Buruk kuku

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Penyakit buruk kuku atau reput kaki (foot rot) atau nama saintifiknya interdigital necrobacillos ialah sejenis penyakit radang kuku haiwan yang terjadi pada biri-biri, kambing dan lembu. Ia disebabkan oleh jangkitan nekrosis yang melibatkan kulit dan tisu-tisu haiwan ini di bahagian kuku.

Penyakit buruk kuku atau reput kaki ini kerap berlaku pada musim lembap atau musim hujan. Ini kerana pembiakan kuman adalah lebih cepat berlaku di musim lembap atau hujan.

Etiologi/penyebab[sunting | sunting sumber]

Kerosakan kulit, bahagian kuku atau luka yang disebabkan oleh benda-benda tajam, selumbar kayu lantai kandang atau benda-benda yang boleh menyebabkan kecederaan pada bahagian celahan kuku ternakan. Ini akan menyebabkan pembiakan kuman anaerob (Fusobacterium necrophorum/Bacteroides melaninogenicus) di kawasan luka tersebut, dan juga boleh menyebabkan luka tersebut semakin teruk dan berulat sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Tanda jangkitan[sunting | sunting sumber]

  • Nekrosis (sel mati) di bahagian kulit/celahan kuku yang mana mungkin melibatkan lebih dari satu kaki, terdapat cairan di kawasan nekrosis.
  • Bengkak, merah dan sakit bila disentuh atau tersentuh dengan sesuatu.
  • Tempang.
  • Demam.
  • Berat badan menurun.
  • Pengeluaran susu menurun.
  • Toksemia (keracunan darah akibat kehadiran toksin daripada bakteria).
  • Rebah/kurang aktif (kelihatan kurang cergas serta tidak berjalan seperti ternakan yang sihat.

Cara melakukan diagnosis:

  • Diagnosis boleh dilakukan dengan menyemak dari latar belakang kes/rawatan penyakit sebelumnya.
  • Melalui pemeriksaan klinikal terhadap ternakan yang dikenal pasti berpenyakit.

Langkah rawatan dan pencegahan[sunting | sunting sumber]

  1. Bersihkan kawasan terlibat dengan menggunakan antiseptik yang sesuai. Contohnya savlon, dettol, acriflavin dan sebagainya.
  2. Beri antibiotik/antibakteria secara sistematik. Contohnya sulphanimides, terramycin dan lain-lain.
  3. Berikan rawatan kepada kawasan luka dengan membersihkan dari sebarang kekotoran atau najis.
  4. Buangkan sisa nekrotis (sel mati) pada luka di bahagian kuku sehingga bersih dan sekiranya terdapat nanah keluarkan dengan berhati-hati supaya ternakan selesa dan tenang dengan rawatan yang diberikan.
  5. Cuci bahagian luka dengan bahan antiseptik bagi membunuh kuman.
  6. Letakkan/sapukan kawasan luka dengan larutan kuprum sulfat 5%, formalin 2% atau aerosol kaki (semburan).
  7. Balutkan kawasan terlibat dengan kain pembalut luka dengan kemas. Tukar balutan setiap hari serta teliti keberkesanan rawatan tersebut.

Rujukan[sunting | sunting sumber]