Campur tangan British di Tanah Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Campur tangan British dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pemindahan kuasa pentadbiran daripada raja-raja Melayu kepada pegawai-pegawai yang dilantik oleh pihak British untuk mentadbir dan menguruskan semua aspek pentadbiran negeri-negeri Melayu kecuali pengurusan agama Islam dan juga adat resam orang-orang Melayu.

Campur tangan ini kemudiannya membawa kepada penjajahan sepenuhnya negeri-negeri Melayu di bawah penguasaan British. Penyerahan kuasa ini dibuat secara rela oleh raja-raja Melayu dengan hanya mendapat janji-janji palsu dan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh kerajaan British.

Dasar Tidak Campur Tangan[sunting | sunting sumber]

Pada awalnya, Syarikat India Timur (British East India Company) enggan campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Ini kerana Syarikat India Timur adalah sebuah badan perniagaan yang hanya meletakkan penekanan kepada mengaut keuntungan melalui perdagangan secara aman damai. Dengan cara ini, Syarikat India Timur berpendapat kemakmuran dapat dikecapi bersama oleh syarikat dan negeri-negeri Melayu.

Campur tangan syarikat dalam hal ehwal politik dan pentadbiran negeri-negeri Melayu boleh membawa kepada penglibatan dalam operasi ketenteraan ataupun peperangan, dan akan melibatkan perbelanjaan besar kepada Syarikat. Syarikat melihat India dan China sebagai kawasan perdagangan yang jauh lebih lumayan, dengan jumlah penduduk yang lebih besar dan tahap nilai perdagangan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri Melayu.

Pembaharuan Piagam Syarikat (Charter) oleh Parlimen Britain dalam tahun 1834 menamatkan monopoli Syarikat India Timur ke atas perdagangan candu dan lain-lain barangan dengan China. Syarikat India Timur kini terpaksa bersaing dengan lain-lain lain-lain pedagang British dan juga pedagang-pedagang dari negara-negara lain untuk membawa barang dagang dari Timur Jauh ke pasaran Eropah. Persaingan ini mengurangkan untung Syarikat India Timur.

Pertukaran Kerajaan Di Britain[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1867, Negeri-Negeri Selat dipindahkan daripada penguasaan Syarikat India Timur kepada penguasaan Pejabat Kolonial di London. Dengan ini, Gabenor dan pegawai-pegawai British di Negeri-Negeri Selat bukan lagi menjaga kepentingan Syarikat India Timur di Calcutta tetapi menjaga kepentingan kerajaan British, khususnya Pejabat Kolonial di London.

Sir Andrew Clarke dihantar ke Singapura dalam bulan November 1873 oleh Setiausaha di Pejabat Kolonial, Lord Kimberley (John Wodehouse) untuk menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat. Sir Andrew diarahkan oleh Lord Kimberley untuk mengkaji kemungkinan melantik penasihat-penasihat British di negeri-negeri Melayu dan mengikhtiarkan supaya keamanan dan kemakmuran dapat dikembalikan ke negeri-negeri Melayu. (“see whether any steps can be taken to promote the restoration of peace and order to secure protection to trade and commerce” dan “whether it would be advisable to appoint a British officer to reside in any of the states”)

Arahan Sir Andrew dikukuhkan lagi apabila Benjamin Disraeli menjadi Perdana Menteri. Disraeli melihat Britain mestilah menunjukkan prestijnya sebagai kuasa terkuat di dunia dan perlu menguatkan penjajahannya di seluruh pelosok dunia. (Disraeli berpegang kepada prinsip beban orang putih (white man’s burden) bahawa Britain wajib membantu membawa tamadun dan peradaban British kepada bahagian-bahagian dunia yang lebih mundur.) Disraeli juga risaukan kuasa-kuasa asing yang lain bertapak di Tanah Melayu. Peluang Sir Andrew terbentang luas apabila Raja Abdullah menulis surat meminta bantuan British untuk menabalkan dirinya sebagai Sultan Perak.

Pembubaran Syarikat India Timur[sunting | sunting sumber]

Syarikat India Timur dibubarkan secara rasminya pada 1 Januari 1874. Dengan itu, semua perihal penjagaan hal ehwal dan kepentingan British berpindah kepada tanggungjawab oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Jikalau Syarikat India Timur sebelumnya enggan bertindak mencampuri hal ehwal Negeri-Negeri Melayu, kerajaan Negeri-Negeri Selat lebih mementingkan penjagaan kepentingan British di Tanah Melayu, khususnya untuk menyekat pengaruh kuasa barat lain seperti Perancis (bertapak dan berkembang di Indo-China) dan Empayar Jerman (merintis mewujudkan kehadiran di Pahang dan Langkawi).

Peranan Bijih Timah[sunting | sunting sumber]

Di Britain, sumber timah tempatan diperolehi daripada lombong timah di daerah Cornwall yang dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Penggunaan bahan letupan dalam pertengahan kedua kurun ke-17 melihatkan kaedah penggunaan letupan dikawal dalam proses perlombongan. Dalam kurun ke-18, penggunaan pam berkuasa membolehkan pelombong mengepam keluar air daripada dalam lombong, dan membolehkan pengeluaran bijih di bawah paras air bawah tanah.

Menjelang than 1801, terdapat 75 buah lombong yang dikerjakan di Cornwall dengan bilangan pekerja seramai 16,000 orang. Dalam tahun 1819, dua buah syarikat besar ditubuhkan, Great Consolidated Ltd. and United Ltd. Di bawah pengurusan John Taylor, seorang jurutera perlombongan. Bijih timah dari Cornwall dihantar ke seluruh pelosok dunia. Menjelang tahun 1862, Great Consolidated dan United digabungkan menjadi Clifford Amalgamated Mines. Bilangan lombong di Cornwall meningkat kepada 346 buah lombong dengan 50,000 orang pelombong. Cornwall mengeluarkan 10,000 ton timah setahun, separuh daripada pengeluaran dunia.

