Brewster Buffalo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Brewster 239 formation.png

Pesawat pejuang jenis Brewster Buffalo adalah sebuah pesawat pejuang binaan Amerika Syarikat yang berkhidmat secara meluas semasa Perang Dunia II. Pesawat ini kadang kala dipanggil “keranda terbang” oleh pengkhidmat Amerika Syarikat kerana pembinaannya yang kurang baik dan prestasinya yang jauh kurang daripada pesaing-pesaing. Pesawat Brewster Buffalo adalah pesawat ekasayap (monoplane) yang memasuki perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat. Pesawat Brewster Buffalo paling lama berkhidmat dan mencapai kejayaan perkhidmatan semasa berkhidmat dengan Ilmavoimat, (Tentera Udara Finland) semasa 1940 hingga 1948.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Pesawat ini dibina berikutan permintaan daripada Tentera Laut Amerika Syarikat untuk satu jenis pesawat untuk berkhidmat di atas kapal induk pembawa pesawat. Keperluan pesawat termasuklah kokpit yang bertutup, kepak kecil (wing flap), cangkuk pendaratan, gear pendaratan boleh sentut dan susun atur ekasayap (monoplane). Prototaip pesawat ini menjalani penerbangan sulung dalam bulan Disember 1937. Tentera Laut Amerika Syarikat membuat pesanan untuk 54 buah pesawat sebagai pesanan awal.

Sejarah Perkhidmatan[sunting | sunting sumber]

Brewster Buffalo F2A-2.jpg

9 buah pesawat awal dihantarkan untuk berkhidmat dengan skuadron VF-3 di atas kapal USS Saratoga (CV-3). Baki 44 buah pesawat dijual kepada Finland. Walaupun jelas sekali prestasi pesawat ini tidak setanding dengan pesaing-pesaingnya, United kingdom, Belgium dan Belanda membuat pesanan beratus-ratus buah pesawat ini untuk kegunaan mereka. Model F2A-2 adalah versi ditambah baik menggunakan enjin yang lebih kuat dan kipas yang lebih baik. Ini diikuti dengan model F2A-3 dengan beberapa peningkatan. Tetapi peningkatan ini menambahkan berat kosong pesawat ini dan menyebabkan masalah kepada gear pendaratan pesawat, khususnya apabila berkhidmat di atas kapal.

Kor Marin Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Kor Marin Amerika Syarikat menggunakan pesawat ini semasa Pertempuran Midway. Pasukan Marin di Midway kehilangan 15 daripada 25 pesawat Buffalo yang ditugaskan untuk menentang pasukan yang menyerang Pulau Midway apabila mereka bertembung dengan pesawat Mitsubishi Zero yang berperanan sebagai pengiring pasukan penyerang. Kesudahannya, Brewster Buffalo mendapat reputasi yang tidak baik di kalangan juruterbang Kor Marin.

Sebenarnya, sebab kekalahan adalah disebabkan oleh keusangan reka bentuk pesawat model F2A-3 itu sendiri, kurangnya pengalaman juruterbang Marin yang bertempur hari itu, bilangan pesawat Jepun yang jauh lebih banyak daripada pesawat Buffalo yang menentang mereka dan pengalaman tempur juruterbang Mitsubishi Zero yang jauh lebih meluas. Pertempuran Midway merupakan kali terakhir pesawat Buffalo digunakan oleh Amerika Syarikat di dalam pertempuran. Selebihnya dipulangkan ke Amerika Syarikat dan dijadikan pesawat latihan sahaja.

Hans Wind jaguh udara Finland

Hans Wind membuat analisis pertempuran dan kesilapan yang dilakukan oleh juruterbang Amerika semasa Pertempuran Midway dan menulis manual tempur untuk pesawat Brewster Buffalo yang menggariskan taktik yang boleh digunakan untuk memaksimumkan keupayaan pesawat Brewster Buffalo ini. Manual ini digunakan dengan meluas oleh Ilmavoimat, (Tentera Udara Finland) dan berjaya menjuarai pertempuran udara.

Komanwel[sunting | sunting sumber]

Pesawat Buffalo dalam perkhidmatan RAF

Pada awal tahun 1940, Britain membuat pesanan 170 buah pesawat Buffalo Model 339E dan menamakannya Buffalo MkI. Sebelumnya Britain menyatakan pesawat Buffalo tidak sesuai untuk kegunaan RAF. Tetapi RAF menyedari pesawat Buffalo tidak setanding pesawat Messerschmitt Bf 109 di medan tempur Eropah, menghantar pesawat ini untuk perkhidmatan di Singapura, Malaya, dan Burma kerana disangkakan setanding ataupun lebih baik daripada pesawat-pesawat yang digunakan oleh pihak Jepun .

