angkatan Tentera Amerika Syarikat,[12] United States Secret Service,[13] Unit Oketz Angkatan Pertahanan Israel,[14] Angkatan Pertahanan Australia,[15] dan unit anjing anti-pemburuan haram di Taman Negara Kruger.[16]

Seekor malinois Tentera Udara Amerika Syarikat di atas sebuah Kenderaan Tempur M2A3 di Iraq pada tahun 2007

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing gembala Belgium dianggap sebagai baka agak sihat dengan kelanjutan usia sehingga 12 hingga 14 tahun, walaupun alahan kulit, masalah mata, dan displasia terlihat.[4][6] Société Royale Saint-Hubert mengesyorkan agar keempat-empat keragaman diuji untuk displasia pinggul dan siku dan agar anjing Malines diuji untuk epilepsi.[17][18][19][20] Susur galur pekerja bagi anjing Malines telah dikaitkan dengan sindrom berang.[21][22][23] Polimorfisme genetik dalam gen pengangkut dopamin telah dikaitkan dengan sindrom berang dan anjing yang berisiko untuk mewariskan genotip kepada anak dapat dikenal pasti melalui pengujian genetik.[21][22][23]

Contoh ketara[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا بيلجيئم; Perancis: chien de berger belge; berger belge; Belanda: Belgische herdershond; Belgische herder; bahasa Inggeris: Belgian shepherd dog; Belgian shepherd; Belgian sheepdog

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 425–428. ISBN 978-1-57076-219-2.
  2. ^ a b c d e f g h i j k Fiorone, Fiorenzo (1979). Les chiens de berger belges: Groenendael, Tervueren, Malinois, Laekenois (dalam bahasa Perancis). Paris: De Vecchi. m/s. 11–19.
  3. ^ a b Hancock, David (2014). Dogs of the shepherds: a review of the pastoral breeds (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Wiltshire: The Crowood Press Ltd. m/s. 112–113. ISBN 978-1-84797-808-0.
  4. ^ a b c d e f g h i Alderton, David (2008). The encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). Bath: Parragon Books Ltd. m/s. 272–273. ISBN 978-1-4454-0853-8.
  5. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). Atlas of dog breeds of the world (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 170–174.
  6. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 306–307. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  7. ^ a b Fiorone, Fiorenzo (1973). The encyclopedia of dogs: the canine breeds (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Thomas Y. Cromwell Company. m/s. 43–46. ISBN 978-0-690-00056-6.
  8. ^ a b c d e f g h "Standard FCI N°15 BERGER BELGE" [Piawaian FCI No. 15 Anjing Gembala Belgium] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 22 Jun 2001. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  9. ^ a b c d e f g h "FCI-Standard N° 15 CHIEN DE BERGER BELGE (Belgian Shepherd Dog)" [Piawaian FCI No. 15 Anjing Gembala Belgium] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Jeans-Brown. Disemak oleh R. Pollet. 19 April 2002. Dicapai pada 15 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  10. ^ a b c d e f g h i j Jones, Arthur F.; Hamilton, Ferelith (1971). The world encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Galahad Books. m/s. 53–57. ISBN 978-0-88365-302-9.
  11. ^ Vassallo, Laura (2016). "Behavioral differences among Belgian Shepherd Dogs varieties". Dog Behavior (dalam bahasa Inggeris). 2 (2): 15–19. doi:10.4454/db.v2i2.31. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Oktober 2020. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  12. ^ Pawlyk, Oriana (18 September 2020). "US Military working dogs should be American-born, Senator says". Military.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  13. ^ Schmidt, Michael S. (21 September 2014). "White House May Check Tourists Blocks Away". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  14. ^ Winer, Stuart (6 Ogos 2017). "Indian PM's security goes to the (Israeli) dogs". Times of Israel (dalam bahasa Inggeris).
  15. ^ "Military working dogs". Tentera Udara Diraja Australia (dalam bahasa Inggeris). 3 November 2017. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  16. ^ Martin, Guy (28 Mac 2017). "Anti-poaching dogs a game-changer for Kruger". defenceWeb. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  17. ^ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Groenendael". Société Royale Saint-Hubert (dalam bahasa Inggeris). 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Oktober 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  18. ^ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Laekenois". Société Royale Saint-Hubert (dalam bahasa Inggeris). 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Oktober 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  19. ^ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Malinois". Société Royale Saint-Hubert (dalam bahasa Inggeris). 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.[pautan mati kekal]
  20. ^ "Breed Sheet: Belgian Shepherd Tervuren". Société Royale Saint-Hubert (dalam bahasa Inggeris). 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Oktober 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  21. ^ a b Lit, Lisa; Belanger, J. M.; Boehm, D.; Lybarger, N.; Oberbauer, A. M. (9 April 2013). "Dopamine transporter single nucleotide polymorphisms (SNPs) in Belgian Malinois dogs". Animal Genetics (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 44 (5): 604–605. doi:10.1111/age.12040. ISSN 0268-9146. PMID 23565797.
  22. ^ a b Lit, Lisa; Belanger, Janelle M; Boehm, Debby; Lybarger, Nathan; Haverbeke, Anouck; Diederich, Claire; Oberbauer, Anita M (30 Mei 2013). "Characterization of a dopamine transporter polymorphism and behavior in Belgian Malinois". BMC Genetics (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1): 45. doi:10.1186/1471-2156-14-45. ISSN 1471-2156. PMC 3680094. PMID 23718893.
  23. ^ a b Lit, Lisa; Belanger, Janelle M.; Boehm, Debby; Lybarger, Nathan; Oberbauer, Anita M. (23 Dec 2013). "Differences in Behavior and Activity Associated with a Poly(A) Expansion in the Dopamine Transporter in Belgian Malinois". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). Public Library of Science (PLoS). 8 (12): e82948. Bibcode:2013PLoSO...882948L. doi:10.1371/journal.pone.0082948. ISSN 1932-6203. PMC 3871558. PMID 24376613.
  24. ^ Laporta, James (28 Oktober 2019). "Classified name revealed of Special Ops hero dog wounded in Syria raid that killed ISIS leader Baghdadi". Newsweek (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  25. ^ "Dickin Medal for Diesel the police dog killed in Paris attacks raid". BBC Newsbeat (dalam bahasa Inggeris). 28 Disember 2015. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  26. ^ "Rhino poacher-hunting dog from South Africa gets hero medal". BBS News (dalam bahasa Inggeris). 8 Januari 2016. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  27. ^ Byrne, Arabella (2 November 2020). "The rise of the FDOTUS – first dog of the United States". Spectator Life (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Spectator (1828) Ltd. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 November 2020. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  28. ^ Hayne, Jordan (27 Oktober 2018). "'Victoria Cross for animals': Military dog Kuga posthumously awarded Dickin Medal for bravery". ABC news (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  29. ^ "Dog Mali awarded medal for Afghanistan bravery". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 17 November 2017. Dicapai pada 19 Januari 2024.
  30. ^ Franklin, Chris (9 Mac 2019). "Meet Meadow, the first K-9 dog on patrol at an N.J. high school". nj (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  31. ^ Bunch, Jesse (13 September 2023). "The dog that helped capture Danelo Cavalcante is named Yoda". Philadelphia Inquirer (dalam bahasa Inggeris).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]