Kebangkitan Industri Mengetin Makanan[sunting | sunting sumber]

Kebangkitan industri bijih Timah dijana oleh kebangkitan dalam industri mengetin makanan. Sebelum penggunaan tin, proses yang dipelopori oleh Nicolas Appert (1749-1841) boleh mengawet makanan untuk jangka masa yang lama menggunakan botol kaca, tetapi kaca itu mudah pecah dan tidak boleh digunakan sekiranya dibawa semasa perjalanan yang lasak seperti ekspedisi tentera.

Dalam tahun 1810, Peter Durand menemui cara mengawet makanan menggunakan bekas diperbuat daripada besi yang disalut dengan timah. Malangnya, kimpalan plumbum yang digunakan untuk memeteri tin boleh mengakibatkan keracunan plumbum sekiranya plumbum dilarutresapkan ke dalam makanan tersebut. Kematian 128 orang dalam pengembaraan diketuai John Franklin ke kawasan Artik dalam tahun 1845 disebabkan oleh keracunan plumbum dan mengakibatkan anggota ekspedisi menjadi gila. Kelemahan ini diatasi dengan menggunakan bahan pateri yang tidak menggunakan plumbum.

John Hall bersama Peter Durand menyempurnakan proses ini dan berjaya mendapatkan kontrak besar membekalkan makanan ditinkan kepada Tentera British dan Tentera Laut DiRaja British. Kejayaan ini meledakkan permintaan untuk timah. Proses mengetin makanan membolehkan makanan disimpan dengan lebih lama, sehingga bertahun-tahun lamanya, tanpa kemudaratan dalam rasa makanan yang ditinkan. Proses mengetin makanan membolehkan pasukan tentera dibekalkan makanan untuk ekspedisi yang lebih lama dan jauh.

Dalam tahun 1812, Thomas Kensett mengasaskan pusat mengetin tiram, daging, buah-buahan dan sayuran di New York. Dia mempatenkan teknik baru yang lebih pantas dan efisien di mana proses mengetin boleh disiapkan dalam masa 6 jam sahaja.

Penduduk Britain di zaman Ratu Victoria kini lebih mewah disebabkan faedah yang diperolehi dengan Revolusi Perindustrian dan juga penghantaran balik kekayaan yang diperolehi oleh penjajah British ke atas tanah jajahannya di Asia, Afrika dan Amerika. Rakyat biasa menuntut untuk mendapatkan bekalan makanan yang murah, dengan berkepelbagaian dan berkualiti tinggi, yang sebelumnya hanya dinikmati oleh pihak aristokrat dan lapisan atasan, dan boleh disimpan untuk jangka masa yang lama. Mereka kini tidak perlu ke pasar setiap hari untuk mendapatkan bahan segar.

Permintaan ini menjana kebangkitan syarikat seperti Nestlé, Heinz dan lain-lain dan membolehkan pembekalan barangan berkualiti dan murah kepada kedai-kedai runcit untuk dinikmati oleh rakyat biasa dari semua lapisan masyarakat. Ledakan ini menyebabkan lonjakan permintaan untuk timah yang digunakan untuk proses mengetin makanan dan lain-lain bahan.

Perlombongan Bijih Di Tanah Melayu[sunting | sunting sumber]

Fail:Dio lombong.jpg
Diorama lombong bijih di Muzium Darul Ridzuan

Perlombongan bijih timah bermula sejak tahun 1820 dengan kedatangan imigran dari negeri China ke Perak dan Selangor. Di Selangor, perlombongan bijih bermula dalam tahun 1824, dikendalikan oleh kaum Hakka.

Disebabkan bijih timah di Selangor, Perak dan Negri Sembilan didapati dalam bentuk bijih lanar (alluvial tin), proses perlombongan adalah lebih mudah dan lebih murah berbanding dengan proses perlombongan di Cornwall dan di lain-lain lokasi di Eropah. Ledakan perlombongan berlaku dalam tahun 1870-an dengan permintaan yang bertambah dari Eropah dan Amerika Syarikat. Britain kini menjadi pembekalan utama timah di pasaran dunia.

Di Pasaran Logam London (London Metal Exchange), harga tin yang dibawa dari Chile dan Tanah Melayu boleh mendapat penetapan dengan cara yang telus dan teratur. Peniaga tahu harga jualan jongkong timah mereka apabila komoditi itu sampai ke London ataupun pelabuhan lain. Perniagaan timah boleh dibuat tanpa melibatkan spekulasi dan risiko. Peningkatan kemudahan tele-komunikasi membolehkan perkhabaran dibuat dengan cepat menggunakan kawat telegraf. Permintaan untuk timah melonjak dengan permintaan bertambah daripada industri mengetin makanan.

Tetapi, kemajuan ini terbantut disebabkan oleh ketidakstabilan politik di Negeri-Negeri Tanah Melayu, di mana peperangan dan perbalahan di kalangan pelombong dan pembesar tempatan menyebabkan bekalan timah tersekat-sekat. Kutipan cukai oleh pembesar-pembesar Melayu juga yang tidak teratur juga merugikan peniaga dan pedagang Cina dan British.

Pihak Belanda sendiri mempunyai bekalan timah mereka sendiri daripada jajahan mereka di Hindia Barat Belanda (kini Indonesia), khususnya dari Sumatera. Pihak British risau sekiranya pihak Belanda dapat mempastikan bekalan yang berterusan dalam jumlah yang banyak, pasaran logam timah akan berpindah dari London ke Amsterdam. Pihak British tertekan lagi apabila Empayar Jerman mulai menerokai peluang bertapak di Pahang dan Langkawi.

Kekacauan dan ketidakstabilan keadaan politik serta ancaman kuasa luar bertapak di Tanah Melayu membuatkan British mengambil pegangan baru untuk mewujudkan pergerakan awal ("forward movement") di negeri-negeri Tanah Melayu yang membawa kepada pelaksanaan Perjanjian Pangkor dalam tahun 1874.

