Baju Melayu
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Untuk baju tradisional Melayu, lihat Baju tradisional Melayu
Baju Melayu merupakan satu panggilan bagi baju tradisional Melayu yang biasa di pakai oleh golongan lelaki di Malaysia dan negara serantau. Ia biasanya terbahagi kepada dua jenis utama, iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan potongan Cekak Musang.
Baju Melayu Teluk belanga biasanya lebih terkenal di selatan Malaysia sementara potongan Cekak Musang di kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut, potongan Cekak Musang berbentuk seperti leher baju India hanya bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Sementara potongan Teluk Belanga pula bahagian lehernya hanya di jahit secara sulaman. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan seperti Mata Lalat, Tulang Belut dan sebagainya.
Baju Melayu dijahit dalam dua cara iaitu berpesak atau potongan moden atau dipanggil potongan Cina. Di mana lengan baju tersebut disambungkan kepada badan baju.Iaitu secara di sambung terus atau di jahitkan kebahagian lain yang dinamakan pesak dan kekek.
Cara memakai baju juga terdapat perbezaan dimana bagi baju Melayu Teluk Belanga biasanya sampin dipakai diluar baju, manakala baju Melayu Cekak Musang baju di dalam sampin.
Senarai kandungan |
[sunting] Jenis baju Melayu utama
[sunting] Baju Melayu Cekak Musang
Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.
[sunting] Baju Teluk Belanga
Baju ini mula di perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan telah direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.
[sunting] Baju Kurung
Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri tersendiri.

