Buli (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buli
Poster keluaran tayangan
PengarahAfdlin Shauki
PenulisAfdlin Shauki (lakon layar)
Dihasilkan olehJohari Amat
Lazizah Ahmad (penerbit eksekutif)
DibintangiAfdlin Shauki
Hans Isaac
Nasha Aziz
Sharifah Shahirah
Ako Mustapha
SinematografiIndra Che Muda
Disunting olehKamaruddin Abu
Muzik oleh
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Tarikh tayangan
11 Mac 2004[1]
Masa tayangan
110 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.5 juta
Pecah panggungRM 1.6 juta

Buli ialah sebuah filem komedi drama Malaysia 2004 arahan sulung Afdlin Shauki yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip,[2][3] terbitan Grand Brilliance. Ia berkisarkan tentang Nordin, seorang pereka perisian komputer yang memiliki tahap keyakinan diri yang rendah, menjadi mangsa buli rakannya, Roy sejak zaman kanak-kanak. Dia bertekad untuk menghadapi mimpi ngeri hidupnya buat sekali dan selamanya.[4][5] Filem ini dibintangi oleh beliau sendiri, Hans Isaac, Nasha Aziz, Hattan, Ako Mustapha, Sharifah Shahirah dan menampilkan barisan pelakon undangan daripada selebriti ternama Malaysia.[6]

Dikeluarkan pada 11 Mac 2004,[7][8] filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem dan telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.6 juta semasa tayangan perdananya.[9][10][11] Afdlin menerima pujian atas percubaan sulungnya sebagai pengarah oleh ramai pengkritik. Kesinambungannya, Buli Balik ditayangkan pada 26 Januari 2006.

Plot[sunting | sunting sumber]

Plot filem ini bermula dengan Nordin (Afdlin Shauki) berdiri di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur sambil memandang sekelilingnya. Bermula di sini, Nordin menceritakan sejarah hidupnya termasuk menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah sambil mengakui tidak mempunyai ramai kawan.

Nordin, 28 tahun, masih bujang dan belum berkahwin, bekerja sebagai pereka perisian di Michaelsoft, sebuah syarikat komputer milik Tan Sri Michael (Patrick Teoh), Nordin telah bekerja di Michaelsoft selama tiga tahun. Mesyuarat diadakan di ibu pejabat Michealsoft, Tan Sri Michael mengumumkan penjualan perisian anti-virus komputer KABELUPUKOM Versi 1.1, yang telah menembusi pasaran dunia. Nordin tiba di pejabat, dan Tan Sri Michael mengumumkan bahawa ia telah mengambil kakitangan baharu dalam syarikat itu. Sebuah kereta Mitsubishi Lancer datang dan melanggar penanda jalan untuk orang kurang upaya. Kakitangan baru ialah Roy (Hans Isaac), rakan karib Nordin sejak kecil. Roy menyertai syarikat itu untuk mengetuai projek mewujudkan sistem keselamatan perisian untuk sebuah syarikat Jepun. Apabila Nordin terkejut dengan kehadiran Roy, dia meninggalkan bilik mesyuarat dan belum sempat melangkah pergi, Roy memanggilnya, kerana dia menggelarkannya sebagai "Boyot".

Nordin mengingati peristiwa lampaunya semasa sekolah menengah: Pada tahun 1991, Roy dan Nordin menduduku Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Air Panas 2. Roy membuli Nordin dengan cuba memasukkan kepalanya ke dalam mangkuk tandas. Rupa-rupanya itu hanyalah mimpi, Nordin menjerit sambil merendam kepalanya di dalam sinki berisi air dan melihat cermin. Roy datang, dan memintanya menyiapkan laporan kertas kerja kepada pelanggan. Nordin menjembatani dirinya di dalam tandas dinding dan bermimpi sekali lagi, dia bertukar menjadi The Incredible Hulk dengan seluruh badannya berwarna biru, manakala pakaiannya koyak badan akibat membesar, dan dia menakutkan Roy. Semasa menerima rawatan di hospital akibat dipatuk ayam, Nordin berkenalan dengan Dr. Ika (Nasha Aziz), seorang doktor dan pakar psikiatri.