Kegiatan Pelanunan[sunting | sunting sumber]

Pergerakan Melanun berleluasa di sepanjang Selat Melaka menyebabkan British mengambil tindakan ketenteraan menentang lanun kerana menyebabkan kerugian besar dalam perdagangan Negeri-Negeri Selat. Sejarawan L.A. Mills dalam tulisannya tahun 1925 mengenai aktiviti lanun di Tanah Melayu pada akhir kurun ke-19 meletakkan sebab kemunculan lanun kepada keadaan separa feudal yang wujud di negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu. Mills menyatakan bahawa perbuatan lanun sudah berdarah daging dalam resam orang Melayu di kawasan pantai dan mereka akan menjadi lanun apabila keadaan menguntungkan. Millls membincangkan bagaimana pedagang Melayu bertukar-tukar antara menjadi pedagang dan menjadi lanun mengikut keadaan dan peluang yang ada, seperti mana keadaan yang wujud di Eropah semasa Zaman Pertengahan (Middle Ages). ( Di Sungai Rhine, pembesar-pembesar Jerman di Zaman Pertengahan juga bersikap serupa dan dikenali sebagai “robber barons”)

Kegiatan lanun tidak terhad kepada orang-orang Melayu sahaja. Dalam tahun 1871, lanun berbangsa Cina dari Kuala Selangor menyerang sebuah kapal British dan membunuh 34 orang. Gabenor Negeri-Negeri Selat menghantar kapal perang HMS Rinaldo dan HMS Pluto ke Selangor menuntut Raja Mahdi menyerahkan lanun-lanun itu untuk dibawa ke muka pengadilan. Tuntutan British tidak dipenuhi dan British mendaratkan askar di Kuala Selangor untuk memerangi lanun-lanun tersebut. Pertempuran berlaku, di mana seorang askar British terbunuh dan 6 yang lain cedera. Keesokan harinya, HMS Rinaldo membedil kubu Raja Mahdi di Kuala Selangor.

Sir Andrew Clarke diperintahkan oleh Pejabat Kolonial untuk memerangi lanun secara habis-habisan. Beliau melihat keadaan kacau bilau di negeri-negeri Tanah Melayu sebenarnya membuka peluang untuk pembesar-pembesar tempatan bergiat dalam aktiviti lanun. Dengan demikian, adalah penting untuk British mempunyai kawalan lebih baik kea atas negeri-negeri Melayu supaya kegiatan lanun dapat dibanteras.

Di Perak umpamanya, lanun-lanun mengambil perlindungan di dalam hutan bakau dan paya serta di dalam gua-gua di sekitar kawasan Dinding. Perlindungan yang diberikan pembesar tempatan tidak membolehkan pihak British memerangi mereka untuk dibanteras habis-habisan.

Selepas tamatnya Perang Kelang, lanun-lanun di pantai Selangor tetap meneruskan keganasan mereka. Kegiatan pelanunan ini memberi kesempatan kepada Sir Andrew Clarke yang baru menyelesaikan campur tangan di Perak untuk bertindak di Selangor. Pada 16 November 1873, sekumpulan lanun yang disokong oleh putera-putera Sultan Abdul Samad telah menyerang sebuah kapal dagangan Melaka berhampiran dengan Sungai Jugra. 8 orang daripada 9 orang anak kapal yang merupakan rakyat British dibunuh. British berjaya menangkap 9 orang Melayu Selangor yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. Sir Andrew Clarke memaksa Sultan Abdul Samad mengadakan perbicaraan ke atas lanun-lanun berkenaan pada bulan Februari 1874. Lanun-lanun itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati.

Ketidakstabilan Keadaan Politik Negeri Perak[sunting | sunting sumber]

Perang Larut Di Perak[sunting | sunting sumber]

Hasrat British menguasai bekalan timah dari negeri-negeri Melayu diganggu oleh perbalahan dan kekacauan melibatkan pembesar-pembesar negeri dan juga serangan lanun di Selat Melaka. Sebelum tahun 1861, pembekalan timah daripada daerah Larut berjalan baik. Walaupun Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim mengenakan cukai ke atas hasil timah, pulangan lumayan yang diperolehi oleh British menidakkan sedikit kesusahan disebabkan oleh kenaan cukai tersebut.

Dalam tahun 1861, bekalan timah daripada Larut terganggu disebabkan oleh tercetusnya Perang Larut yang pertama, yang berpunca daripada pergaduhan mengenai laluan air ke kawasan perlombongan. Sumber air penting untuk proses perlombongan bijih timah kerana kaedah perlombongan palong digunakan. Kerana tidak puas hati, kumpulan Ghee Hin di Klian Baru diserang oleh kumpulan Hai San di Klian Pauh.

Gangguan bekalan timah menyebabkan pedagang Cina di Pulau Pinang, yang membuat pelaburan besar di dalam industri perlombongan bijih membuat aduan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat supaya mengambil tindakan memulihkan keadaan. Disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel Cavenagh masuk campur dan akhirnya memaksa Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan. Ngah Ibrahim, bagi pihak Sultan Perak, dipaksa membayar $17,447 sebagai ganti rugi kepada kumpulan Ghee Hin.

Keadaan tegang bagaikan retak menunggu belah. Masalah yang paling kecil akan mencetuskan perbalahan besar. Selang 4 tahun kemudian, Perang Larut kedua meletus berpunca daripada pergaduhan semasa permainan judi melibatkan kumpulan ahli-ahli kongsi gelap. Kumpulan Hai San menawan 14 orang ahli Kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan akhirnya membunuh 13 orang daripada mereka. Tebusan terakhir berjaya melepaskan diri dan memberitahu kejadian kepada kumpulannya. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San, dan membakar bangunan di dalam kampung itu dan membunuh 40 orang penduduk.

