Burung Bangau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bangau
Bangau di Henry Doorly Zoo
Status pemuliharaan
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Kelas: Burung
Order: Ciconiiformes
Keluarga: Ardeidae
Genus: Bubulcus
(Bonaparte, 1855)
Spesies: B. ibis
Nama binomial
Bubulcus ibis
(Linnaeus, 1758)

Rupa fizikal[sunting | sunting sumber]

Burung bangau dikenali dengan bulunya yang berwarna putih. Panjangnya dari hujung paruh ke hujung ekor lebih kurang 51 cm (20 inci). Paruhnya yang panjang itu berwarna kuning manakala kakiknya berwarna kehitam-hitaman.

Penghijrahan[sunting | sunting sumber]

Bangau adalah burung penghijrah yang berasal dari hemisfera utara ketika negara-negara Asia di sana mengalami musim sejuk. Burung ini berhijrah ke Semenanjung Malaysia dari September hingga April (Tweedie, 1960, 1970) setiap tahun. Ketika inilah burung ini kelihatan berbulu putih melepak. Bagaimanapun, sekali-sekala burung ini tinggal terus di negara ini hingga musim panas untuk membiak. Ketika ini, bulunya berubah menjadi jingga di kepala dan dada. Mengikut Tweedie lagi (1960, 1970), hanya terdapat satu rekod pembiakannya di negara ini iaitu di utara Kelantan.

Tabiat pemakanan[sunting | sunting sumber]

Dalam fasa putihnya ini, bangau kelihatan hampir serupa dengan burung Pucung Batu (Inggeris: reef egret, nama sains: Egretta sacra) yang juga berbulu putih tetapi boleh juga terdapat dalam bulu kelabu tua. Bagaimanapun, kedua-dua spesies bangau dan Pucung Batu ini dapat dibezakan menerusi tabiat dan persekitaran fizikalnya iaitu pucung batu suka bersendirian dan mendiami kawasan pesisir manakala bangau hidup berkelompok di sawah atau padang ragut terutamanya di sekililing kerbau dan lembu.

Bangau gemar bertenggek di atas lembu atau kerbau atau berada tidak jauh dari mamalia ini untuk mencari makanan seperti kutu atau tempiras di badan kerbau dan lembu serta belalang dan serangga lain yang bertempiaran lari apabila kerbau dan lembu meredah rumput-rumpai di sawah. Dari tabiat inilah lahirnya nama Inggerisnya "cattle egret". Burung bangau juga gemar mencari ikan di kawasan berair cetek seperti lopak dan kubang di sawah padi.

Kepentingan dalam masyarakat manusia[sunting | sunting sumber]

Burung bangau mendapat tempat yang baik dalam masyarakat Melayu. Misalnya, terdapat lagu kanak-kanak Bangau oh bangau dan peribahasa "Setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau".


Sekawan bangau di sawah padi di Tanah Merah, Kelantan.