Bangau kecil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Burung Bangau Kecil)

Burung Bangau Kecil
Okovango Delta of Botswana, Africa
Pengelasan saintifik
Alam:
Filum:
Kelas:
Order:
Ciconiiformes (disputed)
Keluarga:
Genus:
Spesies:
E. garzetta
Nama binomial
Egretta garzetta
(Linnaeus, 1766)
Egretta garzetta
Gambar burung Bangau Kecil

Bangau kecil (bahasa Inggeris: Little Egret) ialah sejenis burung pucung kecil yang berwarna putih. Ia adalah burung padanan Dunia Lama bagi Burung Bangau Salji Dunia Baru yang amat serupa. Nama saintifiknya Egretta garzetta[2], [3].

Subspesies[sunting | sunting sumber]

Terdapat sekurang-kurangnya dua subspesies untuk Burung Bangau Kecil. E. g. garzetta, subspesies nominat, hidup di Eropah, Afrika, dan Asia, manakala E. g. nigripes membiak di Indonesia dan Australasia. Burung yang hidup di Australia kekadang dianggap sebagai subspesies yang ketiga, iaitu E. g. immaculata.

Banyak burung bangau yang lain seringnya digolongkan sebagai subspesies Burung Bangau Kecil tetapi mungkin merupakan tiga spesies yang berasingan, dengan taksonominya masih tidak tentu. Bangau terumbu barat, Egretta (garzetta) gularis, hidup di garis pinggir laut Afrika Barat, manakala Burung Bangau Terumbu Arab, Egretta (garzetta/gularis) schistacea membiak di kawasan-kawasan dari Laut Merah sehingga India. Burung Bangau Dwibentuk, Egretta (garzetta/gularis) dimorpha, didapati di Afrika Timur, Madagascar, Comoros, dan Kepulauan Aldabra.

Huraian[sunting | sunting sumber]

Panjangnya Burung Bangau Kecil dewasa 55-65 sentimeter, dengan jarak sayap sebanyak 88-106 sentimeter. Beratnya antara 350-550 gram. Kesemua bulunya putih. Burung ini mempunyai kedua-dua paruh nipis dan kaki panjang yang berwarna hitam, dengan bahagian bawah kakinya berwarna kuning. Terdapat sebuah tompok kulit hijau-kelabu yang botak antara paruh dengan matanya.

Pada musim membiak, burung dewasa mempunyai dua lembar bulu tengkuk yang panjang serta bulu-bulu nipis seperti kasa pada bahagian belakang dan dadanya. Kulit botak antara paruh dan matanya menjadi merah atau biru. Rupa anak burung adalah sama dengan burung dewasa ketika bukan dalam musim membiak, tetapi warna kakinya lebih muram. Subspesies nigripes berbeza dengan subspesies garzetta dari segi warna kulit antara paruh dengan mata yang berwarna kuning serta kaki yang kehitam-hitaman.

Burung Bangau Kecil biasanya senyap tetapi mengeluarkan berbagai-bagai bunyi menggauk serta bunyi gelegak di koloni-koloni pembiakannya, dan menghasilkan bunyi terkejut yang kasar apabila dikacau.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Burung Bangau Kecil menghendap buruan di air cetek, seringnya dengan berlari menyeret kaki dan mengangkat sayap. Ia kekadang juga berdiri diam dan menunggu untuk menghendap mangsanya. Burung ini makan berbagai-bagai jenis haiwan kecil, termasuk ikan, amfibia, krustasia, dan serangga.Burung bangau ini bukanlah dari kumpulan omnivor mahupun herbivor.Tetapi dia adalah kumppulan dari karnivor.

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Burung Bangau Kecil bersarang dalam koloni, seringnya dengan burung-burung randuk yang lain. Sarangnya dibina pada pelantar ranting di atas pokok dan renekan, atau juga di kawasan mensiang dan dusun buluh. Di sebilangan tempat seperti kepulauan Tanjung Verde, spesies ini bersarang di cenuram.

Sepasangan burung mempertahankan kawasan pembiakan yang kecil yang biasanya terbentang sekitar 3-4 meter dari sarang. Telur burung ini berbentuk bujur dan mempunyai warna hijau-biru pucat yang tidak kilat. 3-5 biji telur dikeluarkan setiap kali dan dieramkan oleh kedua-dua burung dewasa selama 21-25 hari sebelum telur-telur itu menetas. Anak burung mempunyai bulu kapas yang putih dan dijaga oleh kedua-dua ibu bapanya selama 40-45 hari sehingga anak-anak burung boleh terbang.

Perlindungan[sunting | sunting sumber]

Burung Takur Besar merupakan burung yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar Malaysia. [4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ BirdLife International (2008). Egretta garzetta. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2008. IUCN 2008. Dicapai pada 9 February 2009. Database entry includes justification for why this species is of least concern.
  2. ^ D.R. 16/2010 RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010
  3. ^ (Melayu) Senarai burung di Kuala Gula – format DOC Diarkibkan 2010-03-08 di Wayback Machine
  4. ^ "Protection of Wild Life Act 1972" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2014-02-21. Dicapai pada 2012-06-23.
  • "Egretta garzetta". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2004. 2004. Unknown parameter |downloaded= ignored (bantuan); Unknown parameter |assessors= ignored (bantuan){{cite iucn}}: error: malformed |id= identifier (help) Pangkalan data termasuk justifikasi tentang mengapa spesies ini tidak banyak menimbulkan kebimbangan.
  • Mark Cocker & Richard Mabey (2005) Birds Britannica, Chatto & Windus, London
  • D. W. Snow & C. M. Perrins (1998) Birds of the Western Palearctic: Concise Edition, Jilid 1, Percetakan Universiti Oxford


Pautan luar[sunting | sunting sumber]