Sekali lagi, bekalan bijih terganggu. Perbalahan merebak sehingga ke Seberang Perai dan Pulau Pinang, dan kumpulan kongsi gelap selain Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San turut terlibat. Siasatan yang dijalankan pentadbir British mendapati kedua-dua Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San bersalah kerana mengganggu keamanan Pulau Pinang dan masing-masing dikenakan denda $5,000 dan beberapa pemimpin mereka di buang negeri. Buat seketika, bekalan timah diteruskan. Tetapi pihak British mulai risau mengenai perbalahan-perbalahan yang mengganggu bekalan timah mereka.

Kerisauan British membuat Ngah Ibrahim mengambil tindakan proaktif dengan mengambil Kapten Tristam Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di Larut, khususnya untuk memodenkan sistem pentadbiran di Larut dan meningkatkan keselamatan dan keamanan. Untuk tujuan ini, Kapten Tristam Speedy membawa 110 orang askar Sepoi Sikh dari Punjab ke Perak untuk menggantikan 40 orang Polis Melayu di bawah pengajian Ngah Ibrahim. Tetapi, usaha Ngah Ibrahim menjadi sia-sia apabila Perang Larut Ketiga meletus dalam tahun 1872, kali ini berpunca daripada tertangkapnya seorang ketua kumpulan Ghee Sin di pangkuan isteri anak saudara pemimpin Hai San.

Perang Larut Ketiga tahun 1872 memberi kesan buruk kerana melibatkan pembesar Melayu negeri Perak yang berpihak kepada kumpulan yang berbalah. Ngah Ibrahim menyokong kumpulan Hai San sementara Raja Abdullah menyokong kumpulan Ghee Hin. Pada satu ketika, kumpulan Hai San terpaksa berundur daripada Klian Pauh, tetapi dapat menduduki semula Klian Pauh setelah mendapatkan bantuan Ngah Ibrahim.

Perebutan Kuasa Di Kalangan Pembesar Melayu[sunting | sunting sumber]

Kemangkatan Sultan Ali dalam tahun 1871 diikuti dengan perebutan kuasa di kalangan pembesar Melayu, iaitu Raja Ismail, Raja Yusof dan Raja Abdullah. Raja Abdullah tidak menghadiri majlis pengkebumian Al-marhum Sultan Ali dan menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak. Akibatnya, segolongan besar pembesar negri bersama-sama Menteri Larut menabalkan Raja Ismail sebagai Sultan. Pembesar negeri di selatan Perak memberikan sokongan kepada Raja Ismail dan menabalkannya sebagai Sultan.

Pertabalan ini ditentang oleh Raja Abdullah, tetapi Raja Abdullah tidak mempunyai tapak untuk berkuasa. RUntuk mendapatkan sokongan dan pengaruh, Raja Abdullah memberikan sokongan kepada kumpulan Ghee Hin dengan harapan sekiranya mereka menang dalam perbalahan mereka dengan kumpulan Hai San, kedudukan Ngah Ibrahim akan terhakis dan kedudukan Raja Abdullah sendiri akan teguh, membolehkan ia mencabar pertabalan Sultan Ismail sebagai Sultan Perak.

Raja Abdullah juga cuba mendapatkan sokongan daripada pedagang British bernama W.H.M. Read yang menjadi rakan perniagaannya. Kepada Read, Raja Abdullah menyatakan kesediaannya untuk menerima penasihat British sekiranya beliau ditabalkan sebagai Sultan Perak. Tetapi gabenor Negeri-Negeri Selat tidak bertindak kerana hendak memberikan peluang kepada Ngah Ibrahim untuk menyelesaikan masalah Perang Larut tanpa dibantu pihak British. (Sir Harry Ord bersahabat dengan Ngah Ibrahim). Akhirnya, askar Sepoi di bawah pimpinan Kapten Tristam Speedy berjaya membantu Ngah Ibrahim mengembalikan penguasaan pihak Hai San ke atas Klian Pauh. Dengan kekalahan itu, kumpulan Ghee Hin tidak berupaya membantu Raja Abdullah dalam usahanya menabalkan diri sebagai Sultan.

Perang Larut Keempat[sunting | sunting sumber]

Perang Larut Keempat meletus dalam tahun 1873, kurang setahun selepas berakhirnya Perang Larut Ketiga. Selepas Kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, Kumpulan Ghee Hin yang disokong oeh Raja Abdullah menyerang balas dengan pejuang dan senjata yang dibawa dari Singapura dan China.

Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan. Kekacauan merebak ke daerah Krian, Pulau Pangkor dan Dinding. Pembesar Melayu yang sebelum itu menyebelahi kumpulan Cina yang berbalah terperanjat melihat huru hara akibat perbalahan antara dua Kumpulan Cina tersebut. Kemusnahan yang dibawa oleh 40,000 orang Cina yang berbalah membawa padah besar kepada negeri Perak.

Peniaga di Pulau Pinang sekali lagi melihat pelaburan mereka hancur lebur akibat perbalahan dan sekali lagi meminta Gabenor Negeri-Negeri Selat mengambil tindakan memulihkan keamanan di Perak agar perniagaan mereka tidak kerugian

Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British untuk menghantar "seorang yang cukup berwibawa untuk membolehkan kewujudan satu sistem kerajaan yang baik di Negeri Perak". William Pickering dihantar ke Larut untuk merundingkan keamanan dengan kaum Cina yang berbalah dan untuk menerima penyelesaian dan timbang tara British. Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor.

Perjanjian Pangkor[sunting | sunting sumber]

Surat daripada Raja Abdullah meminta bantuan British untuk membolehkan dia dilantik menjadi Sultan Perak digunakan sebagai pemunca oleh Sir Andrew Clarke untuk mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu. Dia menghantar William Pickering, seorang pegawai tinggi yang dilantik menjadi Pelindung orang-orang China (Protector) di Singapura untuk memujuk pihak-pihak yang bertelagah dalam Perang Larut untuk menerima timbang tara British. Frank Swettenham pula dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu untuk hadir di meja Perundingan untuk mencari penyelesaian perubatan kuasa di Perak.

