Batu Megalith

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Megalith Makam Dato' Maulana Garang

Batu Megalith ialah batu pra-bersejarah yang besar yang telah digunakan untuk membina struktur atau monumen, baik bersendirian atau dibina bersama dengan dengan batu-batu yang lain. Perkataan "Megalith" ini pertama kali digunakan pada tahun 1849 oleh Algernon Herbert dari Britain untuk merujuk kepada monumen Stonehenge. Perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani Kuno (Mega bermaksud besar dan lithos bermaksud batu). Sebilangan besar batu megalith yang didirikan adalah di antara zaman Neolitik (walaupun contoh Mesolitik sebelumnya diketahui), Chalcolithic dan Zaman Gangsa[1].


Jenis-jenis Batu Megalith[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa jenis batu megalith yang wujud dan dibina oleh masyarakat dahulu kala. Antaranya ialah[2]:

  • Menhir - Batu yang didirikan secara menegak.
  • Dolmen - Batu yang dibina dan disusun menyerupai sebuah meja.
  • Kubur Kepingan Batu.
  • Tempayan Batu.
  • Arca Batu.
  • Binaan Bangunan Batu.
  • Keranda dan Kerusi Batu.
  • Lingkaran Batu.
  • Batu yang Berukir.
  • Tiang Batu.

Megalith di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia khususnya, terdapat beberapa buah negeri yang mempunyai tapak megalitik antaranya ialah Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Taburan yang paling banyak adalah di sekitar daerah Kuala Pilah, Tampin dan Rembau di Negeri Sembilan dan juga daerah Alor Gajah (Melaka Pindah, Cherana Puteh, Taboh Naning, Melekek, Lubok Kepong, Gadek, Tanjung Rimau Dalam, Pulau Sebang dan Padang Sebang) dan daerah Jasin (Kg. Chabau, Simpang Bekoh, Nyalas, Chohong & Terentang) di negeri Melaka. Di Negeri Sembilan, terdapat banyak kawasan atau tapak megalitik dan salah satunya terdapat sebuah batu megalith yang masih kukuh berdiri dan berketinggian 3.35 meter yang terletak di Repah, Tampin, Negeri Sembilan. Batu Megalith ini dinamakan sebagai Makam Datuk Nisan Tinggi dan merupakan batu megalith yang tertinggi di negeri ini[3].

Megalith Tanjung Rimau Dalam

Di Melaka, terdapat beberapa kawasan atau tapak megalitik yang mempunyai batu megalith berketinggian lebih 2.0 meter antaranya ialah Megalith Datuk Tua dan Tapak Megalitik Jalan Miad / Makam Datuk Maulana Garang (Jangkaan panjang batu megalith yang telah rebah ini ialah antara 3.2 meter hingga 3.4 meter). Kebanyakan batu megalith yang terdapat di kawasan ini adalah jenis menhir dan disusun secara berpasangan.

Manakala di negeri Sarawak, batu megalith yang terdapat di sini ialah jenis Dolmen yang terletak di tanah tinggi Bario. Secara terperincinya, dolmen adalah bentuk megalitik yang dibina dengan meletakkan batu besar pada dua atau lebih batu sokongan dan terdapat ruang di bawah, kadang-kadang ditutup di satu atau lebih sisi. Di negeri Sabah, kawasan taburan megalith adalah disekitar Pantai Barat, Pedalaman dan tanah tinggi. Untuk megalith jenis kepingan batu pula, ia terdapat di negeri Perak (Sungkai & Slim River) & Selangor (Lembah Bernam).

Di negeri Terengganu, terdapat 3 buah batu megalith yang terletak di Kampung Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ketinggian batu tersebut adalah sekitar tiga meter dan telah ditemui pada tahun 1994.[4] Manakala di negeri Johor, terdapat beberapa tapak megalitik yang terletak di Kampung Bekok di dalam daerah Tangkak[5].

Untuk warga kota, terutamanya yang bermastautin dan tinggal di Lembah Kelang, struktur batu megalith ini boleh dilihat dengan mengunjungi Laman Megalit yang terletak di Taman Putra Perdana, Presint 1, Putrajaya. Terdapat puluhan batu megalith yang mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan juga ketinggian. Batu megalith yang terdapat di sini telah ditemui pada tahun 1989 dan berasal dari Kampung Gelanggang, Negeri Sembilan[6].

Persatuan Megalitik Melaka[sunting | sunting sumber]

Logo Persatuan Megalitik Melaka

Terdapat sebuah persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara aktif dalam membuat kajian, pengumpulan data, aktiviti pemeliharaan & pemuliharaan dan kempen berkenaan sejarah batu megalith di Malaysia amnya dan melaka khasnya iaitu Persatuan Megalitik Melaka. Persatuan ini secara rasminya telah ditubuhkan pada tahun 2019 oleh sekumpulan tujuh orang anak muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Melalui pencarian di Semakan Status Pertubuhan JPPM, Persatuan Megalitik Melaka adalah persatuan megalith pertama dan satu-satunya di Malaysia. Terdapat juga sebuah portal yang diuruskan oleh persatuan ini dalam usaha kepada penerangan dan penyampaian maklumat berkaitan sejarah megalith iaitu Malaysia Megalithic Portal[7]. Di dalam portal ini, pelbagai maklumat berkaitan aktiviti eksplorasi, pemeliharaan dan pemuliharaan batu megalith oleh Persatuan Megalitik Melaka dipaparkan. Terdapat tiga buah projek aktif yang telah dibentuk dan diletakkan di bawah Persatuan Megalitik Melaka iaitu The Malaysia Megalithic Legacy Exploration Project (T2MLEP), Megalithic Heritage Conservation Program (MHCP) dan Megalithic Archive & Publishing (MArP). Salah sebuah projek Persatuan Megalitik Melaka iaitu Megalithic Heritage Conservation Program (MHCP) telah tersenarai di dalam platform sukarelawan antara yang terbesar di Malaysia iaitu Do Something Good[8].

Pemeliharaan dan Pemuliharaan[sunting | sunting sumber]

Diharapkan usaha untuk pemeliharaan dan pemuliharaan sejarah tapak megalitik yang berada di Malaysia mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan sejarah agar warisan sejarah ini kekal untuk tatapan generasi akan datang. Semoga tapak megalitik yang berada di Malaysia dapat diangkat dan diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Jika di United Kingdom, mereka mempunyai sebuah monumen megalith yang sangat popular di seantero dunia iaitu Stonehenge, di Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan kewujuan banyak tapak megalitik yang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. Tidak mustahil pada suatu hari nanti, tapak megalitik ini akan menjadi salah sebuah kawasan pelancongan sejarah yang gah di mata dunia. Di samping itu, penarafan tapak megalitik ini sebagai kawasan pelancongan utama Malaysia akan dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat melalui perkembangan keusahawan dan perniagaan yang dijalankan mereka.