Arnab peliharaan jinak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Arnab bela jinak)
Lompat ke: pandu arah, cari
Arnab peliharaan jinak
Status pemuliharaan
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Chordata
Kelas: Mamalia
Order: Lagomorpha
Famili: Leporidae
Genus: Oryctolagus
Lilljeborg, 1873
Spesies: O. cuniculus
Nama binomial
Oryctolagus cuniculus
(Linnaeus, 1758)

Arnab peliharaan jinak terdiri daripada sesetengah jenis arnab Eropah yang dijinakkan sebagai haiwan peliharaan atau ternakan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Arnab disimpan dalam sangkar bersekat untuk tujuan uji kaji sains

Pada sekitar 1100-an SM, para pelaut Phoenicia yang mengunjungi pinggir pantai Sepanyol telah menemui arnab Eropah yang disalah sangka oleh mereka sebagai satu spesies arnab dari tanah air mereka (Procavia capensis, Bahasa Ibrani: שפן סלע shafan sela), lalu memberikan nama i-shepan-ham kepada arnab itu. Wujudnya satu teori bahawa nama i-shepan-ham ini dicemarkan dan dipakai oleh bangsa Rom, sehingga menjadi nama Latin untuk Sepanyol, iaitu Hispania.[2] Di Rom, arnab diternak dalam koloni bertembok secara besar-besaran.

Pembiakbakaan arnab secara berpilih bermula pada Zaman Pertengahan, apabila arnab mula-mula diternak sebagai haiwan ladang. Pada abad ke-16, tercatatnya beberapa baka baru yang beraneka warna dan saiznya.

Pada abad ke-19, apabila orang ramai semakin menggemari haiwan, penggemar arnab mula menghadiri pertunjukan arnab di Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Baka-baka baru direka dan diubah suai untuk tujuan pertunjukan, sesuatu yang baru berbanding baka-baka yang direka sebagai sumber makanan atau bulu. Kebangkitan arnab sebagai haiwan belaan rumahtangga bermula pada zaman Victoria. Arnab domestik masih popular sebagai haiwan belaan dan pertunjukan.

Arnab juga digunakan dalam kerja makmal untuk pelbagai tujuan seperti kajian antibodi sebagai vaksin dan penyelidikan toksikologi sistem pembiakan lelaki manusia. Para pejuang hak asasi haiwan membangkang pengujikajian haiwan untuk tujuan bukan perubatan, seperti ujian barangan kosmetik dan pembersih, sehingga menyebabkan penggunaan arnab berkurangan dalam bidang-bidang berkenaan.

Baka[sunting | sunting sumber]

Holland Lop putih bertompok hitam
Rencana utama: Senarai baka arnab

Terdapat berbilang-bilang baka arnab peliharaan jinak yang bermacam-macam saiz, pembawaan, dan keperluan penjagaan. Sama seperti anjing atau kucing, baka arnab dibiakbakakan secara berpilih oleh manusia sepanjang zaman untuk mendapatkan ciri-ciri tertentu yang diingini, termasuk warna dan tekstur bulu, saiz dan bentuk tubuh. Keperluan penjagaannya turut banyak berubah-ubah; misalnya, sesetengah baka terbaru perlu disikat beberapa kali sehari tanpa henti, dan ada juga baka yang sering mengalami masalah gigi. Pembawaan arnab berbeza-beza sedikit mengikut baka dan jantina, sama seperti mana-mana haiwan lain. Terdapat lebih 47 baka arnab yang diiktiraf oleh Persatuan Pembiak Baka Arnab Amerika Syarikat, tetapi di terdapat banyak lagi baka arnab di serata dunia.

Kebanyakan kecacatan genetik dalam arnab peliharaan jinak disebabkan oleh gen-gen resesif. Gen-gen ini dijejaki dengan teliti oleh penggemar baka-baka berkenaan untuk membasmi kecacatan yang tidak diingini, sebagaimana penggemar kucing dan anjing memeriksa masalah pinggul, mata dan jantung haiwan masing-masing.

