Bahasa Melayu Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bahasa Melayu Perak
بهاس ملايو ﭬﻴـرق
Bahasé Peghok/Ngelabun Perak/Bahase Peghak
Asli kepadaMalaysia Malaysia
KawasanPerak Perak
Penutur bahasa
1,360,506 (2010)
Austronesian
Dialek/loghat
  • Kuala Kangsar
  • Perak Tengah
Tulisan Rumi, Tulisan Jawi
Kod bahasa
ISO 639-3
mly-per
GlottologTiada
Rencana ini mengandungi simbol fonetik IPA. Tanpa sokongan perisian tertentu, anda mungkin melihat tanda tanya, kotak, atau simbol lain dan bukannya askara Unicode. Untuk panduan pengenalan mengenai simbol IPA, lihat Bantuan:IPA.

Bahasa Melayu Perak (tulisan Jawi: بهاس ملايو ﭬﻴـراق) merupakan salah satu daripada dialek Melayu tempatan yang dituturkan di negeri Perak. Walaupun dialek ini bukan bahasa rasmi ataupun dialek piawai seluruh negeri Perak, kewujudannya bersama beberapa dialek utama di negeri Perak memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti negeri Perak. Sungguhpun terdapat lima dialek utama yang dituturkan secara tradisi di negeri Perak, hanya satu dialek sahaja yang disebut "Bahasa Melayu dialek Perak".[1][2] Bahasa Melayu Perak mempunyai perbezaan yang ketara dari segi fonetik, sintaksis, dan leksikon jika dibandingkan dengan dialek-dialek Melayu utama yang lain. Bahasa Melayu Perak terbahagi kepada dua subdialek utama iaitu subdialek Perak Tengah dan subdialek Kuala Kangsar.[2] Terdapat percanggahan pendapat tentang subdialek Perak Selatan kerana ia lebih dipengaruhi dialek Melayu selatan semenanjung.

Klasifikasi[sunting | sunting sumber]

Diklasifikasi, menurut perspektif linguistik, iaitu mengikut ilmu bahasa, di dalam dialek Melayu yang dituturkan di negeri Perak adalah beragam. Bahkan, masih tiada klasifikasi yang jelas mengenai jenis dialek-dialek Melayu yang digunakan di Perak. Dr. Ismail Hussein (1973) mengklasifikasikan dialek Melayu di Perak kepada lima jenis secara geografi berdasarkan lima daerah yang berbeza. Manakala Dr. Harun Mat Piah (1983) mengkategorikannya kepada enam jenis. Sementara Dr. Asmah Haji Omar (1985) membahagikan dialek Melayu di negeri Perak kepada lima jenis, tetapi spesifikasi pembahagiannya tidak selari dengan pembahagian yang dibuat oleh Ismail.[3]


Distribusi[sunting | sunting sumber]

Pembahagian daerah di negeri Perak

Bahasa Melayu Perak dituturkan di seluruh negeri kecuali di bahagian barat laut Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama), dan beberapa bahagian di daerah Manjung termasuk Pulau Pangkor yang mana dialek utara dituturkan secara dominan.

Di bahagian timur laut negeri Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di daerah Selama dan Kerian, orang-orang Melayu secara asalnya bertutur dalam varian bahasa Melayu yang agak berbeza dan sangat berkait rapat dengan Bahasa Melayu Kelantan-Pattani disebabkan faktor-faktor seperti sempadan geografi dan asimilasi bersejarah. Varian ini kadang-kadang diklasifikasikan sebagai sub-dialek Bahasa Yawi. Daerah Hulu Perak pernah diperintah oleh Kesultanan Reman. Kawasan Reman secara sejarahnya merupakan sebahagian daripada jajahan Patani (yang kini merupakan wilayah di selatan Thailand) sebelum mencapai kemerdekaan pada tahun 1810 dari Kerajaan Patani melalui pemberontakan Keluarga Diraja.

Manakala di bahagian selatan negeri Perak (Hilir Perak dan Batang Padang) dan juga di daerah Kampar dan Kinta dan beberapa kawasan di daerah Manjung, dialeknya lebih dipengaruhi dialek Melayu selatan semenanjung seperti dialek Selangor, Melaka dan Johor-Riau serta bahasa-bahasa dari kepulauan Indonesia iaitu bahasa Jawa, Banjar, Rawa, Mandailing dan Bugis akibat penghijrahan bersejarah, perang saudara seperti Perang Kelang serta faktor-faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Sungguhpun terdapat banyak dialek bahasa Melayu di negeri Perak, semua ahli kaji dialek bahasa Melayu pada dasarnya bersetuju bahawa bahasa Melayu Perak dituturkan oleh orang-orang Melayu asli yang secara tradisinya telah lama menetap di sepanjang lembah Sungai Perak dan kawasan sekitarnya kecuali penduduk yang berada di kawasan hulu sungai Perak.[4][3] Dari segi sejarah, memang adat bagi para petani Melayu di negeri Perak menetap di sepanjang lembah sungai.[5] Kediaman Diraja juga telah dibina di pelbagai tempat di sepanjang lembangan sungai.[6]

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Bahasa Melayu Perak terkenal dengan sebutan /r/ (getaran gusi) pada awal dan tengah perkataan yang digantikan dengan bunyi /ʁ/ (geseran uvular bersuara) atau /ɣ/ (geseran velar bersuara) seperti bunyi huruf ghain (غ) dalam bahasa Arab dengan sebutan yang amat jelas hampir-hampir seperti dialek utara. Penutur bahasa Melayu Perak cenderung untuk menggantikan bunyi /-ar/ (gabungan vokal tak bundar depan luas dengan konsonan getaran gusi) dan /-ur/ (gabungan vokal bundar belakang sempit dengan getaran gusi) di hujung perkataan kepada bunyi [-ɔː] (vokal bundar belakang separuh luas yang dipanjangkan sedikit) atau [-ɔə] (gabungan vokal bundar belakang separuh luas dengan nyahartikulasi vokal pusat tengah). Contohnya seperti /bəsar/ disebut [bəsɔː] atau [bəsɔə] dan təlur/ disebut [təlɔː] atau [təlɔə] dalam bahasa Melayu Perak.