Perubahan yang dibuat termasuk pemasangan plat perisai untuk juruterbang, dan gelas diperkukuh untuk cermin kokpit. Kipas digunakan adalah dari Hamilton Standard dengan garis lintang 10 kaki. Perubahan ini menambahkan berat pesawat menjadi 6500 paun dan kelajuan maksimum dicapai hanyalah 330 batu sejam. Kadar menaik adalah 2600 kaki seminit.

5 buah skuadron tentera Komanwel dilengkapkan dengan pesawat Buffalo, dengan setiap skuadron diberikan 15 buah pesawat. Unit-unit yang dibekalkan pesawat Buffalo Mk.I adalah Skuadron No. 67 dan Skuadron No. 243 Tentera Udara Diraja, Skuadron No. 21 dan Skuadron No. 43 Tentera Udara Diraja Australia dan skuadron No. 488 Tentera Udara Diraja New Zealand. Skuadron No. 67 Squadron ditempatkan di Burma sementara yang lainnya di Tanah Melayu. Kekurangan juruterbang menyekat penubuhan skuadron-skuadron lain, dan banyak pesawat buffalo diletakkan dalam simpanan. Kebanyakan juruterbang Komanwel yang ditugaskan menerbangkan pesawat Buffalo tidak mempunyai pengalaman, dan dalam musim gugur tahun 1941 sahaja 20 buah pesawat Buffalo terhempas semasa latihan.

Banyak Pesawat Brewster Buffalo yang musnahkan di Semenanjung Tanah Melayu

Perang di Malaya bermula pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan mengejut Jepun di Kota Bharu. Pesawat Buffalo pada mulanya mencapai kejayaan menentang pesawat Jepun jenis Ki-27s and Ki-43. 3 orang juruterbang Komanwel berjaya menjadi jaguh udara dengan semasa Pertempuran Malaya. Tetapi, pesawat Buffalo jauh kekurangan apabila bertembung dengan pesawat A6M Reisen yang digunakan Tentera Laut Jepun. Pesawat zero jauh lebih pantas dan kebolehan kendalian yang jauh lebih baik, dan mempunyai persenjataan yang lebih baik.

Skuadron-skuadron Komanwel yang menerbangkan pesawat Buffalo di Asia mengalami kadar pelumpuhan yang tinggi kerana senggaraan yang tidak sempurna. Walaupun demikian, juruterbang Komanwel mendakwa mencapai nisbah kemenangan 2:1 semasa menentang tentera Jepun. Geoff Fisken adalah salah seorang jaguh udara yang menggunakan pesawat Buffalo pada saat perang bermula dan mengakhiri perang sebagai jaguh udara Komanwel di kawasan Pasifik.

Setelah keadaan di Semenanjung Tanah Melayu kian terus dengan cepatnya, skuadron-skuadron Buffalo Komanwel berundur ke Singapura sebelum ke Hindia Belanda.

Skuadron RAF Yang Mengendalikan Pesawat Buffalo di Tanah Melayu[sunting | sunting sumber]

Apabila Perang Dunia II meletus dengan pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu pada 8 Disember 1941, pihak British mempunyai 4 skuadron yang dilengkapkan dengan pesawat Brewster Buffalo. Daripada kesemua juruterbang yang ditugaskan menerbangkan pesawat Buffalo ini hanya 15 orang sahaja adalah juruterbang Tentera Udara Diraja (RAF). Selainnya adalah Sarjan Juruterbang daripada Australia dan New Zealand. Daripada bilangan 118 juruterbang yang menerbangkan pesawat Brewster Buffalo di Malaya dan Singapura, 28 orang (23.7 peratus) terbunuh sementara seorang menjadi tawanan perang dalam tempoh 2 bulan. Beberapa orang lagi mendapat cedera parah.

21 Skuadron RAAF ("City of Melbourne")

Skuadron "City of Melbourne" mempunyai 12 buah pesawat Buffalo di Sungai Petani pada 8 Disember 1941. 8 buah (66%) musnah di atas darat dalam serangan udara oleh pesawat Jepun, dan skuadron ini berundur ke Butterworth. 2 lagi pesawat Buffalo ditembak jatuh pada 8 Disember 1941 dalam pertempuran udara ke udara yang pertama melibatkan RAF di rantau Pasifik. 21 Skuadron diundurkan lagi ke Ipoh, di mana ia digabungkan dengan 453 Skuadron sebelum meninggalkan Tanah Melayu untuk pulang ke Australia pada 27 Januari 1942.

