Bank Negara Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bank Negara)
Bank Negara Malaysia
بڠک نݢارا مليسيا
Logo Bank Negara Malaysia
Logo Bank Negara Malaysia
Ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur
Ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur
Ibu pejabat
Kuala Lumpur, Malaysia
Ditubuhkan31 Mac 1993; 31 tahun yang lalu (1993-03-31)
GabenorAbdul Razak Bin Abdul Malek
Bank pusat bagi
Malaysia Malaysia
Mata wangRinggit Malaysia
MYR (ISO 4217)
Laman webbnm.gov.my
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Bank Negara Malaysia (BNM; bahasa Inggeris: Central Bank of Malaysia) merupakan bank pusat di Malaysia. Ia merupakan badan berkanun yang mula beroperasi pada 26 Januari 1959 (sebagai bank pusat Central Bank of Malaya atau Bank Negara Tanah Melayu). Ibu pejabatnya terletak di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.

Bank Negara Malaysia tertakluk kepada Akta Bank Negara Malaysia 2009. Peranan Bank Negara Malaysia adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia adalah untuk mengekalkan kestabilan harga dan pada masa yang sama terus menyokong pertumbuhan. Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab terhadap kestabilan sistem kewangan. Matlamat ini dapat dicapai melalui pembangunan sektor kewangan yang kukuh, berdaya tahan, progresif dan pelbagai yang menyokong sektor ekonomi benar. Bank Negara Malaysia juga memainkan fungsi penting untuk melaksanakan inisiatif bagi memperdalam dan mengukuhkan pasaran kewangan, termasuk pasaran pertukaran asing.

Bank Negara Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur sistem kewangan bagi memajukan agenda rangkuman kewangan. Ini bagi memastikan semua sektor ekonomi dan segenap lapisan masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga menyelia infrastruktur sistem pembayaran negara yang memberikan penekanan terhadap aspek kecekapan dan keselamatan sistem kewangan.

Sebagai jurubank dan penasihat kepada Kerajaan Malaysia, Bank Negara Malaysia memberikan nasihat berkaitan dengan dasar makroekonomi dan pengurusan hutang negara. Bank Negara Malaysia juga merupakan pihak berkuasa tunggal yang mengeluarkan mata wang negara di samping menguruskan rizab antarabangsa negara.

Peranan dan Fungsian[sunting | sunting sumber]

Peranan Bank Negara disokong oleh 39 jabatan/unit di Bank yang merangkumi tujuh bahagian berdasarkan fungsian seperti yang berikut:

Dasar Ekonomi dan Monetari[sunting | sunting sumber]

Penyediaan sokongan teknikal dan penyelidikan yang baik terutamanya mengenai isu berkaitan pertumbuhan untuk mempertingkat perumusan dasar monetari dan kredit bagi menggalakkan kestabilan monetari dan memastikan ketersediaan kredit yang mencukupi untuk membiayai pertumbuhan ekonomi.

Pelaburan dan Operasi[sunting | sunting sumber]

Menguruskan mudah tunai domestik dan kadar pertukaran bagi memastikan sasaran dasar monetari dapat dicapai selain menguruskan rizab luar negeri bagi melindungi nilai dan mengoptimumkan pulangan rizab. Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan menyediakan bantuan kepada Kerajaan Malaysia berhubung dengan pengurusan hutang dan dana serta menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan domestik.

Pengawalan[sunting | sunting sumber]

Menggalakkan sektor kewangan yang stabil melalui pembangunan institusi dan infrastruktur kewangan yang mampan, kukuh dan mantap secara berperingkat-peringkat dan dengan itu mewujudkan industri kewangan tempatan yang kompetitif yang mempunyai daya tahan untuk menghadapi persekitaran masa hadapan yang berubah-ubah di samping menerajui inisiatif mempertingkat akses kepada pembiayaan. Dasar dan strategi turut dirumuskan dan dilaksanakan ke arah membangunkan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam bersepadu yang terunggul serta meningkatkan keupayaan kewangan pengguna.

