Burung Tekukur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Burung Tekukur
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Subfilum: Vertebrat
Kelas: Burung
Order: Columbiformes
Famili: Columbidae
Genus: Streptopelia
Spesies: S. chinensis
Binomial: Streptopelia chinensis


Burung Tekukur (bahasa Inggeris: Spotted Dove ) ialah sejenis burung merpati yang tergolong dalam famili Columbidae. Nama saintifiknya Streptopelia chinensis. Baru-baru ini, Burung Tekukur telah dimasukkan ke dalam genus Stigmatopelia oleh sebilangan pihak berwibawa, susulan daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Johnson et al. (2001).

Taburan[sunting | sunting sumber]

Burung Tekukur merupakan burung pembiak tempatan di kawasan yang terbentang dari India dan Sri Lanka di Asia Selatan tropika hingga ke China selatan dan Asia Tenggara di timur. Ia merupakan spesies yang sebahagian besar taburannya terdiri daripada kawasan hutan jarang yang terbuka, dan tanah ladang.

Burung Tekukur telah dibawa masuk ke kawasan Los Angeles, California di Amerika Syarikat, serta juga ke Indonesia utara, Australia, dan New Zealand. Di Australia, burung ini dibawa masuk ke Melbourne pada dekad 1860-an dan sejak dari masa itu, burung ini telah tersebar luas dan menggantikan burung-burung merpati asli. Di benua tersebut, burung ini boleh didapati di jalan raya, taman, kebun bunga, kawasan pertanian, serta tanah semak samun dari Hobart, Tasmania ke Cooktown, Queensland sehingga Pelabuhan Lincoln, Australia Selatan. Burung Tekukur juga dapat dilihat di Perth, Pemberton, Kalgoorlie, dan Esperance di Australia Barat, dengan taburan spesies ini semakin berkembang.

Rupa[sunting | sunting sumber]

Burung Tekukur ialah burung merpati yang tirus, dengan ekor yang panjang. Panjangnya burung ini antara 28 hingga 32 sentimeter (11.2 - 12.8 inci). Bahagian belakang, sayap, dan ekornya berwarna perang pucat, dengan banyak bintik kuning pucat. Dalam penerbangan, burung ini menonjolkan bulu hitam yang dibatasi oleh tepi dalaman yang berwarna kelabu pucat. Warna kedua-dua jantina adalah serupa, tetapi anak-anak burung lebih suram warnanya, berbanding dengan burung-burung dewasa dan sering tidak mempunyai jalur leher yang bercapuk-capuk ketika amat muda. Kepala dan bahagian bawah burung ini merah muda warnanya, dan beransur-ansur berubah menjadi kelabu pucat pada muka dan perut bawahnya. Lehernya mempunyai tompok hitam yang mempunyai bintik-bintik putih yang halus. Warna kakinya merah.

Tabiat[sunting | sunting sumber]

Burung Tekukur makan biji-biji rumput, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan yang lain. Ia burung daratan dan mencari makanannya di padang rumput dan ladang.

Burung Tekukur membiak pada sepanjang tahun, dengan sarang-sarang rantingnya biasa didapati di atas pokok, tepi bangunan, atau juga di atas tanah. Burung ini mengeluarkan dua biji telur yang putih dan licau. Di Australia Selatan, burung ini membiak, khususnya pada bulan September hingga bulan Januari, dan di kawasan utara, pada musim luruh.

Seperti dengan burung-burung merpati yang lain dalam genus ini, Burung Tekukur tidak begitu suka berkelompok, dan biasanya hidup bersendirian atau dalam pasangan. Burung ini jinak dan bunyi-bunyi yang tiba-tiba menyebabkannya terbang. Penerbangannya pantas, dengan pukulan kepak yang tetap, dengan sentakan sekali sekala yang mendadak yang pada umumnya merupakan ciri burung merpati. Pola-pola penerbangannya serupa dengan Burung Merpati Jambul, Ocyphaps lophotes (bahasa Inggeris: Crested Pigeon). Apabila mendarat, ekor burung ini menyenget ke atas. Semasa musim pembiakan, burung-burung jantan akan menyenget ekornya dengan sudut yang lebih curam dan mengelilingi burung bentina serta mengembangkan sayap dan ekornya.

Kicauannya coo-coo-croo yang rendah dan lembut, dengan penekanan pada nota yang terakhir. Kekadangannya, kicauan burung ini juga berbunyi "coo-coo krrroo, krook!"

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • BirdLife Internasional (2004). Streptopelia chinensis. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2006. IUCN 2006. www.iucnredlist.org. Dicapai pada 09 Mei 2006. Kemasukan pangkalan data juga termasuk justifikasi tentang mengapa spesies ini tidak menimbulkan kebimbangan
  • Grimmett: Birds of India. Inskipp dan Inskipp, ISBN 0-691-04910-6
  • Johnson, Kevin P.; de Kort, Selvino; Dinwoodey, Karen, Mateman, A. C.; ten Cate, Carel; Lessells, C. M. & Clayton, Dale H. (2001): A molecular phylogeny of the dove genera Streptopelia and Columba. Auk 118(4): 874-887. (teks PDF lengkap)
  • Pizzey dan Knight: Field Guide to the Birds of Australia. Angus & Robertson, ISBN 0-207-19691-5
  • Trounsen dan Trounsen: Australian Birds: A Concise Photographic Field Guide. Cameron House. ISBN 1-875999-47-7.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]