Kadaran X

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Berkadar X)

Kadaran X (juga dikenali sebagai sijil X atau klasifikasi X) ialah pemeringkatan filem yang menunjukkan kandungan dewasa yang banyak, biasanya kandungan seks dan kebogelan, tetapi juga keganasan, kandungan dadah, dan kata-kata cabul.

Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Kadaran X di Amerika Syarikat pada asalnya merujuk kepada pemeringkatan bukan tanda dagangan yang menunjukkan bahawa sesebuah filem mengandungi kandungan yang tidak sesuai untuk orang belum dewasa, misalnya keganasan keterlaluan atau seks explisit, dan oleh itu, adalah untuk ditonton oleh orang dewasa sahaja.

Apabila sistem pemeringkatan filem MPAA bermula pada 1 November 1968 di Amerika Syarikat, MPAA memberikan pemeringkatan X kepada sesebuah filem, jika filem itu diserahkan kepadanya. Pada akhir 1960-an sehingga pertengahan 1980-an, banyak filem aliran utama diterbitkan dengan kadaran X, misalnya Midnight Cowboy, A Clockwork Orange, Fritz the Cat, dan Last Tango in Paris. Bagaimanapun, oleh sebab kadaran X tidak ditandadagangkan, sesiapa pun boleh menggunakannya pada filem sendiri, termasuk penerbit pornografi yang mulai menggunakannya pada 1970-an. Apabila pornografi menjadi popular dan lebih ditoleransi di sisi undang-undang, para penerbit pornografi membubuh kadaran X pada filem masing-masing untuk menegaskan sifat dewasa filem mereka. Sesetengah mereka juga mulai menggunakan X berbilang (iaitu (iaitu XX, XXX, dll.) untuk memberikan tanggapan tokok tambah filem mereka, berbanding dengan pemeringkatan X yang sederhana. Pemeringkatan X kekadang juga digunakan oleh pengulas dan sarjana filem, misalnya William Rotsler yang menulis: "Pemeringkatan XXX bermaksud pornografi keterlaluan, pemeringkatan XX untuk pornografi ringan, dan pemeringkatan X untuk filem yang sederhana secara perbandingan".[1] Bagaimanapun, tiadanya sebarang kadaran X berbilang, selain daripada kadaran X tunggal, diiktiraf oleh MPAA.

Akibat penggunaan yang meluas oleh para penerbit pornografi, kadaran X kemudian dikaitkan dengan filem pornografi dan justera, filem bukan pornografi yang diberikan kadaran X tidak menerima sambutan yang mesra daripada pawagam dan juga tidak dapat memperoleh banyak hasil pengiklanan. Ini menyebabkan sebilangan filem diterbitkan tanpa kadaran, kekadangnya dengan pengumuman bahawa filem itu mengandungi kandungan untuk orang dewasa sahaja. Sebagai balasan, MPAA akhirnya memutuskan untuk menggunakan kadaran NC-17 baharu yang ditandadagangkan dan yang hanya boleh digunakan oleh MPAA sendiri.

United Kingdom[sunting | sunting sumber]

Sijil X yang menggantikan sijil H di United Kingdon dikeluarkan oleh British Board of Film Censors antara 1951 hingga 1982. Ia diperkenalkan menyusuli Laporan Wheare yang berkenaan dengan penapisan filem. Antara 1951 sehingga 1970, sijil X bermaksud "Sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun atau lebih." Antara 1970 dan 1982 pula, ia ditakrifkan semula sebagai "Sesuai untuk mereka yang berusia 18 tahun atau lebih." Sijil X digantikan dengan sijil 18 pada tahun 1982. Lihat Sejarah sijil filem British.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rotslter, William. Contemporary Erotic Cinema. New York: Penthouse/Ballantine Books, 1973. page 251.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]