Bai' Bithaman Ajil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bai' Bithaman Ajil (perjanjian jual beli balik) atau BBA merupakan konsep perbankan Islam yang digunakan dalam pembiayaan sewa beli atau pembelian insurans. Di bawah konsep ini, bank memberi pembiayaan kepada pelanggan untuk memiliki harta atau perkhidmatan dengan membeli aset kepunyaan pelanggan atau daripada 'vendor' dengan harga tunai dan kemudiannya menjual kembali aset tersebut kepada pelanggan dengan harga belian ditambah keuntungan.

Pelanggan boleh membayar balik secara tangguh atau ansuran dan jumlah bayaran bergantung kepada:

  • jumlah kos belian yang terlibat
  • risiko pembayaran
  • tempoh perjanjian

Kaedah BBA dianggap sebagai kaedah pembiayaan yang menggantikan kaedah pembiayaan berdasarkan pinjaman yang diamalkan oleh sistem perbankan konvensional.

Hujah[sunting | sunting sumber]

Kaedah pembiayaan BBA diperkenalkan di Malaysia oleh Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang mula beroperasi pada 13 Mei 1983. Kaedah BBA ini walau bagaimanapun tidak diiktiraf oleh bahagian dunia lain yang mengamalkan perbankan Islam yang lebih selesa menggunakan kaedah murabahah atau kos tokok.

Pengarah Urusan BIMB ketika itu, Dato' Abdul Halim Ismail menjustifikasikan penggunaan BBA berdasarkan ayat 282 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk tempoh yang tidak ditentukan, hendaklah kamu menulisnya."

Di sini, beliau berhujah al-Quran membenarkan kaedah jualan bayaran tertangguh sebagai alternatif kepada kaedah pembiayaan hutang sistem perbankan konvensional.

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Mahkamah Tinggi dalam keputusan penghakiman bertulis Hakim Datuk Abdul Wahab Patail pada 18 Julai 2008 memutuskan bahawa aplikasi kaedah Bai Bithaman Ajil yang banyak digunakan dalam kontrak pembiayaan pembelian rumah Islam adalah bertentangan dengan Akta Bank Islam 1983.

Kaedah pembiayaan BBA merupakan produk utama Bank Islam Malaysia Bhd yang juga merupakan produk utama perbankan Islam di Malaysia. Di Malaysia, dianggarkan hampir 70 peratus pembiayaan Islam diberikan mengikut konsep BBA.[1] Implikasi penghakiman ini dijangka akan menyebabkan bank dan institusi kewangan Islam mengkaji semula segala perjanjian pembiayaan berasaskan BBA yang dibuat dengan pelanggan.[2] Malahan, Bank Negara Malaysia dalam pekeliling kepada ketua-ketua eksekutif perbankan Islam pada 8 September 2008 menasihati mereka agar melihat semula penggunaan BBA.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Perbankan Islam Mengharungi Cabaran, Milenia Muslim, November 2008
  2. ^ Wind of Change in BI, The Malaysian Reserve, 8 September 2008