Arnab

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Arnab
Pengelasan saintifik
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Order: Lagomorpha
Famili: Leporidae
Fischer de Waldheim, 1817
Genus

Pentalagus
Bunolagus
Nesolagus
Romerolagus
Brachylagus
Sylvilagus
Oryctolagus
Poelagus
Caprolagus
Pronolagus
Lepus

Arnab (rabbit) atau kelinci (hare) merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam famili Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha. Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi kacip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.

Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal dari bahasa Arab, iaitu arnab[1] ( أرنب). Perkataan "kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal dari bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti "anak arnab".[2] Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972.[3] Nama saintifik famili "Leporidae" pula berasal dari perkataan lepus, iaitu arnab dalam bahasa Latin.

Habitat[sunting | sunting sumber]

Lubang arnab

Bermacam-macam jenis arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun, tundra dan tanah lembap[4] mengikut kesesuaian dengan spesiesnya. Kebanyakan spesies arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, tetapi berbeza pula dengan arnab dalam genus Lepus yang bertempat tinggal di atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies arnab tinggal secara berkelompok.

Lebih separuh jumlah populasi arnab di dunia tinggal di Amerika Utara.[4] Arnab juga merupakan haiwan asli di Eropah, Asia Tenggara, Asia Timur, Afrika dan Amerika Selatan. Arnab mula-mula memasuki Amerika Selatan kesan peristiwa Pertukaran Besar Amerika. Sebahagian besar benua itu cuma ada satu spesies arnab, iaitu tapeti, manakala di kawasan kerucut selatan benua itu pula tiada spesies arnab yang asli.

Anatomi[sunting | sunting sumber]

Arnab merupakan mamalia bersaiz kecil atau sederhana, mengikut spesiesnya, iaitu sekecil Brachylagus idahoensis yang panjangnya 25–29 cm dari kepala hingga ekor, dan beratnya sekitar 300 gram, hingga sebesar Lepus europaeus yang mencapai kepanjangan 50–76 cm dan berat 2.5 hingga 5 kilogram. Bulu arnab biasanya tebal dan lembut, berwarna perang, kelabu, atau kuning pucat. Ekornya berbentuk segumpal kecil bulu berwarna keperangan (berhujung putih bagi arnab ekor kapas).[5] Arnab liar tidak ketara perbezaannya dari segi kadaran tubuh atau cara berdiri, dengan tubuh badan yang montok dan berbentuk telur.

Arnab merupakan haiwan digitigrad, iaitu berjalan secara menjengket. Arnab mempunyai sepasang kaki belakang berjari empat yang panjang, dan kaki hadapan berjari lima yang lebih pendek (termasuk kuku embun pada tapak kaki).[6] Arnab mempunyai kaki belakang yang besar dan kuat. Tapak kakinya berbulu supaya mudah mencengkam tanah ketika berlari, apatah lagi dilengkapi kuku yang kuat di kesemua jari kakinya.

Arnab juga terkenal dengan telinga yang panjang dan boleh digerakkan, serta deria pendengaran yang hebat sekali. Matanya besar dan penglihatannya bagus pada waktu malam, mencerminkan kehidupan arnab liar sebagai haiwan nokturnal (berjaga malam) atau krepuskul (berjaga senja).[7] Telinga arnab yang sepanjang 10 cm (3.9 in) atau lebih, mungkin merupakan kesan adaptasi untuk mengesan pemangsa.

