Asam gelugur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Asam keping)

Asam gelugur
أسم ݢلوݢور
Pokok asam gelugur berbunga
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
G. atroviridis Griff
Nama binomial
Garcinia atroviridis

Asam gelugur atau asam keping (nama saintifik: Garcinia atroviridis Griff;[1][2] Bahasa Thai: ส้มแขก ma khaek) merupakan sejenis pokok nadir yang dipercayai berasal dari semenanjung Malaysia[3] tersebar luas ke Selatan Thailand, Indonesia malah juga India.

Rasa daun dan bunga mempunyai rasa lemak-lemak, sedikit manis, sedikit masam kelat manakala buahnya pula rasa masam jika dimakan. Buah dan pucuknya bersifat sejuk.

Ciri botani[sunting | sunting sumber]

Pokok asam gelugor

Pokok asam gelugor merupakan sejenis pokok saka berbuah yang mempunyai akar tunjang dan mampu mencapai ketinggian sehingga 10-15 meter. Batangnya dari kayu keras berwarna kelabu. Daun tunggal, besar, bujur memanjang, berwarna hijau gelap dengan permukaan atasnya berkilat, pucuk muda berwarna kemerahan bertukar hijau tua apabila matang.

Bunganya muncul antara bulan-bulan Mac dan Mei[4] berkelopak merah kekuningan yang keluar dari celah ketiak daun. Buah asam ini berwarna hijau cerah ketika muda bertukar menjadi jingga kekuningan apabila matang; bentuk buah berbeza-beza mengikut varieti iaitu ada yang bulat, oval dan bentuk oblong serta berat antara 100-700 gram sebiji. Isi buahnya mempunyai 12-16 ketak rasa yang sangat masam, ia mempunyai biji keras.

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Maklumat berkaitan keluasan tanaman asam gelugor tidak ada yang dicatitkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia kerana kebanyakannya di tanam atau tumbuh di kebun secara bercampur dengan tanaman buah-buahan lain. Antara negeri-negeri semenanjung yang didapati mempunyai banyak jumlah pokok ini ialah seperti di Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah. Terdapat juga pokok asam gelugur di kawasan hutan dan buahnya dikutip secara berkala oleh penduduk kampung berhampiran.

Penanaman asam gelugor untuk menghasilkan asam keping perlu dibanyakkan lagi dengan penanaman secara komersil. Penanaman boleh menggunakan biji benih dari buah yang cukup matang dan disemai dalam nurseri. Benih yang mempunyai ketinggian lebih sekaki ditanam dengan jarak 6m x 6m. Spesis yang ada di Malaysia adalah spesis tempatan yang akan menghasilkan buah selepas 6-7 tahun ditanam.

Kebanyakan pokok yang ada di keliling rumah adalah bercampur dengan buah-buahan lain di ladang dan menerima baja serta amalan agronomi yang diberi adalah sama untuk pokok buah-buahan. Kebanyakan pokok sedia ada dianggap sebagai tanaman organik kerana boleh dikatakan jarang menggunakan bahan kimia. Pembajaan menggunakan baja NPK 12:12:17:2 dengan kadar 30-50 gram boleh dijalankan sebanyak 3 kali setahun. Perosak dan penyakit tanaman ini masih belum di buat kajian secara saintifik. Kesan kemarau dan hujan yang berlebihan kadang-kala menyebabkan kejadian buah gugur.

Penuaian[sunting | sunting sumber]

Buah asam gelugor masak

Buah asam gelugur yang matang dituai dengan menggunakan galah buluh atau aluminium yang mempunyai pisau dan kantung. Ada juga yang memanjat pokok untuk kerja-kerja penuaian. Buah yang dikutip dikumpul dan dibersihkan untuk proses pengeringan.

Buah yang gugur masak diproses secara penghirisan terlebih dahulu, hirisan-hirisan ini tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis[5] (ketebalan antara 3-8 mm). Hirisan-hirisan keping ini dihamparkan pada nyiru atau talam dikeringkan di bawah sinaran matahari selama empat hingga lima hari dalam cuaca baik[5] atau sehingga antara 7-12 hari; pengeringan ini juga boleh dilakukan menggunakan alatan mesin pengering.

Di Gemenceh, Negeri Sembilan didapati asam gelugur segar (juga digelar asam keping) dijual dengan harga RM 4.00-RM 5.00 setiap 100 gram.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Buah[sunting | sunting sumber]

Asam keping kering, sedia untuk digunakan sebagai ramuan masakan

Buah asam gelugur yang berasa sangat masam diproses sering dijadikan bahan perisa menambah rasa kemasaman dalam pelbagai masakan Melayu seperti masakan asam pedas, masak lemak (termasuk jenis "cili api"), masak singgang, gulai, laksa, sambal dan segala jenis masakan lain; ia juga dijadikan bahan menghilangkan rasa atau bau hanyir yang terdapat pada ikan atau daging. Pada masa ini ada yang menggunakan asam gelugur untuk jus minuman dan membantu mengurangkan kolesterol dalam badan serta berfungsi sebagai antioksidan yang baik.[perlu rujukan]

Bahagian lain[sunting | sunting sumber]

Pucuk muda yang mentah atau dicelur dibuat makanan bersama dengan budu, cencaluk, sambal belacan atau lain-lain pencecah ketika makan nasi. Buah muda asam gelugur boleh dibuat campuran dalam sambal belacan. Pucuk mudanya boleh dijadikan ramuan dalam nasi ulam dan nasi kerabu. Daun muda dan bunganya juga boleh dimasukkan ke dalam masakan asam pedas dan masak lemak cili api seperti mana buah asam.[4] Buah, bunga dan pucukmya boleh bertindak sebagai antioksidan dan awet muda.

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Buah asam gelugur mengadungi pelbagai jenis asid yang menyumbang kepada rasa masamnya seperti asid sitrik, asid tartarik, asid malik, asid askorbik dan asid hidroksisitrik,[6] Ia turut mengandungi flavonoid,[6] serat, vitamin dan mineral. Asid askorbiknya berperanan sebagai antibakeria. Daunnya pula mengandungi serat, karbohidrat, alkoloid, vitamin dan mineral.

Petua laman ada menyatakan bahawa memakan daun, bunga atau buah asam gelugur dapat menurunkan darah tinggi, merawat kencing manis, berat badan berlebihan, tidak selera makan dan sakit jantung.[perlu rujukan]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The Cyber Plant Conservation Project: Promoting Plant Biodiversity ... By Bioversity
  2. ^ (Inggeris) INDEX TO SCIENTIFIC NAMES of Tropical Tree Species along with their Vernacular Names
  3. ^ Hassan, Dr. W. E. (2006). Healing Herbs of Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Land Development Agency. ISBN 978-983-99544-2-5
  4. ^ a b Noor Hayati Mamat (19 April 2021). "Bunga asam gelugur jadi rencah makanan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 27 Jun 2021.
  5. ^ a b Ahmad Abd Hamid (27 Julai 2018). "Asam gelugur ke asam keping! Orang bandar kenal tak?". mStar. Dicapai pada 27 Jun 2021.
  6. ^ a b Muensritharam, L; Tolieng, V; Chaichantipyuth, C; Petsom, A; Nhujak, T (2008). "Capillary zone electrophoresis for separation and analysis of hydroxycitric acid and hydroxycitric acid lactone: Application to herbal products of Garcinia atroviridis Griff". Journal of Pharmaceutical and Biomedical Analysis. 46 (3): 577–82. doi:10.1016/j.jpba.2007.11.008. PMID 18160244.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Senarai pokok Pokok mangga
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z