Beg udara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Beg udara kereta, seperti pada SEAT Ibiza ini yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, menggelembung dan mengempis padam masa kurang daripada sesaat (sekitar 0.05 saat).

Beg udara atau dikenali sebagai Sistem Sekatan Kusyen Udara (ACRS), Sistem Sekatan Tambahan (SRS) atau Sekatan Tambahan Boleh Kembung (SIR) merupakan sejenis membran atau sarung boleh lentur yang nipis.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Beg udara telah direka oleh Patrick W. Hetrick dari Amerika Syarikat pada tahun 1951 dan beliau mempatenkan peranti tersebut pada tahun berikutnya. Hetrick mendapat idea tersebut untuk melindungi keluarganya melalui kepakarannya sebagai jurutera tentera laut ketika itu. Sepanjang tahun, ia telah menyelamatkan banyak nyawa disebabkan ciptaan Hatrick yang mengagumkan dan telah disiarkan dalam rancangan televisyen Nova di PBS dan pernah memenangi anugerah antaranya anugerah Golden Gear.

Peranti yang serupa fungsinya dengan beg udara sudah lama digunakan dalam pesawat udara seawal 1940-an, dengan paten pertama untuk peranti tersebut pada 1958. Rekaan awal sistem beg udara bersaiz besar dan tebal, serta kandungan mengandungi udara panas yang telah dimampatkan, gas nitrogen mampat (N2), freon, karbon dioksida (CO2) atau campuran air dan kalium (KH2O).[1]

Pereka Amerika, Allen K. Breed telah membangunkan komponen penting bagi kegunaan automotif iaitu penderia tiub-dalam-bola (ball-in-tube) untuk mengesan perlanggaran. Beliau mula memasarkan ciptaan sulung ini pada tahun 1967 kepada sebuah syarikat pengilang kereta iaitu Chrysler.

Sistem pengembungan beg udara[sunting | sunting sumber]

Tujuan utama beg udara adalah memperlahan pergerakan hadapan penumpang tanpa kecederaan yang serius. Terdapat tiga komponen utama perfungsian beg udara yang terkini iaitu:

Komponen Keterangan
Beg udara Diperbuat daripada fabrik nilon yang nipis, di mana ia dlipat ke dalam stereng atau papan pemuka dan baru-baru ini dipasang pada pintu atau tempat duduk sebagai tambahan ciri-ciri keselamatan jika dilanggar dari arah sisi.
Penderia Merupakan peranti yang memberitahu beg udara supaya mengembung. Pengembungan terjadi apabila terdapat perlanggaran yang kuat sama seperti merempuh tembok bata pada kadar kelajuan 10 hingga 15 batu per jam (16 hingga 24 km/j). Suis mekanikal terpelantik apabila terdapat peranjakan jisim berhampiran dengan sentuhan elektrik, memberitahu penderia bahawa perlanggaran telah berlaku. Penderia menerima maklumat daripada meter pecut (accelerometer) yang dibina dalam bentuk cip mikro.
Sistem pengembungan beg udara Tindak balas natrium azid (NaN3) dengan kalium nitrat (KNO3) menghasilkan gas nitrogen(N2). Letupan panas nitrogen inilah yang mengembungkan beg udara.

Sistem pengembungan tidak sepunya dengan sistem penggalak roket pepejal. Sistem beg udara menyalakan bahan dorong pepejal, di mana membakar secara ekstrem dengan cepat bagi menghasilkan isipadu gas yang amat tinggi untuk mengembungkan beg udara. Beg udara mengembung keluar dari tempat simpanannya pada kadar kelajuan yang teramat pantas iaitu lebih daripada 200 mph (322 kph) — lebih pantas berbanding kelipan mata. Selepas beberapa saat, gas tersebut hilang dan dikeluarkan melalui lubang kecil dalam beg udara, sekaligus mengecutkan kembali beg udara supaya penumpang boleh bergerak.

Secara keseluruhannya, proses ini hanya mengambil masa kira-kira satu per dua puluh lima saat (1/25 saat). Sementara itu, serbuk yang mengandungi kanji jagung atau bedak talkum telah dilepaskan daripada beg udara supaya begnya lembut dan mudah lentur dengan serta merta mengurangkan kecederaan yang serius kepada penumpang terutama kanak-kanak.

Pemasangan beg udara pada kereta nasional Malaysia[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, kebanyakan model kereta nasional seperti model-model kereta Proton dan Perodua tidak dipasang dengan beg udara memandangkan beg udara tidak diwajibkan dalam undang-undang jalan raya Malaysia sebelum 2012. Walau bagaimanapun, model-model eksport dan keluaran pada 2012 pula dipasang dengan beg udara bagi melepasi piawaian keselamatan luar negara terutamanya di Eropah dan keraajaan Malaysia mewajipkan pemasangan beg udara sekurang-kurang dua beg udara bagi kenderaan baru yang dijual pada tahun 2012. Sungguhpun demikian, beberapa model yang lebih terkini mula dilengkapi dengan 6 beg udara, dengan Proton Prevé model tahun 2013 sebagai model kereta nasional pertama yang dipasang dengan 6 beg udara sebagai komponen wajib.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "How Products Are Made: Air Bags". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-11-22. Dicapai pada 2008-02-26.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]