Perjanjian Pangkor ditandatangan pada 20 Januari 1874 di atas sebuah kapal berkuasa wap yang dahulunya HMS Pluto tetapi kini dikenali sebagai Kapal Kolonial Pluto (Colonial Steamer Pluto). Pada hari berkenaan, pihak British memeterai dua perjanjian

a) Perjanjian Pangkor di antara pihak British dengan pembesar-pembesar Melayu b) Persetujuan Cina (Chinese Engagement) di antara pihak British dan 26 orang pemimpin kumpulan Ghee Hin, Kumpulan Hai San dan lain-lain kumpulan Cina yang terlibat dalam Perang Larut.

Persetujuan Cina[sunting | sunting sumber]

• 26 orang pemimpin-pemimpin Cina yang mewakili kumpulan Ghee Hin, Kumpulan Hai San dan kumpulan-kumpulan lain yang terlibat dengan Perang Larut bersetuju menerima timbang tara British. • Kumpulan terlibat juga bersetuju untuk melucutkan senjata yang sebelumnya dipasang di kapal-kapal mereka, memusnahkan kubu-kubu pertahanan mereka, bertukar-tukar tawanan perang dan bersetuju untuk tidak melanggar persetujuan berdamai. • Kumpulan-kumpulan terlibat bersetuju menandatangani satu surat persetujuan untuk berhenti berbalah. • Mana-mana pihak yang melanggar persetujuan berdamai akan dikenakan denda $50,000.

Persetujuan Cina ini membolehkan British menubuhkan satu jawatankuasa timbang tara untuk menyelesaikan masalah kawasan perlombongan yang bertindih di antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San. Kedamaian yang dicapai membolehkan kaum Cina kembali kepada aktiviti perlombongan dengan tujuan mengaut keuntungan. Klian Pauh diserahkan kepada kumpulan Hai San, dan kemudiannya ditukarkan nama menjadi Taiping. Kumpulan Ghee Hin mendapat kawasan Klian baru dan kemudiannya dikenali sebagai Kamunting. Persetujuan ini berjaya menamatkan perbalahan yang membawa kepada gangguan bekalan timah. Walaupun aktiviti (dan persaingan) kongsi gelap berterusan, mereka tidak lagi bertelagah secara terbuka.

Perjanjian Pangkor[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Pangkor ditandatangan oleh Pihak British dengan Sultan Abdullah, Sultan Perak.

  • Perjanjian Larut memberikan pengiktirafan kepada Raja Abdullah sebagai Sultan Perak, bagi menggantikan Sultan Ismail.
  • Sultan Ismail yang dilucutkan gelaran Sultan diberikan gelaran Sultan Muda dan diberikan pencen bulanan $1,000 dan diberikan satu kawasan jajahan baginya.
  • Ngah Ibrahim kekal menjadi Orang Kaya Menteri Paduka Tuan dan berkuasa ke atas Jajahan Larut, tetapi kuasanya disekat dan tidak bebas seperti sebelumnya. Pihak British akan melantik Penolong Residen untuk membantu beliau mentadbir jajahan Larut.
  • Pihak British akan melantik seorang Residen untuk menasihati Sultan dalam semua aspek pentadbiran negeri kecuali perihal agama Islam dan adat resam Melayu. Bayaran gaji Residen akan dibiayai oleh Sultan Perak, dan nasihat Residen mesti diperolehi dan diikuti oleh Sultan dalam semua perkara pentadbiran negeri kecuali perihal agama Islam dan adat resam Melayu. Sultan akan menyediakan sebuah tempat tinggal kepada Residen.
  • Kutipan Cukai tidak lagi boleh dibuat oleh pembesar-pembesar Melayu tempatan. Residen British akan bertanggungjawab untuk mengutip dan mengawal semua kutipan cukai dan perbelanjaan wang cukai - that the collection and control of all resources and the general administration of the state should be regulated under the advice of the Resident. (W. G. Maxwell and W. S. Gibson, Treaties and Engagement Affecting the Malay States and Borneo (London, 1924)
  • Oleh kerana pembesar-pembesar Melayu tidak lagi boleh membuat kutipan cukai, mereka akan diberikan pencen bulanan oleh kerajaan negeri.
  • Wilayah Dinding diserahkan kepada pentadbiran oleh pihak British dan menjadi wilayah takluk Negeri-negeri Selat. Dinding diambil alih oleh pihak British kerana mahu menyelesaikan masalah lanun yang mengambil perlindungan di dalam hutan bakau dan gua-gua di sekitar kawasan Dinding.

Kesan Perjanjian Pangkor[sunting | sunting sumber]

Pembesar-pembesar Melayu sebenarnya terperangkap dengan Perjanjian Pangkor. Mereka tidak dapat melihat kesan yang akan mengikuti terma yang dituntut oleh pihak British ke atas Sultan Perak (dan ke atas pembesar-pembesar Melayu). Sultan Perak dan pembesar-pembesar Melayu tidak memahami bahawa perjanjian ini akan meluputkan kuasa Sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Sultan Abdullah salah faham mengenai terma utama Perjanjian Pangkor mengenai perlantikan seorang Residen. Sultan Abdullah memikirkan bahawa Residen British hanya berkuasa memberikan nasihat kepada Sultan dan bahawa boleh Sultan mengetepikan nasihat yang diberikan oleh Residen. Punca salah faham adalah dalam penterjemahan Artikel VI Perjanjian di antara versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Article VI (Bahasa Inggeris)

That the Sultan receive and provide a suitable residence for a British Officer to be called Resident, who shall be accredited to his Court and whose advice must be asked and acted upon on all questions other than those touching Malay Religion and Custom.