Jenis-jenis dialek[sunting | sunting sumber]

Subdialek Perak Selatan[sunting | sunting sumber]

Subdialek Perak Selatan tidak banyak bezanya dengan bahasa Melayu Standard. Subdialek ini sering digunakan di bandar-bandar besar serta dituturkan oleh kebanyakan generasi muda. Subdialek ini lebih dipengaruhi dengan dialek selatan Semenanjung seperti Selangor dan Johor. Hal ini kerana masyarakatnya juga terdiri daripada penduduk yang datang dari negeri Selangor semasa Perang Saudara di Selangor sekitar 1860-an hingga 1870-an kerana faktor sempadan dan konflik. Asmah Haji Omar (1991) mengkategorikan subdialek ini dalam kelompok Selatan Semenanjung bersama-sama dengan bahasa Melayu Johor, Selangor, Melaka, dan Pahang. Penutur subdialek ini biasanya mencampurkan subdialek Kuala Kangsar dan bahasa Melayu Selangor-Kuala Lumpur atau bahasa Melayu Johor-Riau. Subdalek ini juga dituturkan di daerah Kinta, Kampar, dan Manjung. Subdialek ini sering dituturkan oleh juruhebah radio Malaysia Perak FM.

Subdialek Kuala Kangsar[sunting | sunting sumber]

Subdialek Kuala Kangsar yang dikenali sebagai loghat Kuala merupakan subdialek yang paling popular di negeri Perak sehingga dikenali orang luar. Subdialek ini mempunyai sedikit persamaan dengan bahasa Melayu Pahang.

Subdialek Perak Tengah[sunting | sunting sumber]

Subdialek Perak Tengah ataupun kadang-kadang dikenali sebagai loghat Parit, Lambor atau Bota. Subdialek ini semakin kurang dituturkan disebabkan pengaruh subdialek Perak Selatan yang semakin meluas penggunaannya di negeri Perak. Subdialek ini mempunyai sedikit persamaan dengan bahasa Melayu Hulu Terengganu.

Perbandingan fonologi dialek[sunting | sunting sumber]

Perkataan Sebutan bahasa Melayu Baku Sebutan bahasa Melayu Perak
Perak Selatan Kuala Kangsar Perak Tengah
Perak /peraʔ/ [peˈɣɑʔ] [peˈʁɒʔ] [peˈʁɔʔ]
sepak /sepaʔ/ [sepɑʔ] [sepɒʔ] [sepɔʔ]
rumah /rumah/ [ˈɣʊmɑh] [ˈʁomɒh] [ˈʁomɔh]
marah /marah/ [maˈɣɑh] [maˈʁɒh] [maˈʁɔh]
malas /malas/ [malɛh] [malɛyh] [malah]
beras /bəras/ [bəˈɣɛh] [bəˈʁɛyh] [bəˈʁah]
mahal /mahal/ [mahɛ] [mahɛ] [mahaː]
kapal /kapal/ [kapɛ] [kapɛ] [kapaː]
gulai /gulai̯/ [gulɛ] [gulɛ] [gulaː]
serai /sərai̯/ [səˈɣɛ] [səˈʁɛ] [səˈʁaː]
pisau /pisau̯/ [pisɔː] [pisɔː] [pisaː]
limau /limau̯/ [limɔː] [lɪmɔː] [lɪmaː]
lima /lima/ [limə] [lɪmə] [lɪmɛ]
lama /lama/ [lamə] [lamə] [lamɛ]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Department of Statistics Malaysia (2010), Jumlah populasi mengikut kumpulan etnik, mukim dan negeri, Malaysia, 2010 - Perak (PDF), diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-11-14, dicapai pada 2015-09-26
  • Asmah Omar (2008), Susur Galur Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, ISBN 978-9836-298-26-3
  • S. Nathesan (2001), Makna dalam Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, ISBN 983-62-6889-8
  • Cecilia Odé & Wim Stokhof (1997), Proceedings of the Seventh International Conference on Austronesian Linguistics, Rodopi B.V., Amsterdam - Atlanta, ISBN 90-420-0253-0
  • Asmah Haji Omar (1991), Bahasa Melayu abad ke 16 : satu analisis berdasarkan teks Melayu `Aqa'id al-Nasafi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
  • Zaharani Ahmad (1991), The Phonology and Morphology of the Perak Dialect, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
  • Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain (1986), Dialek Perak, Yayasan Perak, Ipoh
  • James T. Collins (1986), Antologi Kajian Dialek Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
  • Barbara Watson Andaya (1979), Perak, the Abode of Grace. A Study of an Eighteenth Century of Malay State, Oxford in Asia: Kuala Lumpur, ISBN 978-0-19-580385-3
  • Asmah Hj. Omar (1977), Kepelbagaian Fonologi Dialek-Dialek Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
  • Charles Cuthbert Brown (1941), Perak Malay, The Federated Malay States Government Press, Kuala Lumpur
  • John Frederick Adolphus McNair (1878), Perak and the Malays, Cornell University Library, New York, ISBN 978-1-4297-4312-9