Carolyn Keene

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Carolyn Keene ialah nama samaran penulis asal Nancy Drew  serta juga siri novel misteri The Dana Girls  yang kedua-duanya diterbitkan oleh Sindiket Stratemeyer. Edward Stratemeyer menggaji penulis-penulis, termasuk Mildred Benson, untuk menulis novel-novel dalam siri ini. Beliau pada mula-mulanya hanya membayar AS$125 untuk setiap buku dan memerlukan penulis-penulisnya melepaskan seluruh hak cipta mereka melalui kontrak serta juga mengekalkan kerahsiaan. Harriet Adams, anak perempuan Edward Stratemeyer, juga menulis buku-buku dalam siri Nancy Drew  di bawah nama samaran yang sama.

Penulis-penulis siluman lain yang menggunakan nama ini untuk menulis novel-novel misteri Nancy Drew  termasuk James Duncan Lawrence, Walter Karig, Nancy Axelrod, Priscilla Doll, Charles Strong, Alma Sasse, Wilhelmina Rankin, George Waller Jr., Margaret Scherf, dan Susan Wittig Albert.

Leslie McFarlane menulis empat buah cerita The Dana Girls  yang pertama pada tahun 1934 dan 1935. Siri ini ialah versi The Hardy Boys  yang difeminisasikan. Jilid-jilid ini diiklankan sebagai ditulis oleh penulis Nancy Drew dan dipromosikan secara hebat dengan menggunakan jaket-jaket buku untuk siri ini. The Dana Girls  kemudian ditulis secara siluman oleh penulis-penulis lain, termasuk Mildred Benson dan Harriet Adams. Pencetakan siri ini dihentikan selepas kewujudan selama kira-kira empat tahun dari tahun 1945 hingga tahun 1949, dan diperkenalkan semula dengan kerja seni dan ilustrasi jaket buku yang baru. Siri itu tamat penerbitannya pada tahun 1968, dimodenkan, dan diperkenalkan semula pada tahun 1972. Walaupun demikian, siri ini tidak begitu berjaya berbanding dengan terbitan-terbitan Sindiket Stratemeyer yang lain, dan siri ini ditamatkan secara kekal pada tahun 1981.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]