Betamax

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Betamax
Jenis mediaPita magnetik, perakam kaset video
PengekodanNTSC, PAL, SECAM
KapasitiSehingga 5 jam
Dibangunkan olehSony
Dimensi15.6 × 9.6 × 2.5 cm
(6​17 × 3​34 × 1 inch)
Diperluas kepadaVHS
Dikeluarkan10 Mei, 1975; 48 tahun yang lalu (10 Mei, 1975)
DihentikanPasaran untuk perakam dihentikan Ogos 2002
Pasaran untuk pita kosong dihentikan Mac 2016[1]

Betamax (juga dikenali dengan nama Beta, seperti dalam logo) ialah format dan kumpulan produk berkaitan dengan kaset video dan perakam kaset video. Format ini telah dibangunkan oleh Sony dan mula dilancarkan di Jepun pada 10 Mei 1975[2], diikuti dengan pasaran Amerika Syarikat pada bulan November tahun yang sama.

Ramai menganggap Betamax sebagai format yang lapuk, setelah tewas[3] kepada pesaing VHS yang mendominasi pasaran hampir seluruh dunia[4]. Walaupun Betamax menawarkan imej yang berkualiti tinggi, namun VHS yang menawarkan tempoh masa video yang lebih panjang akhirnya dijadikan sebagai piawaian standard.

Sehingga Ogos 2002, Betamax dilaporkan masih lagi dikeluarkan dan dijual dalam pasaran apabila Sony mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan pengeluaran kesemua model perakam kaset video Betamax. Manakala kaset video Betamax masih lagi dijual di pasaran sehingga bulan Mac 2016[5][1].


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Idea ciptaan Betamax bermula apabila beberapa orang jurutera Sony melakukan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan perakam kaset video serta kaset video generasi kehadapan di bawah pengawasan Nobutoshi Kihara[6]. Hasilnya, mereka berjaya mencipta kaset video bersaiz buku diari. Kaset ini hanya menggunakan separuh daripada jumlah komponen yang diperlukan untuk mengeluarkan kaset video U-matic serta memiliki berat yang agak ringan. Kumpulan Penyelidikan dan Pembangunan Betamax ditubuhkan bagi memfokuskan terhadap pembangunan dan pengeluaran produk baru ini.

Kumpulan jurutera Sony berpendapat bahawa perakam kaset video merupakan alat yang ideal bagi pengguna di Jepun kerana pada ketika itu pasaran televisyen berwarna telah mendominasi di setiap isi rumah dan perakam ini membolehkan pengguna merakam program-program yang disiarkan dan dimainkan kembali pada bila-bila masa. Mereka juga menetapkan bahawa produk ini akan dikenali dengan nama Betamax[7]; di mana bentuk sistem muatan baru yang terdapat dalam kaset video baru ini menyerupai huruf Beta (β)[8] manakala Max merupakan singkatan kepada perkataan Bahasa Inggeris Maximum, menggambarkan yang produk ini bakal memberikan impak yang maksimum[8].

Pada tahun 1974, Kementerian Perdagangan dan Industri Jepun pada ketika itu berhasrat untuk menetapkan penggunaan satu format kaset video yang akan diterima pakai oleh kesemua pengeluar barangan elektronik di Jepun[9]. Ini bagi mengelakkan pengguna berdepan dengan pelbagai format yang tidak boleh digunakan antara satu sama lain[10]. Pada awalnya, Sony seperti berjaya menarik perhatian kerajaan atas pengalaman mengeluarkan beberapa format kaset video sebelum ini[9]. Namun begitu, syarikat JVC yang membangunkan format VHS cuba meyakinkan syarikat Matsushita yang merupakan pihak berkepentingan untuk memberi sokongan kepada VHS[10]. Pihak kerajaan kemudian membatalkan hasrat itu selepas pelancaran perakam kaset video VHS pada tahun 1976[9]. Sebelum itu, Sony pernah menawarkan lesen kepada syarikat JVC untuk menggunakan kaset Betamax dalam perkakasan mereka, namun pihak JVC menolak dan memilih untuk membangunkan format mereka sendiri[10].

Pada 16 April 1975, Sony melancarkan produk pertama yang menggunakan format Betamax iaitu perakam kaset video model SL-6300 dan LV-1801 yang mengintegrasikan SL-6300 dengan televisyen berwarna Trinitron bersaiz 18 inci dalam satu perkakasan untuk pasaran Jepun dan bulan berikutnya untuk pasaran Amerika Syarikat[11]. Di awal pengeluaran produk ini, sambutan yang diterima agak rendah kerana penggunaan perakam kaset video boleh dikatakan agak baru bagi pasaran pengguna umum. Untuk itu, Sony meningkatkan lagi pemasaran produk Betamax ini dengan pengenalan kepada slogan "Watch whatever, whenever" ("Tonton apa sahaja pada bila-bila masa")[12]. Slogan ini menekankan kepada penggunaan perakam kaset video Betamax merakam apa sahaja program yang disiarkan di televisyen dan ianya boleh ditonton kembali pada bila-bila masa[7]. Kaset video Betamax yang diperkenalkan pada masa ini mampu merakam video sehingga satu jam dan ianya ditawarkan dengan harga sebanyak 4,500 yen.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Sony stops making Betamax tapes after 40 years". New Straits Times. 10 November 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Disember 2015. Dicapai pada 23 April 2024.
  2. ^ McDonald, Paul (8 Jun 2007). Video and DVD Industries. British Film Institute. m/s. 33. ISBN 9781844571673. Dicapai pada 6 Jun 2012.
  3. ^ "Betamax". Pcmag.com. 12 Januari 1994. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Jun 2009. Dicapai pada 16 September 2012.
  4. ^ Owen, Dave (2005). "The Betamax vs VHS Format War" (video). Mediacollege.com. Dicapai pada 16 September 2012.
  5. ^ "Beta Video Cassette and Micro MV Cassette Tape End of Shipment Announcement". Sony Japan (dalam bahasa Jepun). Sony. 10 November 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 November 2015. Dicapai pada 10 November 2015.
  6. ^ Martin, Douglas (27 Februari 2011). "Nobutoshi Kihara, Sony Engineer, Dies at 84". The New York Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Disember 2023. Dicapai pada 23 April 2024.
  7. ^ a b C-Scott, Marc (13 November 2015). "The end of Sony's Betamax video tape: but the format wars continue in a digital world". The Conversation. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2024. Dicapai pada 23 April 2024.
  8. ^ a b Elliott, Elaine. "5 Things you might not know about the BetaMax". LegacyBox. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 September 2023. Dicapai pada 23 April 2024.
  9. ^ a b c Gibbs, Samuel (10 November 2015). "Betamax is dead, long live VHS". The Guardian. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mac 2020. Dicapai pada 24 April 2024.
  10. ^ a b c Murphy, Sarah-Jane (11 November 2015). "It's the end of an era: Sony bids a fond farewell to Betamax cassette tapes". Irish Independent. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 April 2024. Dicapai pada 24 April 2024.
  11. ^ Jowitt, Tom (8 Ogos 2016). "Tales In Tech History: The Betamax Revolution". NetMedia International. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Disember 2022. Dicapai pada 24 April 2024.
  12. ^ Murphy, Sarah-Jane (11 November 2015). "Sony finally kills off Betamax format". FactMag. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2023. Dicapai pada 24 April 2024.