Charles Mintz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Charles B. Mintz)

Charles B. Mintz (1889 – 30 Disember 1939) ialah seorang penerbit dan pengedar filem berbangsa Amerika Syarikat yang mengambil alih syarikat Winkler Pictures milik Margaret J. Winkler selepas mengahwininya pada tahun 1924.

Mintz tidak puas hati dengan kos penerbitan Alice Comedies oleh Walt Disney dan Ub Iwerks, maka beliau meminta mereka berdua membangunkan suatu watak baru. Maka lahirnya Oswald the Lucky Rabbit yang menjadi watak animasi pertama untuk Universal Pictures. Pada Februari 1928, berikutan kejayaan watak kartun yang lebih daripada diharapkan, Mintz mengambil kerja semua juruanimasi Disney kecuali Iwerks yang enggan berpisah dari Disney, lalu mengambil alih penerbitan kartun Oswald dari studio barunya Winkler Studio bersama adik Margaret Winkler, George.

Selepas melepaskan kontrak Oswald kepada Walter Lantz, Mintz bertumpu pada pengeluaran satu lagi siri filem pendek edaran Winkler, iaitu Krazy Kat. Winkler Studio mula-mula bertukar nama menjadi Mintz Studio sebaik sahaja diambil alih pada tahun 1929, kemudian menjadi Screen Gems setelah dibeli oleh Columbia Pictures beberapa bulan sebelum kematian Mintz pada tahun 1939.

Beliau dicalonkan untuk dua Anugerah Akademi untuk Subjek Pendek Terbaik. Pencalonan pertamanya adalah untuk filem "Holiday Land" pada tahun 1935, diikuti oleh filem "The Little Match Girl" pada tahun 1938. Kedua-duanya tewas kepada filem buatan Disney.

Rujukan[sunting | sunting sumber]