Pemakanan[sunting | sunting sumber]

Pemakanan arnab peliharaan jinak terdiri daripada rumput kering, lebih baik seperti makanan biji buatan komersil ataupun sekali-sekala dalam bentuk rumput gembur. Makanan biji yang sesuai terdiri daripada pelbagai jenis rumput dan herba. Berbeza pula dengan rumput potong yang kurang sesuai sebagai makanan arnab kerana ia mengandungi sedikit sekali spesies rumput dan tiada herba, apalagi arnab amat mudah terpengaruh oleh perubahan besar dalam pemakanan dan tidak bertindak balas dengan baik kepada pengenalan makanan baru secara tiba-tiba. Penternak arnab menyediakan pelbagai jenis rumput kering termasuk rumput Timothy, rumput dusun, oat dan alfalfa, sebagai tambahan kepada diet biasa arnab yang terdiri daripada biji serta meniru pemakanan semula jadi arnab sebagai haiwan pengumpul makanan. Kajian menunjukkan bahawa arnab peliharaan jinak sangat boleh menyesuaikan diri dengan makanan ternak yang terdapat dalam negara membangun, namun sedikit masa diperlukan untuk menyempurnakan peralihan.[3] Jika terlebih makan sayur hijau berdaun, arnab sering mengalami cirit-birit, manakala terlalu banyak biji atau buah-buahan bergula boleh mendatangkan bermacam-macam masalah kesihatan.

Sekotrop (juga dipanggil gentelan usus buntu) merupakan makanan separa tercena yang dikumuhkan lalu dimakan semula oleh arnab; proses ini dikenali sebagai refeksi atau sekotrofi, satu jenis koprofagia. Biasanya, arnab akan memakan sekotrop itu terus dari duburnya; inilah yang tidak dikenali oleh ramai orang mengenai pemakanan arnab. Sekotrop kaya dengan vitamin dan lebih tinggi dengan protein dan air berbanding gentelan tahi keras yang biasa serta membolehkan erapan semula serat yang tidak cukup tercerna ketika perkumuhan pertama. Sekali-sekala, arnab itu membiarkan gentelan-gentelan itu bertaburan dalam sangkarnay; kelakuan sebegini tidak bahaya dan biasanya berkenaan dengan bekalan makanan yang mencukupi. Jika gentelan usus buntunya sering kali lembap dan berair, ini mungkin menandakan bahawa pemakanan arnab itu kekurangan serat atau terlalu banyak kanji, jadi ia perlu disuap lebih banyak rumput kering.

Arnab sebagai haiwan belaan[sunting | sunting sumber]

Arnab peliharaan jinak Chincilla Standard

Arnab dijadikan haiwan peliharaan di negara-negara Barat sejak abad ke-19. Arnab yang dibela dalam rumah dengan jagaan yang rapi boleh hidup sampai 9 – 12 tahun.[4] Arnab amat digemari ramai sebagai haiwan belaan di AS terutamanya ketika musim Easter, kerana kaitan haiwan ini dengan perayaan tersebut. Bagaimanapun, pusat perlindungan haiwan yang menerima arnab sering mengadu bahawa dalam masa beberapa minggu atau bulan selepas Easter, meningkatnya arnab terbuang atau terbiar yang mula-mula dibeli sebagai "hadiah" Easter, khasnya untuk kanak-kanak.[5]

Arnab belaan boleh disimpan di dalam atau luar rumah. Tempat simpanan arnab boleh berupa sangkar luar atau dalam rumah, ataupun petak dalam rumah supaya arnab berasa bebas untuk berjalan ke mana-mana dalam kawasan rumah.

Penjagaan[sunting | sunting sumber]

Penjagaan arnab agak murah jika dibandingkan dengan haiwan-haiwan yang lebih besar seperti anjing atau kunda, namun belanja penjagaannya mungkin agak mahal.[6] Sesetengah negara mewajibkan arnab belaan menerima pemvaksinan penyakit berdarah virus dan miksomatosis. Penjagaan veterinar agak terhad dan penyakitnya jarang dialami apabila arnab dibela dalam keadaan yang cukup bersih dan dijaga secukup-cukupnya. Bulu arnab harus kerap disikat untuk mencegah risiko pengingesan bulu yang boleh mengakibatkan pengimpakan bebola bulu dana perut. Kuku arnab harus kerap dipotong jika arnab itu tinggal dalam rumah supaya ia tidak cuba menggali.