Arnab mempunyai dua peranggu gigi acip, iaitu satu di depan dan satu lagi di belakang. Oleh yang demikianlah arnab sebenarnya tidak tergolong dalam rodensia.[8] Carl Linnaeus pernah menggolongkan arnab dan rodensia dalam kelas Glires; tetapi mereka berdua kemudian diasingkan kerana ramai sekali yang berpendapat bahawa keserupaan sesama mereka adalah hasil evolusi tumpuan. Akan tetapi, analisa DNA terkini serta penemuan leluhur sepunya telah menyokong hujah bahawa arnab dan rodensia sama keturunan, oleh itu kedua-duanya sekali dianggap tergolong dalam satu superkelas iaitu Glires.[9]

Arnab merupakan haiwan pencerna usus belakang, yakni kebanyakan proses pencernaan arnab berlaku di dalam usus besar dan usus buntunya. Dalam tubuh arnab, sekum adalah 10 kali besar perut. Sekum dan usus besar membentuk kira-kira 40% saluran pencernaan arnab.[10] Perototan sekum yang unik ini membolehkan salur ususnya menapis bahan berserabut daripada bahan yang lebih mudah dicernakan; bahan berserabut itu dikumuhkan dalam bentuk tinju, manakala bahan yang lebih berkhasiat itu dibubuh dalam lapis mukus dalam bentuk sekotrop (tinja malam). Sekotrop ini kaya dengan zat galian, vitamin dan protein yang diperlukan untuk kesihatan arnab. Arnab memakan bahan kumuh ini untuk memenuhi keperluan khasiatnya; lapisan mukus membolehkan khasiatnya melalui perut yang berasid untuk dicernakan dalam usus. Proses ini membolehkan arnab menyarikan khasiat-khasiat yang diperlukan dari makanannya.[11]

Arnab merupakan haiwan mangsa, oleh itu ia sentiasa peka terhadap persekitarannya. Jika berdepan dengan kemungkinan ancaman, arnab berhenti bergerak dan memperhatikan sekitarnya, kemudian mengingatkan arnab-arnab lain dalam sarang dengan berdetap-detup sekuat-kuatnya di atas tanah. Arnab mempunyai medan penglihatan yang sangat luas, cukup berguna untuk mengimbas persekitaran di atas kepalanya.[12] Arnab terlepas dari pemangsa dengan menggali tanah, meloncat pergi secara gerak siku keluang, dan memberikan sepakan yang kuat dengan kaki belakang sekiranya ditangkap. Gigi yang kuat juga membolehkan arnab menggigit musuh untuk melepaskan diri daripada pergelutan.[13]

Evolusi[sunting | sunting sumber]

Spesies arnab tertua yang dikenal pasti setakat ini berasal dari akhir zaman Eosen, ketika famili arnab ini sudah berada di Amerika Utara dan Asia. Sepanjang perjalanan evolusinya, kelompok ini semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan berlari dan meloncat dengan pantas. Misalnya, Palaeolagus, spesies arnab pupus dari epok Oligosen di Amerika Utara, mempunyai kaki belakang yang lebih pendek daripada arnab zaman sekarang (menandakan bahawa ia mungkin lebih pandai berlari daripada meloncat) tetapi selain itu sama sifatnya dengan arnab moden[14].

Biologi dan tabiat[sunting | sunting sumber]

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Seperinduk anak arnab
Anak arnab dalam sarang

Arnab mempunyai kadar pembiakan yang besar sekali. Musim membiak bagi kebanyakan arnab adalah 9 bulan, dari Februari hingga Oktober. Di Australia & New Zealand, musim membiak adalah dari akhir Julai hingga akhir Januari. Tempoh kebuntingan biasanya adalah 30 hari, ataupun lebih lama lagi bagi arnab dalam genus Lepus. Arnab biasanya boleh melahirkan 4 hingga 12 ekor anak, tetapi baka yang lebih besar mampu melahirkan banyak lagi arnab. Seekor anak arnab boleh bercerai susu sebaik mencecah umur 4 hingga 5 minggu. Ertinya, dalam satu musim, seekor ibu arnab boleh melahirkan sebanyak 800 anak, cucu dan cicit. Arnab betina sedia membiak pada usia sekitar enam bulan, dan arnab jantan pula sekitar tujuh bulan. Arnab mengambil masa yang sangat singkat untuk pikat-memikat dan mengawan, iaitu selama 30 hingga 40 saat. Kelakuan arnab ketika pikat-memikat melibatkan jilat-menjilat, hidu-menghidu, dan si jantan mengejar si betina. Arnab juga sering menyembur kencing sebagai kelakuan seksual. Arnab betina mungkin keguguran bulu bergumpal-gumpal sewaktu tempoh hamil.

