Bendahara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bendahara (Jawi: بنداهارا) merupakan satu jawatan pentadbiran dalam kerajaan-kerajaan klasik Melayu sebelum kedatangan kuasa Barat pada abad ke-19 terutamanya di semenanjung Melayu setaraf wazir (di Brunei) atau mangkubumi (di Sumatera dan Borneo). Jawatan ini berperanan memegang khazanah harta benda yang dipegang kerajaan[1] atau "perbendaharaan";[2] peranan ini boleh dibandingkan dengan jawatan perdana menteri selaku menteri kewangan yang wujud pada zaman moden. Bendahara dilantik oleh Sultan dan merupakan jawatan yang diwarisi dalam keluarga yang sama; malah Bendahara dan Sultan berkongsi jurai keturunan yang sama.

Gelaran ini pada asalnya membawa maksud "penyimpan kekayaan" meminjam dari bahasa Sanskrit भाण्डागार bhāṇḍāgāra[3] terbitan भाण्डा bhāṇḍā bermaksud "barang dagangan" (juga diserap kepada perkataan "benda").[4] Pengistilahan ini turut memunculkan gelaran moden bendahari.[4]

Tugasan bendahara[sunting | sunting sumber]

Jawatan paling hampir yang seumpama dalam kerajaan Melayu adalah jawatan wazir dalam kerajaan Islam.[5][6] Namun pada abad mutakhir ini, Bendahara boleh disama ertikan makna dan bidang tugasnya sebagai Perdana Menteri.[7] Oleh kerana bendahara mengetuai para bangsawan, status tersebut datang bersama tanggungjawab tertentu. Bendahara merupakan tunjang bagi Kesultanan Melayu. Sejak kerajaan silam Melaka dan Johor, terdapat banyak tugas dan tanggungjawab tetapi yang utama adalah:

  • pertabalan dan perlantikan Sultan
  • bertanggungjawab ke atas kebajikan Sultan.
  • penasihat kepada baginda mengenai hal ehwal negara berdasarkan hukum Sharia dan Adat
  • bertanggungjawab bagi perkahwinan di Raja, kelahiran dan pengkebumian
  • bertanggungjawab bagi pewarisan diRaja sekiranya Sultan meninggal tanpa waris
  • bertindak sebagai penjaga sekiranya Sultan masih kecil
  • menyempurnakan sebarang titah Sultan.

Kesahihan dalam segala tindak tanduk dan arahan yang dikeluarkan oleh Sultan terletak dibahu dan kepintaran Bendahara. Bendahara sentiasa berunding dengan golongan bangsawan lain sebelum membuat sebarang keputusan yang akan dihadapkan kepada Sultan untuk perkenan. Bendahara dan bangsawan lain melakukan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan negara dan amat bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang permasalahan di negara akibat dasar penggubalan undang-undang yang tidak adil dan betul. Tugas bendahara ini adalah lebih meluas berbanding sebarang tugas wazir atau perdana menteri moden.

Penglibatan British dan Belanda dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu dan seterusnya pada era kemerdekaan Malaysia dan Indonesia telah mengurangkan peranan Bendahara kepada sekadar gelaran simbolik sahaja.

Pada zaman moden ini, Bendahara di negeri-negeri Melayu telah ditukarkan kepada bentuk yang lebih khas dan tunggal iaitu sebagai seorang Perdana Menteri. Namun bagi negeri-negeri Melayu, sesetengah pandangan mengatakan ia juga sama peranannya sebagai seorang Ketua Menteri ataupun Menteri Besar. Walaupun tugas Bendahara adalah sama dengan peranan Perdana Menteri, namun kedua-dua terma adalah tidak sama dan berbeza. Satu perbezaan yang jelas ialah jumlah kuasa yang dipegang oleh kedua-dua jawatan. Pada masa dahulu, Bendahara itu biasanya terletak secara rasminya pada kedudukan tertinggi selepas Sultan. Sultan pula merupakan seorang yang berkuasa mutlak bagi memerintah sesebuah negara Melayu itu. Sultan itu tidak bertanggungjawab kepada Bendahara, atau kepada orang lain untuk sesuatu perkara. Dalam erti kata lain Sultan mempunyai suatu nilai kekebalan dalam apa jua perbuatannya sehinggakan undang-undang dan perlembagaan negara pada ketika zaman Melayu lama tidak mampu menandingi kekebalan mutlak Sultan. Sultan pada zaman dahulu tidak terhad kepada kedudukan seperti Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh sementara atau bergiliran.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Walaupun tidak jelas bila gelaran Bendahara itu mula-mula digunakan, namun paling jelas telah terdapatnya beberapa orang Bendahara Melayu yang berpengaruh misalnya Tun Perak yang pernah menjadi Bendahara bagi Kesutanan Melayu Melaka. Di bawah perkhidmatan Tun Perak, Melaka telah mencapai kemuncaknya pada lewat abad ke-15. Menurut Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, Bendahara Tun Perak secara rahsia telah menyembunyikan Hang Tuah, seorang Laksamana Melayu yang pernah diperintahkan oleh Sultan untuk dihukum bunuh.

