Awang Batil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Di negara Malaysia terdapat tokoh-tokoh yang memperkembangkan sastera rakyat. Tokoh-tokoh tersebut dikenali sebagai penglipurlara. Mereka bercerita dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Cerita-cerita tersebut bersambung-sambung, memakan masa beberapa malam.

Di antara tokoh-tokoh penglipurlara itu ialah Awang Batil. Seseorang pencerita digelar Awang Batil kerana semasa mempersembahkan ceritanya, dipukulnya sebuah batil berdeting-deting bunyinya. Irama pukulan batil itu sebagai muzik latar ketika bercerita.

Di negeri Perlis terdapat seorang tokoh Awang Batil iaitu Encik Mahmud bin Wahid (kini Allahyarham) sebagai penglipurlara. Beliau tinggal di Kampung Pokok Sena Chuping, Perlis.

Bakat beliau kini telah diambil alih oleh anaknya iaitu Encik Ramli bin Mahmud. Beliau tinggal di Kampung Pokok Sena Chuping, Perlis.

Seseorang yang ingin mewarisi cerita-cerita Awang Batil hendaklah menyediakan sirih pinang, sintuk, asam dan kemian kepada gurunya. Apabila muridnya ditepuk bermulalah si murid mempelajari cerita-cerita Awang Batil sambil memukul batilnya.

Pukulan batil itu amat besar gunanya. Irama dari pukulan batil itulah sebagai sumber ilham cerita yang menjelma di fikirannya. Ketika itu juga seseorang Awing Batil dapat membahagi-bahagikan ceritanya. Bila pukulan itu terhenti maka akan terputuslah ilham sesebuah cerita.

Sebelum memulakan sesebuah persembahan cerita, Awang Batil terlebih dahulu menjalankan upacara tradisi iaitu membubuh air ke dalam batil kemudian menyapu ke kepala dan mukanya. Dia menyuap pinang tiga piak, kemian diasap dan batil diriba lalu bermulalah persembahan Awang Batil. Upacara memulakan sesuatu persembahan terpaksa memakan masa kira-kira setengah jam. Dia menggunakan jampi dan mentera. Jampi itu termasuklah bertabik atau memberi salam kepada tuan rumah, kepada gurunya dan meminta dijauhkan daripada mara bahaya.

Ketika persembahan dilakukan, selain memukul batil dia juga menggunakan topeng. Ada dua buah topeng yang digunakan iaitu topeng hulubalang dan topeng Wak Nujum. Apabila sesuai dengan watak-watak dalam sesebuah cerita lalu dipakailah topeng-topeng tersebut.

Ini tentulah lebih menarik perhatian penonton. Topeng tersebut diperbuat daripada kayu, biasanya kayu tui dan disapukan dengan warna kemerah-merahan. Persembahan Awang Batil ini dengan cara berseloka yang amat menggelikan hati. Beginilah permulaan ceritanya :

Hei! Riuh rendah gegak gempita,
Inilah hamba nak mula cerita,
Hang tengok kat aku, aku tengok kat hang,
Hang kuit aku, aku kuit kat hang,
Hang gelak kat aku, aku gelak kat hang,
Hang jeling kat aku, aku jeling kat hang,
Hang kejip mata, aku kenyut misai,
Hei beginilah mula ceritanya……

Di antara cerita-cerita yang sering dipersembahkan ialah : Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Cerita Angan-angan, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

Persembahannya sering diadakan di majlis–majlis perkahwinan dan di malam-malam keramaian. Biasanya tempat persembahannya dibuat di rumah kecil setinggi 3 atau 4 meter. Di keliling rumah tersebutlah penonton-penonton mengikuti ceritanya sehingga dinihari. Sesebuah cerita persembahannya kadang-kadang memakan masa dua sehingga lima malam. Cerita yang bersambung-sambung ini biasanya dipersembahkan di sebuah rumah yang menjemputnya mempersembahkan Awang Batil terutama lepas musim menuai padi.