Proses penghasilan ovum bermula 10 jam selepas mengawan. Selepas mengawan, arnab betina membuat dan mengalas sarangnya dengan bulu dari gelambir, rusuk dan perutnya. Kelakuan ini juga mendedahkan puting arnab betina untuk membolehkannya menetek anak-anaknya. Dalam kebanyakan spesies, anak arnab lahir buta, dogel, dan tidak berupaya (kecuali spesies-spesies dalam genus Lepus dan Sylvilagus yang anaknya sudah berbulu, boleh membuka mata dan mampu menjaga diri sebaik sahaja dilahirkan). Keimunan pasif (keimunan yang diperoleh melalui pemindahan antibodi atau limfosit peka daripada haiwan lain) diperoleh oleh anak arnab sebelum lahir melalui pemindahan plasenta. 10 atau 11 hari selepas lahir, anak arnab boleh membuka mata, kemudian ia boleh makan sendiri sekitar usia 14 hari.

Walaupun dogel ketika lahir, namun bulu anak arnab mula tumbuh dalam masa beberapa hari sahaja. Pada umur 5 hingga 6 minggu, bulu anak arnab yang lembut ini diganti dengan bulu pra-dewasa. Sekitar umur 6 hingga 8 bulan, bulu pertengahan ini diganti pula dengan bulu dewasa sepenuhnya, selepas itu arnab bersalin bulu dua kali setahun. Oleh sebab susu arnab sangat berkhasiat, anak arnab hanya perlu ditetek selama beberapa minit, sekali atau dua kali sehari.[15]

Jangka hayat arnab adalah kira-kira 9–12 tahun;[16][17] arnab yang paling panjang usia di dunia mencapai 18 tahun.[18]

Pemakanan[sunting | sunting sumber]

Hampir semua arnab merupakan haiwan maun (kecuali beberapa spesies Lepus),[19][20], yang gemar meragut rumput, herba, dan rumpai berdaun, tetapi juga memakan buah-buahan dan biji-bijian. Oleh itu, diet arnab mengandungi jumlah selulosa yang banyak dan sukar dicernakan. Masalah ini diselesaikan dengan mengumuhkan dua jenis tinja yang berbeza, iaitu tahi keras dan biji-biji hitam lembut likat yang dimakan segera. Arnab memakan semula bahan buangannya sendiri (tidak mengunyah mamahan seperti yang dilakukan oleh lembu dan haiwan maun yang lain) untuk mencernakan lagi makanannya serta memperoleh khasiat yang mencukupi.[21]

Sama seperti rodensia (tikus dan sebagainya), arnab mempunyai sepasang gigi acip depan yang kuat, tetapi juga dilengkapi sepasang lagi gigi acip di kedua-dua belah gigi besar pada rahang atas, apatah lagi struktur giginya berbeza daripada gigi acip rodensia. Sama dengan rodensia juga, arnab tiada gigi taring, tetapi pipinya lebih berisi daripada rodensia. Rumus kegigian kebanyakan spesies arnab ialah Upper: 2.0.3.3 / Lower: 1.0.2.3

Arnab meragut dengan sekuat-kuat dan secepat-cepatnya pada separuh jam pertama waktu meragut (biasanya pada lewat petang), diikuti pemakanan yang lebih berpilih pada separuh jam seterusnya. Pada waktu ini, arnab juga mengumuhkan biji-biji tahi yang keras dan tidak dimakan semula. Jika persekitarannya tidak begitu mengancam, arnab boleh berada di luar sarang berjam-jam lamanya, dan sekali-sekala meragut makanan. Ketika di luar sarang, adakalanya arnab memakan semula biji-biji kumuhan lembut yang separa tercerna. Kelakuan ini jarang dapat diperhatikan kerana biji-biji tersebut dimakan semula sebaik sahaja dikumuhkan. Pemakanan semula ini paling biasa berlaku sekejap-sekejap dalam sarang dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Bijian keras terbentuk daripada cebisan kulit ari dan tangkai tumbuhan yang seakan rumput kering, iaitu hasil buangan akhir selepas bijian lembut dimakan semula. Tahi keras ini hanya dikumuhkan di luar sarang dan tidak dimakan balik. Tahi lembut biasanya dihasilkan beberapa jam selepas meragut rumput, iaitu selepas semua tahi keras dikumuhkan. Tahi lembut ini terdiri daripada mikro-organisma dan dinding sel tumbuhan yang tak tercerna.

