Anthony Monckton Synnot

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Laksamana Sir Anthony Monckton Synnot KBE, AO, JMN ialah seorang laksamana Tentera Laut Diraja Australia dan pernah menjadi panglima angkatan tentera Australia. Beliau juga pernah menjadi Ketua Turus Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1962. Jawatan itu kini dikenali sebagai Panglima Tentera Laut.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Sir Anthony dilahirkan pada 5 Januari 1922 di Corowa, New South Wales, Australia dan mendapat pendidikan awal di Geelong Grammar School, Melbourne. Beliau menyertai Tentera Laut Australia pada 1939 sebagai pegawai kadet dan dihantar berkursus ke Britannia Royal Naval College, Darmouth, England.

Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Beliau lulus sebagai pegawai kadet kanan pada tahun berikutnya dan ditauliah sebagai leftenan madya lewat 1940 pegawai di atas kapal HMS Stuart. HMS Stuart beroperasi di perairan Mediterranean dan terlibat dalam pertempuran Cape Matapan dan operasi pemindahan di Yunani dan Krete. Seterusnya beliau bertugas di kapal tempur HMS Barham dan pembinasa HMS Punjabi. Ketika di Punjabi, kapal berkenaan terlibat dalam kemalangan dan karam akibat berlaga dengan kapal tempur HMS King George V di perairan Artik. Beliau bernasib baik kerana diselamatkan oleh kapal pengiring yang lain. Beliau kemudiannya berkhidmat di atas pembinasa HMAS Quiberon selama dua tahun sehingga menjadi pegawai laksana kapal tersebut ketika berumur 22 tahun.

Pegawai Memerintah[sunting | sunting sumber]

Selepas menjadi jurulatih senjata seketika, beliau dinaikkan pangkat ke leftenan komander (1950) dan komander (1954). Pada 1956 beliau diberikan command pertama iaitu HMAS Warramunga dan berkhidmat di Tanah Melayu ketika Darurat. Kemudian beliau menjadi pegawai memerintah pembinasa HMS Vampire berpangkat kepten. Dari 1960 hingga 1962, Sir Anthony dan Vampire menjalankan beberapa operasi di sekitar perairan Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Pada 1962 beliau dilantik menjadi Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia yang ketiga dan dinaikkan ke pangkat komodor. Beliau telah membantu perkembangan TLDM di awal kewujudannya dan meneguhkan tradisi yang diwarisi daripada Royal Navy. Jasa beliau sepanjang berkhidmat di Tanah Melayu/Malaysia dibalas dengan penganugerahan darjah Johan Mangku Negara oleh kerajaan persekutuan. Malangnya keuzuran dan akhirnya pemergian isteri beliau, Virginia Synnot memaksa beliau kembali ke Australia.

Jawatan penting[sunting | sunting sumber]

Sir Anthony menjadi pegawai memerintah kapal pengangkut pesawat HMS Sydney (1966) dan melaksanakan operasi membantu tentera bersekutu ketika Perang Vietnam. Seterusnya beliau memerintah kapal pengangkut pesawat HMS Melbourne. Pada 1970 beliau dilantik sebagai ahli Majlis Tentera Laut memakai pangkat laksamana muda dan kemudiannya dilantik timbalan panglima tentera laut Australia. 1973, beliau menjadi panglima armada Australia dan November 1976 menjadi panglima tentera laut Australia berpangkat laksamana madya. Kemuncak kerjaya beliau ialah ketika dilantik sebagai panglima angkatan tentera Australia pada bulan April 1979. Serentak dengan itu beliau dinaikkan ke pangkat laksamana penuh. Pada tahun itu juga beliau dianugerahkan gelaran "Sir" dengan menyandang darjah Knight Commander of the Order of the British Empire. Beliau bersara pada tahun 1982 ketika berumur 60 tahun.

Seorang laksamana[sunting | sunting sumber]

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai panglima angkatan tentera Australia, beliau melaksanakan beberapa program demi pembangunan tentera Australia. Antaranya, perolehan pesawat pejuang F/A 18 Hornet dan pembelian kapal pengangkut pesawat terpakai Tentera Laut Diraja British HMS Invincible. Bagaimanapun pembelian Invincible dibatalkan sejurus selepas beliau bersara. Beliau berkahwin kali kedua pada 1968 dengan Anne Colvin, anakanda kepada Laksamana Sir Ragnar Colvin Royal Navy. Beliau meninggal dunia pada 4 Julai 2001 setelah mengalami keuzuran yang panjang dan kehilangan penglihatan. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.


Penyandang Terdahulu Panglima Tentera Laut
1962 – 1965
Penyandang Kemudian
Rear Admiral W J Dovers Commodore A N Dollard


Rujukan[sunting | sunting sumber]