Belantik (buruj)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Buruj Belantik dilihat di hemisfera utara.

Belantik adalah nama bagi satu daripada 88 buah buruj di langit. Secara kasarnya, ia terdiri daripada tujuh biji bintang utama yang lebih terang daripada bintang lain di sekitarnya. Empat daripadanya membentuk segiempat tepat manakala tiga lagi terletak sederet melintang di tengah-tengah segiempat tepat itu. Berdasarkan bentuknya itu, orang Melayu di Nusantara menamainya Belantik iaitu sejenis alat perangkap binatang, misalnya perangkap tikus. Tiga bintang sederet itu dipanggil oleh orang Melayu sebagai Bintang Tiga Beradik.

Belantik boleh dilihat di langit malam dari bulan Disember hingga Mac.

Isi kandungan

Perubahan kedudukan Belantik [sunting]

Oleh sebab Belantik terletak di Khatulistiwa samawi iaitu unjuran Khatulistiwa Bumi di angkasa, buruj ini boleh dilihat dari mana-mana tempat di hemisfera utara dan selatan. Namun, kedudukannya berubah dengan berubahnya arah pandangan tadi, menyebabkan timbul pelbagai mitos dan nama untuknya. Di sepanjang Khatulistiwa (termasuk di Malaysia), buruj ini kelihatan "terbaring" yakni dalam kedudukan lanskap manakala di hemisfera utara (contohnya AS atau Eropah) ia kelihatan tegak (kedudukan potret) dengan Bintang Tiga Beradik condong ke kanan atas. Di hemisfera selatan (contohnya Australia), ia kelihatan sebaliknya iaitu "tertonggeng" (terbalik atas bawah).

Fail:Belantik terbenam.jpg
Kedudukan Belantik di langit Khatulistiwa ketika terbenam. Bintang Tiga Beradik menunjukkan arah kiblat.

Nama lain bagi Belantik [sunting]

Buruj Belantik (disempadani garis sengkang kuning) dibentuk oleh tujuh bintang utama dan banyak bintang lebih malap di sekitarnya.
Pemburu bernama Orion dalam buku Uranometria Bayer (1603).

Belantik dikenali sebagai Orion dalam bahasa Inggeris dan Yunani iaitu nama pemburu dalam legenda Yunani purba. Mengikut sudut pandangan di Eropah, empat biji bintang yang membentuk kerangka luar segiempat tepat buruj ini kelihatan seperti susuk tubuh manusia (dengan tambahan beberapa bintang lebih malap di luar segiempat ini); Bintang Tiga Beradik pula membentuk tali pinggang pemburu itu. Di bawah Bintang Tiga Beradik, terdapat pula beberapa biji bintang malap, kononnya membentuk pedang (atau sarung pedang) pemburu itu.

Dalam bahasa Tagalog, buruj ini dipanggil Balatik.

Dalam bahasa Arab, ia dipanggil al-Jauzah (الجوزة) yang bermakna "yang di tengah-tengah" [1] atau al-Jabbār (الجبار) yang bererti "perkasa" atau "gergasi".

Bintang utama di buruj Belantik [sunting]

Ada beberapa cara bintang diberi nama. Tiga bentuk nama yang popular dalam astronomi najam ialah nama khas tradisi Arab, sistem nombor Flamsteed, dan sistem aksara Yunani Bayer [2]. Kebanyakan nama Arab itu mengalami perubahan sebutan dan ortografi disebabkan pelat ahli astronomi Eropah ketika menukilkan atau menterjemahkan karya ahli astronomi Arab pada zaman pertengahan.

Bintang di bahu kiri Orion]] (mengikut pandangan orang Eropah, pemburu itu membelakangi Bumi) ialah Betelgeuse (sebut: be-tel-jus), daripada bahasa Arab ibṭ al-jauzah (ابط الجوزة) yang bermakna "ketiak al-Jauzah". Bagaimanapun, orang Arab purba melihatnya sebagai menghadapi Bumi yakni menganggap bintang ini sebagai ketiak kanan gergasi itu. Ia juga dikenali sebagai Alpha (α) Orionis mengikut senarai Bayer tahun 1603 dan 1 Orionis mengikut senarai nombor Flamsteed tahun 1725.

Bintang di bahu kanan dipanggil al-Najīd (النجيد), "penakluk", yang diterjemah ke Latin sebagai Bellatrix ("pahlwan wanita").

Rigel (sebut: ri-jil) ialah bintang di kaki kanan Orion, singkatan daripada nama Arabnya rijl jauzah al-yusrā (رجل جوزة اليسرأ), "kaki Jauzah kiri" yakni mengikut pandangan orang Arab. Ia dikenali juga sebagai Beta (β) Orionis.

Bintang pelengkap segiempat tepat itu iaitu kaki kiri Orion dilambangkan oleh Saiph (al-saif (السيف) = pedang) yakni hujung pedang Orion yang berjuntai di kaki kirinya. Ia pernah dipanggil juga rijl jauzah al-yamna (رجل جوزة اليمنأ), "kaki Jauzah kanan".

Bintang Tiga Beradik yang membentuk tali pinggang Orion, dari kanan ialah Mintaka (daripada al-minṭaqah (المنطقة), "tali pinggang"), Alnilam (daripada al-niẓam (النظام), "untaian (mutiara)", dan Alnitak (daripada al-niṭaq (النطاق), "bengkung". Di Khatulistiwa, garisan lurus Bintang Tiga Beradik ini ke arah barat dikatakan menunjukkan arah kiblat. Di sekitar Alnitak, terdapat awan bintang yang menempatkan Nebula Kepala Kuda.

Tiga biji bintang berbentuk segitiga di utara segiempat tepat itu terutamanya Meissa (daripada al-maisān, الميسان "yang berarak") dan Heka (daripada al-haq`ah, الهقعة "tompok putih") membentuk kepala Orion.

Pedang Orion dilambangkan oleh beberapa biji bintang berhampiran Alnilam. Di sinilah letaknya Nebula Belantik yang terkenal itu.

Beberapa biji bintang di kiri segiempat itu membentuk belantan yang dipegang dan diangkat tinggi oleh Orion untuk mempertahan dirinya dari serangan lembu yang diwakili buruj Taurus. Sekumpulan bintang di kanannya pula melambangkan perisainya.

Rujukan [sunting]

  1. Allen, R.H. (1963). Star Names: Their Lore and Meaning. NY: Dover Publications ISBN 0-486-21079-0
  2. http://www.nmm.ac.uk/explore/astronomy-and-time/astronomy-facts/stars/the-naming-of-stars