Bahan tumbuhan yang terkunyah berkumpul dalam sekum besar, sebuah kebuk sekunder di antara usus besar dan kecil yang berisi sejumlah besar bakteria simbiosis yang membantu pencernaan selulosa serta menghasilkan vitamin B tertentu. Biji tahi ini terdiri daripada 56% bakteria pada berat kering, dan oleh itu mengandungi purata 24.4% protein. Biji-biji ini kekal utuh selama enam jam dalam dalam perut, sementara bakteria dalamnya terus mencernakan karbohidrat tumbuhan. Tahi lembut terbentuk di sini dan mengandungi vitamin yang sebanyak lima kali ganda dalam tahi keras. Selepas dibuang, tahi lembut itu dimakan bulat-bulat oleh arnab dan dicernakan semula di dalam perut. Proses pencernaan berganda ini membolehkan arnab menggunakan khasiat yang mungkin terlepas olehnya ketika mula-mula melalui usus, dan juga khasiat-khasiat yang terbentuk daripada kegiatan mikrob untuk memastikan supaya arnab memperoleh khasiat yang secukupnya daripada pemakanannya.[5] Proses bagi arnab ini sama tujuannya dengan peruminatan bagi lembu dan kambing.[22]

Arnab tidak boleh muntah kerana dilarang oleh fisiologi sistem pencernaannya.[23]

Hubungan dengan manusia[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Arnab bela jinak

Arnab sebagai haiwan belaan[sunting | sunting sumber]

Arnab Eropah (Oryctolagus cuniculus)

Arnab juga terkenal sebagai haiwan belaan yang boleh tinggal dalam rumah. Arnab dalam rumah biasanya dikurung dalam petak atau sangkar, ataupun diletakkan dalam tempat yang selamat untuk berkeliaran atau bersenam, seperti ruang tamu. Arnab boleh dilatih untuk menggunakan kotak jerami (untuk membuang air) ataupun menyambut panggilan orang. Arnab bela jinak yang tidak tinggal dalam rumah pula biasanya ditempatkan dalam sangkar di luar rumah. Ada arnab belaan yang tinggal dalam sangkar di luar pada waktu siang untuk mendapatkan udara segar dan cahaya matahari, kemudian dibawa masuk pada waktu malam. Arnab dalam genus Lepus jarang sekali dijadikan haiwan belaan.

Tak kira di dalam atau di luar, kurungan arnab biasanya dimeriahkan dengan alat-alat seperti para, terowong, bola, dan mainan. Arnab belaan juga diberikan ruang tambahan untuk bersenam, untuk meniru ruang terbuka yang direntasi oleh arnab liar. Petak bersenam juga digunakan sebagai tempat yang selamat untuk arnab berkeliaran.

Makanan arnab belaan biasanya terdiri daripada rumput Timothy yang tak terhingga, sedikit makanan biji, dan sedikit sayur-sayuran segar. Arnab memerlukan bekalan air segar yang bersih dan tak terbatas. Arnab ialah haiwan sosial yang boleh mencari teman dengan pelbagai jenis haiwan, termasuk manusia, arnab lain, tikus belanda ataupun kucing dan anjing. Pertubuhan kebajikan haiwan seperti House Rabbit Society mengesyorkan agar arnab tidak dijadikan haiwan belaan kanak-kanak kecil kerana kanak-kanak pada usia ini biasanya sukar berdiam diri, bertenang dan berlemah-lembut ketika bersama arnab. Sebagai haiwan mangsa, arnab merupakan haiwan yang sentiasa berjaga-jaga dan mudah terkejut. Tulang arnab rapuh sekali, khususnya di bahagian belakang, oleh itu arnab perlu didukung pada perut dan punggungnya apabila diangkat. Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas biasanya cukup matang untuk menjaga arnab.[24]