Nordin tidak yakin dengan bentuk badannya dan berasa terlalu malu dengan penampilannya yang gemuk itu. Semasa bersenam di gimnasium, dia menonton iklan 'Lu Slim Lah Beb' di televisyen dan cuba menghubungi nombor telefon produk tersebut. Roy menyambut hari lahirnya yang ke-28 di hotel dan dia membawa Nordin bersama. Dia memperkenalkannya kepada rakan-rakannya dan memalukannya dengan memanggilnya "Boyot" dan memberinya seluar renang. Di rumahnya, Nordin menghubungi Dr. Ika untuk mendapatkan bantuan di mana dia boleh menjalani sesi terapi. Sementara itu, Roy dan rakan-rakannya berpesta di pusat karaoke hotel. Rudy (AC Mizal), yang mempunyai parut kekal di wajahnya, datang bersama beg galas yang mengandungi wang tunai. Rudy menawarkan Roy untuk membantunya dalam satu 'projek besar' iaitu merompak bank menggunakan sistem perisian yang dibuat oleh syarikat itu dan Rudy meminta Roy tidak menghampakannya. Selepas itu, Rudy menyanyikan lagu "Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu" nyanyian Ramlah Ram secara spontan dan bersahaja.

Nordin yang sedang cuti sakit, keluar bersama Dr Ika. Tan Sri Michael memberi amaran kepada Roy supaya menyiapkan buku laporan pelanggan, jika tidak dia akan dipecat oleh bosnya. Dia bertegas supaya lebih dikenali dengan nama panggilannya dan bukannya nama sebenarnya, Masron dan bertanya keberadaan Nordin. Nordin dan Dr Ika menonton wayang di pawagam dan kemudiannya mereka makan di sebuah restoran dengan latar langit KL kelihatan. Bunga api itu kelihatan pada malam sambutan Tahun Baru. Dr Ika memberitahu Nordin tentang Resolusi Tahun Barunya dan dia menjawab kepadanya bahawa dia bertekad untuk menjalani sesi terapinya tahun ini. Bunga api terus berkilauan di langit. Semasa Nordin ingin pulang, Roy datang kepadanya. Dia menyalahkan Nordin kerana hampir dipecat oleh bos kerana sistem keselamatan yang pasukannya perlu lakukan belum siap lagi. Roy kemudian membelasahnya tanpa belas kasihan walaupun Nordin meminta maaf dan dia memberi amaran kepada Nordin supaya menyerahkan laporan itu kepadanya dan membelasahnya sekali lagi sebelum meninggalkan. Rakan serumah Nordin, Syaf (Ako Mustapha) begitu marah kepada Roy memintanya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan selepas dipukul oleh Roy, namun Nordin menolak. Nordin memberitahu Syaf bahawa dia telah bertemu dengan bidadari yang akan mengubah hidupnya, tetapi Syaf bertanya kepadanya adakah dia okay?.

