Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Logo rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 adalah merupakan satu projek pembancian yang dijalankan di semua tempat kediaman dan penduduk di seluruh negara Malaysia pada tahun 2010. Ia adalah projek banci kelima yang dijalankan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Banci dijalankan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (Disemak 1969). Akta Banci telah mewajibkan orang awam menjawab semua soalan banci dan akta ini menjamin bahawa maklumat individu adalah sulit dan tidak akan dihebahkan.

Terdahulu, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia telah dijalankan pada tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Pelaksanaan Banci 2010 telah diluluskan oleh kabinet dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 22 April 2009 dengan peruntukan sebanyak RM200.2 juta bagi tahun 2010. Banci Penduduk dan Perumahan 2010 dilaksanakan bermula pada 6 Julai 2010 dan berakhir pada 22 Ogos 2010. Bancian yang dibuat setiap 10 tahun pada kali ini adalah penting kerana ia merupakan bancian terakhir sebelum tahun 2020. Ia juga bagi membolehkan kerajaan Malaysia mengumpulkan data dan maklumat untuk menjurus kepada Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia negara maju.

Dapatan dan pengumpulan data semasa Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 akan membekalkan maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk di Malaysia. Segala maklumat yang diperolehi dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan Malaysia dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain untuk tujuan pembangunan negara demi kemaslihatan rakyat dan penduk Malaysia pada masa hadapan.

Kaedah Pelaksanaan Bancian[sunting | sunting sumber]

Kaedah pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia buat pertama kalinya memperkenalkan kaedah pengumpulan data yang pelbagai iaitu:

  • i. Temu ramah bersemuka oleh pembanci dan penghuni kediaman:

Pembanci akan melawat ke setiap tempat dan kawasan kediaman seperti yang telah ditetapkan oleh penguasa daerah bancian dan penyelia pembanci untuk menemu ramah penduduk bagi mendapatkan maklumat. Jika melakukan kaedah ini, maka kedua-dua kaedah dibawah tidak perlu lagi dilaksanakan pada tuan dan isi rumah yang sama.

ii. Pengisian sendiri

  • a) Drop-off and pick-up (DOPU)

Melalui kaedah ini, pembanci akan meninggalkan (drop-off) Kit Banci yang mengandungi item seperti berikut: Borang Soal Selidik (Dokumen 2), Pen khas untuk kegunaan urusan DOPU, Sampul Surat yang tertera perkataan "URUSAN SERI PADUKA BAGINDA" di bahagian muka sampul surat pada bahagian paling atas, Panduan Mengisi Borang Soal Selidik (DOPU) (Dokumen 15b), Panduan Mengisi e-Census (Dokumen 6) (Terhad) dan Surat Pemberitahuan Lawatan Semula (Dokumen 7). Penghuni tempat kediaman perlu memberi respon dengan mengisi sendiri dokumen-dokumen berkenaan. Pembanci akan kembali pada tarikh yang dipersetujui untuk mengambil semula (pick-up) dokumen yang telah lengkap diisi. Semua item tersebut akan dimasukkan ke dalam plastik khas berpelekat dan kemudian dimasukkan kedalam plastik penggantung yang turut diberikan oleh pembanci.

  • b) e-Census

Responden boleh mengisi soal selidik secara online melalui laman web Jabatan www.statistics.gov.my. Butir-butir Pengenalan (ID) akan dibekalkan dalam Kit Banci bagi membolehkan responden mengakses ke sistem e-Census. Untuk tujuan kawalan, pengisian sendiri soal selidik ini hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja iaitu kawasan bandar besar atau kawasan yang susah diakses. Akses untuk menggunakan e-Census adalah terhad. Jika penghuni tempat kediaman memilih untuk melangsaikan urusan soal selidik banci secara DOPU maka cara e-Census tidak diperlukan untuk dilaksanakan, begitu juga sebaliknya.

Keputusan Permulaan Bancian[sunting | sunting sumber]

Pada hari Rabu 22 Disember 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan keputusan awal / permulaan bancian penduduk dan perumahan Malaysia 2010. Ia merangkumi maklumat awalan bilangan penduduk, isi rumah dan tempat kediaman bagi Malaysia mengikut negeri dan daerah pentadbiran.

Keputusan permulaan adalah seperti berikut:

Penyataan Skop Jumlah Angka Peratusan Nisbah
Bilangan Penduduk Seluruh Malaysia 27,565,821 2.17%
Jantina (Seluruh Malaysia) Lelaki 14,112,667 105
Perempuan 13,453,154 100
Isi Rumah Seluruh Malaysia 6,396,174
Tempat Kediaman Seluruh Malaysia 7,380,865
Negeri penduduk tertinggi Selangor 5,411,324 19.63% daripada keseluruhan penduduk di Malaysia

Purata peratusan kadar pertumbuhan penduduk tahunan di seluruh Malaysia telah menurun kepada 2.17% dalam tempoh 2000–2010 berbanding dengan 2.60% bagi 1991-2000 dan 2.64% bagi 1980-1991.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Laporan Kiraan Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 [1]