Arnab sebagai sumber makanan dan pakaian[sunting | sunting sumber]

Daging arnab di pasaran
Pedati kayu lama yang ditimbuni kulit arnab, di New South Wales, Australia

Selain menjadi haiwan peliharaan, arnab juga diternak untuk daging sebagai makanan manusia, terutamanya di Eropah, Amerika Utara dan Selatan, dan Timur Tengah. Daging arnab masih dijual dalam pasar dan kedai daging di United Kingdom, tetapi bukan dalam pasar raya, sebaliknya lebih tertumpu di pasar tani dan juga Borough Market yang terkenal di London, di mana bangkai arnab diperagakan di khalayak umum secara tergantung bersama burung kuang dan haiwan buruan yang lain.[25] Daging arnab pernah dijual secara besar-besaran di Sydney, Australia, tetapi kini sudah berkurangan ekoran penyakit miksomatosis yang diperkenalkan di negara itu untuk cuba menghapuskan populasi arnab buas.

Daging arnab diperoleh dengan memburu atau menternak. Jerat dan senjata berapi digunakan untuk menangkap arnab liar untuk dimakan. Di merata tempat, arnab juga diternak untuk dagingnya, kemudian disembelih dengan menghentak belakang kepalanya. Daging arnab merupakan sumber protein yang bermutu tinggi[26], dan boleh digunakan dalam sebanyak cara yang boleh seperti daging ayam. Sebenarnya, seorang tukang masak terkenal, Mark Bittman berkata bahawa daging arnab ternak sama rasanya dengan ayam kerana kedua-dua dagingnya ibarat palet kosong yang boleh dilapisi dengan mana-mana perisa yang disukai.[27] Daging arnab lebih pejal daripada daging lembu, babi dan ayam.

Penggunaan arnab sebagai sumber makanan berdaging dibelenggui beberapa masalah, antaranya termasuk: tularemia (“demam arnab”)[28], dan juga “kebuluran arnab” yang mungkin sekali disebabkan oleh kekurangan asid lemak penting dalam daging arnab. Arnab juga menjadi makanan kegemaran ular sawa besar, seperti ular sawa Burma dan ular sawa rendam, baik di alam liar mahupun dalam kurungan.

Pemakanan arnab adalah terlarang dalam agama Yahudi kerana meskipun mengunyah mamahannya, namun kukunya tidak berbelah, seperti yang ditetapkan oleh kitab Imamat[29] dan kitab Ulangan[30] dalam Alkitab Ibrani.

Bulu arnab adakalanya digunakan untuk membuat pakaian dan perhiasan diri, seperti skaf dan topi. Arnab Angora diternak untuk bulunya yang panjang dan halus dan boleh dicukur seperti bulu biri-biri. Arnab juga bagus untuk menghasilkan tahi dan kencing yang penuh dengan nitrogen, untuk meningkatkan daya pengeluaran pokok lemon. Susu arnab juga memberikan faedah perubatan dan khasiat kerana kekayaan kandungan proteinnya.[31]

Masalah alam sekitar[sunting | sunting sumber]

Arnab Eropah yang diserang penyakit miksomatosis di Shropshire, England.
Apabila dibawa masuk ke tempat baru, arnab boleh membiak secara berlebihan sehingga mengacau ketenteraman manusia, seperti di kampus universiti ini.