Pada keesokan harinya, Nordin datang ke pejabat. Semasa di dalam lif, dia berhadapan dengan Roy namun Roy berbaik semula dengan Nordin dengan meminta maaf. Roy memberitahu Nordin bahawa dia mengalami tekanan, jadi dia melepaskan tekanannya kepadanya. Nordin kemudian menyerahkan dokumen laporan kepada Roy. Roy meminta Nordin membeli makanan untuk dimakan. Semasa Nordin keluar untuk membeli makanan, dia cuba menyalin semua kerja sistem keselamatan Nordin. Dia memadam semua bukti yang Nordin ada dalam komputernya dan meletakkan pil tidur dalam minumannya. Apabila Nordin kembali ke pejabat, Roy sudah tiada. Dia cuba membuka komputernya, tetapi gagal. Dia tidur di atas mejanya sehingga pagi dan hanya bangun selepas Tan Sri Michael datang untuk membawa sistem keselamatannya untuk ditunjukkan kepada Jepun tetapi Nordin tidak dapat berbuat demikian kerana ia telqh hilang dari komputernya. Roy datang dan bertindak sebagai wira sambil memberitahu Tan Sri Michael bahawa dia telah mencipta sistem keselamatan sendiri sekiranya berlaku apa-apa kepada Nordin. Selepas gagal menunjukkan sistem keselamatannya, Nordin telah dipecat oleh bosnya. Nordin memberitahu Roy bahawa sistem keselamatannya ialah hasil kerjanya tetapi Roy mengatakan bahawa tiada siapa yang akan mempercayainya kerana dia tidak mempunyai bukti untuk membuktikannya. Roy memberitahu Nordin bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa kepadanya kerana dia akan sentiasa menjadi lebih baik daripadanya. Adik Dr. Ika, Ila (Sharifah Shahirah) menghidap asma ketika melakukan senaman di gimnasium. Ila memberitahu ibu dan adiknya bahawa bekas suaminya, Zul untuk berkahwin dengan pramugari dan mendoakan kebahagiaan bekas suaminya. Nordin pulang ke rumah semasa rakan serumahnya, Shaf menonton perlawanan bola sepak antara Liverpool dan Manchester United di TV. Syaf memanggilnya untuk menonton perlawanan bola sepak bersama-sama, tetapi tidak diendahkan oleh Nordin. Kecewa dengan apa yang berlaku kepadanya, Nordin mengambil pisau dan masuk ke dalam bilik air untuk membunuh diri, tetapi berjaya dihalang oleh Syaf yang datang menyelamatkannya tetapi malangnya, Syaf gagal merampas pisau daripada Nordin dan pisau itu hinggap di kakinya.

Roy dan Tan Sri Michael bersama klien Jepun mereka sedang makan malam di restoran. Rudy bekerja sebagai pelayan di restoran itu dan memberitahu mereka jika semuanya baik-baik saja. Selepas waktu makan tengahari, Roy datang ke bilik persalinan dan berjumpa dengan Rudy. Dia menyerahkan sistem keselamatan perisian kepada Rudy dan memberitahunya supaya bersedia apabila kod sistem keselamatan diaktifkan, supaya dia boleh memasuki bank. Syaf berada di hospital di mana dia menerima rawatan akibat kecederaan di kakinya. Nordin ingin menjelaskan tentang apa yang berlaku tetapi Dr. Ika mengambil keputusan menggunakan kuasanya untuk menghantarnya ke wad psikiatri hospital tempat dia bekerja. Selepas pulih daripada kecederaan kakinya, Syaf pulang ke rumah dan mengambil keputusan untuk mengambil barang-barangnya dan tidak lagi tinggal bersama Nordin. Nordin kemudian bertemu Dr. Ika dan memberitahunya untuk membuktikan bahawa dia tidak gila dan memutuskan untuk keluar dari hospital kerana dia ingin menuntut haknya di Michaelsoft.