Jika diangkat dengan tidak betul, arnab belaan boleh menendang kuat kerana ketakutan, sehingga boleh mencederakan arnab dan pengangkatnya sendiri.[7]

Arnab akan menggerogot apa sahaja yang ada di sekitarnya, termasuklah dawai elektrik, kabel, dan barangan kertas. Komponen elektrik yang digigit oleh arnab boleh menyebabkan renjatan dan kelecuran.[8]

Arnab komersil[sunting | sunting sumber]

Arnab daging[sunting | sunting sumber]

kelinci panggang
Kelinci kaki dengan kuah dan pangsit Bohemian
Arnab jenis daging diternak sebagai sumber makanan tambahan ketika Zaman Meleset

Sesetengah baka arnab seperti New Zealand dan California sering dimanfaatkan sebagai sumber daging dalam ladang arnab komersil. Baka-baka ini mempunyai metabolisme yang cekap dan cepat membesar, dan sedia disembelih setelah mencapai usia 14–16 minggu.

Arnab goreng (fryer) adalah yang berusia 70–90 hari, dan berat hidupnya 3–5 lb (1–2 kg). Arnab panggang (roaster) pula berusia 90 hari hingga 6 bulan, dan berat hidupnya 5–8 lb (2–3.5 kg). Arnab rendidih (stewer) pula berusia 6 bulan ke atas, dan berat hidupnya melebihi 8 lb.

Tukang masak terkenal, Mark Bittman berkata bahawa daging arnab ternakan sama rasanya seperti ayam, kerana kedua-dua dagingnya ibarat palet kosong yang boleh dilapisi dengan mana-mana perisa yang disukai.[9]

Arnab bulu[sunting | sunting sumber]

Baka-baka arnab seperti Angora, American Fuzzy Lop, dan Jersey Wooly merupakan sumber bulu sakhlat. Akan tetapi, memandangkan American Fuzzy Lop dan Jersey Wooly adalah baka kerdil, maka hanyalah baka-baka Angora yang lebih besar digunakan untuk penghasilan sakhlat komersil. Bulu panjangnya diketam, disikat atau dicarik (menarik bulu-bulu yang longgar perlahan-lahan dari tubuh ketika proses menyalin bulu), kemudian dipintal menjadi gegelung sebelum digunakan untuk menghasilkan beraneka barangan.

Arnab makmal[sunting | sunting sumber]

Arnab turut digunakan dalam kerja-kerja makmal seperti penghasilan antibodi untuk vaksin serta kajian toksikologi sistem pembiakan lelaki manusia. Pada tahun 1972, sekitar 450,000 ekor arnab digunakan untuk tujuan uji kaji di AS, tetapi jumlahnya berkurangan kepada 240,000 pada tahun 2006.[10] Jurnal Environmental Health Perspective terbitan Institut Kesihatan Negara AS menyatakan, "Arnab merupakan model yang teramat berharga untuk mengkaji kesan kimia atau rangsangan pada sistem pembiakan lelaki."[11] Menurut Humane Society AS, arnab juga digunakan secara meluas dalam kajian penyakit lelah, angin ahmar, rawatan pencegahan, fibrosis sista, diabetes, dan barah.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Lagomorph I Group (1996). Oryctolagus cuniculus. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2006. IUCN 2006. www.iucnredlist.org. Dicapai pada 2006-05-12. 1996 database entry states species is of domesticated and includes an annotation that the information is in need of an update.
  2. Anthon, Charles. A System of Ancient and Mediæval Geography for the Use of Schools and Colleges pg.14
  3. J.A. Lowe (2006). "Pet Rabbit Feeding and Nutrtion". The Nutrition of the Rabbit: 309–323. 
  4. "What's the lifespan of a rabbit?". House Rabbit Society. Diperolehi pada 2007-10-11. 
  5. ABC7 Chicago (TV station) article "Easter Rabbits"
  6. "Choosing a Rabbit as a Pet". Peteducation.com. Diperolehi pada 2010-12-11. 
  7. "Children and Rabbits". The House Rabbit Society. Diperolehi pada 2010-12-11. 
  8. "Dealing with Medical Emergencies". The House Rabbit Society. Diperolehi pada 2010-12-11. 
  9. "How to Cook Everything :: Braised Rabbit with Olives". 2008. Diarkibkan daripada asal pada 2008-05-17. Diperolehi pada 2008-07-17. 
  10. Kulpa-Eddy et al. "A review of trends in animal use in the United States (1972–2006)". AATEX (Proc. 6th World Congress on Alternatives & Animal Use in the Life Sciences) (14, Special Issue): 163–165. 
  11. Morton, Daniel (April 1988). "The use of rabbits in male reproductive toxicology" (PDF). Environmental Health Perspectives (National Institute of Health) 77: 5–9. doi:10.2307/3430622. JSTOR 3430622. PMC 1474531. Diperolehi pada 2010-07-16.