Celcom

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Celcom Axiata Bhd
Jenis Syarikat awam (Dijadikan persendirian)
Industri Khidmat telekomunikasi mudah alih
Ditubuhkan 1988
Ibu pejabat Kuala Lumpur, Malaysia
Perancang utama Dato' Sri Shazzalli Ramly, CEO
Produk pengendali rangkaian mudah alih 2G dan 3G
Laman web www.celcom.com.my

Celcom Axiata Berhad atau panggilan ringkasnya Celcom (dahulunya dikenali sebagai Celcom (Malaysia) Berhad) ialah syarikat telekomunikasi mudah alih yang tertua di Malaysia dan juga sebuah ahli kumpulan syarikat Axiata (dahulunya TM International). Sebagai salah sebuah daripada bilangan syarikat yang amat sedikit di Malaysia yang mula-mula sekali memperoleh lesen perkhidmatan telefon bimbit, Celcom berjaya memperkenalkan perkhidmatan telefon mudah alih di Malaysia melalui perkhidmatan ART-900 yang menggunakan teknologi NMT-900 generasi pertama.

Perkhidmatan dan liputan[sunting | sunting sumber]

Celcom mempunyai liputan terluas di seluruh negara, berbanding perkhidmatan mudah alih telekomunikasi lain di Malaysia. Celcom mengakui liputan GSM dwijalurnya (900/1800 MHz) telah mencapai 97% populasi Malaysia pada tahun 2006. Seperti pada tahun 2006 Celcom menawarkan perkhidmatan 2.5G dan 3G melalui jenama pascabayar Minutes dan prabayar Xpax. Bilangan pelanggan kini kira-kira 7.8 juta, setiap seorang memulangkan RM65. Celcom mendakwa liputan perkhidmatan telefon mudah alih seluruh negara mencapai 95% termasuk terdapatnya 3G di kebanyakan tempat di Lembah Klang, Johor Bahru, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sewaktu pasaran telefon bimbit diperluaskan pada 1995, Celcom menaik taraf ke perkhidmatan GSM900 lalu bertumbuh dengan pesat untuk menjadi syarikat telefon mudah alih terbesar di Malaysia sebelum Maxis.

Ketika Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997, Celcom turut terjejas. Ada pendapat yang mendakwa bahawa pemilik Celcom iaitu Tan Sri Tajudin Ramli menghadapi kemelut hutang dan pegangan saham beliau di dalam Celcom dirampas oleh Danaharta, syarikat penstrukturan semula aset negara. Kegagalan melangsaikan hutang beliau mengakibatkan kepentingan kawalan terhadap Celcom dijual kepada Telekom Malaysia, pengendali talian tetap milik kerajaan pada tahun 2003. Telekom Malaysia seterusnya menggabungkan Celcom dengan anak syarikat pengendali perkhidmatan mudah alihnya TMTouch melalui pengambilalihan songsang terhadap TMTouch.

Celcom asalnya tersenarai dalam Bursa Malaysia, namun menjadi syarikat persendirian setelah bergabung dengan Telekom Malaysia.

Dalam satu kes, pihak pengurusan awal Celcom didapati bertanggungjawab oleh satu panel timbang tara di Switzerland kerana melanggar persetujuan yang ditandatangani bersama DeTeAsia, sebuah unit Deutsche Telekom, pada tahun 2002.

Tribunal itu memutuskan bahawa Celcom diwajibkan untuk membayar DeTeAsia AS$177.2 juta hutang pokok tambah AS$16.2 juta faedah serta kos guaman dan timbang tara yang lain, maka jumlahnya RM740 juta yang perlu dibayar.

Penstrukturan semula Celcom yang diterajui oleh TM berjaya memulihkan prestasi Celcom dan meningkatkan daya saing di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Pada 28 September 2007, Telekom Malaysia mengumumkan rombakan semula unit komunikasi mudah alihnya termasuk Celcom, di mana Celcom dikumpulkan di bawah TM International yang menempatkan beberapa unit mudah alih milik TM yang lain di luar negara, lalu menjadikannya entiti perniagaan berasingan. Penstrukturan semula siap pada suku pertama 2008 dan unit perniagaan baru ini disenaraikan dalam Bursa Malaysia pada suku kedua 2008. TM International dinamakan semula sebagai Axiata sebagai sebuah konsortium telekomunikasi di Asia Tenggara.