Apabila Nordin pulang, rakan serumahnya, Syaf sudah tidak tinggal bersamanya. Dan dia memutuskan untuk mencari CD-ROM di rumahnya, akhirnya ditemui dalam buku komputernya. Rudy dan anak konco-konconya memasuki Allied Asian Bank dan melakukan 'projek besar' mereka. Nordin dan Roy bersaing untuk mengakses sistem keselamatan perisian kerana Tan Sri Michael memberi arahan dan akan menghubungi polis jika mereka gagal berbuat demikian. Sambil fokus untuk mencipta sistem, kedua-duanya masuk ke alam fantasi di mana mereka menjadi robot dan bersaing antara satu sama lain. Kembali kepada realiti, Roy berjaya mengakses sistem dan memberitahu bosnya bahawa sistem keselamatannya akan dilumpuhkan dalam masa 3 minit sementara Nordin masih berusaha untuk mengakses sistem tersebut. Rudy dan konco-konconya berjaya merompak bank itu dan meninggalkan bank secepat mungkin. Nordin berjaya mengaktifkan sistem keselamatan perisian yang menunjukkan dia yang menciptanya dan membuktikan kesalahan Roy. Konco-konc9 Rudy telah ditahan polis sebelum mereka sempat meninggalkan bank. Semasa polis melakukan serbuan ke atas bank, Rudy berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis manakala sistem keselamatan pada komputer ribanya telah dilumpuhkan. Tan Sri Michael memutuskan untuk menghubungi polis dan Roy berjaya melarikan diri apabila perbuatan jenayahnya diketahui oleh bosnya dan kakitangan Michaelsoft yang lain selepas Nordin mendedahkan kegiatan jenayah Roy. Tan Sri Michael memohon maaf daripada Nordin kerana dia tidak mempercayainya dan Nordin juga memohon maaf daripada bosnya bahawa dia juga melakukan kesalahan kepadanya. Nordin kemudian mengambil keputusan untuk mencari Syaf.

Roy dan Rudy sedang diburu oleh polis. Kediaman Roy telah diserbu oleh polis tetapi dia telah meninggalkan rumahnya. Nordin berjaya menemui Syaf dan meminta maaf serta bercakap sesama sendiri dengannya semula. Roy yang telah diburu polis atas sebab-sebab kaitannya dengan rompakan Allied Asian Bank, masih bebas dan mengambil kesempatan untuk membalas dendam terhadap Nordin. Dia mahu melanggar Nordin dengan keretanya. Dr. Ika melihat Roy memandu dan dia cuba memberi amaran kepada Nordin dan Syaf tetapi mereka tidak menyedari situasi sebenar yang mereka hadapi sekarang. Roy terus memecut keretanya meskipun lampu isyarat bertukar merah, lalu dia dirempuh lori yang datang dari seberang sebelum merempuh Nordin dan keretanya terbalik. Lori itu dipandu Rudy, yang baru sahaja melakukan satu lagi perbuatan jenayah. Rudy menjadi panik apabila melihat ada orang ketika dia merempuh Roy, lantas dia melarikan diri dari tempat kejadian. Nordin, Syaf, Dr Ika dan seorang pemandu teksi datang ke tempat kejadian dan mereka melihat Roy di dalam keretanya. Akhirnya, Nordin kini hidup bahagia dan tidak lagi takut kepada Roy kerana dia terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dia cuba merempuhnya. Nordin telah mendapat saham daripada Michaelsoft dan dia menjadi rakan kongsi bosnya.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Afdlin Shauki sebagai Nordin
Hans Isaac sebagai Roy

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon pembantu[sunting | sunting sumber]

Penampilan istimewa[sunting | sunting sumber]

  • Jeslina Hashim sebagai Tipah
  • Jalil Hamid sebagai Pesakit Mental
  • Harun Salim Bachik sebagai Pesakit Patah Pinggang
  • Erma Fatima sebagai Pengarah filem Pancutan Terakhir
  • Sharifah Aleya sebagai Penolong Pengarah filem Pancutan Terakhir
  • Riezman Khuzaimi sebagai Penjual Ayam Pasaran Gelap
  • AC Mizal sebagai Rudy
  • Jason Lo sebagai Buli Jalan Raya I
  • Rashid Salleh sebagai Buli Jalan Raya II
  • Ghafir Akbar sebagai Pemandu Teksi
  • Na’a Murad sebagai Pekerja AAM
  • Nadia Mustafar sebagai Awek kemalangan dengan AAM
  • Joanna Bessey sebagai Doktor Miss Yew March
  • Din Beramboi sebagai Hos Infomersial 'LU SLIMLAH BEB'/Kudisia Kahar, penyampai radio Erron (suara latar sahaja)
  • Kanya Kato sebagai Klien Jepun
  • Maya Abdullah sebagai Jurubahasa Jepun
  • Syed Zalihafe Syed Alwi sebagai Eksekutif Michaelsoft
  • Saiful Zelwani sebagai Bajingan I
  • Jiji sebagai Bajingan II
  • Nazri Jamlus sebagai Bajingan II
  • Mia Sara Shauki sebagai Anak pilot I
  • Anais Shauki sebagai Anak pilot II