453 Skuadron RAF

Skuadron ini dilengkapkan dengan 18 buah pesawat Buffalo dan sebuah pesawat Tiger Moth dan berpangkalan di Kallang. 16 buah pesawat Buffalo dihantar ke pangkalan Ipoh pada 13 Disember 1941 dan mendapat kemenangan udara pertama pada hari berkenaan, tetapi kehilangan komander stesen dan seorang juruterbang yang lain terbunuh apabila pesawat mereka kehabisan minyak.

Pesawat Komander Stesen yang baru, Wing Cdr L J Neale RAF pula terhempas pada 13 Disember 1941 dan mendapat cedera. Skuadron ini diberikan pesawat baru untuk menggantikan pesawat yang musnah dan kemudiannya ditempatkan semula di Kuala Lumpur. Di sana, skuadron ini bertembung dengan Sentai 64 Jepun, dalam pertempuran 12 Buffalo menentang 18 buah pesawat Nakajima Ki-43 Hayabusa.

Dengan 3 buah pesawat Buffalo yang masih boleh digunakan, skuadron ini berundur ke Singapura untuk dilengkapkan semula dengan 16 buah pesawat Buffalo. Pada 24 Januari 1942, hanya 4 buah pesawat Buffalo masih boleh digunakan, dan skuadron ini menjadi satu-satunya skuadron yang masih boleh menjalankan operasi pesawat Buffalo. 8 buah pesawat Buffalo dipindahkan kepada pihak belanda di Hindia Belanda.

243 Skuadron RAF

Skuadron ini dilengkapkan dengan 15 buah pesawat Buffalo yang ditempatkan di Kallang dan 2 buah pesawat di Kota Bharu. Pada 12 Disember 1941, 4 buah pesawat dihantar ke Ipoh untuk ditumpangkan dengan 21 Skuadron.

Pada 25 Disember 1941, Skuadron ini mempunyai 15 buah pesawat Buffalo. Dalam minggu pertama bulan Januari 1942, skuadron ini kehilangan 7 buah pesawat dalam kemalangan dan pada 23 Januari hanya 2 pesawat masih boleh diterbangkan. Pada 27 Januari 1942, skuadron ini dibubarkan dan pesawatnya serta juruterbang dihantarkan ke 453 Skuadron. Geoffrey Fisken berkhidmat dalam skuadron ini.

488 Skuadron RAF

Skuadron ini mempunyai 17 buah pesawat Buffalo di Kallang dan adalah skuadron yang mendapat latihan yang paling kurang kerana belum beroperasi sepenuhnya. Pertempuran pertama adalah pada 12 Januari 1942 dengan 2 Buffalo ditembak jatuh dan 5 lain rosak tanpa menimpakan apa-apa kerugian kepada pihak Jepun. Pad 23 Januari 1942, skuadron ini hanya mempunyai 2 buah pesawat Buffalo yang boleh digunakan. Pesawat itu diserahkan kepada 243 Skuadron. 488 Skuadron RAF kemudian dilengkap semula dengan pesawat Hawker Hurricane

Hindia Belanda[sunting | sunting sumber]

Perkhidmatan Udara Tentera Diraja Belanda membuat pesanan untuk 144 buah pesawat Brewster Buffalo

Pasukan ML-KNIL (Militaire Luchtvaart van het Koninklijk Nederlands-Indisch Leger : Perkhidmatan Udara Tentera Diraja Belanda – Tentera Hindia (Belanda)) membuat pesanan untuk 144 buah pesawat Brewster Buffalo model B-339C and 339D. Hanya 71 buah pesawat sahaja sempat dihantar sebelum perang meletus pada 8 Disember 1941, dan tidak semuanya sempat disediakan untuk perkhidmatan. Sebilangan pesawat dihantar untuk membantu pertahanan Singapura semasa Pertempuran Singapura sebelum diundurkan untuk memperkukuhkan pertahanan Pulau Jawa.

Oleh kerana pesawat Buffalo yang digunakan oleh pihak Belanda lebih ringan berbanding dengan pesawat yang digunakan oleh pihak British, pesawat mereka boleh menandingi pesawat Nakajima Oscar yang digunakan oleh pihak Jepun. Tetapi apabila berdepan dengan Mitsubishi Zero, pesawat Jepun itu masih dapat membuat pusingan dan membelok dengan lebih baik berbanding dengan pesawat Buffalo.

Pihak Belanda juga menggunakan pesawat Buffalo sebagai pengebom junam unuk menyerang kapal pengangkut tentera Jepun. Tetapi, bilangan pesawat Jepun yang terlalu banyak menyebabkan pasukan pesawat Buffalo Belanda tidak berdaya menyekat penguasaan udara oleh pihak Jepun, walaupun dibantu oleh pesawat Buffalo British yang berundur dari Singapura dan kemaraan tentera darat Jepun. Pesawat Buffalo Belanda melaksanakan misi penghabisan mereka pada 7 Mac 1942.

