Cerita binatang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Cerita Binatang ialah cerita yang menggunakan watak binatang sebagai watak utama. Ianya dipercayai sebagai salah satu bentuk cerita yang tertua iaitu seusia dengan cerita asal-usul. Cerita binatang merupakan hasil sastera lisan yang diwarisi daripada masyarakat manusia sejak zaman purba lagi. Ketika itu manusia hidup di dalam gua dan dikelilingi oleh dunia Mergastua. Oleh itu, binatang dianggap sebagai kejadian yang serupa dengan mereka. Semua sifat yang dimiliki manusia biasa dimiliki oleh binatang dalam cerita-cerita binatang seperti bercakap, menipu, berfikir, berhujah dan seumpamanya. Kisah yang ditonjolkan biasanya melibatkan konflik sesama binatang. Terdapat juga watak manusia tetapi biasanya sebagai watak sampingan sahaja. Watak-watak yang biasa digunakan ialah kancil, pelanduk, harimau, buaya, gajah, ular, kura-kura dan seumpamanya. Fungsi cerita binatang ini bukan sekadar hiburan kosong malah terselit di dalamnya unsur-unsur pengajaran dan nasihat. Ianya digunakan untuk mendidik, menasihati, menyindir atau mengkritik masyarakat pada waktu silam. Tujuan-tujuan ini disampaikan dalam bentuk kiasan, sindiran dan perlambangan. Kadang-kadang disampaikan secara gurauan tetapi tepat pada sasarannya.