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Buli ialah arahan sulung Afdlin Shauki dan filem ke-19 terbitan Grand Brilliance.[10][13][14] Menurut Afdlin, beliau menulis skrip filem ini berdasarkan pengalamannya sendiri semasa mengikuti kursus penulisan skrip di National Film School di London, United Kingdom (UK) pada 1996.[15] Afdlin berkata dalam temubual bersama Utusan Malaysia:

"Semasa kecil dulu, saya pernah mengalami masalah rendah diri. Masalah itu menyebabkan saya selalu merasa terlalu kecil berbanding orang lain. Saya rasa, ramai orang yang pernah mengalami masalah itu. Apabila adanya rasa rendah diri, seseorang itu sukar untuk berdepan dengan keadaan. Setakat ini saya belum pernah kena buli lagi. Sewaktu di sekolah dulu saya selalu jadi 'pak lawak'. Saya seakan menjadi penghibur kepada kawan-kawan saya ketika itu. Saya dapat tahu tentang kes buli daripada kawan-kawan saya yang pernah tinggal di hostel,".[15]

Menurut Afdlin lagi, beliau mengarahkan filem ini atas galakan Shuhaimi Baba yang berpendapat bahawa skrip Buli tulisan beliau berpotensi besar untuk dijadikan sebuah filem.[16] Selain itu, beliau juga mendapat ilham sebelum menjadikan Buli sebagai sebuah filem, ketika mengikuti kursus kepimpinan pada 2001.[15][17] Pada April tahun sama, filem ini dikatakan akan diterbitkan oleh Habsah Hassan (penerbit Soal Hati) dan watak pelakon wanitanya pernah ditawarkan kepada Erra Fazira dan Sofia Jane.[10][1][18][19]

Watak lelaki utama pada awalnya dinamakan Roslin, seorang kerani bank. Bagaimanapun, ia dinamakan sebagai Nordin, seorang pereka perisian komputer.[15][20][1] Anak Afdlin, iaitu Miasara dan Anais berlakon sebagai anak-anak kepada juruterbang yang dilakonkan oleh beliau sendiri.[15][21] Kos perbelanjaan dilaporkan mencecah sebanyak RM 1.5 juta. Penggambaran dijalankan selama 60 hari di Kuala Lumpur dan Lukut, Negeri Sembilan pada 2 Januari 2003 dan berakhir pada 12 Mac 2003.[22][23][24] Afdlin kemudian memberitahu Berita Harian bahawa pengalaman mengarahkan Buli disifatkan sebagai "penat tapi cukup seronok".[25]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Buli ditayangkan pada 11 Mac 2004 dan mendapat sambutan positif daripada penonton sekaligus meraih kutipan sebanyak RM 1.6 juta semasa tayangannya.[26][27][28] Majlis apresiasi filem ini telah diadakan pada 8 September 2004 di ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).[29] Filem ini menerima tiga anugerah (dua pencalonan, tiga kemenangan) di Festival Filem Malaysia ke-17 termasuk kategori Filem Terbaik.[30] Ia juga menerima empat anugerah di Anugerah Skrin 2005[31] dan turut memenangi Malaysia Video Awards 2004 bagi Best ASEAN Feature - Silver Awards.