Artikel VI (mengikut fahaman Sultan Abdullah)

Sultan akan menerima dan menyediakan satu tempat tinggal yang bersesuaian untuk seorang Pegawai … yang diberikan gelaran Residen British. Sultan Perak diperlukan merujuk kepada beliau di dalam semua perkara dan pentadbiran negeri Perak dan dia (Residen British) tidak boleh masuk campur dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu.

Walaupun pada asalnya Sultan Abdullah berfahaman bahawa Residen British hanya berkuasa memberikan nasihat sahaja kepada Sultan, tanggapan itu nyata salah apabila Residen British menjadi pentadbir sebentar negeri Perak. (Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and the Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, SIRD, 1984)

Sultan Ismail tidak menerima syarat-syarat Perjanjian Pangkor, khususnya perlantikan beliau sebagai Sultan Muda dengan berikan pencen dan kawasan kecil sebagai jajahan warisan keluarganya. Perjanjian ini juga mengikiskan kuasa autonomi yang diberikan kepada Ngah Ibrahim sebagai Menteri Larut dengan perlantikan Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen khusus untuk Larut.

Sir Andrew Clarke dilihat sebagai melebihi mandat kuasa yang diberikan kepadanya. Sir Peter Benson Maxwell mengkritik tindakan British dalam tulisannya Our Malayan Conquest. Sir Andrew mempertahankan tindakannya dengan alasan Ia perlu dilakukan untuk menjamin keamanan di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan British. Sir Andrew juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan British di London dan juga daripada kumpulan pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat.

Kepentingan Perjanjian Pangkor[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Pangkor membuka jalan untuk campur tangan British di Tanah Melayu dengan menggunakan Sistem Residen bagi membolehkan pemerintahan British. Sistem Residen memberikan gambaran bahawa pembesar-pembesar Melayu masih memegang kuasa pemerintahan, pada hal kuasa pemerintahan sebenarnya berpindah kepada Residen.

Sistem Residen sebenarnya adalah sistem pemerintahan secara tidak langsung yang membolehkan British bertapak di Negeri-Negeri Tanah Melayu. Walaupun Sultan masih menjadi ketua negeri, dia tidak lagi menjadi ketua kerajaan. Kini kuasanya dihadkan kepada perkara-perkara berkaitan agama dan adat resam Melayu sahaja. Sultan wajib menerima nasihat di dalam semua perkara pentadbiran dan pengurusan kerajaan, dan dengan itu nasihat yang diberikan sebenarnya adalah arahan yang perlu dipatuhi oleh Sultan berkenaan.

Sistem Residen yang dilaksanakan adalah halus tetapi berkesan. Ia digunakan sebagai model untuk membolehkan campur tangan British di negeri-negeri Melayu terutamanya di Selangor, Negri Sembilan dan Pahang.

Campur Tangan British Di Selangor[sunting | sunting sumber]

Seperti negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan juga berlaku di Selangor pada 1860-an dan 1870-an. Punca berlakunya kekacauan tersebut ialah kerana tidak adanya pentadbiran yang stabil selepas kemangkatan Sultan Ibrahim pada tahun 1826. Pengganti-penggantinya, iaitu Sultan Muhammad yang manaiki takhta pada 1826 dan Sultan Samad yang menaiki takhta pada tahun 1857 adalah pemerintah yang lemah. Mereka menyerahkan pentadbiran daerah kepada putera-putera raja. Dalam menjalankan pentadbiran daerah, putera-putera raja telah menindas rakyat untuk kepentingan mereka. Kelemahan sultan terbukti apabila Sultan Muhammad tidak dapat mengambil tindakan selepas seorang pembesar raja, iaitu Tengku Busu dibunuh oleh orang-orang Cina di Lukut pada tahun 1834. Kekacauan utama yang berlaku di Selangor ialah Perang Kelang yang meletus di antara 1867-1873.

Perang Kelang 1867-1873 Kekacauan di Selangor berlaku kerana pergaduhan antara pembesar-pembesar dan pergaduhan pelombong-pelombong Cina. Antara 1867 hingga 1873 berlaku Perang Kelang antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah (1867-1870) dan selepas 1873, di antara Raja Mahdi dengan putera Raja Abdullah iaitu Raja Ismail kerana merebut kawasan Kelang yang kaya dengan bijih timah.

Pada 1853, pemerintah Kelang iaitu Raja Sulaiman meninggal dunia. Sultan Muhammad yang memerintah Selangor ketika itu menganugerahkan Kelang kepada menantunya, Raja Abdullah dengan mengenepikan putera Raja Sulaiman, Raja Mahdi. Alasan Sultan Muhammad ialah kerana Raja Sulaiman tidak memajukan Kelang. Selepas dianugerahkan Kelang, Raja Abdullah telah menjemput orang-orang Cina dari Negeri-negeri Selat untuk mengerjakan perlombongan bijih timah sehinggan Kelang muncul sebagai kawasan perlombongan yang maju. Tindakan Sultan Muhammad menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah telah mendapat tentangan dari Raja Mahdi. Walaupun dibayar sagu hati tahunan, Raja Mahdi tidak puas hati dan masih menuntut hak Kelang, lebih-lebih lagi selepas melibat kemajuan Kelang. Raja Mahdi mendakwa tindakan Sultan Muhammad menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah bukan kerana Raja Sulaiman tidak memajukan Kelang, tetapi mengenang jasa Raja Abdullah menyelesaikan hutang Sultan Muhammad kepada seorang saudagar Cina.