Pada tahun 1612, Bendahara Tun Sri Lanang dari Kesultanan Johor telah ditugaskan oleh Sultan Alauddin Shah Riaayat Johor untuk menyusun sejarah Melayu dan rekod sejarah ke dalam buku. Buku ini dikenali sebagai Sulalatus Salatin dan kemudiannya dikenali sebagai Sejarah Melayu, sebuah karya sastera yang penting dalam sejarah bahasa Melayu. Pada tahun 1699, Bendahara Abdul Jalil menjadi Sultan Abdul Jalil IV Johor selepas sultan sebelumnya, Sultan Mahmud Shah II telah dibunuh, tiada meninggalkan waris di belakang. Selepas pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, yang telah dianugerahkan Bendahara Pahang sebagai wilayah pemerintahan peribadinya. Bendahara Tun Abbas dan keturunannya memerintah Pahang berterusan sehingga Tun Mutahir, yang telah digulingkan dalam perang saudara pada tahun 1863.

Semasa era Kesultanan Terengganu yang diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin I Terengganu pada 1708. Bagida adalah anak kepada Tun Habib Abdul Majid, bendahara Johor abad ke-17.

Penggunaan[sunting | sunting sumber]

Brunei[sunting | sunting sumber]

Bendahara merupakan seorang wazir, golongan tertinggi selepas sultan dalam sistem pembesar diraja Brunei. Gelaran penuh bagi Bendahara ialah 'Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara'.[8] Manakala rujukan kehormat bagi Bendahara adalah seperti wazir yang lain, iaitu 'Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri' bagi putera Sultan yang gahara atau 'Yang Teramat Mulia Seri Paduka' bagi selainnya.[8] Kedudukan Bendahara masih wujud di Brunei namun peranannya adalah dalam hal ehwal berkaitan adat istiadat diraja Brunei sahaja. Pada masa ini kedudukan Bendahara diisi oleh Pengiran Muda Sufri Bolkiah, adinda lelaki Sultan Hassanal Bolkiah.

Malaysia[sunting | sunting sumber]

Melaka dan Johor[sunting | sunting sumber]

  • Tun Perpatih Muka Berjajar, Bendahara
  • Tun Perpatih Tulus, Bendahara Melaka
  • Raden Bagus, Bendahara Melaka
  • Raden Anum, Bendahara Sri Amar DiRaja, Bendahara Melaka
  • Tun Perpatih Sedang, Bendahara Sri Wak Raja, Bendahara Melaka
  • Tun Perpatih Putih, Bendahara Paduka Tuan, Bendahara Melaka
  • Tun Perak, Bendahara Paduka Raja, Bendahara Melaka
  • Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Melaka
  • Tun Tepok, Bendahara Paduka Tuan, Bendahara Melaka

Selepas jatuhnya Melaka ke tangan Portugis, Kesultanan Melaka diganti oleh Kesultanan Johor

  • Tun Khoja, Bendahara Paduka Raja, Bendahara Johor
  • Tun Biajid, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Johor
  • Tun Mahmud, Bendahara Tun Narawangsa, Bendahara Johor
  • Tun Isap Misai, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Johor
  • Tun Sri Lanang, Bendahara Paduka Raja, Bendahara Johor. Beliau telah ditawan oleh angkatan Acheh dan memilih untuk tinggal di Acheh.

Bendahara berikut telah diketepikan oleh istana berikut kebangkitan Laksamana Paduka Tuan

  • Tun Anum, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Johor
  • Tun Mat Ali, Bendahara Paduka Tuan, Bendahara Johor
  • Tun Rantau, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Johor. Beliau telah ditangkap oleh angkatan Jambi.
  • Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Padang Saujana, kembali ke jawatan asal sebagai Bendahara di istana.
  • Tun Abdul Jalil, Bendahara Paduka Raja, dinaikkan kepada Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil IV berikutan kematian Sultan Mahmud II. Keturunan Temenggung ini masih terus menjadi susur galur turun temurun yang memerintah Johor hingga ke hari ini.
  • Tun Abbas, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Johor dan Pahang

Berikutan mandat permasyhuran Sultan Abdul Jalil IV, yang telah diberikan yang asalnya hanyalah Bendahara Pahang, Selepas itu Bendahara Johor pula dikenali sebagai Bendahara di Pahang. Mereka juga dikenali sebagai "Raja Bendahara" untuk kedudukan mereka sebagai pemerintah negeri suruhan Pahang. Pahang merupakan negeri suruhan Kesultanan Johor.