Filem ini mendapat ulasan positif daripada pengkritik filem.[32] Suraiya Mohd Nor dari Berita Harian mengumpamakan filem ini ialah sebuah "fenomena sejagat".[33] Sultan Muzaffar pula mengulas: "Sebuah filem yang bagus dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Buli dibikin agar dapat membuktikan yang Malaysia sebenarnya mempunyai idea-idea baru dapat pembikinan filem yang baik. Buli telah berjaya lari dari lawak bodoh filem-filem terdahulu".[34] Ulasan dari portal Mudik menyifatkan karya sulung Afdlin "amat memuaskan".[35]

Muzik[sunting | sunting sumber]

Runut bunyi filem Buli mengandungi 7 lagu, dengan 4 daripadanya dinyanyikan oleh Afdlin Shauki, dimuatkan dalam album Fuuyo!. Turut dimuatkan ialah lagu "Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu" nyanyian Ramlah Ram yang mana lagu ini dinyanyikan dengan gaya tersendiri oleh AC Mizal dalam salah satu adegan filem ini.

Senarai lagu
  1. "Daku Percaya" — Afdlin Shauki
  2. "Mangsa Keadaan" — Afdlin Shauki
  3. "Sampai Bila" — Afdlin Shauki
  4. "Waras" — Afdlin Shauki
  5. "Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu" — Ramlah Ram
  6. "Ayu" — V.E
  7. "Nanti" — Innuendo

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2004 Festival Filem Malaysia ke-17[30] Filem Terbaik Buli Tercalon
Pelakon Lelaki Terbaik Afdlin Shauki Tercalon
Lakon Layar Terbaik Menang
Cerita Asal Terbaik Menang
Pengarah Harapan Menang
9th Malaysia Video Awards Best ASEAN Feature - Silver Awards Buli Menang
2005 Anugerah Skrin 2005[31] Filem Terbaik Tercalon
Pengarah Terbaik Afdlin Shauki Tercalon
Pelakon Lelaki Terbaik Filem Menang
Lakon Layar Terbaik Filem Menang

Kesinambungan[sunting | sunting sumber]

