Bot tunda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebuah bot tunda.

Bot tunda (bahasa Inggeris: tugboat) ialah sejenis bot yang mengolah gerak kapal-kapal dengan menolak atau menunda. Bot tunda menggerakkan kapal-kapal yang tidak boleh bergerak dengan sendirian seperti kapal-kapal di pelabuhan yang sibuk, di terusan yang sempit, atau yang tiada enjin sendiri seperti baj, kapal tidak berfungsi, dan pelantar minyak. Bot tunda sangat berkuasa dan tahan lasak walaupun saiznya kecil, bahkan ada jenis bot tunda yang boleh belayar di lautan dalam. Sesetengah bot tunda juga digunakan sebagai bot pemecah ais dan bot penyelamat. Bot tunda terawal menggunakan enjin stim yang kemudiannya digantikan dengan enjin diesel.

Jenis bot tunda[sunting | sunting sumber]

Bot tunda laut - terdiri daripada 3 kategori asas:

  • "Bot tunda laut" piawai yang menunda menggunakan tali ulut (keluli panjang atau tali gentian lembut).
  • "Bot tunda takik" (notch tug) yang boleh diletak di takik pada buritan baj yang direka khas, yang secara efektifnya membentuk kombinasi sebuah kapal. Konfigurasi sebegini bagaimanapun berbahaya digunakan untuk baj yang tiada kargo. Jadi, "bot tunda takik" dibina dengan win tunda. Dengan konfigurasi ini, saiz baj yang digunakan mungkin menghampiri saiz kapal kecil, dan interaksi dengan aliran air membenarkan kelajuan yang tinggi dengan peningkatan kuasa atau penggunaan bahan api yang minimum.
  • "Unit bersepadu" yang terdiri daripada gabungan bot tunda dan baj direka khas. Unit ini akan tetap bergabung dalam apa jua keadaan laut dan bot tunda sebegini biasanya mempunyai reka bentuk yang tidak sesuai untuk pelayaran di laut tanpa digabung dengan bajnya. Unit ini secara perundangannya dikategorikan sebagai sebuah kapal dan mesti menunjukkan lampu pelayaran seperti yang tertakluk kepada kapal-kapal.

Bot tunda pelabuhan. Dalam sejarah, bot tunda merupakan pengangkutan laut pertama yang dipasang dengan pendorongan stim, yang tidak dihalang dengan haluan angin, dan yang mempunyai kemampuan bergerak ke semua arah. Oleh sebab itu, ia digunakan di pelabuhan bagi membantu kapal berlabuh dan berlayar keluar.

Bot tunda sungai - Digunakan sebagai penolak di sungai, kerana bot tunda sungai biasanya tidak mempunyai tali ulut atau win. Reka bentuk badan kapalnya adalah berbahaya untuk operasi di laut lepas. Ia mempunyai haluan yang rata untuk diselaraskan dengan buritan baj yang berbentuk segi empat tepat.

Enjin bot tunda[sunting | sunting sumber]

Enjin bod tunda biasanya menjana kuasa dari 500 hingga 2,500 kW (~ 680 to 3,400 hp), tetapi bot yang lebih besar (digunakan di laut dalam) mampu menjana kuasa sehingga 20,000 kW (~ 27,200 hp) dan lazimnya mempunyai nisbah kuasa:tanan yang ekstrem (kapal kargo dan penumpang normal mempunyai nisbah kuasa:tanan (dalam kW:GRT) dari 0.35 hingga 1.20, sementara bagi bot tunda besar lazimnya antara 2.20 hingga 4.50 dan bot tunda pelabuhan yang kecil antara 4.0 hingga 9.5)

Kebanyakan enjin bot tunda yang digunakan adalah sama dengan enjin kereta api, tetapi pada bot tunda, ia menggerakkan bebaling. Dan untuk keselamatan biasanya digunakan minimum dua buah enjin utama.

Bot tunda memiliki kemampuan olah gerak yang tinggi yang bergantung kepada unit penggerak. Bot tunda dengan penggerak konvensional memiliki bebaling di belakang untuk menunda kapal dengan cekap. Jenis penggerak lainnya seperti sistem pendorongan Schottel (azimuth thruster/Z-peller) memiliki bebaling di bawah bot yang dapat bergerak 360° atau sistem pendorongan Voith-Schneider yang menggunakan alat kemudi di bawah bot yang dapat membuat putaran 360°.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Jane's Ocean Technology 1979-80 / Jane's Yearbooks, 1979 - ISBN 0-531-03902-1.
  • On Tugboats: Stories of Work and Life Aboard / Virginia Thorndike - Down East Books, 2004.
  • Under Tow: A Canadian History of Tugs and Towing / Donal Baird - Vanwell Publishing, 277 p., 2003 - ISBN 1-55125-076-4
  • Primer of Towing / George H. Reid - Cornell Maritime Press, 1992.
  • South Park- Episode 83, Russell Crowe Beats people up around the world and has a tugboat as a companion.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]