Azlina Aziz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Azlina Aziz
Kulit album "Malu-Malu Sayang"
Latar belakang
Nama lahirAzlina binti Abdul Aziz
Kelahiran (1962-06-06) 6 Jun 1962 (umur 61)
Singapura
GenrePop
PekerjaanPenari, pelakon, penyanyi
InstrumenVokal
Tahun aktif1979–kini
Syarikat rakaman
WEA Records Sdn. Bhd.
EMI (Malaysia) Sdn. Bhd.
Sony Music Entertainment Malaysia
Pengkarya berkait
Ahmad Fauzee, Liza Aziz, Sheila Majid

Azlina Aziz (dilahirkan sebagai Azlina binti Abdul Aziz; 6 Jun 1962 di Singapura) merupakan salah seorang pelakon dan penyanyi wanita di Malaysia. Beliau merupakan anak kepada penyanyi, pelakon dan penari yang terkenal iaitu Normadiah. Bapa beliau ialah Aziz Jaafar, iaitu seorang seniman veteran yang berlakon di dalam filem-filem Melayu. Beliau mempunyai seorang adik iaitu Liza Aziz.

Penglibatan awal dalam dunia seni[sunting | sunting sumber]

Kerjaya seninya bermula ketika beliau menglibatkan diri sebagai penari kumpulan Normadiah Dancer's iaitu di bawah pimpinan ibunya. Beliau seringkali muncul sebagai pengiring ketika artis membuat persembahan dalam rancangan hiburan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sekitar penghujung tahun 70-an. Beliau juga berpeluang untuk mengadakan persembahan nyanyian di khalayak apabila selalu mengikuti ibu bapanya tatkala menghadiri majlis-majlis hiburan. Selain itu, beliau juga diberi peluang untuk muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem-filem yang melibatkan ibu bapanya pada waktu itu. Antara filem berkenaan adalah seperti Sumpah Semerah Padi, Dendang Perantau dan sebagainya.

Namun, kerjaya beliau mula berkembang apabila mendapat tawaran berlakon dari pengarah Aziz Sattar dalam filem Prebet Lapok sebagai kekasih kepada A. R. Badul. Filem ini diterbitkan pada tahun 1979. Selain daripada berlakon, beliau turut berpeluang untuk mempamerkan bakat nyanyiannya secara lebih meluas apabila turut menyanyikan sebuah lagu hasil nukilan Kassim Masdor.

Beliau juga pernah menjadi pilihan pengarah Omar Rojik untuk memegang peranan sebagai heroin kepada R. Jaafar di dalam filem Si Luncai pada tahun 1980. Namun, penglibatan beliau sebagai pelakon dilihat begitu terbatas. Kebanyakan filem lakonannya bersifat ringan dengan cerita yang berunsur komedi sahaja.

Beliau juga pernah ditawarkan untuk memegang peranan utama yang berat di dalam sebuah drama swasta terbitan Sabah Filem Productions yang berjudul Layang-Layang Terputus Talinya. Tetapi, beliau telah menolaknya atas sebab-sebab yang tertentu. Akhirnya, watak itu telah diberikan kepada aktres Maria Arshad.

Selain itu, album runut bunyi dari filem Dunia Ana Yang Punya juga menghimpunkan lagu-lagu daripada filem Penyamun Tarbus dan Detik 12 Malam. Album runut bunyi ini juga turut dipasarkan kepada umum oleh Syarikat Indra Record. Dari segi dokumentasi, lagu pertama yang pernah beliau rakamkan di dalam bentuk album adalah lagu dari album runut bunyi Prebet Lapok yang berjudul Kasih Sayang.

Selepas penglibatan beliau dalam filem tersebut, bakat nyanyiannya telah menarik minat komposer dan penerbit album terkenal ketika itu iaitu Ahmad Nawab. Setelah lulus proses uji bakat, akhirnya beliau menandatangani kontrak sebagai artis di bawah label WEA Records (Malaysia) Sdn. Bhd. pada tahun 1980. Pada tahun 1981, album sulung beliau yang bernama ‘Kau Pergi Jua’ berjaya diterbitkan oleh komposer, Akbar Nawab.