Pada tahun 1857, Sultan Muhammad mangkat. Dalam perebutan takhta yang berlaku, anak saudara dan menantunya, iaitu Raja Abdul Samad telah dilantik sebagai sultan dengan mengusir Raja Muda Mahmud. Perlantikan Sultan Abdul Samad telah mendapat bantahan pembesar-pembesar Selangor, terutamanya Raja Mahdi, lebih-lebih lagi Sultan Abdul Samad memutuskan pertunangan Raja Mahdi dengan puterinya Raja Arfah yang dikahwinkan dengan Tengku Kudin, anak Sultan Muhammad Tajuddin (Kedah). Pada tahun 1868, Tengku Kudin dilantik sebagai wizurai atau wakil Sultan Selangor. Perlantikan Tengku Kudin telah mendapat bantahan pembesar-pembesar Selangor seperti Raja Musa (Kuala Selangor), Raja Hitam (Bernam), Raja Ali (Jeram) dan Raja Mahdi (Kelang).

Perkembangan Kelang bukan sahaja menyebabkan kedatangan orang-orang Cina, tetapi juga orang-orang Indonesia. Persaingan berlaku antara orang-orang Bugis dan orang-orang Mendeling. Pembunuhan seorang Mendeling oleh beberapa orang Bugis telah memperhebatkan lagi Perang Kelang. Apabila pemerintah Kelang (Raja Abdullah) yang berasal dari keturunan Bugis tidak mengambil tindakan ke atas orang-orang Bugis yang terlibat dalam pembunuhan menyebabkan orang-orang Mendeling menyebelahi Raja Mahdi untuk menentang Raja Abdullah. Dengan bantuan orang-orang Mendeling, pengikut-pengikutnya serta seorang saudagar Cina di Melaka, iaitu Tan Teck Chiang, Raja Mahdi telah menyerang dan menawan Kelang pada tahun 1867. Raja Abdullah dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke Melaka. Beliau telah beberapa kali melancarkan serangan untuk menawan semula Kelang sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1870.

Pada tahun 1870, putera Raja Abdullah, iaitu Raja Ismail dengan bantuan Tengku Kudin dan seorang saudagar Cina di Melaka, iaitu Lim Teik Yee telah berjaya menawan semula Kelang dari Raja Mahdi. Raja Mahdi melarikan diri ke Kuala Selangor. Dengan bantuan Raja Hitam dan Raja Ali, Raja Mahdi berjaya menawan Kuala Selangor dari Raja Musa pada tahun 1871. Pada Jun 1871, berlaku peristiwa rompakan kapal yang bernama Kim Seng Cheong dari Pulau Pinang ke Larut yang membawa muatan kain, barang makanan dan ternakan. British telah menghantar 2 buah kapal perangnya, iaitu H.M.S. Pluto dan H.M.S. Renaldo ke Kuala Selangor. Ketibaan angkatan British telah menyebabkan lanun-lanun lari diri dari Kuala Selangor. Oleh sebab ketika itu Kuala Selangor diperintah oleh Raja Mahdi, maka British mengarahkan beliau menaiki kapal H.M.S. Renaldo bagi mengadakan rundingan untuk menyelesaikan masalah lanun di Kuala Selangor. Keengganan Raja Mahdi telah menyebabkan Kuala Selangor dibedil oleh British lalu ditawan. Oleh sebab ketika itu British masih mengamalkan dasar tidak campur tangan, maka Kuala Selangor diserahkan kepada Tengku Kudin sebagai wakil Sultan Selangor. Raja Musa kembali ke Kuala Selangor dan menuntut haknya. Keengganan Tengku Kudin untuk menyerahkan Kualan Selangor menyebabkan Raja Musa menyebelahi Raja Mahdi untuk menentang Tengku Kudin. Akibatnya kekacauan di Selangor masoh berterusan.

Kekacauan di Selangor semakin hebat akibat pergaduhan pelombong-pelombong Cina di Kanching, iaitu Kah Yeng Chew yang merupakan ahli kongsi Ghee Hin dengan pelombong-pelombong Cina di Kuala Lumpur, iaitu puak Fei Chew yang merupakan ahli kongsi Hai San. Kekacauan bertambah hebat kerana pelombong-pelombong Cina menyebelahi pembesar-pembesar yang bertentangan. Puak Kah Yeng Chew menyebelahi Raja Mahdi dan puak Fei Chew menyebelahi Tengku Kudin. Pada tahun 1868, Yap Ah Loy dilantik sebagai Kapitan Cina di Kuala Lumpur. Pada tahun 1869, orang kanan Yap Ah Loy, iaitu Yap Ah Sze telah dibunuh di Kanching oleh puak Kah Yeng Chew di bawah Chong Chong. Yap Ah Loy dan pengikut-pengikutnya menyerang puak Kah Yeng Chew di Kanching. Chong Chong dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke Rawang dan menyebelahi Raja Mahdi kerana puak Fei Chew mendapat bantuan Tengku Kudin. Pada tahun 1872, Raja Mahdi kembali ke Selangor. Dengan bantuan tentera Johor dan puak Kah Yeng Chew, beliau berjaya menawan Kuala Lumpur, Ulu Kelang, Petaling dan Kuala Selangor dengan mengalahkan tentera Tengku Kudin dan Yap Ah Loy. Tengku Kudin kemudiannya mendapatkan bantuan Negeri-negeri Selat untuk menentang Raja Mahdi. Walau bagaimanapun, Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Harry Ord enggan memberi bantuan kerana ketika itu British tidak mengamalkan dasar campur tangan. Tengku Kudin kemudiannya memohon bantuan dari Kedah dan Bendahara Wan Ahmad (Pahang). Dengan bantuan tentera Pahang, Kedah dan pengikut Yap Ah Loy, Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Lumpur, Ulu Kelang, Petaling dan Kuala Selangor dari Raja Mahdi. Kejayaan Tengku Kudin telah berjaya menamatkan kekacauan Selangor pada bulan Mac 1873.