Kesinambungan filem ini, Buli Balik ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 Januari 2006 dan ia merupakan terbitan usahasama Grand Brilliance, Vision Works dan Tall Order Productions.[36][37]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Catatan penerbitan Buli". Filemkita.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-13. Dicapai pada 7 Februari 2013.
  2. ^ Ramlah Zainal (16 Disember 2002). "Buli cabar kemampuan Afdlin". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  3. ^ Suraiya Mohd Nor (20 Julai 2004). "Afdlin tekad 'panaskan' kerusi pengarah". Berita Harian. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  4. ^ Suraiya Mohd Nor (12 Mac 2004). "Buli temui peminat minggu cuti sekolah". Berita Harian. Dicapai pada 9 Oktober 2019.
  5. ^ "Kenapa rasa rendah diri?". Metro Ahad. 1 Ogos 2004. Dicapai pada 11 Oktober 2020.
  6. ^ A. Wahab Hamzah (23 Mac 2004). "Buli: tempo dan olahan filem terbaik tahun ini". Utusan Malaysia. Dicapai pada 12 Disember 2015.
  7. ^ Norhadiani Baharom (12 Mac 2004). "Afdlin angkat Buli". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  8. ^ "Buli (2004)" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. 23 September 2008. Dicapai pada 13 November 2009.
  9. ^ Roslen Fadzil (27 Mac 2004). "Boyot Afdlin memang kelakar!". Berita Harian. Dicapai pada 11 Oktober 2020.
  10. ^ a b c Sharifah Arfah (27 Mac 2004). "Afdlin makes you laugh (and cry) with him". New Straits Times. Dicapai pada 9 Oktober 2019.
  11. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (15 Mac 2004). "Demam pilihan raya tidak jejas Buli". Berita Harian. Dicapai pada 23 Oktober 2019.
  12. ^ "DALAM FILEM BULI SEMUA ORANG MELIHAT SUDUT JAHAT ROY" Lekat Lekit. 27 Januari 2017. Dicapai pada 7 Ogos 2017.
  13. ^ Izza Safinaz Ibrahim (5 Jun 2001). "Afdlin Shauki cuba arah filem cereka". Berita Harian. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  14. ^ Suraiya Mohd Nor (7 Mac 2004). "Buli Afdlin padat & mantap". Berita Minggu. Dicapai pada 11 Oktober 2020.
  15. ^ a b c d e "Buli - Pengalaman Afdlin Shauki". Utusan Malaysia. 1 Mac 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-09-27. Dicapai pada 11 Mac 2010.
  16. ^ Filem-filem Afdlin Shauki
  17. ^ Hartati Hassan Basri (22 Februari 2001). "Afdlin sibuk gara-gara Buli". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  18. ^ A. Kadir Pandi (13 Mei 2002). "Afdlin Shauki: Mengapa 'Buli' belum menjadi". Berita Harian Singapura. m/s. 8.
  19. ^ Hanisah Selamat (7 Oktober 2001). "Afdlin arah filem". Berita Minggu. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  20. ^ Hafidah Samat (8 September 2004). "Standing up to the bully". New Straits Times. Dicapai pada 11 Oktober 2020.
  21. ^ "Buli, dibuli atau buli balik?". Utusan Malaysia. 5 Mac 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-03-07. Dicapai pada 2021-08-07.
  22. ^ "Buli dihasilkan senyap-senyap". Berita Minggu. 2 Mac 2003. Dicapai pada 18 Oktober 2020.
  23. ^ Ellyna Ali (2 April 2003). "Cara Buli". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  24. ^ Sharifah Arfah (1 April 2003). "Afdlin gets his 'Buli' in hand". New Straits Times. Dicapai pada 23 Oktober 2019.
  25. ^ Izza Safinaz Ibrahim (29 Mac 2003). "Penat tapi cukup seronok". Berita Harian. Dicapai pada 23 Oktober 2019.
  26. ^ "Mampukah Buli atasi Kuliah Cinta?". Berita Harian. 26 Mac 2004. Dicapai pada 7 Ogos 2010.
  27. ^ Neng Rahayu Ismail (19 Mac 2004). "Buli capai RM1j seminggu". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  28. ^ Hartati Hassan Basri (30 Mac 2004). "Buli catat kutipan selesa". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
  29. ^ Akmal Abdullah (5 September 2004). "Apresiasi filem Buli di Finas 8 September". Berita Harian. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
  30. ^ a b Tengku Khalidah Tengku Bidin (21 Jun 2004). "Festival Filem Malaysia ke-17 - Lebih banyak filem berkualiti bertanding". Utusan Malaysia. Dicapai pada 21 Jun 2014.
  31. ^ a b Abd. Aziz Itar (28 Ogos 2005). "Anugerah Skrin 2005 - Pertama kali tanpa hadiah wang tunai". Utusan Malaysia. Dicapai pada 1 Februari 2011.
  32. ^ "Buli Afdlin semakin menjadi". Berita Harian. 19 Mac 2004. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  33. ^ Suraiya Mohd Nor (4 Mac 2004). "Buli Afdlin sarat mesej". Berita Harian. Dicapai pada 19 Julai 2010.
  34. ^ "Ulasan filem: Buli". Sultan Muzaffar. 23 Mac 2004. Dicapai pada 7 Ogos 2015.
  35. ^ "Ulasan VCD: Buli". Mudik. 26 Mei 2004. Dicapai pada 13 November 2009.
  36. ^ Radin Sri Ghazali (1 Februari 2006). "Buli Balik... Membawa reformasi kepada erti 'sekuel'". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-09-27. Dicapai pada 1 Februari 2013.
  37. ^ Sharifah Arfah (5 April 2004). "Get set for 'Buli II'". New Straits Times. Dicapai pada 19 Julai 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]