Sejak proses pemulihan prestasi dijalankan, syarikat dikatakan telah berjaya meningkatkan pencapaiannya sehingga berjaya mencatatkan pertumbuhan positif mengikut sukuan tahunan selama 23 sukuan berturut-turut.[1]

Perkhidmatan Rangkaian Mudah Alih[sunting | sunting sumber]

Celcom telah membawa perkhidmatan pelayaran mudah alih tanpa wayar sejak Perkhidmatan Peket Radio Umum atau (GPRS) diperkenalkan. GPRS memberikan pengguna kemudahan maya seperti perkhidmatan multimedia serta rangkaian Internet yang mudah alih. Perkhidmatan ini hanya memerlukan sokongan peranti seperti telefon bimbit, komputer dan sebagainya, tetapan yang diperlukan, serta kawasan yang telah ditetapkan. Kelajuan tertinggi yang dapat dicapai adalah 56 KB/s sahaja.

Sejak tahun 2005, Celcom telah memperkenalkan satu lagi perkhidmatan mudah alih tanpa wayar dan dinaiktaraf kepada perkhidmatan jalur lebar, iaitu 3G. Perkhidmatan 3G Celcom dilancarkan pada 17 Mei 2005, sempena Hari Telekomunikasi Sedunia. 3G merupakan perkhidmatan rangkaian mudah alih tanpa wayar yang dipertingkatkan daripada GPRS dan mampu mencapai kelajuan muat turun sehingga 384 KB/s serta pindah naik sehingga 64 KB/s. Perkhidmatan ini dapat memberikan keselesaan kepada pengguna untuk bergerak ke mana sahaja ke tempat-tempat yang ditawarkan liputan ini, dan juga sebagai alternatif kepada perkhidmatan jalur lebar berwayar seperti Streamyx. Setakat ini, perkhidmatan 3G ini ditawarkan oleh Celcom dan Maxis. Celcom turut memberikan perkhidmatan jalur lebar yang dinaiktaraf kepada 3.5G atau dipanggil Capaian Paket Pindah Turun Berkelajuan Tinggi atau HSDPA, yang memberikan kelajuan muat turun sehingga 3.6 MB/s.

Sehingga kini, Celcom merupakan pelayan perkhidmatan jalur lebar yang terbesar dan terluas di Malaysia. Pada peringkat awal, perkhidmatan ini ditawarkan meliputi bandar-bandar utama seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Genting Highlands dan Taman Teknologi Tinggi Kulim. Perkhidamatan 3G ini terus diluaskan ke merata tempat di negara seperti pada tahun 2006. Seperti pada 1 April 2006, Celcom sudah melancarkan rangkaian 3G di kawasan-kawasan seperti Kuching, Seremban, Alor Star, Sungai Petani, Tanjung Malim, Ipoh, Bukit Merah, Taiping, Kota Bharu, Kuantan, Perlis dan Kota Kinabalu.

Sejak tahun 2007, Celcom sedang berusaha untuk menawarkan perkhidmatan EDGE atau Nilai Data yang Dipertingkatkan Untuk Evolusi GSM kepada para pengguna, iaitu satu permulaan perkhidmatan jalur lebar yang mempertingkatkan muatan data ke dalam rangkaian GSM/GPRS, dan mempunyai ciri-ciri yang mematuhi garis panduan IMT-2000, ditetapkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Sedunia atau ITU. EDGE turut dipanggil sebagai 2.75G. Perkhidmatan ini, di Celcom, hanya memerlukan Kad SIM yang menyokong perkhidmatan GPRS, tanpa perlu menaiktaraf kad tersebut, tidak seperti perkhidmatan 3G dan HSDPA. Untuk pemasangan sistem sokongan EDGE, Celcom telah melantik dua syarikat terkemuka dunia; Syarikat Alcatel-Lucent untuk memasang di Semenanjung Malaysia, dan syarikat Motorola bagi Malaysia Timur.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

  • Anugerah Pengendali Perkhidmatan Tahunan - Frost & Sullivan Malaysia[2]
  • Jenama Syarikat Telekomunikasi Paling Berharga - Jenama Paling Berharga Malaysia 2008[3]
  • Penyedia Perkhidmatan Data Mudah Alih - Frost & Sullivan
  • Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih 2008 - Frost & Sullivan
  • The Best Telco of the Year - PC.com Readers Choice Awards[4]
  • CEO of the Year - PC.com Readers Choice Awards[5]
  • Best Wireless Internet - PC.com Readers Choice Awards[6]
  • Mobile Service Provider of the Year - 2012 Frost & Sullivan Malaysia Excellence Awards[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]