Pahang[sunting | sunting sumber]

  • Tun Abdul Majid, Raja Bendahara Pahang I (1777–1802)
  • Tun Muhammad, Raja Bendahara Pahang II
  • Tun Koris, Bendahara Paduka Raja, Raja Bendahara Pahang III (1803–1806)
  • Tun Ali, Bendahara Siwa Raja, Raja Bendahara Pahang IV (1806–1847)
  • Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja, Raja Bendahara Pahang V (1847–1863). Beliau yang terakhir bertahan Raja Bendahara Pahang. Beliau digulingkan oleh Wan Ahmad adiknya yang kemudiannya diisytiharkan sebagai Sultan Pahang selepas pembahagian Empayar Johor.


Indonesia[sunting | sunting sumber]

Minangkabau[sunting | sunting sumber]

Bendahara (Bandaro/Bandaharo) juga digunakan di Minangkabau. Dalam konteks kelarasan adat yang ada di Minangkabau yaitu Lareh Nan Panjang yang berkedudukan di Pariangan, Lareh Bodi Caniago (Adat Perpatih) di Lima Kaum,dan Lareh Koto Piliang (Adat Temenggong) di Sungai Tarab setiap lareh ini mempunyai satu orang bendahara yang berkuasa atas wilayah laras tersebut ketiganya iaitu:

  • Datuak Bandaharo Kayo (Tampuak tangkai alam Minangkabau), Pariangan
  • Datuak Bandaharo Kuniang, Lima kaum
  • Datuak Bandaharo Putiah (Juga dikenal sebagai Tuan Titah), Sungai Tarab

Ketiganya disebut Bandaro nan batigo atau juga dikenali sebagai "Rumah nan batigo di Minangkabau". Dalam kesatuan minangkabau mereka bertiga diibaratkan sebagai sebuah telur dimana Kulitnya Pariangan, Kuningnya Lima Kaum, dan putihnya Sungai Tarab.

Datuk Bandaro Putiah yang bertugas sebagai Panitahan atau Tuan Titah (di zaman sekarang jabatan ini setara dengan Perdana Mentri) mempunyai kedudukan di Sungai Tarab, dengan gelar kebesarannya Pamuncak Koto Piliang. Panitahan merupakan pimpinan, kepala atau yang dituakan dari anggota Basa Ampek Balai dalam urusan kerajaan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "bendahara". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  2. ^ "perbendaharaan". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  3. ^ Monier-Williams, Monier (1981). A Sanskrit-English Dictionary. Delhi, Varanasi, Patna: Motilal Banarsidass. m/s. 752. - melalui Edi Sedyawati dkk. (1994), m/s 29.
  4. ^ a b Edi Sedyawati dkk. (1994), m/s 28-29
  5. ^ http://www.answers.com/topic/vizier#Dictionary_d
  6. ^ http://www.wordnik.com/words/vizier
  7. ^ http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Bendahara
  8. ^ a b Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 10. ISBN 9991734228.
Sumber utama
  • Edi Sedyawati dkk. (1994). Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini. Jakarta, Indonesia: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia.
  • (Tun) Suzana (Tun) Othman (2002). Institusi Bendahara; Permata Melayu yang hilang. ISBN 983-40566-6-4.
  • (Tun) Suzana (Tun) Othman (2008). Tun Seri Lanang: Sejarah dan Warisan Tokoh Melayu Tradisional. ISBN 983-43485-6-4 Check |isbn= value: checksum (bantuan).
  • (Tun) Suzana (Tun) Othman (2007). Perang bendahara Pahang, 1857-63: pensejarahan semula menelusi peranan British. ISBN 9789831952825.
  • Windstedt, R. O. (1932). "Bendaharas and Temenggungs". Journal of Malayan Branch of Royal Asiatic Society. X (I).
  • "Early Rulers of Perak, Pahang and Acheh". Journal of Malayan Branch of Royal Asiatic Society. X (I). 1932. |first1= missing |last1= (bantuan)
  • Windstedt, R. O. (1932). "A History of Johore". Journal of Malayan Branch of Royal Asiatic Society. X (III).