Kegiatan lanun Selepas tamatnya Perang Kelang, lanun-lanun di pantai Selangor tetap meneruskan keganasan mereka. Kegiatan pelanunan ini memberi kesempatan kepada Sir Andrew Clarke yang baru menyelesaikan campur tangan di Perak untuk bertindak di Selangor. Pada 16 November 1873, sekumpulan lanun yang disokong oleh putera-putera Sultan Abdul Samad telah menyerang sebuah kapal dagangan Melaka berhampiran dengan Sungai Jugra. 8 orang daripada 9 orang anak kapal yang merupakan rakyat British dibunuh. Sir Andrew Clarke mengambil kesempatan ini untuk menyokong Tengku Kudin dan meluaskan pengaruh British di Selangor. British berjaya menangkap 9 orang Melayu Selangor yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. Sir Andrew Clarke memaksa Sultan Abdul Samad mengadakan perbicaraan ke atas lanun-lanun berkenaan pada bulan Februari 1874. Lanun-lanun itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati. Namun demikian, kejadian-kejadian pelanunan masih diteruskan lagi. Pada bulan Ogos 1874, satu kejadian pelanunan telah berlaku dekat Sungai Langat. Peristiwa ini telah memberi kesempatan kepada Sir Andrew Clarke untuk menghantar Frank Swettenham tinggal dengan Sultan Abdul Samad sebagai ejen tidak rasmi Inggeris. Sultan Abdul Samad telah kagum dengan kepintaran dan kebijaksanaan Frank Swettenham dan meminta supaya British melantik seorang residen untuk menasihati baginda. Pada bulan Oktober 1874, J.G. Davidson dilantik sebagai Residen dengan Frank Swettenham sebagai Penolong Residen.

oleh SP Star

Campur Tangan British Di Negeri Sembilan[sunting | sunting sumber]

-Perlantikan Tenku Antah sebagai Yam Tuan Besar oleh penduduk Terachi,Gunung Pasir Hulu Muar dan Jempol tidak di iktiraf oleh Dato' Kelana. -Tenku Antah tidak diiktiraf Dato' Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong. -Tenku Antah juga tidak diiktiraf residen Inggeris di Sungai Ujong. -1875,Datuk Kelana dibantu Inggeris menuntut Terachi,Dato' Bandar ditewaskan. -Dato' Bandar kemudiannya dibuang negeri ke Singapura -1876,Tenku Antah diiktiraf Yam Tuan Besar Seri Menanti.

Campur Tangan British Di Pahang[sunting | sunting sumber]

Sebab-Sebab Campur Tangan British[sunting | sunting sumber]

British mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu di atas dorongan ekonomi. Pihak British perlukan keamanan dan kemakmuran di Tanah Melayu khususnya dan di Selat Melaka amnya, untuk mempastikan perdagangan mereka berkembang dengan pantas. Selat Melaka mula menjadi laluan penting dengan peningkatan jumlah dagangan antara negeri China dengan Eropah dan negeri China dengan India.

Ancaman Lanun akan menyebabkan kapal memesongkan laluan ke Selat Sunda, dan akan menaikkan Batavia (Jakarta) sebagai pelabuhan dan akan menjatuhkan kepentingan Pulau Pinang dan Singapura. Perbalahan dan peperangan di kawasan-kawasan lombong sekiranya tidak dikawal akan menjejaskan bekalan timah dan membolehkan Belanda di Sumatera dan Perancis di Indo-China untuk memberikan bekalan alternatif. Nilai perdagangan British ketika itu di Tanah Melayu bernilai lebih £3 juta setahun, dan kebanyakannya dijana oleh modal yang dikeluarkan oleh pelabur-pelabur British.

Campur tangan dan seterusnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu akan membuka pasaran baru kepada barangan keluaran British yang akan membawa kepada kemewahan lebih untuk pengeluar-pengeluar British.

Dengan kehilangan monopoli perdagangan dengan China, pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat melihat negeri-negeri Tanah Melayu sebagai peluang pelaburan yang baik dalam industri perlombongan dan pertanian sekiranya keamanan dapat dijamin. Ini hanya dapat dicapai dengan campur tangan British di Tanah Melayu.

Justifikasi Campur Tangan British[sunting | sunting sumber]

Pihak British menekankan bahawa campur tangan mereka di negeri-negeri Tanah Melayu membawa kebaikan kepada rakyat Tanah Melayu dengan membawa keamanan dan sistem pentadbiran yang baik.

Menjelang tahun 1883, selepas campur tangan British, negeri-negeri Tanah Melayu menjadi pengeluar terbesar bijih timah di dunia. Menjelang tahun 1900, Tanah Melayu mengeluarkan 55% daripada pengeluaran timah dunia. Kejayaan ini memberikan justifikasi kepada campur tangan British di negeri-negeri Tanah Melayu.

Campur tangan British juga membawa pembangunan kepada Tanah Melayu dengan pesat. Perhubungan kereta api dibina dalam tahun 1885 untuk menghubungkan Port Weld (sekarang ini Kuala Sepetang) dengan Taiping, walaupun sebab utamanya adalah untuk menyenangkan pengeksportan timah dan bukannya untuk manfaat rakyat tempatan.

Perhubungan jalan raya utama di Tanah Melayu dibina untuk menghubungkan bandar-bandar perlombongan seperti Seremban, Kuala Lumpur, Ipoh dan Taiping. Ini jelas menunjukkan pembangunan yang dibuat oleh pemerintah British sebenarnya adalah untuk memudahkan eksport bijih timah ke Britain, untuk menguatkan kedudukan Britain di mata dunia.

Kerajaan colonial British juga membuka sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak tempatan bagi pengisian jawatan-jawatan perkeranian di dalam sektor awam dan swasta. Sekolah-sekolah seperti Sekolah King Edward VII Taiping dibuka untuk memberikan pendidikan untuk membolehkan rakyat tempatan memegang jawatan-jawatan rendah di dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, tetapi tidak mementingkan pelajaran di peringkat tertinggi. Maktab Melayu Kuala Kangsar dibuka untuk membolehkan anak-anak bangsawan Melayu mendapat latihan untuk memegang jawatan-jawatan peringkat pertengahan dalam perkhidmatan kerajaan kolonial British.