Pihak Belanda mengalami korban perang seramai 17 juruterbang terbunuh dan 30 buah pesawat Buffalo ditembak jatuh dan 15 buah pesawat lagi dimusnahkan di darat dan beberapa buah lagi melalui kemalangan. Juruterbang Belanda mendakwa mencatatkan 55 kemenangan udara menentang pesawat musuh. Pada 19 Februari 1942, satu kumpulan 8 buah pesawat Buffalo memintas satu kumpulan 35 pesawat pengebom Jepun diiringi oleh 20 buah pesawat Mitsubishi Zero, dan berjaya memusnhakna 11 pesawat musuh dengan kehilangan 4 buah pesawat Buffalo.

Finland[sunting | sunting sumber]

Di tangan juruterbang Ilmavoimat, (Tentera Udara Finland), pesawat Brewster Buffalo ini mencapai kejayaan besar. Pesawat Brewster Buffalo tidak sempat dihantar semasa Perang Musim Sejuk Finland tetapi kesannya amat terasa semasa Perang Sambungan. Dalam prekhidmaatn finaland. Pesawat ini tidak dipanggil Buffalo, tetapi dipanggil Brewster sahaja, ataupun nama jolokan Taivaan helmi ("Sky Pearl") ataupun Pohjoisten taivaiden helmi ("Pearl of the Northern Skies").

Finland menerima 44 buah pesawat Brewster dan diberikan nombor siri BW-351 hingga BW-394. Pesawat Brewster ini dianggap sebagai pesawat yang mudah diterbangkan, dan amat popular di kalangan juruterbang kerana jarak penerbangan yang jauh dan keupayaan berlegar yang lama. Pesawat Brewster juga mempunyai rekod senggaraan yang baik. Juruteknik Finland membalikkan salah satu daripada gelung piston di dalam enjin Wright Cyclone; ini telah meningkatkan daya tahan dan kebolehan enjin ini.

Pesawat Brewster mencapai kejayaan cemerlang dalam perkhidmatan Finland dan menjadi pesawat tempur paling berjaya dalam perkhidmatan Ilmavoimat. Dalam perkhidmatan Ilmavoimat, pesawat Brewster memusnahkan 496 buah pesawat Soviet dan Jerman sambil mengalami 19 buah Brewster ditembak jatuh. Ini memberikan nisbah kemenangan 26:1.

Fail:Hanswind393.jpg
Hans Wind mencatatkan 26 kemenangan menggunakan pesawat BW-393
Fail:BrewsterEino Luukkanen.jpg
Pesawat brewster yang Digunakan Oleh Eino Luukkanen

Semasa Perang Sambungan, 24 Skuadron dilengkapkan dengan pesawat Brewster sehingga bulan Mei 1944. Kebanyakan juruterbang dalam skuadron ini adalah juruterbang veteran, termasuklah Hans Wind. 24 Skuadron mencatatkan 459 kemenangan udara dengan mengalami 15 pesawat Brewster sebagai korban. Dalam tempoh 25 Jun 1941 dan 31 Disember 1941, 24 Skuadron mencatatkan 135 kemenangan dengan pesawat Brewster dengan kehilangan dua orang juruterbang dan dua buah pesawat Brewster.

Jaguh udara Finland adalah Hans Wind, dengan 39 kemenangan di dalam pesawat Brewster. Wind mencatatkan 26 kemenangan menggunakan pesawat BW-393. Eino Luukkanen mencatatkan 7 kemenangan dalam pesawat yang sama. Pesawat BW-393 akhirnya mencapai 41 kemenangan. Jaguh terulung Finland, Ilmari Juutilainen mendapat 34 daripada 94.5 kemenangannya menggunakan pesawat Brewster.

Semasa perang, pereka bentuk Finland membuat model baru diasaskan kepada pesawat Brewster Buffalo tetapi menggunakan bahan yang lebih murah seperti kayu lapis (triplek). Hanya sebuah prototaip pesawat Humu itu dibina, dan akhirnya dibatalkan pembinaan kerana reka bentuknya sudah jelas terlalu usang berbanding dengan reka bentuk tahun 1944. digandingkan dengan penghantaran pesawat Messerschmitt Bf 109 untuk memenuhi keperluan perkhidmatan skuadron Ilmavoimat membatalkan rancangan pembinaan Humu.

Penerbangan terakhir oleh pesawat Brewster Buffalo dalam perkhidmatan Finland dibuat pada 14 September 1948. Pesawat BW-372 kini disimpan di museum penerbangan NAS Pensacola, dan dicatkan dalam warna Ilmavoimat, (Tentera Udara Finland). Prototaip Humu juga disimpan di museum di Finland.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]