Sistem Pembayaran[sunting | sunting sumber]

Merangka dasar dan strategi bagi menggalakkan sistem penjelasan, penyelesaian dan pembayaran yang diyakini, selamat dan cekap di dalam negara Malaysia.

Penyeliaan[sunting | sunting sumber]

Menghasilkan, menambah baik dan melaksanakan rangka kerja pengawasan yang berkesan bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan institusi kewangan dan menguatkuasakan amalan yang baik terhadap institusi tersebut.

Pembangunan Organisasi[sunting | sunting sumber]

Menerajui fungsi pengurusan strategik, pengurusan prestasi organisasi dan pengurusan program bagi memacu proses penambahbaikan prestasi dan mengukuhkan pembinaan keupayaan Bank Negara Malaysia. Selain itu, menerajui dan memacu inisiatif sumber manusia dan aktiviti strategik lain bagi memastikan keseluruhan rangka kerja Pengurusan Modal Insan dilaksanakan dengan berkesan.

Komunikasi[sunting | sunting sumber]

Fungsi komunikasi telah menjadi semakin penting bagi memenuhi tuntutan yang semakin meningkat daripada pelbagai pihak berkepentingan yang menghendaki ketelusan dan penzahiran yang lebih baik.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada 26 Januari 1959 (sebagai bank pusat Central Bank of Malaya atau Bank Negara Tanah Melayu) di bawah Ordinan Bank Pusat Tanah Melayu, 1958. [1] Dengan penubuhannya, ia perlu memenuhi 5 objektif iaitu:

  • Untuk mengeluarkan mata wang, Ringgit Malaysia dan menyimpan rizab menjaga nilai mata wang;
  • Untuk bertindak sebagai jurubank dan penasihat kewangan kepada kerajaan;
  • Untuk menggalakkan operasi pembayaran negara dan sistem penyelesaian yang boleh dipercayai, cekap dan lancar dan untuk memastikan dasar pembayaran negara dan sistem penyelesaian untuk manfaat Malaysia;
  • Untuk mempromosi kestabilan kewangan dan struktur kewangan;
  • Untuk mempengaruhi keadaan kredit supaya menguntungkan negara;

Oleh itu, dengan objektif berikut, bank dicipta untuk mengawal ekonomi Malaysia dengan selamat. Matlamat lebih luas bank adalah mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Malaysia, tahap pekerjaan yang tinggi, memelihara kestabilan harga dan satu keseimbangan munasabah dalam kedudukan pembayaran antarabangsa negara, membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.[1]

Gabenor[sunting | sunting sumber]

Bank Negara Malaysia diketuai oleh seorang Gabenor yang menjalankan urusan dan hal ehwal bank mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah. Seksyen 15 (1) Akta Bank Negara Malaysia 2009 memperuntukkan bahawa Gabenor hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Timbalan Gabenor oleh Menteri (yang bertanggungjawab terhadap kewangan negara). Sejak penubuhannya pada tahun 1959, Bank Negara Malaysia sudah mempunyai sepuluh orang Gabenor.

Gabenor Tahun perkhidmatan
Tan Sri W H Wilcock Januari 1959 - Julai 1962
Tun Ismail Mohd Ali Julai 1962 - Julai 1980
Tan Sri Abdul Aziz Taha Julai 1980 - Jun 1985
Tan Sri Dato' Jaffar Hussein Jun 1985 - Mei 1994
Tan Sri Dato' Ahmad Mohd Don Mei 1994 - Ogos 1998
Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan Sulaiman September 1998 - April 2000
Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz Mei 2000 - April 2016
Tan Sri Dato' Sri Muhammad Ibrahim Mei 2016 - 15 Jun 2018
Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus 1 Julai 2018 - Jun 2023
Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour Dari 1 Julai 2023

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "BNM: About the bank". Bank Negara Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-27. Dicapai pada 2008-07-26.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Diarkibkan 2011-02-02 di Wayback Machine