Arnab menjadi punca masalah alam sekitar apabila dilepaskan ke alam liar oleh manusia. Disebabkan kekuatan selera dan kadar pembiakannya, penjarahan arnab liar mendatangkan masalah kepada para petani. Pelbagai cara telah digunakan untuk membendung populasi arnab, seperti menyembur gas, membina pagar, menembak, menjerat, dan membela feret sebagai pemangsa, namun cara-cara yang paling berkesan ialah penciptaan penyakit miksomatosis dan kalisivirus. Di Eropah, di mana arnab diternak secara besar-besaran, arnab dilindungi daripada ancaman miksomatosis dan kalisivirus dengan sejenis virus terubah suai secara genetik yang dibangunkan di Sepanyol.

Di Australia dan New Zealand, arnab dipandang sebagai haiwan perosak sehingga tuan tanah diwajibkan oleh undang-undang untuk mengawalnya.[32][33]

Arnab dalam kebudayaan dan kesusasteraan[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab kebolehannya banyak beranak, arnab dilihat sebagai lambang kesuburan atau kelahiran semula, dan sekian lama dikaitkan dengan musim bunga dan perayaan Easter (seperti Arnab Easter). Peranan spesies arnab sebagai haiwan mangsa juga menjadikan arnab sebagai lambang kemurnian hati.

Budaya rakyat dan mitos[sunting | sunting sumber]

Dalam budaya rakyat, arnab sering dijadikan watak penipu yang menggunakan kelicikan untuk mengatasi musuhnya.

  • Dalam mitos Aztek, satu dewata 400 dewa-dewi arnab yang bernama Centzon Totochtin, diketuai oleh Ometochtli atau Dwi-Arnab, melambangkan kesuburan, keraian, dan kemabukan.
  • Dalam mitos Cina, seekor ‘arnab jed’ mengiringi dewi Chang'e di Bulan. Arnab juga ialah satu daripada dua belas bintang dalam zodiak Cina. Harus diambil perhatian bahawa versi Vietnam bagi zodiak Cina menggantikan arnab dengan kucing, kerana arnab bukan haiwan asli di Vietnam.
  • Kaki arnab dibawa sebagai azimat yang dipercayai membawa tuah. Amalan ini terdapat di merata dunia, semenjak seawal-awal tahun 600 SM di Eropah.[34]
  • Dalam mitos Jepun, arnab tinggal di Bulan untuk membuat pulut mochi. Ini berasal dari corak tompok-tompok gelap pada permukaan bulan yang menyerupai arnab yang berdiri berjengket-jengket sambil menumbuk lesung. Mitos Korea ada cerita yang seumpama ini, cuma arnab di bulan membuat kuih tteok.

Arnab cereka[sunting | sunting sumber]

Perwatakan arnab sebagai tukang helah menonjol dalam budaya popular Amerika; misalnya watak Br'er Rabbit dalam cerita rakyat kaum Amerika Afrika; tidak lupa juga watak kartun kesukaan ramai, Bugs Bunny ciptaan Warner Bros. Arnab yang bersifat manusia turut muncul dalam filem, bahan sastera dan teknologi, khususnya watak Arnab Putih (White Rabbit) dan March Hare dalam Alice's Adventures in Wonderland oleh Lewis Carroll; tidak lupa juga siri Peter Rabbit oleh Beatrix Potter.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Arnab Ekor Kapas Timur (Sylvilagus floridanus)

Arnab pernah digolongkan dalam order Rodentia sehingga tahun 1912, kemudian dialihkan ke order baru Lagomorpha bersama pika.

