Bernardino Caballero

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bernardino Caballero Melgarejo (20 Mac 1839 - 26 Februari 1912) ialah Presiden Paraguay dari 1880 hingga 1886 serta juga pengasas Colorado Party (Parti Colorado).

Dilahirkan di Ybycuí, Caballero ialah keturunan golongan bangsawan Sepanyol. Bapanya Jose Ramón Caballero de Anazco (keturunan Tupac Huallpa melalui Inca Garcilaso de la Vega) dan ibunya, Melchora Inés Melgarejo y Genés. Beliau menyertai Tentera Paraguay semasa masih muda dan bertempur dalam Perang Perikatan Bertiga. Semasa perang, beliau menjadi penolong yang amat setia kepada Presiden Francisco Solano López di Humaitá, dan naik pangkat dari bawah. Beliau beransur-ansur menjadi pemimpin tindakan barisan belakang yang penting dan akhirnya menjadi Jeneral.

Selepas kematian Juan Bautista Gill pada tahun 1877, Caballero membantu memastikan bahawa kawannya, Cándido Barreiro, menjadi presiden. Tidak lama selepas kematian Barreiro, beliau merancang rampasan kuasa dan mengambil alih jawatan presiden. Sejak dari masa itu, beliau menswastakan kebanyakan tanah di Paraguay untuk mendapatkan wang.

Caballero memanipulasi pilihan raya 1886 untuk memastikan kemenangan Patricio Escobar, calon kesayangannya. Sebagai balasan, penentangnya mengasaskan Parti Liberal dan oleh itu, Caballero mengasaskan Parti Colorado. Selepas tidak memegang kuasa politik, Caballero masih mengekalkan banyak kuasa kerana masih merupakan komander tentera. Calon-calon kesayangannya menguasai negara sehingga tahun 1894 apabila Juan Bautista Eguzquiza menggulingkan Juan Gualberto González. Caballero membantu sekali lagi untuk merancang rampasan kuasa pada tahun 1902 dan dengan itu, memberi kuasa kepada Juan Antonio Escurra, akan tetapi selepas Escurra digulingkan oleh Tentera Argentina, Parti Liberal mengambil alih kuasa.

Caballero berkahwin sebanyak dua kali, dengan kali pertama bersama María de la Concepción Díaz de Bedoya, dan kali kedua bersama Julia Álvarez. Daripada perkahwinannya yang pertama, beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, Ramon Caballero de Bedoya, dan Melchora Caballero de Bedoya. Perkahwinannya yang kedua dengan Julia Álvarez tidak melahirkan anak. Bandar General Bernadino Caballero di Paraguay dinamai sempena nama Caballero.