Nama beliau telah menjadi sebutan seiring dengan populariti lagu Wajahmu di Mana-Mana, Dewi Dewi, Sireh Pinang dan lain-lain. Kehadiran beliau sebagai penyanyi amat memberangsangkan apabila jualan album sulungnya itu mencatat kutipan yang agak tinggi pada masa itu serta mendapat anugerah "Silver Disc".

Kejayaan sebagai seorang penyanyi[sunting | sunting sumber]

Perjalanan seni beliau sebagai seorang penyanyi tetap berjalan dengan jayanya. Selama lebih kurang 10 tahun bernaung di bawah label WEA Records, beliau berjaya merakamkan 9 album penuh (termasuk dua album studio oleh Ahmad Fauzee yang menampilkan nyanyian mereka bersama). Selain itu, beliau pernah merakamkan beberapa lagu bersama dengan artis yang lain.

Sehingga kini, beliau tidak merakamkan album baru tetapi masih lagi aktif menyanyi untuk acara-acara tertentu. Kadangkala, beliau akan muncul di kaca televisyen atau pentas-pentas persembahan jika ada acara yang memerlukan khidmat beliau. Terdapat juga berita yang mengatakan beliau akan kembali untuk merakamkan lagu. Sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi, beliau telah mewarnai industri muzik tanah air dengan bakat nyanyian yang dimiliki olehnya. Beliau juga dianggap sebagai seorang penyanyi yang serba boleh kerana kemampuannya untuk membawakan apa sahaja jenis lagu dengan baik sekali.

Kebolehan yang dimiliki beliau pernah mendapat pujian Saloma dan Rafeah Buang ketika hayat mereka. Sesungguhnya, beliau adalah antara segelintir penyanyi yang benar-benar mempunyai kualiti yang perlu dipertahankan sebagai penyanyi sepanjang zaman. Pihak yang tertentu juga perlu memainkan peranan untuk mengangkat beliau sebagai pelapis penyanyi tanah air yang menjadi kebanggaan selepas Sharifah Aini. Di dekad 80an, nama Azlina sememang berada sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat serantau yang mempunyai vokal ampuh seperti rakan senegara Francissca Peter, Zaiton Sameon, Khatijah Ibrahim, Dayangku Intan, Sheila Majid dan Ramlah Ram, Rahimah Rahim dan Anita Sarawak (Singapura) serta Hetty Koes Endang, Titi DJ, Vina Panduwinata dan Ruth Sahanaya (Indonesia). Beliau pernah tercalon di dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1987 untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

Azlina juga pernah muncul menjayakan rancangan hiburan popular Mekar Sejambak terbitan RTM pada pertengahan tahun 80an bersama-sama penghibur popular lain antara lainnya Ahmad Fauzee dan Uji Rashid.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Azlina pernah mendirikan rumahtangga bersama komposer Azman Abu Hassan pada tahun 1992 namun jodoh mereka berakhir pada 2010.[1]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Catatan
1979 Panglima Badol Kenanga Filem pertama
Prebet Lapok Azlina Beliau memegang watak sebagai pelakon pembantu
Dendang Perantau Beliau menari di majlis hari jadi Emilia Dato' Arif (lakonan Uji Rashid)
1981 Si Luncai Siti Kembang
Sumpah Semerah Padi Indah Beliau memegang watak sebagai pelakon tambahan
1982 Penentuan Penyanyi Pentas Beliau telah muncul sebagai penampilan istimewa serta menyanyikan lagu Aku dan Kesepian yang juga dimuatkan dalam album beliau, Malu-Malu Sayang.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ OTHMAN, KEMALIA. "Azlina Aziz Sudah Berpisah Dengan Suami - Berita Hiburan - mStar". mstar.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-02-02. Dicapai pada 2017-01-13.
  2. ^ Azlina Aziz - Aku dan Kesepian (YouTube) (dalam bahasa Melayu). Malaysia. 1982. Dicapai pada 24 April 2013.CS1 maint: unrecognized language (link)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]