Order Lagomorpha

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. arnab, World Loanword Database (WOLD), Max Planck Digital Library. Dicapai pada 7 Disember 2010.
  2. kelinci, World Loanword Database (WOLD), Max Planck Digital Library. Dicapai pada 7 Disember 2010.
  3. Meijaard E & Sugardjito J (2008). Nesolagus netscheri. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2008. IUCN 2008. Dicapai pada 2009-01-22. Listed as Vulnerable B1ab(i,ii,iii,iv,v) ver 3.1
  4. 4.0 4.1 "Rabbit Habitats". Diperolehi pada 2009-07-07. 
  5. 5.0 5.1 "rabbit". Encyclopædia Britannica (edisi ke-Standard Edition). Chicago: Encyclopædia Britannica, Inc. 2007. 
  6. "Rabbits: Rabbit feet". Diperolehi pada 2010-07-13. 
  7. Chapman, J. & Schneider, E. (1984). Macdonald, D., pengarang. The Encyclopedia of Mammals. New York: Facts on File. pp. 714–719. ISBN 0-87196-871-1. 
  8. Brown, Louise (2001). How to Care for Your Rabbit. Kingdom Books. p. 6. ISBN 9781852791674. 
  9. Ferrets, Rabbits, and Rodents: Clinical Medicine and Surgery
  10. "Feeding the Pet Rabbit"
  11. Dr. Byron de la Navarre's "Care of Rabbits" Susan A. Brown, DVM's "Overview of Common Rabbit Diseases: Diseases Related to Diet"
  12. Sharon L. Crowell Davis, Behavior of Exotic Pets. Wiley Blackwell, 2010, m/s. 70
  13. Susan E. Davis and Margo DeMello, Stories Rabbits Tell: A Natural And Cultural History of A Misunderstood Creature. Lantern Books, 2003, m/s. 27.
  14. Savage, RJG, & Long, MR (1986). Mammal Evolution: an illustrated guide. New York: Facts on File. pp. 128–129. ISBN 0-8160-1194-X. 
  15. "Rabbit Pictures & Facts: Diet, Digestive Tract, and Reproduction". Fohn.net. Diperolehi pada 2010-08-30. 
  16. Animal Lifespans from Tesarta Online (Internet Archive)
  17. The Life Span of Animals from Dr Bob's All Creatures Site
  18. "What's the lifespan of a rabbit?". House Rabbit Society. Diperolehi pada 2010-09-27. 
  19. Best, Troy L.; Henry, Travis Hill (1994). "Lepus arcticus". Mammalian Species (457) (American Society of Mammalogists, Diterbitkan pada June 2, 1994). pp. 1–9. doi:10.2307/3504088. OCLC 46381503 
  20. "Snowshoe Hare" (HTML). eNature: FieldGuides. eNature.com. 2007. Diperolehi pada 2008-03-23. 
  21. "Information for Rabbit Owners - Oak Tree Veterinary Centre". Oaktreevet.co.uk. Diperolehi pada 2010-08-30. 
  22. The Private Life of the Rabbit, R. M. Lockley, 1964. Chapter 10.
  23. "True or False? Rabbits are physically incapable of vomiting. (Answer to Pop Quiz)". 
  24. "Children and Rabbits". Rabbit.org. Diperolehi pada 2010-08-30. 
  25. Furness Fish & Game, Borough Market. Dicapai pada 17 Januari 2011.
  26. "Rabbit: From Farm to Table". 
  27. "How to Cook Everything :: Braised Rabbit with Olives". 2008. Diarkibkan daripada asal pada 2008-05-17. Diperolehi pada 2008-07-17. 
  28. "Tularemia (Rabbit fever)". Health.utah.gov. 2003-06-16. Diperolehi pada 2010-08-30. 
  29. Imamat 11:6, Alkitab.
  30. Ulangan 14:7, Alkitab.
  31. Houdebine, Louis-Marie; Fan, Jianglin (1 June 2009). Rabbit Biotechnology: Rabbit Genomics, Transgenesis, Cloning and Models. シュプリンガー・ジャパン株式会社. pp. 68–72. ISBN 9789048122264. Diperolehi pada 8 October 2010. 
  32. "Feral animals in Australia - Invasive species". Environment.gov.au. 2010-02-01. Diperolehi pada 2010-08-30. 
  33. "Rabbits - The role of government - Te Ara Encyclopedia of New Zealand". Teara.govt.nz. 2009-03-01. Diperolehi pada 2010-08-30. 
  34. Ellis, Bill: Lucifer Ascending: The Occult in Folklore and Popular Culture (University of Kentucky, 2004) ISBN 0-8131-2289-9

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikibooks
Buku resipi Wikibuku mempunyai resipi